Saturday, December 24, 2011

Do'a pagi.

Salam semua.

Do'a solat sunat Dhuha.


“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”






Friday, December 16, 2011

Gagak - Dalam bala ada hikmahnya.

Salam semua.

Jam 9.00 pagi tadi aku bersama keluarga ke Pasar Asnaf di  Seksyen 3 Shah Alam set
elah selesai membeli barang keperluan aku pun lalu melintasi Restoran Gembira dan terpandang seorang anak muda bermain dengan seekor gagak, kelihatan gagak dan pemuda itu begitu mesra sekali sehingga menarik hatiku untuk bertanya sesuatu dan merakamkan gambarnya ketika aku memohon izin untuk merakan gambar gagak itu telah terbang dan hinggap di atas bumbung dan belegar di sekitarnya, Omar bersetuju untuk berbuat demikian,
Gagak berada di atas tiang eletrik.
Berpindah pula ke atas bumbung.
Akhirnya turun hinggap di lengan Omar

Gagak dilepas bebas dan tidak dipenjarakan di dalam sangkar.
Omar kelihatan riang bersama gagak peliharaanya.

beliau pun memanggil gagak kesangannya itu turun dengan membunyikan suara seperti suara gagak muda itu, tidak lama kemudian gagak muda itu pun turun hinggap di atas tangan Omar dengan manjanya sambil Omar memberinya makanan kegemarannya, ketika itulah aku bergegas menghampiri Omar dan merakamkan beberapa gambar untuk santapan anda.

Islam mendidik umatnya supaya mengamalkan sifat rahmah ( kasihan ) kepada haiwan atau unggas dengan menyarankan supaya penganutnya bertindak adil terhadap mereka, setelah aku mendengar cerita tentang kisah gagak muda ini, aku dapat menilai bahawa Omar adalah seorang yang mempunyai sifat tersebut iaitu rahmah dan ihsan kepada haiwan atau unggas dan bertindak adil terhadap mereka.

_______________________________________

Sayangilah binatang
Dari Abdullah r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda: "Seorang wanita disiksa Allah pada Hari Kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga mati. Kerana itu Allah s.w.t memasukkannya ke dalam nerak. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap makanannya yang terdapat di bumi"
( Dari Shahih Muslim no: 2097 )

 _______________________________________

 Kata Omar pada suatu hari beliau terjumpa anak gagak terlantar kesakitan di atas bumbung berhampiran tempat beliau membakar ikan untuk dijual, beliau adalah seorang pekerja Restoran Gembira. Oleh sebab terlalu kasihan di atas penderitaan anak gagak tersebut, Omar dan kekawannya menagmbil keputusan memeliharanya dengan memberi makanan yang memang makmur di restoran ini, saban hari Omar yang dibantu oleh kekawan memberi gagak makan dan minum, akhirnya anak gagak itu sembuh dan membesar sehinggalah kelihatan seperti di rakaman photo di dalam laman ini.

Kini gagak peliharaan Omar tidak lagi bersusah payah mencari makan menyelongkar tong sampah atau mendapatkan habuan dari sisa-sisa makanan manusia, sebaliknya gagak peliharaan Omar setiap hari mendapat makanan segar atas ihsan Omar yang berterusan, itulah yang dikatakan di dalam bala ada hikmahnya.

Sekian...wallahu aklam.



Jamaah Bakal Haji Indonesia kesatuannya mantap.

Salam semua
Hari ini aku ingin menceritakan apa yang aku lihat secara rambang terhadap jamaah haji Indonesia, mereka kulihat sangat mantap dalam menjaga keselamatan di antara satu sama lain terutamanya ketika bergerak dari tempat penginapan ke masjid atau ke lokasi jumrat, mereka sepanjang masa bergerak dalam kumpulan yang mantap ( langsung tidak berpecah ) dengan cara ini jamaah mereka terselamat daripada berlaku sesat jalan, ketika memerlukan talbiah dilaungkan, mereka akan melaungkannya beramai-ramai sepanjang perjalanan. Jamaah Turki juga berjalan dan bergerak secara kumpulan yang mantap.

Manusia berantai.
Bergerak secara kumpulan ini kekadang mengganggu jamaah lain kerana barisan mereka menjadi rantai yang menghalangi perjalanan dan pergerakan jamaah lain terutamanya di dalam Masjidil Haram dan di datarannya, apapun alasan kita tetapi untuk diri mereka itulah penyelesaian terbaik bagi menjaga keselamatan ahli jamaah mereka yang mungkin tersesat di dalam hutan belantara manusia itu.


Ramai sesat.
Berbanding dengan jamaah kita yang diuruskan oleh Tabung Haji ( muassasah ) ramai yang tersesat setelah berada di Masjidil Haram, Aku pernah melihat suatu kumpulan jamaah haji Malaysia yang baru tiba di hotel, kemudiannya akan bergerak ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan tawaf dan Sae serta tahlul umrah atau tawaf qudum. Mereka berbaris di hadapan hotel penginapan dan diberi seorang budak pemandu jalan ke masjid dengan memegang bendera di tangannya ketika ini jamaah yang baru sampai belum sempat mengetahui di mana sebenarnya lokasi yang sedang mereka berada, belum sempat mendongakkan kepala mereka ke atas untuk melihat papan tanda atau bangunan yang berhampiran untuk mengingat dan mengetahui lokasi hotel penginapan mereka.

Bergerak laju.
Setelah semua yang terlibat masuk barisan maka budak yang mengepalai barisan pun bergerak laju tanpa membuat pertimbangan orang di belakangnya yang terkadang terhalang dengan kenderaan lalu lalang, dalam perjalanan kurang lebih 1km itu kalau tidak diuruskan oleh orang yang berpengalaman barisan yang bergerak itu akan berpecah dan terputus, akhirnya akan menjadi cerca merba semuanya. Kumpulan yang aku lihat ini tidak pasti apa pula yang berlaku terhadap diri mereka ketika sampai di masjid tetapi pada hari itu aku dan Kamal kawanku terjumpa beberapa orang lelaki dan perempuan mengadu mereka sesat dan tidak mengetahui di mana tempat penginapan mereka, nasib baik mereka memakai tanda nama yang tercatat nama hotel penginapan, mungkinkah mereka ini dari kumpulan tersebut , wallahu aklam, Beberapa orang yang sesat itu dirujuk kepada petugas Tabung Haji.

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, December 14, 2011

Guru kekadang dilayan seperti pelajar sekolah.

Salam semua.

Artikel ini akan menceritakan pengalaman diri sendiri dan juga apa yang berlaku pada masa kini. Guru digahkan di atas kertas sebagai insan yang mulia membakar diri menerangi orang lain. Setelah tiga buah sekolah saya berkhidmat dan telah berkhidmat selama 20 tahun, saya memohon tukar ke sekolah lain pula, bermakna semasa saya berkhidmat di sekolah baru ini perkhidmatan saya ketika itu telah masuk tahun yang ke 21.

Berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun biasanya belum mencium rasa naik pangkat dan apa-apa keistimewaan, malah meja yang disediakan di Bilik Guru pun kekadang berkongsi dengan rakan sejawat, tidak seperti kerani dan pembantu pejabat di mana mereka mendapat meja khas, inilah sebenarnya pengalaman saya ketika memulakan khidmat di sekolah yang keempat pada awal tahun 1992, sesampai sahaja saya di sekolah ini saya diberi tahu oleh Penolong Kanan bahawa tempat duduk saya di Bilik Guru ialah di meja kongsi kerana meja guru tidak mencukupi dan saya berkongsi dengan empat guru, itulah meja yang patut digunakan semasa ketiadaan kelas dan menyelesaikan kerja-kerja perkeranian atau berehat menghilangkan penat selepas menyelesaikan pengajaran di dalam kelas, saya sangka hanya beberapa hari sahaja terpaksa berkongsi meja tersebut , Rupa-rupanya tiada tarikh akhirnya, akhirnya saya mengambil keputusan berpindah ke Surau Sekolah walaupun arahan menyatakan semua guru hendaklah ditempatkan atau patut berada di Bilik Guru bagi memudahkan pihak pentadbir menemui mereka jika ada sesuatu keperluan, saya berterus terang bahawa saya terpaksa berada di Surau kerana di sana lebih selesa berbanding dengan berkongsi meja di Bilik Guru,

Pada hemat saya guru tidak sepatutnya dilayan sedemikian, berlebih-lebih lagi guru yang telah lama berkhidmat yang pun mereka tiada apa-apa pangkat, mereka ini lebih cepat sensitif berbanding guru yang baru berkhidmat, Jelas saya telah berkhidmat melebihi 20 tahun ketika itu, layanan seperti itu dilihat tidak wajar, Pengetua/Guru Besar yang asalnya juga seorang guru biasa telah melupai usal-asalnya apabila beliau menduduki meja pengetua dengan melayani guru seumpama melayani anak murid atau seorang pelajar.

Kini di abad ke 21 pun guru-guru masih merungut dan menghadapi masalah yang sama , masih terdapat sebahagian daripada mereka tidak disediakan meja khas untuk mereka melaksanakan tugas dengan selesa, terutamanya bagi mereka yang bertugas di sesi petang. Sudahlah penempatan murid bagi setiap kelas mencecah hampir 40 orang, janji KBSR dan KBSM dalam hal ini tidak berjaya direalisasikan di mana murid-murid akan dikurangkan di dalam sesuatu kelas menjadikan jumlah maksimum 35 murid , ketidakselesaan itu ditambah pula dengan kenakalan murid yang semakin menjadi-jadi, apakah masih wujud ruang untuk guru mengharapkan keselesaan dan keseronokan menjadi seorang guru biasa, kalau layanan terhadap guru masih statik sejak dulu sampai kini. Sedangkan guru juga mengetahui layanan istimewa yang diterima oleh kekawan mereka di sektor awam yang lain.

Kalau dilihat dan dinilai secara perbandingan dengan negara lain yang lebih baik layanannya terhadap guru, kita akan dapati layanan kita yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi, kalau ditunggu lebih lama untuk dibuat rombakan atau perubahan ditakuti situasinya akan menjadi semakin rumit.

Sekian...wallahu aklam.

Makanan 1MALAYSIA


Salam semua.

Masih ada sedikit lagi serdak dan serpihan halus kisah dari Tanah Suci yang hendak aku ceritakan kepada anda khususnya mengenai pengalamanku di hotel penginapanku tempoh hari. Makanan 1Malaysia ( demikianlah tertera namanya diiklan dan terpapar juga di kantin hotel penginapan ) dipercayai individu dari Malaysia yang mengusahakannya tetapi kualiti dan kuantiti yang dijanjikan tidak sepertinya. Urusan penjualan pula diuruskan sebahagiannya melalui jualan kupon terlebih dahulu.

Gambar atau photo yang dipamerkan ketika menjual kupon memang menyelerakan tetapi apabila sampai di Makkah hakikatnya seumpama jauhnya bumi dengan langit, Bukan sahaja tidak enak dimakan tetapi harganya juga di luar dugaan dan sangkaan, harga secubit beehon goreng pun mencecah 3 Rial Arab Saudi,Nasi lemak bersama telur sebiji dan sambal dijual denga harga 5 atau 6 Rial, Indo Mee dijual dengan harga 2 Rial, pada minggu di mana jamaah datang semakin ramai dijual dengan harga 3 Rial.

Perniagaan ini persis mencekik darah para bakal haji, bakal haji tidak sebodoh itu sehingga tidak tahu menilai, mereka membelinya kerana tarpaksa, sambil membeli sambil menrungut di hati dan menilai akhlak peniaga yang menguat wang dengan rakusnya ketika pelanggannya terangkap dengan keadaan tertentu. Selama kurang lebih sebulan berada di sana aku hanya beberapa kali sahaja membelinya dari kantin hostel, selainnya aku akan membelinya di pasaraya yang berdekatan.


Sebenarnya aku tidak pernah sentuh "Indomie cup" semasa di Tanah Air tetapi apabila berada di Tanah Suci makanan ini menjadi makanan yang paling aku gemari, di sinilah bermulanya aku mengetahui rasa keenakan mie ini, pada mulanya aku melihat Lukman dan Kamal kawan sebilikku sahaja yang menikmati kelazatannya, kata orang tiada rotan akar pun berguna tetapi setelah aku makan aku tidak pula merasi makanan ini demikian, malah aku rasa makanan ini istimewa pula tetapi setelah aku balik barulah pepatah itu menjadi benar pula.

Dalam perjalanan balik ke Tanah Air kami disediakan tempat penginapan persinggahan di Madinatul Hujjaj sementara menunggu penerbangan, keesoakannya barulah kami diterbangkan ke Malaysia, makanan malam dan sarapan pagi disediakan, sebelum sarapan dihantar aku terasa lapar, mungkin kerana bangun terlalu awal, dengan tidak membuangkan masa aku pun bergerak menuju warung yang berada di dalam kawasan penginapan memesan teh tarik dan roti canai, roti canai harganya 5 rial manakala teh tarik aku tidak pasti harganya.


Sekian...wallahu aklam.

Monday, December 12, 2011

Ujian yang paling mencabar di dalam kehidupan manusia ialah "Nafsu"


Salam semua.

Pada hari ini aku tidak mempunyai apa-apa bahan untuk ditulis dan diposkan untuk umum. Kecuali aku menulis apa yang aku rasa dan aku fikir, mungkin orang lain tidak fikir seperti aku kerana mereka berfikir yang lebih baik lagi, aku hanya fikir sesuai dengan sembang-sembang di Kedai Kopi sahaja, wallahu aklam. Manusia dijadikan dari unsur fizikal dan rohani, bersamanya dibekalkan dengan akal dan nafsu.

Akal yang dibekalkan Allah untuk manusia boleh dibina dan majukan dengan pengajaran, pembelajaran dan pendidikan supaya ianya lebih mantap dan pintar membuat sesuatu keputusan berkaitan dengan kehidupan. Allah menjadikan manusia itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Semuanya itu menunjukkan kekayaan dan Maha Bijaknya Allah Taala. Terdapat manusia yang mempunyai akal yang pintar dan mudah memahami sesuatu dengan cepat, keadaan ini berterusan dalam keturunannya menjadikan anak cucu juga cerdik dan pintar, Islam menggalakkan perkahwinan dengan keluarga yang jauh atau bukan dengan keluarga supaya kebaikan itu dan lain-lain kebaikan berkembang dengan baik, percampuran di antara yang akal kurang baik dengan orang yang akal lebih baik akan menjadi lebih baik keturunannya.Orang yang tahap akalnya sederhana atau lemah boleh ditingkatkan keupayaannya dengan cara perkahwinan tetapi fitrah dan lumrahnya adalah dengan pendidikan.

Nafsu yang dibekalkan kepada manusia juga tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain, nafsu inilah mendorong manusia menjadi baik atau jahat, banyak juga jenis nafsu yang Allah masukkan ke dalam diri manusia di antaranya Nafsu Amarah, Lauwamah. Muhamah, Mutmainnah, Radziah, Mardiah dan kamiliah, untuk mengetahui lebih lanjut kini boleh dicari dari google, aku tidak berhajat hendak memberi huraiannya di sini kerana aku juga kurang faham secara mendalam. aku hanya akan menulis secara langsung apa yang sedang aku fikir sahaja. Seingat aku nafsu yang mendorong kepada kebaikan ialah nafsu mutmainnah, Radziah, Mardiah dan kamaliah, kamaliah adalah yang tertinggi maqamnya. ( untuk tambah pengetahuan carilah dari google )

Bagi mereka yang kuat nafsu makan maka akan sentiasa berfikir mengenai masakan atau makanan, mereka yang kuat inginkan kemyasyuran mereka akan sentiasa berusaha untuk mendapat pangkat atau kedudukan di dalma mayarakat. bagi mereka yang kuat nafsu sex pula akan banyak berfikir mengenai sex, demikianlah seterusnya bagi mereka yang lain , walau bagaimana pun Allah menyediakan cara untuk mengelak atau mengurangkan keinginan itu supaya tidak membawa keburukan kepada manusia, iaitu dengan banyak mengingatkan Allah, setelah mengingatkan Allah manusia sekurang-kurangnya akan rasa takut melakukan kejahatan yang besar kerana memikirkan akibat daripada perbuatan tersebut, mereka yang ingat Allah melakukan kejahatan dalam keadaan perasaan yang bercampur baur antara berani dan takut oleh itu mereka tidak akan melakukan dosa yang besar. Setiap manusia ada dosa kecuali Rasul sahaja maksum ( tiada dosa ). Berbeza dengan mereka yang melupai Allah, mereka yang tidak ingat Allah berkemungkinan melakukan kejahatan dan keterlanjuran yang lebih serius dan tanpa had, Inilah senario yang terdapat di dalam masyarakat walaupun di mana kita berada.

Manusia tanpa nafsu tidak akan dapat memajukan dunia ini ataupun diri sendiri kerana nafsulah yang mendorong sesuatu supaya dibuat dan dikerjakan dengan pertolongan akal, kerja itu akan dibuat dan dibina sehingga sempurna, Tugas akal perlu mempertimbangkan di antara baik dan buruk dan memikirkan akibat dikemudian hari kalau melakukan sesuatu yang tidak sesuai tetapi akal kekadang kalah, lain yang diputuskan oleh akal lain pula yang dibuat dan dilaksanakan , keadaan ini bermakna nafsu telah mendapat kemenangan,Situasi begini nafsu jahatlah yang menguasai keadaan, iaitu Nafsu Ammarah bissuk (
Nafsu yg tunduk dan patuh menurut kehendak syahwat dan syaitan. nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan ) mengatasi akal yang masih waras tetapi beralah. Sebagai contoh mengumpat itu diketahui akal bahawa perbuatan itu adalah salah tetapi manusia terus menerus mengumpat di antara satu sama lain, demikian juga mencuri, memfitnah dan perbuatan jahat lain yang seumpamanya.

Takun belajar, bekerja dan tekun beribadat juga terdapat unsur nafsu di dalamnya, akal dan nafsu disepadukan dengan harmoni maka terhasillah sesuatu yang baik dan bermanfaat. Tanpa nafsu kehidupan manusia akan menjadi seperti malaikat, hidup statik, tidak kreatif, demikianlah Maha bijaksana Allah mencipta sakalian alam ini.


Semua yang dinukilkan itu adalah ujian Allah kepada manusia di dunia ini, tiada siapa yang terlepas dari ujian yang paling mencabar ini, setiap individu perlu sentiasa berwaspada supaya keterlanjurannya tidak jauh ke jurang yang merugikan, selain daripada usaha, doa merupakan senjata yang paling berkesan untuk mengelakkan keburukan dan menambahkan kebaikan.

Sekian...wallahu aklam.

Saturday, December 10, 2011

Di atas permukaan Tanah Suci terdapat juga kekotorannya.

Salam semua.

