Wednesday, August 24, 2011

Hujah bersaksikan lutut tiada berkewibawaan.


Salam semua.

Pada hematku.

Bersaksikan lutut membawa makna meminta pertimbangan kepada orang yang bodoh atau sahabat atau sanak saudara dijadikan saksi.

Saksi-saksi seperti ini akan mengiyakan apa yang dikehendaki, melihat kepada saksi-saksi tersebut akan menimbulkan rasa curiga dan hilang kepercayaan terhadap kejujuran para saksi, lantas sesuatu kes dan masalah tidak dapat diselesikan dengan baik.

Seumpama pengadilan permainan bola sepak yang diadili oleh salah seorang pemain pasukan lawan. Pengadil dan pasukan lawan akan berhujah bahawa kerja-kerja pengadilan akan dijalankan secara yang berwibawa dan adil, segala tindakan untuk menjaga keadilan akan dilaksanakan. Penjaga garisan juga akan dipastikan supaya bertugas dengan cemerlang, tidak perlu bimbang walaupun mereka ini semuanya dari pasukan lawan. Sebanyak mana hujah sekali pun tidak akan menukarkan situasi kepada suatu keadaan yang berwibawa kerana segala perencah dan strukturnya rapuh dan tidak boleh dipercayai. Selagi pengadil dan penjaga garisan tidak dipilih di kalangan orang yang berkecuali, selagi itulah rasa ragu-ragu dan kerja sulit untuk memenangi pasukan sendiri akan terus berlaku.

Situasi seperti inilah yang akhirnya terhasil peribahasa bersaksikan lutut, apa-apa kerja yang berupa bersaksikan lutut hendaklah dielakkan kerana perbuatan seperti itu akan menimbulkan perbalahan dan persengketaan yang panjang dan tidak berkesudahan kecuali setelah urusan dijalankan secara bersaksikan lutut itu dihenti dan dihapuskan. Di dalam kehidupan ini memang wujud kerjabuat yang bersaksikan lutut sama ada kerja halus, kecil atau besar sehingga ke peringkat negara sekali pun. Kerja-kerja begini sebenarnya dilarang dan tidak disukai orang Melayu, terciptanya peribahasa ini adalah cetusan rasa tidak suka terhadap tindakan tersebut.

Kerja besar dalam hal ini, mungkin dapat kita ambil contoh pengurusan demokrasi dan keadilan di dalam negara. Untuk tidak memporak-perandakan rakyat kerjabuat yang sinareo dan situasinya bersaksikan lutut perlulah
dihenti dan dihapuskan. Rakyat kini telah pun cerdik, bukan semakin cerdik tetapi telah pun cerdik dan mampu menilai sesuatu serta dapat menentukan secara yakin terhadap sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh sesiapa sahaja. Semua warga berkewajipan menjaga kesejahteraan, kesejahteraan biasanya dirosakkan oleh tindakan yang tidak cocok dengan naluri manusia, pada lumrahnya naluri manusia kasih dan sukakan keadilan dan kebaikan.

Sekian...wallahu aklam.

1 comment:

DrSam said...

Assalamualaikum Pak Ngah. pertama kali saya dengar peribahasa ini. Jika itu penerangannya, memang kita amat berharap agar tiada sebarang bersaksikan lutut berlaku di negara kita bagi memastikan keadilan tercapai.

Semoga kita semua mendapat fitrah yand dijanjikan olehNya selepas Ramadhan ini.