Sunday, August 14, 2011

Orang Islam ghairah memakmurkan masjid sepanjang bulan Ramadan.

Salam semua.

Orang Islam beramai-ramai ke masjid untuk beribadat dalam bulan Ramadan telah menjadi lumrah dan adat yang baik dan perlu dikekalkan. Mereka ke sana tiada tujuan lain, selain daripada beribadat dan menghampirkan diri dengan Allah untuk memohon keredaan-Nya. Mereka yang beriman akan menyiapkan diri mereka dengan berpakaian yang sesuai dan menepati kehendak hukum Islam, Hukum berpakaian ini telah diketahui umum, tiada lain yang dimaksudkan di sini melain menutup aurat sama ada lelaki atau wanita. Inilah adab yang pertama dan utama sebelum memulakan ibadat yang seterusnya.
Wanita di masjid. Malangnya terdapat sebahagian kecil wanita masih berdegil tidak mahu mematuhi peraturan berpakaian walaupun di dalam masjid, mereka ini masuk ke dalam masjid dengan berpakaian selayak bersama mahram atau bersama keluarga ketika berada di rumah.


Mereka memakai seluar jeans dan lain-lain jenis seluar yang ketat bersama baju T lengan pendek atau lengan panjang yang ketat berjalan selamba sahaja di tengah-tengah medan ruang solat masjid ketika lelaki dan wanita sedang beriktikaf...( Siapakah yang akan menegur dan mencegah perbuatan mereka ini selain suami atau ibu bapa mereka )...kalau tiada yang mencegahnya perbuatan buruk dan keji ini akan menjadi ikutan dan akhirnya akan lebih sukar hendak dicegah atau dimurnikannya.

Setiap orang Islam wajib mengetahui had kawasan atau ruang yang dimaksudkan berada di dalam masjid, secara ringkasnya setiap inci lantai yang berada di bawah bumbung masjid itu adalah dikira di dalam masjid, ( penjelasan ini rambang - lihat situasi sebenar ), jika telah berada di dalam masjid bermakna sah beriktikaf di situ sekiranya telah mencukupi syarat-syaratnya. Bayangkan di kawasan seperti inilah beberapa wanita berseluar ketat dan berbaju T berlegar-berlegar di hadapan orang yang sedang membaca al.Quran dan beriktikaf.
________________________________________________
Menurut pendapat mazhab Hanafi , Maliki dan Hanbali , bahawa kawasan sekeliling masjid yang dibina untuk diperluaskan atau dibesarkan dan terdapat batasan-batasannya seperti dinding , tingkap dan sebagainya tidak dikira sebagai kawasan masjid.

Abu Ya’la menyebut bahawa ia termasuk dalam kawasan masjid.Malah Mazhab Imam Syafie juga berpendapat bahawa tapak masjid dan kawasan sekelilingnya yang ditambah sebagai perluasan juga dikira temasuk sebagai masjid serta SAH iktikaf di kawasan tersebut.(al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah : jilid 5 , m/s : 225)

_____________________________________________

Setiap orang Islam perlu prihatin sepanjang masa dalam masalah menutup aurat ini terutama jika perbuatan kita itu menjejaskan ibadat orang lain. Pihak pengurusan masjid juga berkehendakkan tindakan yang proaktif dalam menangani perkara ini supaya mereka yang degil tidak berpeluang mencemarkan masjid.

Adab berada di masjid sangat penting untuk dipelihara supaya adab berada dimasjid itu diamalkan secara istiqamah sehingga ke akhir zaman, kalau dibiarkan dan tidak dicegah adab yang buruk itu akan menjadi kebiasaan dan akan hilanglah sedikit demi sedikt adab yang telah ditetapkan oleh Islam, akhirnya adat buruk itu pula akan diwarisi generasi akan datag, betapa malangnya mereka jika berlaku sedemikian.

Kanak-kanak di masjid.
Mendidik anak bersolat dan membiasakan mereka ke masjid adalah sangat digalakkan tetapi ianya bukan sekadar itu, kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa ke masjid hendaklah dipastikan mereka berdisiplin sepanjang masa semasa berada di masjid, jangan sampai kehadiran mereka sia-sia dan membebankan pihak pengurusan masjid, lebih teruk lagi kalau mereka menjadikan ruang selesa di masjid itu sebagai ruang dan gelanggang mainan mereka , mereka ini perlulah diurus dan diatur aktiviti mereka supaya mereka terdidik dengan kehadiran itu.
Kanak-kanak yang belum mumaiyiz mungkin belum masanya untuk ke masjid, kalaupun dibawa mereka hendaklah berada sepanjang masa bersama ibu atau bapa mereka.
Apapun janganlah kehadiran kita bersama anak-anak ke masjid menyebabkan kesusahan kepada orang lain, perkara ini sangat penting untuk difikirkan.
Sekian...wallahu aklam.








No comments: