Sunday, May 3, 2009

DOSA YANG TERSEMBUNYI.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa, setiap manusia yang beriman kepada Allah tetap bersamanya pahala dan dosa. Hanya Nabi-nabi dan Rasul-rasul sahaja yang maksum,( suci - tiada dosa ). sama ada maksum kerana diampunkan atau maksumnya kerana tidak pernah melakukan larangan Allah, kita tidak bincangkan di sini, apa yang ditegaskan mereka adalah maksum.

Manakala mereka yang kafir dan syirik berterusan dengan Allah, bersama mereka adalah dosa tanpa sebarang pahala.

Seseorang yang berdosa itu menanggung dosanya sendiri.
Adakah manusia menanggung dosa orang lain seperti sering diperkatakan ibubapa menanggung dosa anak yang belum baligh atau menanggung dosa anak gadisnya yang belum berkahwin.
Anak-anak yang belum baligh tidak mempunyai sebarang dosa, mereka dilahirkan atas fitrah mereka yang suci, jika ditakdirkan mereka meninggal dunia ketika mereka belum baligh kematian mereka di dalam keadaan suci walaupun mereka anak-anak kepada ibubapa yang kafir.
Sekiranya mereka itu tiada dosa di mana lojiknya ibubapa menanggung dosa mereka itu. Kenakalan anak-anak melakukan sesuatu kejahatan kerana kelalaian ibubapa mendidik mereka di sana terhasil dosa tetapi dosa itu adalah dosa ibubapa, dosa tersebut kepunyaan ibubapa kerana tidak menjalankan tanggungjawab mendidik mereka. ( berikutan ibubapa tidak patuh perintah Allah dan Rasul dalam hal mendidik anak ).

Anak gadis yang telah baligh telahpun mempunyai tanggungjawab sendiri untuk mematuhi perintah Allah kerana mereka termasuk di dalam golongan orang yang telah mukallaf. Disebabkan mereka belum berkahwin maka ibubapa masih bertanggungjawab atas diri mereka dalam beberapa hal seperti nafkah, sosial dan seumpamanya. Sekiranya segala tanggungjawab yang diwajibkan ke atas ibubapa atau walinya telah dilaksanakan seperti yang diperintahkan, maka ibubapa atau wali tentulah tidak berdosa lagi kerana tanggungjawabnya telah dibereskan seperti diperintahkan. Jika berlaku disebaliknya iaitu ibubapa atau wali tidak menjalankan tugas tersebut maka berdosalah mereka tetapi dosa ini bukan menanggung dosa orang lain, malah dosa mereka sendiri.

Adakah terdapat dosa yang tersembunyi.
Tiada terdapat dosa yang tersembunyi di sisi Allah kerana Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di kalangan manusia sememangnya terdapat keadaan itu, di mana seseorang itu melakukan dosa kekadang hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahuinya, atau dua orang sama-sama melakukan dosa dan orang lain tidak mengetahuinya atau beberapa orang atau sekumpulan orang melakukan dosa dan manusia lain selain daripada mereka tidak mengetahuinya. Allah tetap mengetahuinya.

Seseorang yang melakukan dosa tidak digalakkan menceritakan kepada orang lain kerana perbuatan itu ditakuti menjadi motivasi kepada mereka yang mendengarnya untuk melakukannya pula, selain daripada itu akan menjatuhkan maruahnya sedangkan diri sendiri telah pun insaf dan ingin bertaubat. Apa yang perlu dilakukan oleh orang tersebut ialah segera bertaubat kepada Allah, merayulah kepada Allah supaya dosanya itu diampunkan serta bersangka baik dengan Allah bahawa dosanya itu akan diampunkan.
Selepas itu hendaklah beristiqamah mengamal dan melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Semoga Allah mengampunkan dosa kita.amin.
_______________________

Berikut adalah petikan maksud ayat-ayat Al.Quran untuk direnungi:

"Katakanlah: "Apakah aku akan mencari Tuhan
selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi
segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa
melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri;
dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.
Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali,
dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang
kamu perselisihkan".

Surah Al.An'aam (164).

