Thursday, April 29, 2010

Pengalamanku: Anjakan tahun 80an

Salam semua.

Pendidikan Islam di sekolah pada zaman selepas merdeka memang situasinya kelihatan diabaikan sehinggalah awal tahun 70an. Mereka yang terlibat dengan Pendidika
n Islam pula dianggap kolot dan mundur kerana orang Islam ketika itu ramai yang meminjam minda penjajah untuk menilai sesuatu, masakan tidak pinjam kerana ketika itu orang kita belum mepunyai minda sendiri, manakan ada minda sendiri kalau kurikulumnya tiada punya yang sendiri ( maksudnya belum tulen), kalau menutup aurat dinilai salah oleh pendidik, apakah itu bukan minda penjajah, Jamuan arak dihidangkan di dalam bilik guru dalam sesuatu majlis yang gah dan bitara, dilihat oleh anak murid dan menjadi pula tamusaji.Kehadiran Pendidik Atasan dan Bekas Pelajarnya yang punyai nama dan berjenama masyhur mengesahkan itulah minda kita pada zaman itu.

Penulis tidak berhajat untuk menceritakan kisah ini kepada Guru Lama kerana cerita ini bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka , malah mungkin mereka pun pernah terlibat sama. Bukan hendak mengungkit-ungkit perkara yang telah berlalu , sebaliknya hanya sekadar mencatatkan sejarah lama untuk orang muda kini mentaahnya supaya mereka mengetahui bahawa orang yang bertungkus-lumus mengembang dan menghidupkan Pendidik Islam adalah di antara pejuang yang berjasa kepada agama dan bangsanya, malah berjaya merubah situasi minda penjajah kepada minda madani walaupun tidak sepenuhnya.

Bukan sahaja majlis seperti Jubli Perak atau Jubli Intan disambut dengan minuman keras, selepas acara Sukan Tahunan pun diikuti dengan jamuan yang diiringi dengan minuman keras yang diadakan di dalam kawasan sekolah. Pada zaman itu pendidikan dianggap seolah-olah terpisah dengan akhlak tersebut.Tiada istilah bersepadu atau penghayatan. Tiada aplikasi kepada apa yang diajar setiap hari.

Angin perubahan berlaku pada tahun awal 80an, beberapa tahun sebelumnya Guru Pendidikan Islam baru mula diserapkan ke dalam jawatan kerajaan seperti guru-guru lain, betapa pengaruh penjajahan itu terlajak jauh ke dalam kehidupan orang Melayu sehingga mereka sendiri merasakan Guru Pendidikan Islam tidak begitu penting di dalam kehidupan mereka pada hal penjajah telah pun kembali dan negara telah pun merdeka. Sesetengah individu berpendapat memanglah penjajah telah kembali ke negara mereka tetapi mereka tinggalkan minda mereka di dalam kotak kepala orang kita pada ketika itu.

Mereka yang terlibat merasai betapa sukar hendak menukar pakaian seragam sekolah pada ketika itu kepada pakaian yang lebih sopan dan lebih dipersetujui oleh nilai Islam.Pakaian sekolah yang digunapakai pada hari ini adalah yang diusahakan oleh mereka yang terdahulu.

Tahun 80an merupakan tahun anjakan dan sempadan di antara nilai lama dengan nilai baru yang mewujudkan Melayu Baru khususnya di sekolah, Sebenarnya pada ketika itu telah pun terdapat kumpulan ulamak yang memberi teguran demi teguran kepada masyarakat mengenai larangan Allah tetapi mereka bukanlah di kalangan orang yang berkuasa, maka kesannya agak lambat meresap ke jiwa masyarakat.

Untuk memahami Islam pada zaman itu mereka perlulah pergi belajar di pondok-pondok kerana di sanalah sahaja yang terdapat pengajaran Islam secara menyeluruh, diajar dan menghayatinya, ( Islam sebagai cara hidup),

Apa pun yang tertulis di atas hanya pandangan dan hemat penulis semata-mata, mungkin di sana masih terdapat ruang yang lompong yang perlu diisi dengan fakta yang lebih tepat dan benar.


Sekian...Wassalam.

Saturday, April 24, 2010

Aku dan kawan-kawan kena ligan ( kejar ).

Salam semua.

Dalam mauduk yang lalu aku telah menceritakan kebaikanku menolong ibubapa dan khayalanku kononnya akan membawa ister
iku meronda dengan motor vespa yang akan dibeli dengan wang gajiku setelah berkhidmat dengan kerajaan. Memang pun kenderaan pertama yang aku beli ialah motor vespa, masih aku ingat dengan jelas nombor pendaftarannya KC5827 ketika aku miliki vespa ini cita-citaku telah pun berubah sebab itulah vespa ini aku jual sebelum aku berumahtangga.

Untuk kali ini aku ingin pula mencerita tentang kenakalanku pada zaman kanak-kanak iaitu di antara usia 7 - 10 tahun, aku tidak ingat tarikhnya dengan tepat, pada suatu hari aku bercadang hendak ponteng sekolah, maka aku pun pura-pura sakit kepala kerana pembohongan seperti ini sukar hendak dikesan sama ada benar atau tipu, kalau aku katakan kepada ibubapaku bahawa aku demam tentulah mereka dapat mengesannya. Aku pun memaklumkan kepada ibuku bahawa aku tidak dapat ke sekolah pada hari tersebut kerana sakit kepala, mungkin ibuku telah terpengaruh dengan temberang aku itu, dia bertanya aku dengan bersahaja tanpa berubah air mukanya tetapi bila didengari bapaku dia dengan tegas menyatakan bahawa pengakuan aku itu hanyalah temberang sahaja, lantas dia bertanya sama ada hendak pergi atau tidak, sambil tangannya mematahkan ranting kayu dengan daun-daunya sekali disebatnya aku, nasib baik daun-daun yang banyak itu dapat mengurangkan kesakitanku. Pada ketika itu aku sudah berada di luar rumah dan lengkap berpakaian sekolah. aku menangis dan beralah, aku terpaksa pergilah juga ke sekoah pada pagi itu, begitulah temberangku akhirnya dapat dikesan oleh bapaku yang seolah-olah ada ilmu kasyaf pula pada pagi itu.

Aku ke sekolah dengan berjalan kaki bersama kawan-kawan sekampung.untuk cepat sampai dan kurangkan penggunaan tenaga kami menggunakan jalan pintas, jalan tersebut adalah batas bendang, jalan ini tiada masalah pada musim kemarau tetapi sangat bermasalah kalau musim hujan, jalan akan dipenuhi dengan selut dan air berlumpur, maka terpaksalah kasut sekolah naik tuan.dikilek atau dibimbit, sebaik sahaja sampai berhampiran dengan sekolah barulah kaki dibasuh dan kasut pun dipakai.

Pada zaman itu anak-anak petani memang kelihatan tidak ceria dan tidak bersih seolah-olah sedang memamerkan keluhan dan kesusahan kehidupan yang mereka lalui dan alami bersama ibubapa mereka. Apa tidaknya setiap hari bermandikan air payau dari perigi berdekatan dengan rumah mereka, air payau yang separuh nakal itu meresap masuk ke dalam kulit mereka yang sedang membesar menjadikan kulit itu kelabu dan tiada bercahaya langsung. namun begitu air payau itulah satu-satunya air yang sangat berjasa kepada mereka dalam semua hal penggunaannya.

Setelah selesai masa persekolahan kami pun balik beramai-ramai tidak ubah seperti sekawan lembu atau kerbau pada ketika musim kemarau, di mana kerbau dan lembu dilepas bebas bergerak di seluruh kampung tanpa sekatan, cuma yang membezakannya kerbau berada di tengah petak bendang dan bercampuraduk jantan betina, manakala kami berjalan di atas batas bendang dengan tertib dan teratur menghala ke rumah dalam keadaan panas terik.semuanya terdiri daripada kanak-kanak lelaki sahaja. Kanak-kanak perempuan bersama kumpulan mereka dengan jujurnya terus menuju ke rumah masing-masing.

Demikianlah rutin harian kami pada hari persekolahan, kalau hari hujan daun pisang atau daun keladi yang lebar akan menjadi payung kami untuk terus ke sekolah seperti biasa, itu pun jika hujan tidak lebat, kalau sebalinya bercutilah kami pada hari tersebut.

Dalam keadaan panas terik begitu kekadang rasa puas dan seronok kalau boleh berendam di dalam air, kebetulan pula pada musim kemarau air masin melimpahi sungai kampung kami pada zaman itu, sungai kelihatan seperti laut, airnya membiru dan manawan hati kami yang jarang bertandang ke laut. Kami pun berpakat untuk menggunakan laluan balik yang menghala ke sungai sebelum meneruskan perjalanan ke rumah. Setelah sampai di tepi sungai kami pun pakat londeh pakaian sekolah dan terjun ke dalam sungai, betapa seronok dan nyamannya berendam di dalam sungai, untuk menambahkan keseronokkan dan memeriahkan suasana, kami bermain "aci ligan" setelah selesai undi kami pun mulai main permainan tersebut dengan mengadakan garis panduan secara kasar sebelumnya.

Biasanya salah satu laluan yang ditetapkan ialah semua orang mesti naik ke atas pokok gorah yang berjuntai ke dalam sungai itu dan terjun, maka yang kena ligan dan yang meligan riuh rendahlah dengan gelak ketawa dan ejekan sambil berlari untuk menyelamatkan diri daripada terpaksa menjadi ibu dalam permainan tersebut. Sedang leka bermain tiba-tiba Long Bok seorang penghuni berhampiran sungai itu datang siap dengan ranting kayu di tangannya mengejar kami, kami pun lari berselerak untuk menyelamatkan diri, ada yang kena sebat dan ada juga yang terlepas. Long Bok memang seorang yang sangat bertanggungjawab, niatnya sangat murni dan suci , ingin menyelamatkan kanak-kanak dari mati lemas seperti beberapa kejadian yang diketahui sebelum ini. Walau pun kami sering kena ligan tetapi kami tidak serik.

Sekian....Wassalam.








Thursday, April 22, 2010

Aku , Bendang dan Kerbau..

Salam semua.

Aku, Bendang dan Kerbau.

Aku penuli
s persendirian.
Setelah aku taip tiga teras perkataan di atas, aku terhenti sekejap kerana tiada arah untuk memulakan kis
ahnya. Penulis pinggiran seperti aku ini memang tidak pandai hendak membuat set induksi bagi sesuatu cerita atau kisah dan ditambah lagi dengan miskin penguasaan bahasanya pula, banyak sangat kelemahannya.Hanya kaya dengan kemiskinan dan makmur dengan kelemahan. Cerita yang patut didahulukan kerana kelemahanku maka aku kemudiankan menjadikan cerita itu hambar.Pada masa dahulu aku pun tidak pernah sangka bahawa aku akan menjadi penulis persendirian seperti ini, aku tidak sangka langsung bahawa tulisanku akan dibaca oleh manusia di seluruh dunia dan aku juga tidak menyangka langsung bahawa aku akan memiliki laman sendiri seperti ini. kiranya aku berhajat menumpang laman orang lain sudah tentu tulisan aku tiada tempat baginya kerana buruknya tulisanku dan berbagai lagi kelemahan yang lain.

Aku dan kerbau.
Pada zaman kanak-kanak aku tidak pernah bercita-cita tinggi, cita-citaku pada masa itu hanya ingin menjadi seorang pegawai kerajaan yang mampu memiliki sebuah motorsikal Vespa sahaja. Bila aku berada di dalam petak bendang, bila aku berada di atas belakang kerbau jinakku, bila aku berjalan kaki ke sekolah melalui batas bendang dalam keadaan kasut berkilek, bila aku bersendirian dan bila aku di dalam bilik darjah sekalipun, aku sering berangan-angan menjadi seorang pegawai kerajaan yang mampu membeli sebuah vespa dan sesudah aku kahwin aku akan membawa isteriku berjalan-jalan ke destinasi yang lebih jauh dari kebiasaan orang kampungku berkunjung. Pada masa itu aku telah pun menyukai seseorang di antara kawan sedarjahku, aku tidak ganggui dia dan aku juga tidak memberitahu dia kerana aku tahu bahawa jodoh itu ditangan atau di dalam kekuasaan Allah, aku hanya tumpukan kepada cita-citaku menjadi pegawai kerajaan sahaja, kalau tidak mencapai cita-cita tersebut aku akan dipandang rendah oleh masyarakat kampungku.Keluargaku pada ketika itu memang pun berada pada kedudukan yang rendah berbanding dengan keluarga yang lain.

Setelah aku meningkat ke alam remaja rupa-rupanya cita-citaku berubah pula, mungkin ilmu pengetahuanku telah bertambah menjadikan ruang cakup mindaku melihat lebih luas dan lebih jauh, aku ingin menjadi lebih baik dari itu tetapi tidak pula aku tentukan bidangnya.( Cita-cita kanak-kanak biasanya akan berubah mengikut perubahan pengetahuan mereka )

Merujuk kepada pernyataan yang menyatakan " bila aku berada di atas belakang kerbau". Mungkin anda ingin mengetahui maksudnya, sebenarnya ketika aku kanak-kanak aku diberi tugas oleh ibubapaku untuk menjaga seekor kerbau balar ( warna putih) setiap petang aku terpaksalah membawa kerbau itu meragut rumput di kawasan yang terdapat rumput yang panjang yang lokasinya tidak berapa jauh dari rumah, padang ragut tidak mencukupi kerana kebanyakan kawasan tanah telah dijadikan sawah bendang. aku terpaksalah membawa kerbau aku meragut rumput di atas batas bendang,Cara ini dikenali orang kampung aku sebagai "kenduk kerbau"iaitu melayani kerbau meragut rumput sambil mengawalnya dengan memegang tali yang diikat pada hidungnya , aku perlu berhati-hati kerana batas bendang keluasannya hanya kurang lebih empat kaki sahaja, jika leka kerbau akan meragut pokok padi di kiri kanannya walaupun talinya di dalam genggamanku, sebab itulah aku terpaksa bersama kerbau jinakku sepanjang masa, biasanya aku melayani kerbauku selama dua jam setiap hari pada waktu petang, bila aku malas berdiri aku akan naik ke atas belakang kerbau seperti naik kuda dan berehat di situ, kerbau aku itu tidak kisah aku berada di atas belakangnya seperti dia pun faham bahawa aku letih berdiri di hadapannya. Mungkin dia pun telah merasai aku ini umpama kawannya, masakan tidak, setiap petang bersamanya.Aku perlu memberi kerbau jinakku ini makan secukupnya supaya dia sihat dan kuat kerana dialah yang membantu bapaku membajak bendang dan mengangkut padi yang diisi di dalam guni setiap tahun.Itulah secara ringkas mengenai diriku pada suatu masa dahulu, aku tidak layak menceritakan yang hebat-hebat seperti anda semua kerana aku adalah aku, anda adalah anda.

Bendang.
Petani pada masa dahulu mengerjakan sawah bendang mengikut musim kerana mereka hanya mengharapkan air hujan untuk sawah mereka. di antara bulan April - oktober adalah musim hujan, bulan November - Mac biasanya berlaku kemarau atau sekurang-kurangnya hujan berkurangan.Dalam bulan April atau Mei mulailah petani memulakan membajak tanah mereka dengan menggunakan kerbau, zaman selepas kemerdekaan memang banyak menggunakan tenaga manusia dan kerbau.

Sekian dahulu...Wassalam.














Wednesday, April 21, 2010

Penubuhan Pasukan Brass Band Sekolah

Penubuhan Pasukan Brass Band Sekolah Menengah Khir Johari. Sungai Petani. Kedah Darul Aman.

Nukilan ini sekadar meluahkan ingatan sahaja dan tidak merujuk kepada mana-mana catatan sejarah penubuhan tersebut, Tahun dan tarikh tiada di dalam ingatan maka ditinggalkan tanpa dinukilkan ke catatan ini.Sesiapa yang ingat tarikhnya yang tepat diharap membuat ulasa nnya di bawah ini. Saya nukilkan sejarah ini semata-mata untuk rujukan warga SMKJ.SP dan bekas pelajarnya yang mungkin terlibat di dalam aktiviti ini.

Saya masih ingat ketika Tuan Hj.Zakaria bin Ismail ( pengetua ketika itu ) bercadang untuk menubuhkan Pasukan Brass Band ini.Saya telah dipangginya beberapa kali ke pejabat untuk berbincang dan merealisasikan hal ini, selaku Setiausaha PIBG memang mempunyai banyak ruang untuk membantu pihak sekolah dalam hal seperti ini terutamanya dalam bidang mengumpulkan dana.Jika Pasukan Brass Band hendak ditubuhkan pada ketika itu ianya memerlukan tidak kurang Rm50 ribu itu pun belum lengkap peralatannya.

