Monday, May 11, 2009

Proses kehadiran Islam ke dalam diri manusia.


Salam sejahtera.

Kupanjatkan pujian dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Taala . Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w. serta memohon taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T. agar penulisan ini diberikan keberkatan.

Mauduk ini agak berat untuk diketengahkan, sekiranya perbahasannya hendak diperhalusi. Penulisan ini tidaklah berhajat untuk membahaskannya secara demikian. Sebaliknya akan memaparkan pandangan secara ringan-ringan sahaja untuk tatapan anda sekalian dan bersamanya terdapat ruang untuk anda menegur sekiranya terdapat ulasan atau pandangan yang terbabas dari landasannya atau anda memberi ulasan penambahbaikan.

Proses kehadiran Islam kepada diri individu manusia.
Proses ini sangat penting untuk diketahui terutamanya pendakwah Islam. Siapakah pendakwah itu ?. Pada pendapat saya pendakwah itu ialah setiap orang Islam, abang pendakwah kepada adiknya, ibubapa pendakwah kepada anak-anaknya, penghulu pendakwah kepada ahli mukimnya dan pemimpin pendakwah kepada rakyat di bawah pimpinannya.

Proses kehadiran Islam ke dalam diri kita atau ke dalam diri manusia itu bermula dengan
taufik dan hidayah dari Allah Taala, ilmu, iman, Islam dan ihsan. Memiliki semuanya itu bermakna telah memiliki kesempurnaan dan kesyumulan Islam.

(1) Taufik dan hidayah.

Taufik dan hidayah ianya bergerak seiring dan bersepadu menjadi satu, mereka yang telah mendapat hidayah bermakna telah mendapat petunjuk atau pintu hatinya telah diketuk dan digerak untuk menerima Islam. Lantas orang ini memulakan pencariannya dengan menambahkan ilmu untuk mengenali Islam, setelah mengenalinya masih belum tentu mereka dapat melaksanakan Islam itu dengan betul dan tepat. Tetapi keinginan untuk melaksanakan kehidupan secara Islam telah wujud dan segala ilmu syariat telah dipelajari seperti ilmu Aqidah, Fiqah dan Tasauwuf.
Manakala mereka yang mendapat taufik ialah mereka yang mendapat ilmu pengetahuan mengenai syariat Islam dan dapat merealisasikannya dengan betul dan tepat. Ini bermakna bersama taufik itu terdapat hidayah atau mereka yang mendapat hidayah setelah itu dapat merealisasikan atau melaksanakan apa yang dipelajarinya itu dengan betul dan tepat, Bermakna telah mendapat taufik. ( hidayah dan taufik bersepadu )

(2) Ilmu.

Apakah pengertian ilmu ?, Pengertian secara ringkasnya ilmu ialah pengetahuan tentang sesuatu, tahu tentang sesuatu atau mengetahui tentang sesuatu. Ilmu juga mempunyai tahap pencapaianya yang tertentu. tahap yang paling rendah ialah kognitif (takulan) iaitu memahami sesuatu yang dipelarinya, tahap kedua ialah kognitif dan afektif iaitu memahami dan mampu memberi faham kepada orang lain pula. tahap ketiga ialah kognitif, afektif, psikomotor dan amalan iaitu memahami, mampu memberi faham kepada orang lain dan mampu merealisasi atau melaksanakannya, tahap keempat kognitif, afektif, psikomotor, amalan dan penghayatan, iaitu memahami apa yang dipelajari, mampu memberi faham kepada orang lain, mampu melaksanakannya (membuatnya) dan merealisasikannya di dalam kehidupan hariannya. Seperti seseorang yang mengetahui mengenai masakan, boleh memasak, boleh mengajar orang lain memasak dan sememangnya dia sering memasak untuk ahli keluarganya.

Setelah seseorang itu mendapat hidayah bermakna individu tersebut telah mempunyai keinginan untuk mempelajari dan mengenali Islam, setelah mempelajari ilmu aqidah (Tauhid), Fiqah, Tasauwuf dan seumpamanya maka semakin kuatlah keinginan hatinya untuk melaksanakan cara hidup Islam atau memeluk Islam sekiranya ianya belum Islam kerana ilmunya tadi telah membawa dirinya kepada makrifatullah ( mengenal Allah ) atau beriman kepada Allah.

(3) Iman.

Apakah itu iman ?. Iman ialah percaya dengan yakin (tasdiq) di hati, berikrar dengan lidah dan mengamalkannya dengan anggota badan terhadap suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Keimanan kepada Allah pula memerlukan kepafahaman kepada rukun-rukunnya yang tertentu, setiap prinsip rukun iman hendaklah difahami dengan betul dan tepat supaya tidak terkeluar daripada prinsip Islam yang diterima oleh Allah.

Berikut adalah enam prinsip Rukun Iman;

(1) Beriman kepada Allah S.W.T
(2) Beriman kepada Malaikat-malaikat
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar.

Setelah seseorang itu telah beriman kepada Allah, maka barulah dituntut ke atasnya melaksanakan rukun Islam seperti mengucapkan dua kalimah syahadah, bersolat dan seumpamanya.

Keimanan berlaku tanpa paksaan.

( Enam rukun iman ini wajib dipelajari dan ketahui setiap individu Islam )

(4) Islam.

Islam ialah ajaran samawi ( langit) iaitu ajaran yang diturunkan oleh Allah melalui utusan-Nya Nabi Muhammad.s.a.w. secara wahyu (wahi) dengan perantaraan malaikat Jibril, wahyu-wahyu yang disampaikan oleh Jibril itu ialah Al.Quran dan Al.Hadis. Wahyu-wahyu inilah menjadi kitab panduan hidup manusia supaya selamta di dunia dan di akhirat. Islam juga diartikan sebagai menyerah diri serta tunduk sepenuh hati kepada ajaran (perintah) Allah .

Berkaitan dengan penjelasan mengenai Islam ini Rasulullah..s.a.w. telah menerima wahyu daripada Jibril seperti dialog di bawah ini:

Umar bin Khathab r.a. berkata: Ketika kami berada di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba kami didatangi oleh seorang lelaki yang sangat putih bajunya dan sangat hitam rambutnya, hingga tidak kelihatan pada dirinya bekas perjalanan yang melelahkan. Tidak seorangpun dari kita mengenalnya, sehingga ia duduk di samping Nabi s.a.w. dan kedua lututnya disandarkan pada lutut Nabi. Kedua tangannya diletakkan di atas kedua lutut Nabi sambil menanyakan:

Ya Muhammad, apakah Islam itu?
Islam itu adalah:
- Hendaklah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah.
- Dan hendaklah kamu mendirikan solat
- Dan hendaklah kamu memberikan zakat.
- Dan hendaklah kamu berpuasa di bulan Ramadan
- Dan hendaklah kamu mengerjakan haji ke Baitullah jika kamu berkuasa menjalankannya ( jika mampu)

Laki-laki itu berkata: "Engkau benar."

Dan seterusnya hadis ini bersambung lagi................... sehingga akhir Hadis.

Lelaki itu ialah malaikat Jibril yang menyerupai lelaki datang menyampaikan wahyu tersebut kepada Rasalullah.s.a.w.


(5) Ihsan.

Pengertian Ihsan, Ihsan ialah melakukan sesuatu ibadat atau kebajikan semata-mata kerana Allah dan hanya untuk mendapat keredaan Allah. Sesuatu yang menjadi teras kepada ihsan ialah ikhlas. Manakala ikhlas pula bermakna membuat sesuatu kerana Allah.

Untuk mendapatkan ihsan seseorang itu perlulah melakukan ibadat semata-mata kerana Allah (ikhlas) , setelah dilaksanakan begitu rupa kemudian terasa Allah sedang melihat , maka rangkuman dua perkara itulah dikatakan ihsan, Ini berarti ihsan dan ikhlas ini bersepadu menjadikan dua dalam satu.

Ihsan ini dapat kita difahamkan melalui sabda Rasulullah.s.a.w. yang bermaksud,
" Bahawa kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, Sesungguhnya Dia melihat kamu"

Kesimpulannya kehadiran Islam itu adalah bermula dan bertitik tolak daripada hidayah Allah dan diikuti dengan ilmu (pelajaran/pengetahuan), ilmu membawa kepada seseorang itu beriman kepada Allah, beriman membawa kepada tuntutan pelaksanaan rukun Islam dan pelaksanaan tersebut akan menjadi betul dan tepat jika mendapat taufik dari Allah dan seterusnya akan mendapat keredaan Allah sekiranya dalam masa pelaksanaan tersebut dilakukan secara ikhlas dan ihsan.

Demikianlah proses kehadiran keimanan dan keislaman ke dalam diri manusia. Maka berbahagia dan beruntunglah mereka yang telah mendapat nikmat Islam. Semoga Allah pasakkannya sebagai paksi kehidupan buat selama-lamanya.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

2 comments:

Anonymous said...

nice article!
fuh pak ngah...

Leenoh said...

Salam PJ.
Bila Pak Ngah lihat muka PJ Selamba, teringat pula nak balik Kedah.
Sg.Korok.Kg.Rambai.Kg.Padang, Kubang Jelai. Alor Ali, Tanjung Radin dan Simpang Jelai, semua tu tempat mainan Pak Ngah la tu.