Hendak menghuraikan perangai jutaan manusia tentulah tiada siapa mampu membuatnya tetapi artikel ini aku ingin menceritakan sebahagian kecil apa yang kutemui, kulihat dan kualami. Mereka yang akan ke Tanah Suci janganlah pergi dengan ilmu yang dapat dari berbagai sumber yang tiada kesahahannya.
Cerita mulut ke mulut yang belum tentu kenyataan dan kebenarannya perlu dipertimbangkan sebelum mempercayainya. Mereka perlulah sepadukan dan mantapkan ilmu Tauhid dan Fiqah sebelum ke sana, Setiap orang Islam wajib mempelajari subjek tersebut sejak zaman kanak-kanak dan berterusan sehingga alam dewasa.

Terdapat juga di kalangan bakal haji terbawa-bawa dengan cerita yang tidak sohih itu ke tanah suci sehingga takut hendak mengeluarkan perkataan-perkataan tertentu, kononnya kalau merungut tidak sihat , maka akan tidak sihat terus menerus dan lain-lain yang disangka akan memerangkap mereka, sedangkan terdapat bakal haji yang wang mereka
dicuri dan rampas , apakah penjahat itu akan menerima akibatnya dengan segera atau adakah penjahat Melayu sahaja yang menerima balasan atas kejahatan yang mereka lakukan dengan segera, sebenarnya itu semua adalah kepercayaan segelintir orang Melayu yang tidak pun disebut di dalam mana-mana kitab, kejahatan yang dilakukan di Tanah Suci sama juga seperti yang dilakukan di mana-mana di dunia ini iaitu ada yang menerima balasan jahat itu di dunia dan ada yang Allah tangguhkan balasan sehingga ke akhirat. tetapi kebaikan yang dilakukan di Tanah Suci atau di Masjid Nabawi dan Masdil Haram pahalanya berlipat ganda, perkara ini ada disebut di dalam Al.Hadis.

Berbalik kepada kisah kekotoran atau kejahatan di Tanah Suci. Semasa perjalanan pulang dari masjid menuju ke hotel tempat penginapan di sana sentiasa sahaja bersesak-sesak di jalan raya, kalau tidak berhati-hati poket akan diseluk dan dicopek atau beg akan diragut oleh penjahat yang tidak dikenali berkeliaran di celah-celah orang ramai, ramai penjahat ini di kalangan wanita berpakaian serba hitam,ada yang datang menghimpet rapat kononnya meminta sedakah dengan menyebaut sedeka-sedekah dan sabil-sabil. dalam keadaan mangsa terpinga-pinga dengan sikapnya, poket mangsa diseluknya dengan secepat kilat dan cabut lari dicelah-celah orang ramai, kerugian cara ini sering dialami bakal haji .( mungkin perkara ini tidak ditekankan oleh penceramah Kursus Haji ), peminta sedekah di kalangan kanak-kanak juga ramai, mereka hampir semuanya tangan kudung, ada yang dibuat supaya kelihatan kudung, ramai mengesakki mereka ini adalah dijagai oleh sendikit jahat. Pengetahuan dan maklumat seperti ini perlu diketahui oleh bakal Haji sejak mereka belum bertolak lagi, sesiapa yang menyangka di sana sentiasa aman daripada kejahatn ini risikonya kemungkinan menerima kesusahan dan kesengsaraan lebih besar berbanding dengan orang yang sentiasa bersedia dan berwaspada.

Berbalik kepada pentingnya memiliki ilmu yang sepadu di antara Tauhid (Aqidah) dan Fiqah, terutamanya oleh bakal haji, mengenangkan perkara ini aku rasa terkejut apabila diberitahu oleh kawan bahawa terdapat beberapa orang bakal haji yang datang mengerjakan haji secara percuma yang ditaja oleh pihak tertentu sedang belajar cara-cara mengambil wuduk dan bersolat oleh kekawan yang tinggal berhampiran mereka, aku terperanjat dengan situasi ini. aku rasa cerita ini bukan rekaan kerana kehadiran mereka pun dari daerah yang sedia maklum tentang kelemahan ini...apa pun wallahu aklam
.

Ramai juga di kalangan bakal haji tidak akur dengan pesanan Rasul.s.a.w. supaya sentiasa menjaga kebersihan kerana kebersihan itu juga sebahagian daripada iman. Sampah di buang sesuka hati oleh setengah pihak atau kaum dan bangsa yang belum terdidik dengan budaya menjaga kebersihan, kerja-kerja membersih oleh pihak yang berwajib pun kurang memuaskan, ianya kelihatan lebih tertumpu di dalam masjid dan di datarannya sahaja. Kawasan lain yang menjadi jiran kepada masjid agak terabai. Di halaman hotel penginapan pun kurang memuaskan kebersihannya tahap kualitinya masih rendah. Seolah-olah kehadiran bakal haji tidak disambut , dihormati, dialu-alukan dan juga tidak diraikan.

Keagungan dan kemuliaan Masjidil Haram tetap unggul kerana itu adalah rumah Allah. Apa yang diceritakan di sini adalah kelemahan orang Islam atau pihak yang menerima amanah menjaga masjid itu dan persekitarannya supaya masjid itu dilihat ianya mempunyai cahaya dan sinar sehingga dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berada di persekirannya.


Sekian...wallahu aklam.

Friday, December 9, 2011

Perasaan ketika menjejak kaki di Tanah Suci Makkah.

Salam semua.

Dalam perjalanan ke Tanah Suci Makkah mempunyai pilihan sama ada pergi ke Makkah atau ke Madinah terlebih dahulu. Semasa mengisi borang yang disediakan oleh Tabung Haji , kami suami isteri memilih ke Madinah terlebih dahulu kerana ketika itu aku terasa di hati ini ingin menziarahi Rasulullah. s.a.w terlebih dahulu sebelum mengerjakan Haji iaitu suatu ibadat yang terakhir yang disampaikan baginda supaya ditunaikan sekiranya ada kemampuan.

Bagindalah yang menyampaikan segala ajaran Allah kepada kita sehingga umatnya terkeluar dari kegelapan kepada cahaya yang terang menerang dapat menyuluh kehidupan di alam ini, lantas terselamat dari kesesatan.

Atas jasa dan ingatan itulah aku ingin sangat menziarahi baginda terlebih dahulu. Alhamdulillah Tabung Haji mengaturnya seperti kami kehendaki, maka terbanglah kami ke Madinah terlebih dahulu, rupanya cara ini sememangnya dapat memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjalanan ke Makkah .

( Sedang aku menulis artikel ini aku rasa terharu, gembira , dan sedih bercampur baur sehingga air mata kasihku kepada Rasulullah.s.a.w. mengalir memenuhi kelupak mata dan keluar membasahi pipiku tanpa disedari kerana mengenangkan jasa baginda yang amat besar kepadaku dan sebahagian perintahnya aku lalai dan tidak mampu mematuhinya seperti yang dikehendaki )


Aku juga rasa pilihan tersebut tepat dan berbaloi, kami memang dapat mengukuh dan menyediakan diri sepenuhnya dari segi emosi atau rohani, sepuluh hari di Madinah berpeluang bersolat hajat, tegasnya berqiamullail memohon kekuatan dan dipermudahkan urusan ibadat haji nanti, kalau di Madinah kami ditempatkan hanya kurang lebih 300 - 400 meter jaraknya dari Masjid Nabawi .

Sebaliknya di Makkah kumpulan kamilah yang paling jauh berbanding dengan tempat penginapan kumpulan lain yang pergi melalui Tabung Haji (Muassasah), aku anggarkan tidak kurang 3km berulang alik ke Masjidil Haram dikira setiap langkah sehingga sampai balik ke hotel, kalau sehari dua kali ke Masjid berarti kita terpaksa berjalan 6km, pada dua minggu selepas sebaik sahaja sampai aku berulang ke masjid 3 kali sehari dan minggu berikutnya hanya dua kali sahaja, dalam kesusahan itu aku mendapat kebaikan turun berat badan sebanyak 5kg menjadikan berat badanku normal sesuai dengan ketinggianku , kini aku masih mempertahankan berat badan tersebut, makan sekadar hilang lapar sahaja, sifat makan berseronok-seronok terpaksa dikikis dan dibuang, sekali sekala membuat senaman pada waktu petang.

sebelumnya aku rasa bimbang akan kesihatanku yang tidak cukup senaman untuk bergerak aktif di Makkah nanti, selain itu seperti aku pernah ceritakan di dalam laman ini bahawa aku sebenarnya seorang pengidap migrain pada suatu ketika dahulu. Aku bimbang ianya akan berulang semula ketika di sana nanti, sekali sekala ketika di sini sebelumnya memang sakit kepala ada juga mengganggu aku. Alhamdulillah ketika aku di Tanah Suci tidak
diganggui sakit kepala walaupun sekali kecuali batuk-batuk seperti kekawan lain.

Berulang alik ke masjid ketika di Madinah secara tidak disedari aktiviti itulah menjadi senaman persediaan melancarkan aktiviti haji di Makkah, badan tidak lagi sakit walaupun terpaksa berjalan kaki jarak jauh, apa tidaknya ketika di Mina kami ditempatkan di khemah yang jaraknya dengan jumrah ( jumrat ) kurang lebih 3km, pergi dan balik berjumlah 6km, dalam jangka masa selama tiga hari itu bermakna kami berjalan kaki sejarak 24km. Dalam ibadat haji persediaan fizikal amat penting dan perlu dirancang awal untuk mengelakkan terganggunya kerja haji tersebut.
Sebenarnya aku rasa serba salah hendak menceritakan pengalamn ini, maklumlah ini adalah kerja ibadat takut nanti timbul riak dan bangga diri, walaupun asal niat di hati ialah hendak memanfaatkan pengalaman ini kepada mereka yang memerlukan atau berdakwah tetapi rasa bimbang itu masih wujud kerana takut-takut terpesong niat tersebut.