Akhirnya kami bersetuju untuk mengadakan Majlis Jamuan Derma bagi mengumpul wang bagi membiayai asas penubuhan tersebut ( perlu diingat sektor kerajaan tidak boleh mengutip derma dan menerima derma oleh it u pihak sekolah tidak boleh menjayakan aktiviti kutipan derma tersebut). Dalam menjayakan program ini saya selaku Setiausaha PIBG membawa perkara ini untuk dibincangkan di dalam Mesyuarat AJK PIBG sekolah.AJK.PIBG bersetuju dengan cadangan tersebut, dengan itu saya pun menubuhkan suatu jawatankuasa khas iaitu Jawatnkuasa Jamuan Derma PIBG.SMKJ.SP.yang dipengerusikan oleh Yang DiPertua PIBG dan saya selaku setiausahanya. Pada tahun inilah sejarah kekalutan saya memuncak berbanding pada tahun-tahun yang lain, Keputusan SRP subjek yang saya mengajrnya agak merosot dan merudum, sebab semua pihak mengetahui kesebokan saya tiada siapa yang mempersalahkan saya kerana saya hanya mempunyai dua tangan sahaja dan tidak lebih dari itu.

Setelah dibawa ke mesyuarat dan diluluskan cadangan tersebut serta diminitkan maka operasinya pun berjalan selama beberapa minggu sebelum majlis itu diadakan, kad-kad derma dicetak, para jemputan dihantarkan surat jemputannya, kad-kad derma diedarkan secara pos dan tangan dengan melibatkan berbagai pihak, Wang derma pun diterima pada setiap hari , kalau tidak salah saya Bendahari PIBG ialah cikgu Ong Khoon Huat (mungkin salah ejaan), dipendekkan cerita majlis Jamuan Derma itu berjaya mengutip kalau tidak salah ingatan sya hampir RM40 ribu sebelum menolak kosnya.

Selepas itu tahun demi tahun dikutipnya lagi derma untuk memperlengkapkan peralatan muziknya dan belanja mengurus, di antara kaedah kutipan yang saya terlibat ialah melalui aktiviti Derma Jogathon yang juga dianjurkan oeh PIB G. Guru yang terlibat dengan kemahiran persembahan Brass Band dan juga Guru Penasihat di peringkat permulaannya ialah Cikgu Hashim ( Guru Musik ) dan Cikgu Fadzil manakala guru muzik yang dibayar khas ialah Cikgu Abd.Rahman.




Sekian . Wassalam

Tuesday, April 20, 2010

Respon - Blog dan Facebook.

Salam semua.


Sahabat,

Tertarik saya membaca artikel enta mengenai facebook dan blog.

Izinkan saya untuk berkongsi pengalaman.

Sebenarnya kedua-dua bidang tersebut tersangat kabur bagi saya sebelum ini.

FB langsung saya tidak tahu mengenainya, walaupun pernah mendengar tentangnya. Blog saya tahu namanya sahaja. Tapi saya tidak mengenalinya.

Atas dorongan anak-anak dan inisiatif mereka pada Disember 2009 FB untuk saya dibuka mereka, mula atas nama SS, tapi dek ada sebab-sebab tertentu dan saya rasa tk sedap hati lalu saya tukar kepada HSS.

Manakala dengan blog saya minat kerana membolehkan saya menulis apa shj yang tercetus dari pandangan saya.

Bagaimanapun , saya tak tahu nak bangunkannya. Saya tidak belajar dan diajar lalu tidak lama selepas FB dibuka (saya kurang minat dengannya) saya rekalah sendiri blog untuk saya.

Saya buat dalam bentuk "trial & error" hinggalah sekarang. Sebab itu template sering saya tukar bila saya rasa tidak puas hati.

Saya nak minta bantuan consultant saya rasa macam berat, saya tak mampu. Saya nak minta anak-anak saya bantu saya tahu depa pun tak tahu macam saya juga .

Oleh itu , dari segi kualitinya tak mampu saya untuk menambahbaiknya , apa pun asalkan saya boleh catatkan sesuatu , saya rasa sangat puas dan bersyukur. Apa lagi yang mampu saya buat dalam usia emas sebegini , sahabatku. Hanya itulah yang terdaya.

