Friday, January 1, 2010

Menjaga diri, anak dan keluarga dari api neraka.

Salam semua.

Kebetulan saya masih berada di Kluang, maka pada hari ini saya memilih ke Masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Sudah banyak kali saya ke masjid ini sama ada menunaikan solat Jumaat atau
solat fardu yang lain.

Khutbah pada hari ini mengutarakan hal-hal berkaitan pendidikan dan nasihat-nasihat yang menyentuh tentang perbelanjaan di awal tahun khususnya perbelanjaan persekolahan anak-anak kerana pada awal tahun banyak peralatan sekolah anak-anak perlu dibeli. peralatan lama yang masih boleh dipakai tidak perlulah diganti lagi, berlebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya lagi pendidikan anak-anak sangatlah penting . Ibubapa berkewajipan mendidik mereka supaya mereka berakhlak mulia dan tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat.

Seharusnya ibubapa merancang untuk menyediakan diri anak-anak supaya menjadi orang yang cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat.

Firman Allah bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
Surah At.Tahrim ( ayat 6 ).


Di dalam ayat di atas jelas Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memelihara diri sendiri dan keluarga daripada terjumus ke dalam api neraka, di mana siksaan api neraka amat pedih sifatnya.

Cara memelihara diri sendiri dan keluarga supaya terselamat daripada disiksa di dalam api neraka hanyalah melalui pendidikan iaitu orang yang beriman hendaklah memastikan anak-anak dan ahli keluarga mereka memahami ilmu aqidah dan ilmu syariah yang lain serta mengamalkannya di dalam kehidupan.

Mengenal Allah dan mengamalkan cara hidup Islam adalah satu-satunya jalan dan cara manusia menyelamatkan diri dari disiksa di dalam api neraka yang disebut berulang kali di dalam al.Quran dan al.Hadis.

Menguasai ilmu syariah, khasnya ilmu Aqidah akan memantapkan kepercayaan seseorang kepada Allah dan akan terselamat daripada kancah syirik, munafik dan lain-lain keburukan yang membawa kepada neraka.

Sekian. Wallahu aklam.

No comments: