Sunday, January 31, 2010

ISLAM - Lebar dan tingginya Islam tiada garis sempadannya.


Salam semua.

Penulis merasakan ketika inilah masa yang paling wajar dan amat sesuai untuk menulis. bersembang, berceramah, berbahas , berdebat, bertazkirah, berkuliah dan lain-lain kaedah untuk memahami Islam kerana auranya agak menyeluruh kepada semua rakyat Malaysia yang dikatakan hanya satu ini, walaupun pada hakikatnya sesuai penyebarannya itu pada sepanjang masa, terdapat beberapa perkara yang menjadikan aura ke arah itu semakin meningkat, di antaranya demontrasi, kepala babi hutan, bakar gereja dan perbuatan mencemarkan masjid serta surau bersabit dengan membantah dan batahan balik mengenai penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, di mana penggunaan itu untuk menggantikan perkataan 'god' yang membawa maksud yang berbeza dengan orang Islam, tindakan ini ditakuti akan mengilirukan. Kalimah Allah telah sekian lama termaktub di dalam Al.Quran dengan terang dan jelas dan disebut pula berulang-ulang kali.

Manakala Al.Quran ialah kalamullah ( perkataan Allah ) yang menjadi panduan orang Islam, tidak Islamlah bagi mereka yang tidak berpandukan Al.Quran di dalam kehidupan mereka . sebaliknya menjadikan kitab lain sebagai panduan dan tidak Islamlah juga bagi mereka yang tidak mengenal kalimah Allah serta tidak mengenal Allah. Tidak Islamlah juga sekiranya mereka menyengutukan Allah dengan yang lain.

Persoalan paling utama dalam Islam ialah mengenal Allah ( makrifatullah), Bagi orang Islam Allah itu Tuhan pencipta sekalian alam ini. Allah itu Maha Esa , tidak ada apapun dan di mana-mana sekali pun yang setara dengan-Nya, sekiranya ada sesuatu yang setara dengan-Nya bermakna Dia lemah, lemah bukan sifat tuhan, sifat itu tidak layak dimiliki Tuhan, kalau Allah itu ada anak atau berkeluarga bermakna Dia memiliki sifat yang setara dengan kita, kalau Dia ada anak dan keluarga samalah seperti keadaan kita, kita juga ada anak dan keluarga, maka tidak layaklah kita menyembah dan mempertuhankan sesuatu yang lemah.Situasi ini mustahil berlaku kepada Allah ( Tuhan ).

Kalau Tuhan itu ramai bermakna Tuhan itu mempunyai pembahagian kuasa, umpamanya satu di atas muka bumi, satu di syurga, satu di neraka, situasi ini menunjukkan Allah itu tidak Maha Kuasa sifat-Nya. Sifat ini hanya layak dimiliki oleh makhluk atau sifat seperti itu adalah sifat manusia yang lemah dan sentiasa bergantung kepada pihak lain.

Kuasa Allah tiada garis sempadan sama ada di atas, di bawah, timur, barat, utara dan selatan kerana Allah itu Maha Berkuasa sesuai dengan sifat-Nya Maha Esa ( Satu) bukan dua , bukan tiga atau bukan ramai.( bukan berbilang-bilang ).

Al.Quran adalah ajaran yang diturunkan Allah untuk semua manusia, disampaikan melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad.s.a.w. secara wahyu, isi kandungan Al.Quran lengkap untuk panduan manusia tidak kira apa bangsa mereka dan di mana mereka berada dan sesuai sehingga Hari Kiamat. Ajaran dan panduan di dalam Al.Quran itulah ajaran Islam, ajaran itulah yang diperintahkan Allah supaya dipatuhi manusia tidak kira di mana manusia itu berada dan sifatnya tanpa garis sempadannya atau ianya bersifat global.Sebab Islam itu bersifat global maka pada amnya pandangan atau hukumnya juga turut global dan tidak terikat dengan sesuatu bangsa atau tempat atau sesuatu negara.

Untuk mengenal kalimah Allah , tegasnya mengenal Allah semestinya melalui majlis ilmu, kalimah Allah boleh ditegakkan hanya dengan ilmu pengetahuan yang menjurus kepada "Kenal Allah" ( makrifatullah ) dan tindakan yang lain atau kaedah lain tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Oleh itu selepas semua peristiwa yang telah berlaku itu selesai, maka eloklah kita semua, terutamanya mereka yang bersemangat dan berwawasan memulakan dakwahnya dengan mengadakan kelas-kelas, kuliah-kuliah, tazkirah-tazkirah atau apa sahaja bentuk majlis ilmu supaya semua rakyat Malaysia lebih berilmu dan memahami Islam itu seperti yang dikehendaki oleh Allah.S.W.T.

Sekiranya aktiviti tersebut tidak dilaksanakan pekikan dan laungan kita yang berapi itu mungkin tidak akan berkesan dan tidak akan bertahan lama, Pekikan dan laungan itu tidak dapat dinafikan ianya juga berguna tetapi tidak akan mengatasi majlis ilmu kerana tertibnya adalah ilmu, iman, Islam (amal) dan ihsan.

Sekian. Wallahu aklam.


No comments: