Showing posts with label Masyarakat dan Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat dan Pendidikan. Show all posts

Tuesday, October 21, 2008

Terdapat sifat binatang dalam diri manusia. Adakah tiada sifat manusia dalam diri binatang.

Salam semua

Burung helang
.
Kebiasaan dikatakan atau difahamkan bahawa tiada sifat manusia dalam diri binatang tetapi sebaliknya ada sifat binatang dalam diri manusia. Adakah tepat kenyataan tersebut ?.
Sama-samalah kita fikirkan dan perhatikan melalui sifat dan perangai binatang memerang dan burung helang yang memang kita kenali dan banyak lagi binatang dan unggas lain y
ang boleh kita kongsi bersama cara hidup mereka.

Apakah keistimewaan burung ini ?
Burung helang adala
h sejenis burung yang mempamerkan penampilan bengis dan cergas, ditakuti oleh unggas yang lain, termasuk ayam dan itik. Itu adalah penilaian masyarakat lain terhadap diri burung tersebut seperti manusia melihat dan menilai harimau dan singa itu garang dan jahat. Adakah pakatan kumpulan harimau menumbangkan seorang kerbau untuk dijadikan hidangan diri dan anak-anak mereka dianggap sebagai jahat. Bagaimana penilaian terhadap manusia yang menyembelih kerbau untuk dijadikan kenduri atau lain-lain. Adakah penilaian kita terhadap harimau tadi suatu penilaian yang adil. Tentulah tidak adil kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sebenarnya harimau dan manusia tidak melakukan apa-apa kesalahan di atas perbuatan mereka itu

Burung helang ini sangat setia dan bertanggungjawab terhadap pasangan dan bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. sebaik sahaja burung helang betina bertelur, helang betina akan berada di sarangnya sepanjang masa sehinggalah telur tersebut menetas dan anak-anak membesar serta mampu terbang bersama mereka mencari rezeki. Makanan helang betina akan disara sepenuhnya oleh helang jantan pasangannya. Bukan sahaja makan dan minum dijagainya malah keselamatan juga diambil berat. Helang jantan terbang mencari makanan dalam jarak yang ia boleh mendengar suara
helang betina sekiranya helang betina menghadapi masalah suara panggilan helang betina akan dapat didengarinya dan segera kembali memberi pertolongan.

Apabila telur telah menetas bermakna helang jantan terpaksa mencari rezeki berlipat ganda kerana rezeki itu terpaksa dikongsi bersama anak-anak selain daripada mereka berdua. Tugas ini berterusan sehinggalah anak-anak mereka membesar dan pandai mencari rezeki mereka sendiri atau berdikari.

Nah. Cuba lihat dan fikirkan. Bukankah ini satu contoh teladan kepada manusia atau sindiran kepada manusia yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan anak isteri hidup melarat tanpa sara hidup dan pendidikan yang sewajarnya.

Memerang.
Apakah keistimewaan binatang ini pula ?
Memerang ialah sejenis binatang yang boleh hidup di daratan dan di dalam air. Sumber makanan mereka ialah hidupan dalam air seperti ikan, ketam, udang, belut, ular dan sebagainya. Binatang ini tidak disukai pesawah kerana mereka sering kali merosakkan padi tanaman pesawah dan mengambil secara rakus ikan tangkapan pesawah yang dalam perangkap atau di kolam peliharaan. Memerang mempunyai kemahiran yang tidak dapat ditandingi dalam bidang tangkapan hidupan air dan mampu membuka atau merosakkan perangkap ikan petani atau sesiapa sahaja.

Walau pun memerang sejenis binatang yang tidak digemari manusia tetapi mereka mempunyai kebolehan dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap penjagaan dan pendidikan anak-anak. Sebagai contoh; Memerang tidak akan memberi sewenang-wenangnya makanan kepada anak-anak mereka, sebaliknya mereka melatih anak-anak turut menangkap ikan dengan cara melepaskan ikan tangkapan mereka di hadapan anak-anak dan membiarkan anak-anak menangkapnya sendiri. Pada awalnya sudah tentulah anak-anak tadi tidak berjaya menangkapnya kerana ikan masih cergas dan bergerak laju. Ikan yang terlepas lari itu dikejarnya semula oleh ibu atau bapa memerang dan ditangkapnya semula. Proses ini dibuatnya berkali-kali sehinggalah ikan itu letih dan tidak bertenaga lagi. keadaan ini membolehkan anak-anak memerang tadi berjaya menangkapnya.

Dengan cara tersebut anak-anak memerang menyedari bahawa hidangan mereka tidak akan datang menggolek tetapi mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya melalui ilmu dan kemahiran, keturunan tidak datang seratus peratus dari perut ibu sahaja, sebaliknya keturunan dimantapkan di luar perut ibu dengan tunjuk ajar dan didikan yang bersungguh-sungguh. Latihan tersebut diteruskan sehinggalah anak-anak mereka pandai dan mahir serta mampu hidup berdikari.

Inilah falsafah atau prinsip hidup yang betul seperti kata pepatah Cina " Janganlah beri mereka ikan tetapi ajarlah mereka memancing".

Mungkin terdapat di antara manusia beranggapan bahawa kemahiran memerang menangkap ikan itu memang seratus peratus atas sebab keturunan kerana keturunan mereka memang begitu ataupun mempercayai bahawa kebolehan itu pemberian Allah bersama dengan kelahiran mereka tanpa berlaku ikhtiar dan penambahbaikan oleh mereka sendiri.

Cuba renung dan fikirkan.........


Sekian...Wallahu aklam.

Wednesday, October 1, 2008

Siaraya Masjid

Pada kesempatan ini saya ingin menyentuh tentang siaraya ( Pembesar Suara ) di masjid. Pagi tadi (1hb. Syawal ) seperti kaum muslimin dan muslimat yang lain juga mengunjungi masjid untuk menyempurnakan salah satu suruhan Allah mengenai ibadat Aidilfitri dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri,

Pada pagi ini saya ingin menceritakan pengalaman saya di beberapa masjid semasa solat dan mendengar ceramah atau semasa khatib membaca khutbah. Khasnya mengenai siaraya, diringkas cerita saya mulakan begini . Sebagai satu contoh berlaku disalah satu masjid pada suatu hari raya. Ketika takbir, kedengaran laungannya bergema dan mengharukan setiap ahli jamaah yang prihatin dan khusyuk serta kagum dengan kebesaran Allh. Keterangan atau peringatan yang disampaikan oleh wakil Jawatankuasa Masjid didengari dengan baik dan jelas begitu juga suara imam ketika bersolat.

Tetapi, Apabila khatib mula berkhutbah suaranya mulai tidak jelas, bunyinya kuat tetapi perkataannya tidak terang dan tidak dapat difahami, ini berlaku daripada awal sehinggalah akhir khutbah. Kedudukan saya ketika itu berada di saf pertama dan jarak dengan khatib yang berada di atas mimbar lebih kurang 10 atau 15 meter sahaja. Sudah tentulah saya tidak mengetahui keadaan mereka yang berada di tengah atau di bahagian belakang sama ada mengalami perkara yang sama atau tidak, walau bagaimana pun ini menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu difikirkan untuk mengatasinya. Apa guna khutbah yang bernas dan disampaikan oleh khatib yang baik dan berwibawa sedangkan tidak didengari oleh sebahagian para makmum.

Siapakah yang silap dalam hal ini. Kadang-kadang Jawatankuasa cuba dengan berbagai ikhtiar untuk mengatasinya tetapi gagal. Bukan sengaja menyebelahi Jawantankuasa Masjid, ini berdasarkan pengalaman yang telah dilalui bersama jawatankuasa masjid. Persoalannya adakah sebelum masjid dibina kesesuaian penggunaan siaraya diambil kira oleh akitik atau mereka yang berkenaan seperti pembinaan dewan. di mana pembinaannya mengambil kira perkara penting ini, Kalau tidak, mengapa terjadi begitu. Agaknya kita memerlukan pemikiran baru yang lebih teliti dan sepadu dalam hal ini supaya tempat ibadat kita kelihatan berkualiti dan meyakinkan sesuai sebagai rumah Allah.

Masalah siaraya ini kelihatan kecil tetapi ianya mampu melumpuhkan sesuatu majlis yang besar dan menjadikan orang yang terlibat terpinga-pinga dibuatnya. Jamaah wanita sering mengadu menyatakan mereka tidak dapat bersolat dengan lancar dan khusyuk kerana tidak mendengar suara imam.

( Kalau anda ada pandangan tersendiri, tulislah respon di bawah ini )

wallahu aklam.

Wednesday, August 6, 2008

Pengurusan Masjid.



Assalamualaikum wa Rahmatullahi Wa Barakatuh/Selamat sejahtera.


Masjid merupakan institusi penting dalam masyarakatIslam di mana sahaja mereka berada. Persoalannya sekarang adakah masjid diuruskan seperti yang sewajarnya oleh mereka yang diamanahkan. Apakah tanggapan masyarakat terhadap peranan dan fungsi masjid itu telah mencapai tahap kualiti atau piawaian yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri atau masih ditahap fahaman Melayu yang disaluti adat yang berbagai cabang ianya berlaku sama ada di kampung atau di bandar. Di mana kadang-kadang dikuasai fikrah Melayu mengatasi fikrah Islam atau kadang-kadang sebaliknya. Manusia memang lumrahnya begitu ,adakah dasar pentadbirannya pun begitu. atau adakah pentadbirnya sahaja begitu kerana tidak menguasai ilmu pengetahuan yang sepatutnya mereka kuasai. Jika menyedari hakikat ini mengapakah tidak diserahkan sahaja kepada orang lain. Bukankah masjid itu institusi amat penting seperti yang disebutkan tadi.

Masjid sebenarnya Institusi Pendidikan Terawal di kalangan masyarakat Islam. Pendiddikan di masjid sewajarnya meliputi dan mencakupi keseluruhan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w tanpa tapis untuk mengurangkannya dan tanpa tambah untuk menyelewengkannya. Penyampaiannya meliputi semua perkara mengenai Aqidah,Ibadat,Muamalat,Munakahat,Jenayat,Sirah Nabawiyah . (semua perkara yang terkandung di dalam al.Quran dan al.Hadis) dan seumpamanya.

Ahli Jawatankuasa Masjid (Pentadbir Masjid) dan mereka yang berkenaan seharusnya terdiri dari mereka yang benar-benar mengetahui dengan mendalam tentang objektif dan fokus masjid serta berminat dan berazam untuk memajukannya disamping bertekad memakmurkannya.
Mereka juga seharusnya berpengalaman dalam pentadbiran persatuan, di mana setiap persatuan semestinya terdapat peraturan kecil atau perlembagaan yang wajib dipatuhi manakala masjid terdapat peraturannya yang tersendiri. Peraturan tersebut merupakan amanah yang diserahkan oleh Ahli Qariah kepada pentadbir masjid. Jika amanah itu diabaikan bermakna pentadbir melaksanakan tugas seperti hak kepunyaan mereka sendiri tanpa terikat dengan apa-apa peraturan . Sebagai contoh membelanjakan wang tanpa mesyuarat atau meluluskan perbelanjaan dalam mesyuarat yang kuromnya tidak mencukupi seperti yang telah ditetapkan di dalam peraturan persatuan. Jika ini berlaku tentulah menyedihkan kita kerana wang dan harta yang dikendalikan bukan sedikit nilainya. Kita harap perkara ini tidak berlaku kalau berlaku pun disebabkan kekurangan ilmu dan pengalaman.

Masjid adalah tempat yang paling mulia di sesuatu qariah ( kampung ). Bagaimanakah kita menilai ianya mulia kalau di sana terdapat kekurangan dan kelemahan . Sebenarnya ianya memang mulia tetapi kekurangan dan kelemahan berlaku kerana keadaan ( modal insan ) tidak sempurna oleh itu perkara tersebut akhirnya berlaku tanpa disengajakan atau sebaliknya kerana kepentingan diri. Peraturan yang baik sebenarnya telah disediakan .Walau pun kereta baru tetapi pemandunya tidak cekap akhirnya tidak selamat juga. Masjid tempat yang mulia biarlah ditadbirkan oleh orang yang mulia . Sekiranya ini boleh dilakukan barulah masyarakat kita menjadi masyarakat hadari yang mampu menghayati Islam sepenuhnya di dalam kehidupan diri,keluarga,masyarakat dan negara.

Apakah tugas kita supaya institusi masjid kembali bertenaga dan berfungsi sewajarnya, apakah kelemahan-kelemahan yang perlu disingkirkan, apakah kekuatan-kekuatan yang sedia ada, apakah perkara yang boleh dilakukan untuk tambah baikkan. Perancangan dan program yang telah disediakan oleh pihak berkuasa telah memadai walau pun masih ada ruang untuk dimajukan lagi. Penglibatan semua lapisan masyarakat nescaya kita berupaya memakmurkan institusi masjid seperti selayaknya seperti masjid-masjid yang cemerlang yang sememang wujud di dalam negara kita, apa yang diperkatakan di sini ialah sebahagian besarnya berada di tahap sederhana dan lemah. Penulis bukanlah seorang yang pakar dalam hal ini, apa yang disebutkan di sini cuma hasil pemerhatian dan pengalaman sebagai ahli jamaah yang masih dalam bentuk teori di dalam minda, penulis merasakan resipinya memang memadai walau pun tidak lengkap tetapi masakannya masih tersasar, mungkin tulisan ini dapat mencetuskan percambahan minda anda yang lebih kehadapan dan terkini.

Pujian dan insentif perlu diberikan kepada pentadbir dan ahli qariah yang tidak jemu-jemu memakmurkam masjid kerana merekalah tuntutan fardu kifayah tertunai akhirnya dan ahli qariah yang tidak terlibat menumpang teduh di bawah naungan mereka. Merekalah juga yang menghidupkan solat jamaah lima waktu di masjid yang sangat-sangat dituntut bagi tiap-tiap qariah. Sebahagian besar dari mereka bertugas atau menjalankan aktiviti tanpa apa-apa bayaran.

Untuk kemajuan masjid kita seharusnya meneliti dan mengkaji kelemahan dan kesilapan yang berlaku di masjid dan disusuli dengan tindakan untuk memperbaikinya . Tentulah kelebihan yang sedia ada dikekalkan serta diteruskan dan dijadikan tradisi yang baik untuk masyarakat setempat.

Wallahu aklam;


Wassalam.