Kalau ada sesiapa yang sudi membuka serta membacanya saya amat menyanjung tinggi dan berterima kasih. Harapan saya kepada mereka agar terimalah blog saya seadanya.

April 20, 2010 3:20 PM

___________________________________

Delete
Blogger Leenoh said...

Salam.

Terima kasih atas respon yang diberikan insya Allah akan dapat memberikan panduan kepada kami sebagai pembacanya.
Cara menggali ilmu yang dibentangkan itu sangat menarik dan bermotivasi.

April 20, 2010 4:15 PM


Sekian. Wassalam.

Blog dan Facebook.

Salam semua.

Blog dan Facebook.....Apakah bezanya?

Dahulu.
Aku tidak b
erhajat untuk menjelaskan peranan kedua-dua media ini, cuma ingin menyatakan peranan dan pengaruh keduanya mengatur jadual hidup harianku. semasa sebelum kulibatkan diri dengan penulisan dalam facebook ini penumpuan sepenuhnya diberikan kepada laman sesawang ( blog ).

Bangun pagi terus pergi mandi dan solat Subuh kiranya ada sesuatu artikel yang hendak dihasilkan lantas aku menulisnya tanpa berhenti sambil minum teh O atau air kosong yang sememangnya tersedia di kamar. Air kosong itu disediakan bertujuan mengubah tabiatku yang kurang minum air kepada tabiat minum air yang mencukupi kerana mengikut pendapat pakar kesihatan menyatakan ubat yang paling mujarab ialah air kosong, sesiapa yang minum air yang mencukupi ianya akan perolehi kesihatan yang sewajarnya.

Sesuatu tajuk yang sederhana panjang biasanya mengambil masa satu atau dua jam sahaja untuk dihantar ke www.google.com termasuk memuatkan gambar atau imej tertentu sekiranya mendapat khidmat "Line internet" yang sempurna.

Selepas tajuk itu diposkan untuk bacaan umum aku berpindah ke laman ilmiah dan laman yang lain untuk membacanya dengan harapan akan mendapat idea baru atau tajuk baru, ilham tidak akan datang tanpa percambahan minda melalui kaedah begitu rupa. Sesungguhnya tanpa orang lain kita sebenarnya seorang yang jahil dan miskin ilmu.

Kini.
Sejak beberapa bulan yang lalu aku buka pula Facebook, kini aku milikinya seperti orang lain, beberapa kemahiran mengenainya semakin bertambah dan jadual hidup harian juga berlaku sedikit perubahan. Kini aku bangun pagi terus mandi dan solat Subuh seperti biasa ( di rumah/masjid) kebiasaan ini tidak berubah . Selepas sahaja selesai solat Subuh sama ada di rumah atau di masjid aku akan buka Facebook terlebih dahulu kemudian barulah membuka blog yang telah dibuat pautan di dalamnya.

Nampaknya Facebook kelihatan lebih sebok dan mesra kawan kerana di dalamnya disediakan dengan berbagai kemudahan komunikasi dua hala dan juga berbagai ruangan yang boleh dimanfaatkan atau sebaliknya.

Teras sebaran makluman yang menjadi kegemaranku ialah ruangan Nota, video dan photo mungkin kerana pengetahuanku mengenai facebook ini sangat terhad. Wall adalah rungan runcit yang kugunapakai pada setiap hari.

Bila aku buka Facebook mindaku menjurus kepada berbagai jurusan sehingga menjejaskan sedikit tumpuan minda kepada blog, seumpama peniaga yang mmbuka dua kedai sudah tentulah peniaga itu perlu berada di kedua-dua kedai itu pada masa yang berlainan, beliau perlulah menjadualkannya, sekiranya beliau juga terlibat dengan aktiviti lain maka jadual tersebut perlulah ditambah petaknya supaya pembahagian masanya seimbang dan relevan dengan keadaan.

Aku tulis artikel ini hanya untuk ingatanku, jika anda meminatinya tidak salah membacanya.

Sekian. Wassalam.

Monday, April 19, 2010

Respon dari anak Pak Hj.Sidek Pontian.

Salam semua.

Blogger Shahar said...