Artikel berikut akan muncul........

Sekian dahulu....Wallahu aklam.

Thursday, December 8, 2011

Perasaan semasa menjejak kaki di Tanah Suci Madinah... Ilham dari "Shoutbox"

Salam semua.

Aku terbaca tulisan atau mesej dari salah seorang anak muridku bertanyakan hal yang dinukilkan seperti di atas dan lantas aku jadikan sebagai tajuk artikel ini, agaknya aku pun kehabisan idea dan ilham untuk terus menulis. Nasib baik "Shoutbox" mencetuskan ilham ini. Aku katakan padanya bahawa aku tidak pandai menghuraikan perasaan itu, kelainan perasaan memang berlaku pada kebanyakan mereka yang menjejakkan kaki mereka di kedua-dua Tanah suci tersebut atau alharamain - Makkah dan Madinah -
melalui artikel ini aku akan cuba ingatkan semula apakah yang aku rasa ketika aku menjejakkan kaki di Tanah Suci Madinah pada petang Ahad 4 Zulqaedah 1432 / 2. Okt. 2011 yang telah berlalu. Ketika sampai di Lapangan Terbang Madinah aku rasa letih tetapi tidaklah letih sangat, bersolat Asar dan Zohor secara jamak takkhir di sini, solat Subuh telah ditunaikan di Surau Tabung Haji Kelana Jaya.

Tidak sampai setengah jam kami menunggu di lapangan terbang, bas pun telah bersiap sedia membawa kami ke hotel penginapan kami yang telah ditempah oleh pihak Tabanug Haji, sesampai sahaja di hotel memang terasa kelainan suasana hutan batu di bandaraya bersejarah ini, hotel terletak kurang lebih 300-400 meter sahaja jarak dari masjid, sampai di hotel waktu Maghrib telah pun masuk, aku Rosle dan Lukman bersolat jamaah di hotel ketika itu Kamal belum sampai ke bilik lagi, di Madinah kami tinggal di hotel Holiday Villa.Ketika ini perasaan aku belum dapat dipastikan lagi sama ada ceria atau apa-apa.

Setelah makan malam kami berempat, Kamal, Rosle, Lukman dan aku bergerak ke masjid, bergerak sedikit sahaja dari hotel Masjid Nabawi telah pun kelihatan jelas, pada masa ini baru timbul rasa berbagai-bagai, gembira, terharu, teruja dan sedih, sedih kerana kehadiran aku tidak mungkin bertemu wajah dan bertentang mata dan berbicara dengan Rasulullah.s.a.w , walaupun baginda bersabda bahawa sesiapa yang menziarahinya semasa baginda telah wafat sama juga seperti baginda masih hidup.

Di hati memang terasa seolah-olah baginda masih hidup, setelah masuk ke dalam masjid bertambah lagilah perasaan terharu itu bermain-main di minda.Terdetik di hati kerana bagindalah yang menyebabkan aku sampai di sini, kalau tidak, tiada sebab aku sampai di bumi Madinah ini.




Semasa di Madinah kami bersolat jamaah di Masjid Nabawi pada setiap waktu kerana kedudukan hotel yang berhampiran dengan masjid tidak menjadi kesusahan untuk kami ke masjid pada setiap waktu. Selama 10 hari kami berada di Madinah. Bersolat di Masjid Nabawi terasa lebih khusyuknya kerana terasa seperti kita berada bersama Nabi Muhammad.s.a.w., berlebih-lebih lagi kalau kedudukan tempat solat kita itu berhampiran dengan makam baginda dan ditambah pula imam membaca ayat-ayat yang boleh mencuit perasaan, t
erutamanya bagi mereka yang faham bahasa Arab atau bahasa al.Quran akan lebih khusyuk dan terharu sehingga menitiskan air mata , ada yang sebak, sedu sedan sehingga bergegar seluruh badan. Berlaku demikian ekoran dari berbagai sebab, mungkin menyesal atas kesilapan yang lalu, bersyukur di atas nikmat Islam yang sedang dinikmati berbanding dengan orang lain yang masih ramai belum mendapat hidayah dan taufiq dari Allah Taala atau terasa ketidakmampuan menunaikan perintah Allah sepenuhnya. Semua unsur itu boleh menyebabkan kita rasa terharu dan sedih.

Sekian...wallahu aklam.

Muka kering, tapak kaki dan bibir mulut merkah.

Salam semua.

