Tuesday, August 2, 2011

Malam Pertama Ramadan bersolat Tarawih di Masjid Negeri.

Salam semua.

Malam Pertama bersolat sunat Tarawih di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Selangor.

Pada 1hb.Ramadan 1432 (
Isnin) masjid negeri dimulakan dengan bersolat fardu berjamaah dan Tarawih dalam suasana yang sangat mengkhusyukkan. Kehadiran para jamaah sangat memerangsangkan, alhamdulillah masjid kelihatan berjaya dimakmurkan, diharap keadaan ini akan berterusan. Kehadirannya bukan ratusan orang lagi tetapi mencecah ribuan manusia yang memenuhi ruang solat yang terdiri dari lelaki dan wanita, termasuk golongan dewasa lanjut usia dan remaja.

Pada malam pertama ( 1 Ramadan ) Sheikh Mahmud Abdul Wahab Tantawi ( gambar di atas ) jemputan khas dari Mesir
mengimamkan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih , tugasnya sampai akhir bulan ini tetapi tidak setiap malam, beliau akan menjadi imam mengikut jadual yang telah dipersetujui, hari-hari yang lainnya akan diimamkan oleh imam Masjid Negeri sendiri.

Tuan Hj. Ahmad Mustafa.
Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
( Masjid Negeri , Negeri Selangor )

Kemahiran dan kebolehan mereka ini juga tidak kurang hebatnya, berimamkan mereka kiranya faham maksud bacaannya memungkinkan ahli jamaah mengalirkan air mata insaf dan khusyuk.


Perasaan ketakutan akan tercetus apabila imam membacakan ayat-ayat yang menceritakan siksaan Allah, kemudian terasa lega dan reda serta gembira pula apabila imam membacakan ayat-ayat yang menceritakan tentang perbuatan kebajikan dan kebaikan orang mukmin yang akan digandakan balasan atau ganjarannya dan rasa terharu apabila imam membacakan ayat-ayat yang memberi informasi bahawa Allah itu Maha Pemgampun dan Maha Penyayang, rasa terharu dan perasaan menaruh harapan akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu akan bermain-main di dalam hati dan jantung mereka yang faham akan makna dan maksud bacaan imam, Perasaan yang berlegar-legar itu menyebabkan air mata mengalir keluar tanpa disedari.
Pada malam 2hb.Ramadan ( berbuka puasa pertama ) pihak masjid menyediakan makanan untuk berbuka puasa, kehadirannya juga amat memerangsangkan, walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak memuaskan dari segi pelaksanaan ibadat, apa pun pihak masjid telah menguruskannya dengan cara dan ikhtiar yang terbaik tetapi ahli jamaah pula yang kedapatan di antara mereka yang kurang patuh kepada adab-adab yang telah ditentukan ketika berada di masjid. Pengawal masjid telah memberi teguran dan kawalan sedaya upaya mereka dengan penuh berhikmah.
Usaha memakmurkan masjid yang telah dilakukan oleh pihak pentadbiran layak diberi penghargaan dan ucapan terima kasih, iaitu suatu usaha yang boleh dijadikan teladan kepada masjid-masjid yang lain di tanah air kita Malaysia.

Selain menyediakan makanan untuk berbuka puasa, pihak masjid juga menyediakan perkhidmatan menjaga kanak-kanak untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang beranak kecil menunaikan solat di samping memberi ketenteraman kepada semua ahli jamaah. Tetapi dalam hal ini ibu bapa hendaklah lebih prihatin menjaga anak-anak mereka supaya tidak mengganggu ahli jamaah yang ingin beribadat dan mengharapkan khusyuk ketika beribadat.

Sekian...wallahu aklam.











No comments: