Tuesday, May 8, 2012

Perpaduan orang Islam lebih penting dan wajib dilaksanakan.

Salam semua.

Perpaduan orang Islam lebih penting berbanding perpaduan Orang Melayu.Zaman sekarang tidak sesuai lagi dianggap perpaduan Melayu sebagai perpaduan Islam dan perpaduan Islam sebagai perpaduan orang Melayu. Orang Melayu kini tidak lagi semuanya Islam atau mungkin juga sejak dahulu berkeadaan demikian. Ada pun kelumpuk yang ramai di kalangan orang Melayu adalah Islam ( hampir semua Islam tetapi bukan semuanya), manakala di dalam kelumpuk Islam bukan hanya orang Melayu sahaja oleh itu perpaduan orang Islam itu lebih penting dan relevan dengan situasinya serta wajib dilaksanakan.Perpaduan Melayu penting tetapi bukan lebih penting.

Perpaduan berpaksikan dasar dan penghayatan Islam lebih menyeluruh dan mencakup keseluruhan ajaran Islam, usaha ini akan memberi manfaat kepada semua penganut Islam, manfaat di dunia dan manfaat di akhirat. Usaha itu juga akan memberi manfaat kepada orang bukan Islam dan mesra alam.Kesatuan dan perpaduan berteraskan Islam mampu menjaga kepentigan Melayu seperti yang tersebut di dalam perlembagaan negara.

Perpaduan atas nama Melayu belum selamat kerana asas kehidupan mereka tidak semestinya berteraskan Islam, tidak semua orang Melayu menerima Islam itu sebagai cara hidup yang sempurna, malah setengah daripada mereka merasai selesa pula dengan cara hidup peninggalan penjajah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ramai di kalangan orang Melayu yang mengamalkan sistem riba secara rela, terdapat juga di kalangan mereka yang menjalankan perniagaan secara besar-besaran dengan menggunakan sistem riba dan tidak pula merasai bersalah atau terpaksa, selain itu orang Melayu juga terlibat dalam sektor perniagaan arak, bank riba dan seumpamanya. 

Perpaduan atas nama Melayu telah berlaku sekian lama tetapi orang Melayu di semua peringkat masih terperangkap dengan kehidupan yang bercampur aduk, memiliki fikrah tanpa kawalan dan panduan yang sepatutnya, perkara ini mudah dikesan melalui berbagai media yang berlegar di laluan arus perdana.

Kalau perpaduan dilaksanakan atas nama Melayu berbagai masalah yang sedang menimpa orang Islam tidak akan dapat diselesaikan dan sistem hidup yang diwarisi dari penjajah tidak akan dapat diganti dengan sistem Islam.

Sekiranya perkara ini terus berlaku bermakna orang Melayu tidak akan berjaya masuk Islam secara kaffah (sempurna), cara ini dakwah Islam akan berjalan dan bergerak  perlahan dan akan sentiasa berlaku pasang surut mengikut pemimpin, sekiranya pemimpin semasa berminat dengan cara hidup Islam dakwahnya akan bergerak lancar dan istiqamah, kalau tidak akan berlaku sebaliknya pula, keadaan ini sentiasa bertukar ganti mengikut pemimpin, sekiranya perpaduan Melayu berlandas dan berpaksikan Islam pemimpinnya terpaksa merealisasikan serta membuat pengisian perpaduan itu berdasarkan kehendak dan sistem Islam, jika pemimpin enggan berbuat demikian, pemimpin tersebut akan diganti atau diturunkan oleh majoriti rakyat.

Jika perpaduan diuruskan atas nama Melayu, Melayu akan menjadi dominan, dominan juga dalam cara hidupnya dan Islam akan tertinggal dan sebahagian ajarannya akan diabaikan,adat karut akan terus diamalkan tanpa rasa bersalah, malah menjadi penting pula di sesetengah upacara atau istiadat.Adat karut yang sedia melekat pada orang Melayu sejak zaman Lembah Bujang menjadi pusat pemerintahan/dagangan  atau  sebelum Melayu menganut Islam sukar hendak ditanggalkan, kini sebahagian kecil adat itu masih wujud dan berjalan beremba dan seiring  dengan Islam, walau pun Islam sering menjelaskan bahawa adat karut itu perlu ditanggal dan dipisahkan daripada  badan orang Melayu dan ditinggalkan amalan itu dengan rasa yakin bahawa amalan itu karut dan sia-sia (amalan itu sampai sekarang masih diamal dan dihayati !!! )

Sebahagian orang Melayu takut dan bimbang hak warisan dan kekuasaan mereka akan terlepas dari genggaman  mereka, jika perpaduan dijana atas nama Islam, takut sebahagiannya akan terlepas kepada bangsa lain yang juga menganut Islam. Islam mempunyai sistem hidup yang lengkap, mengambil berat tentang zuriat,harta,negara dan lain-lain semuanya termaktub di dalam al.Quran dan al.Hadis. Orang Melayu seharusnya lebih yakin dengan sistem Islam yang lengkap itu berbanding dengan cara hidup Melayu yang telah terpengaruh dengan unsur budaya lain yang telah meresap masuk ke dalam jiwa mereka pada setiap zaman dan abad.

Perpaduan Melayu yang dimaksudkan di dalam artikel ini ialah perpaduan yang menggunakan mekanisme akal Melayu  yang bercampur aduk dengan  sebahgian ajaran Islam (ajaran yang terpilih sahaja). Manakala perpaduan orang Islam pula menjurus  kepada perpaduan orang Melayu Islam yang akan diuruskan sedaya upaya dengan menggunakan mekanisme atau ajaran Islam sepenuhnya. Mesejnya selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Merujuk kepada pelaksanaan Islam.
KALAU TIDAK MAMPU MELAKSANAKAN SEMUA, JANGANLAH PULA MENINGGALKAN SEMUA TETAPI LAKSANAKANLAH SEMAKSIMUM YANG TERDAYA.


(Sekadar mencari keredaan Allah)

Sekian...wallahu aklam


2 comments:

Anonymous said...

Mungkin atas sebab perpaduan Islam inilah Singapura dah jadi negeri bukan orang Melayu. Saya pernah tengok gambar Lee Kuan Yew masuk ke masjid bersongkok untuk meraih undi sebelum beliau menang pilihanraya berpuluh tahun lalu. MMEMANG MELAYU AKAN HILANG DARI DUNIA.

Leenoh said...

Salam.
Saya kurang yakin bahawa Singapura bertukar menjadi negeri bukan orang Melayu kerana perpaduan Islam, saya juga berpengalaman keluar masuk Singapura tidak pernah pula mendengar orang Melayu Islam berjuang atas perpaduan Islam.
Di Singapura orang Melayu tidak ramai, tidak perlu disebut siapa yang ramai di sana kerana perkara itu telah sedia maklum.Bukankah pemerintah kita yang bersetuju Singapura dipisahkan kerana sesuatu sebab pada ketika itu.Itulah detik bermulanya Melayu hilang taring. Penempatan Melayu dipecah-pecahkan sehingga tiada kawasan pilihan raya yang mampu dimenangi orang Melayu, kalau ada pun sangat sedikit, penduduk Melayu sedikit, bertambah senanglah untuk berbuat demikian, dalam hal ini janganlah perpaduan Islam itu disalahkan, lagi pun tidak wujud perpaduan ini di sana sejak dahulu, kalau ada pun atas nama Melayu.
Kalau hanya sebab Lee Kuan Yew masuk masjid dengan memakai songkok telah berjaya mempengaruhi orang Melayu bermakna orang Melayu ketika mitu kurang bijak, senang sangat ditipu dan dipengaruhi.
Artikel ini menyatakan Perpaduan orang Islam lebih penting dan wajib dilaksanakan" saya tidak menyatakan bahawa orang Melayu perlu berpecah belah, kita tidak hilang Melayunya kerana kita memeluk Islam, samalah juga apabila kita bersatu atas nama Islam, sesuatu bangsa itu tidak akan hilang hanya dengan sebab perjuangan ideologinya tetapi Melayu mungkin akan hilang kalau berkahwin campur, ini pun akan berlaku secara beransur-ansur.
Memang semua bangsa di dunia ini akan hilang (tidak kekal) atas sebab itulah kita sebagai orang Islam berusaha sebaik dan sehikmah yang mungkin untuk menghayati Islam semaksimum yang terdaya.
Selepas bangsa Melayu hilang dan bangsa lain juga hilang di dunia, orang Melayu dan bangsa lain juga akan hidup di alam yang lain yang dinamakan akhirat, inilah destinasinya yang sebenar dan hakiki, orang Islam wajib mempercayai dan mengimaninya.
Saya tulis panjang di dini bukan kerana marah kerana kebetulan saya mempunyai masa lapang untuk menulis dan membaca.
Terima kasih kerana Tanpa Nama memberi ulasan (lebih baik tulis nama kerana mungkin anda kenal saya tetapi saya tidak kenal anda, senerio ini akan menimbulkan fitnah - tetapi tidak mengapa kalau tidak mahu tulis nama pun boleh terus beri komen, tulisan saya bukan suatu tulisan yang ilmiah cuma pandangan dan pendapat secara sepintas lalu - Saya terima dengan perasaan yang terbuka dan yakin bahawa tidak semua orang bersetuju dengan pendapat kita - itu pendapat anda dan ini pendapat saya )...wallahu aklam.