Aku menulis artikel ini semata-mata untuk menyampaikan informasi kesihatan kepada mereka yang belum mengetahui tetapi memerlukan rawatan bersabit dengan perkara di atas. Bagi mereka yang akan ke Tanah Suci Makkah info ini sangat penting dan berguna untuk mereka, terutamanya yang akan tinggal lama di sana.

Cuaca panas akan menyebabkan perkara yang disebutkan di atas akan berlaku, khasnya mereka yang tidak biasa dengan keadaan itu, iaitu muka kita akan kering, tapak kaki akan merkah atau pecah, lebih teruk lagi apabila bibir mulut turut merkah ianya boleh menyebabkan rasa sakit semasa makan dan minum.


Pada tahun 60an di Malaysia juga ada ketikanya berlaku musim panas dan kering, iaitu kita kenali sebagai musim kemarau atau musim menuai pada zaman itu. Kemarau ini berlaku di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah. Pulau Pinang dan Perak utara. Pada masa ini tidak lagi berlaku cuaca sedemikian kerana cuaca panas itu diimbangkan dengan air yang terdapat di dalam Perairan Sungai Muda atau di dalam petak bendang yang telah diairkan untuk tanaman seterusnya, walaupun cuaca panas tetapi panas itu dikendurkan oleh wap-wap air tersebut oleh itu kes merkah tapak kaki dan bibir mulut tidak lagi berlaku berleluasa seperti zaman tersebut.Walau bagaimana pun masih terdapat mereka berkulit kering, kulit muka dan kepala berkeruping atau berkerak.

Bagi mereka yang belum mengetahui cara mengatasinya, ambillah minyak zaiton dan sapu sahaja di bahagian yang dikehendaki iaitu sama ada di kaki, bibir atau muka. Insya Allah bahagian tersebut akan lembab dan lembut dan tidak akan merkah lagi serta akan kelihatan cantik dan bersih. ( amalkan setiap malam )

Sekian...wallahu aklam.

Terima kasih kepada anda semua.

Salam semua.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung laman Kehidupan Bersih kerana tidak jemu-jemu singgah di halaman ini walaupun sekadar sebentar atau sebagai jambatan laluan harian anda, tiada anda tiadalah laman ini walau sebaik mana harapan dan wawasannya tanpa anda laman ini tidak akan membawa apa-apa arti sama sekali.

STATISTIK PAPARAN.
01 Dis 2011 8:00 – 08 Dis 2011 7:00






Paparan halaman hari ini
1,799
Paparan halaman semalam
2,287
Paparan halaman bulan lepas
56,817
Sejarah paparan halaman sepanjang masa
1,051,189





Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, December 6, 2011

Melayu sendiri tidak yakin dengan penggunaan bahasa Melayu tetapi Arab yakin.

Salam semua.

Sebelum aku pergi ke Makkah ramai kekawan menceritakan bahawa orang Arab pandai berbahasa Melayu, aku tidaklah menyangka kebolehan mereka berbahasa Melayu itu seperti yang aku lihat sendiri di Madinah dan Makkah. Bukan melihat sahaja, malah aku bersembang panjang dengan mereka setiap hari semasa aku berada di sana. Rupa-rupanya semua peniaga di Madinah dan di Makkah menguasai bahasa Melayu, malah sehingga mereka yang tinggal di Kebun kurma yang terletak jauh di pinggir Madinah juga boleh berbahasa Melayu, kalau tidak faham bahasa Arab pun anda boleh beli apa sahaja dengan senang dan mudah.

Apabila aku berada di kedai, aku terasa macam berada di Pekan Rabu Alor Setar atau bangunan PKNS Shah Alam tempat yang selalu aku bertandang kedengaran suara "mari-mari - murah-murah - lihat dulu - lihat dulu - Malaysia bagus" Manakan tidak mereka berbahasa Melayu, pelanggan mereka lazimnya adalah terdiri dari orang Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand ( khasnya Patani), tegasnya dari negara yang terdapat rumpun Melayu.

Sayangnya sebahagian orang Melayu sendiri tidak tegas dalam hal ini dan membiarkan para pemimpin yang selesa dengan bahasa Inggeris memperkotak-katikkan bahasa ibunda, tegasnya bahasa rasmi negara terabai. Kita tidak seperti orang Indonesia dan Siam, mereka tegas dan mantap dalam menjaga bahasa ibunda.

Kini kita agak terlambat, walaupun terlambat kita masih berkewajipan memperkasakannya semula, jangan serahkan tugas ini kepada mereka yang telah mengkhianatinya.
Kalau hendak membina rumah kayu serahkanlah kepada tukang kayu atau pandai kayu untuk membinanya, mereka tentunya akan bekerja dengan penuh minat dan bertanggungjawab, ditambah lagi dengan menjaga kepakaran mereka supaya tidak luntur dan tidak dipandang rendah.

Sekian...wallahu aklam.

Sunday, December 4, 2011

Untuk halwa telinga

Salam semua.

Sekadar untuk halwa telinga .