_______________________

"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah
taubat bagi orang-orang yang mengerjakan
kejahatan lantaran kejahilan, yang
kemudian mereka bertaubat dengan segera,
maka mereka itulah yang diterima
Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui
lagi Maha Bijaksana".(17)


"Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari
orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang)
hingga apabila datang ajal kepada seseorang
di antara mereka, (barulah) ia mengatakan:
"Sesungguhnya saya bertaubat sekarang"
Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang
yang mati sedang mereka di dalam kekafiran.
Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan
siksa yang pedih" (18).
Surah An.Nisak (17 - 18 )
_______________________

Dosa yang nyata.
Perbuatan maksiat yang nyata atau berlaku terang terangan ini merupakan maksiat dan dosa yang sangat berbahaya kepada masyarakat. Maksiat seperti ini menjadi contoh buruk kepada orang lain dan melibatkan orang lain atau meruntun orang lain untuk mencegahnya, Maksiat yang dilakukan secara terbuka itu, Islam memerintahkan kita supaya bergerak pergi mencegahnya, khasnya pihak yang berwajib dan amnya masyarakat di persekitarannya.
Manakala dosa atau maksiat yang tersembunyi tidak digalakkan kita membongkarnya melainkan maksiat yang tersembunyi itu menbawa keburukan kepada masyarakat. Kita disuruh mencegah maksiat tetapi dalam waktu yang sama kita juga disuruh menutup keaiban sesama saudara Islam.
Mencegah maksiat dan berdakwah semestinya berjalan serentak dan sekata.
Berbahagialah mereka yang berdakwah ke jalan Allah dan mencegah kemungkaran.

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

2 comments:

Anonymous said...

Sememangnya dosa seseorang tidak ditanggung oleh orang lain kerana dianugerah Allah akal untuk berfikir,diutuskan Rasul bagi menyatakan segala yang haq dan bathil,ditinggalkan Al-Quran sebagai panduan sepanjang zaman.
Tetapi ingatlah peringatan Rasulullah s.a.w. "Sesiapa yang menunjukkan sesuatu yang baik seperti ia melakukannya begitulah sebaliknya sesiapa menunjukkan sesuatu yang jahat seperti ia sendiri melakukan juga." Awaslah setiap perkara yang baik dan jahat pasti ada sahamnya di akhirat.Oleh itu JANGANLAH selalu terlepas perhitungan bila hendak melakukan sesuatu.INGATLAH ALLAH Maha Mengetahui,Maha Melihat, Maha Mendengar!
Persoalannya mengapa kita terlalai,tersasar melakukan kesalahan dan dosa?
Pertamanya persoalan KEIMANAN terhadap ALLAH yang bersifat dengan sifat yang MAHA SEMPURNA dan MAHA SUCI ALLAH daripada SEGALA SIFAT KEKURANGAN.Keimanan kita rata-ratanya pada peringkat ILMU YAQIN,masih jauh untuk mencapai HAQUL YAQIN dan AINUL YAQIN.Bila seseorang dapat mencapai ke maqam ini barulah benar-benar dapat menjamin seseorang itu taat zahir dan bathin.Bolehlah dianggap orang yang hampir kepada "Insan Kamil" pada pandangan mata manusia.
Persoalan kedua mengapa kita tidak dapat berbuat beribadat dan taat walaupun ada ilmu? Puncanya kita banyak dosa.Bagaimana kita banyak dosa sebab kita TIDAK PERNAH BERTAUBAT dengan Allah sedangkan Allah suruh kita memohon keampunannya dan Allah sangat luas rahmat keampunannya.Selagi banyak dosa kita dengan ALlah selagi itulah kita sukar untuk buat ibadat,maka jadilah kita orang yang berangan2 nak buat ibadat tapi tetap tak akan dapat buat! Contohnya kenapa kita rasa berat nak bangun Tahajjuj! Sedangkan kita tahu amalan yang sangat baik kelebihan yang besar,tetapi tetap tak boleh buat,bangun untuk buat kerja lain boleh!Kenapa?
Kesimpulannya secara ringkas marilah kita memperbaiki diri kita dengan:
a. Perbetul dan mantapkan Aqidah.Awwaluddin makrifatullah ,awal2 agama mengenal Allah
b.Beribadatlah dengan betul dengan ikhlas dan betul segala rukun dan syaratnya.
c.Sentiasa beristighfar,bertaubat memohon keampunan Allah sedang Nabi yang maksum memohon keampunan lebih 70 kali sehari,bagaimana dengan kita yang setiap detik terdedah dengan dosa zahir dan bathin.
d.Berdoalah memohon pertolongan daripada Allah agar diberi kekuatan untuk taat kepadanya dan memberi kekuatan untuk meninggalkan larangannya.Sebab tanpa pertolongan ALLAH kita TIDAK AKAN DAPAT BUAT SESUATU PUN,kita adalah miliknya segala geraklaku kita.
Berdoalah kita bersama memohon limpah taufik dan hidayahnya semoga amalan kita diberkati.
Semoga Allah beri kekuatan dan kesihatan kepada saudara untuk terus menulis bagi manafaat kita bersama.AA..MIN YA RABBAL ALAMIN.

Leenoh said...

Salam.
Terima kasih di atas respon yang baik ini, saya panjangkan untuk bacaan umum dengan menjadikannya entri baru.