Friday, August 26, 2011

Bersolat Tarawih bersama Sheikh Saad Nuqman dan Muhammad Ali Jabir.


Salam semua.

Artikel ini bukanlah hendak menayangkan video yang tidak sepertinya (gambar Saad Nuqman dari Madinah) tetapi ianya lebih kepada mewar-warkan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi mengimarah dan memakmurkan masjid, berbagai aktiviti rohaniah dijalankan untuk menarik minat kaum muslimin dan muslimat di sekitarnya hadir beribadat di masjid, usaha ini semestinya layak mendapat pujian dan menjadi contoh kepada pihak pengurusan masjid-masjid yang lain.Sheikh Abdul Karim berpendidikan di Mekah - membaca al.Quran berlahjah Arab- sangat menarik dan merdu sekali.

Usaha Masjid Negeri ini jelas telah memperlihatkan hasilnya, ahli jamaah datang berduyun-duyun ke masjid menunjukkan mereka bersetuju dan berminat dengan usaha tersebut, sepanjang bulan Ramadan ini tiada ruang kosong melainkan penuh dengan aktiviti ibadat, usaha mendidik dan memberi ilmu seumpama ini amat memberi kesan kepada ahli jamaah, teori dan amali serentak dihidangkan kepada ahli jammah adalah suatu method yang praktikal dan berkesan dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran.
Sheikh Abdul Karim salah seorang imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sedang melaungkan azan suaranya tidak ubah seperti Arab.



Sheikh Muhamad Ali Jabir memberi tazkirah dalam bahasa Melayu.

Di antara intisarinya.
Penulis duduk di saf yang kedua bertentang dengannya kerana susuk badannya tinggi apabila beliau berdiri keadaan berubah menjadi lebih jauh dan suaranya tidak masuk dalam rakaman video dengan jelas, video dirakam seumpama sambil menyelam sambil minum air sahaja, ditambah pula dengan kekurangan kemahiran.Oleh itu penulis tidak memuat naikkan video di dalam artikel ini , hanya menurunkan sedikit intisari apa yang beliau perkatakan.

Beliau menasihatkan supaya membaca al.Quran dan memahaminya bukan sahaja di dalam bulan Ramadan tetapi hendaklah beristiqamah dengan membacanya sepanjang masa. Lailatul Qadar merupakan anugerah Allah
yang paling berharga kepada umat Nabi Muhammad.s.a.w , nilai ibadat pada malam itu senilai dengan ibadat seribu bulan, sesiapa yang mendapatnya akan terhasil ibadatnya melebihi umurnya kerana kebiasaan umur umat Nabi Muhammad.s.a.w dalam likungan 60 - 70 tahun sahaja, dengan kurniaan itu memungkinkan umat zaman ini beribadat lebih banyak dari umat Nabi Musa a.s yang Allah kurniakan usia yang panjang itu, demikianlah keistimewaan umat Nabi Muhammad.s.a.w.

Oleh itu beribadatlah dengan cermat dan tertib khasnya dalam menunaikan solat sunat Tarawih - jangan dilakukan terlalu laju sehingga sukar diikuti oleh mereka yang telah lanjut usia - Imam selayaknya orang yang boleh diikuti.

Juga jangan berbalah hanya tentang menentukan rakaat solat Tarawih yang perlu didirikan sama ada 8 atau 20 rakaat, perbalahan berkemungkinan mengurangkan suasana imarah masjid atau lebih teruk lagi masjid dikunci selepas solat Isyak dan pulang bersolat Tarawih di rumah dengan pilihan masing-masing.

Beliau sempat memuji masyarakat Islam Shah Alam khasnya ahli Jamaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di mana mereka tidak menimbulkan masalah sama ada imam membaca basmalah ( bismillah) sebelum membaca Surah al.Fatihah semasa mereka mengimamkan solat atau lain-lain kelainan yang boleh diterima.
________________________________________
Ada kalanya yang kita sangka benar memang ianya benar. Yang kita sangka salah adakalanya tidak salah.
________________________________________

Sekian...wallahu aklam.

No comments: