Wednesday, August 10, 2011

Jabatan Agama Islam setiap negeri perlu perbanyakkan tauliah.

Salam semua.

Pada hematku.

Artikel di dalam laman ini telah banyak kali menyentuh mengenai pemberian tauliah oleh Jabatan Agama Islam Negeri-negeri kepada pendahwah.
Tidak dapat dinafikan bahawa disamping aktiviti dakwah di sekolah,universiti dan masjid serta di tempat awam yang lain, menggunakan kuatkuasa undang-undang untuk mengelakkan orang Islam menjadi murtad juga diperlukan, ianya saling bantu membantu dan lengkap melengkapi di antara satu sama lain.

Kuatkuasa undang-undang hanya dapat bertindak terhadap mereka yang murtad secara terus terang, manakala mereka yang murtad kerana kejahilan siapa pun tidak mengetahuinya kerana situasi itu tersorok di dalam minda dan hati. Berlakunya murtad sama ada dalam keadaan terus terang atau tersembunyi semuanya berpunca daripada kejahilan atau kekurangan ilmu Islam.


Jika terdapat ramai di kalangan mereka yang berkelayakan untuk menyampaikan dakwah atau ilmu Islam kepada orang awam tetapi tersekat kerana hanya mereka tidak mempunyai tauliah keadaan ini tentulah sangat malang bagi umat Islam, terdapat Guru- Guru Pendidikan Islam ( Ustaz) yang sedang berkhidmat sama ada di Sekolah Rendah, Menengah atau Pusat Pengajian Tinggi dan juga yang telah pun bersara ( tidak semua mereka ini mempunyai tauliah yang membolehkan mereka menyampaikan ilmu atau berdakwah dengan bebas - dari sudut dakwah ini suatu kerugian )
. Universiti juga mengeluarkan graduan dalam berbagai bidang seperti Usuluddin, Syariah, pengajian Hadis dan lain-lain yang dapat dijuruskan ke sektor atau bidang dakwah ini.

Dalam hal ini Jabatan Agama Islam setiap negeri patutlah bertindak secara proaktif, turun padang menjumpai mereka dan memberi tauliah tanpa sekatan peperiksaan kerana mereka ini telah mempunyai kelayakan yang diakui Kementerian Pendidikan Malaysia atau lain-lain institusi, ( layak dan berpengalaman ), setelah itu jabatan bolehlah meminta mereka memberi sumbangan di masjid, surau dan lain-lain.Prosedur boleh diubah dan dipinda, jika hendak seribu daya, kalau tidak mahu seribu dalih.

Hal ini boleh diuruskan dengan mudah dengan mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, adakah kita ingin menahan lukah sehingga datangnya situasi kritikel, Ini cuma sebagai satu contoh sahaja, mungkin terdapat banyak lagi kaedah lain yang boleh membantu.

Kita mempunyai sumber tetapi enggan menggunakannya tentulah tidak wajar jika bersikap demikian, hendaknya jangan ada udang disebalik batu dalam mengembangkan Islam dan memantapkan pengetahuan Islam di kalangan orang Islam,serta menangani masalah berkaitan dengan gejala murtad, kiranya ada tujuan lain disampingnya, maka akan hilang kejujuran dan ihsan di dalam diri.

Memantapkan kewajipan dan usaha menjaga aqidah sesama Islam bukanlah suatu kerja yang mudah ianya memerlukan penglibatan ramai dan berbagai pihak yang berkebolehan menyampaikan ilmu tersebut.

Perkara yang tidak kurang pentingnya ialah sifat keterbukaan terhadap kebebasan berdakwah dan kurikulumnya yang mencakup seluruh isi kandungan al.Quran dan Hadis, walaupun kita telah mengumpulkan sebarisan huffaz atau para hafiz al.Quran menjadi imam tetap di masjid-masjid, tindakan ini tidak akan memberi sepenuh makna kepada perkara yang kita sedang bincangkan, sekiranya di sana masih terdapat sekatan dan halangan terhadap pengeluaran tauliah dan ditambah kurikulumnya pula dihadkan mengikut kehendak kumpulan tertentu.

Mereka yang bukan di kalangan kita sedang berusaha dengan giatnya mendekati orang Islam yang jahil dan daif untuk dialih minda dan kepercayaan, apakah kita masih menunggu dan tidak mahu bergerak dan membuat anjakan terhadap peraturan yang tidak produktif.

Sekian...wallahu aklam,












1 comment:

NGINAP SRENGENGE @ SRENGENGE said...

salam leenoh,

kekadangnya mereka ni cemburu pada ustaz2 di sekolah dan pondok