Assalammualaikum Ustaz Leenoh,
Terima kasih kerana coretan dan mengingatkan kembali "Amalan Pak Hj Sidek Pontian". Saya s
angat bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan Ayah yang sangat perihatin pada anak2 dan ditambah dengan seorang Warden Asrama yang sangat perihatin kepada kebajikan, keselamatan dan pelajaran anak murid di bawah jagaannya (Ustaz Leenoh).

Ayah sejak saya kecil memang sangat tegas orangnya kepada anak2. Walaubagaimana pun dalam ketegasannya beliau,ia juga seorang yang penayang, baik hati dan boleh diajak bergurau yang berpatutan.
Rotan memang sentiasa ada dari kecil hingga saya dewasa. Kalau nakal, berkelahi dan tak berdisplin kena rotan.

Dari segi pelajaran Alhamdulillah kami semua berjaya. Bagi Arwah Ibu yang kami sayangi, beliau kembali keRahmatullah ketika usia Ibu 44tahun. Pada masa itu Ibu sempat merasai hasil titik peluhnya menjaga dan mendidik saya sehingga berjaya mendapat Diploma dan tidak sempat untuk menyaksikan kejayaan saya seterusnya, begitu juga adik beradik saya yang lain.

Cara ayah mendidik dan menjaga kami adik beradik sangat2 kami hargai dan menyanjung tinggi pengorbanan Ayah dan Ibu.

Apa yang Ustaz Leenoh katakan itu memang benar.

Kami bersyukur kepada Allah, kerana kejayaan kami adalah kejayaan Ayah dan Ibu mendidik kami dari kecil dan tidak terkecuali juga hasil usaha Ustaz Leenoh yang menjaga dan mendisplinkan saya semasa berada di Asrama Maktab Sultan Abu Bakar Jln Kapten Mohd. Amin Johor Bahru. Saya masih ingat Ustaz menghadiahkan saya duit kerana berjaya mendapat markah peperiksaan yang paling cemerlang semasa saya di Asrama (Tingkatan 3)

Alhamdulillah terima kasih Ustaz Leenoh

April 19, 2010 10:48 AM


Sekian.Wassalam.

Delete

Friday, April 16, 2010

Manusia dihormati kerana Allah menutup keaiban mereka

Salam semua.

Manusia dihormati kerana Allah menutup keaiban mereka.
Jarang kita men
yatakan dengan ikhlas mengenai diri kita dan juga mengenai diri orang lain sekiranya pernyataan tersebut tidak menguntungkan keduniaan masing-masing.

Setelah kita muhasabah diri dengan ikhlas, kita akan dapati diri kita sebenarny
a tidaklah semulia yang dihormati orang lain terhadap diri kita ( Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui ), sebaliknya terdapat banyak kekurangan yang terpalit pada diri kita, dalam hal ini saya dan anda tidak terkecuali.

Jom kita muhasabah diri buat seketika dan ingatkan kembali keburukan kita yang telah lalu.semasa bermuhasabah itu kita jangan sekali-kali membayangkan kejahatan orang lain, sebaliknya hendaklah kutip satu persatu kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan pada masa yang lalu dan kumpulkan, selepas itu buatlah penilaian, Nah kita akan dapati kita sebenarnya tidak layak untuk dihormati.

Manusia bernasib baik.
Kita sebenarnya bernasib baik kerana sebahagian kelemahan, keburukan dan keaiban kita ditutup dan disorok oleh Allah Taala.Sekiranya Allah membongkar keaiban kita sudah tentu terserlahlah keaiban dan tiada lagi kehormatan dan kemuliaan.

Catatan:
1-Keaiban diri wajib ditutup dan keaiban orang lain juga menuntut kita menyembunyikannya.

2-Dosa yang dihebohkan akan bertambah dosanya sekiranya berpotensi menggalakkan orang lain turut melakukannya .

3. Kebaikan yang dihebohkan akan berkuranglah pahalanya kerana perbuatan bangga diri dan menunjuk-nunjuk serta riak.


Sekian. Wassalam.

Amalan Pak Sidek Pontian sangat sesuai untuk dicontohi.

Salam semua.

Pada suatu pagi yang dingin dan menyegarkan ini teringat pula pada Pak Sidek seorang bapa yang sangat prihatin terhadap didikan anak-anaknya, berbanding dengan ibu bapa lain Pak Sidek termasuk di dalam kalangan orang yang mampu dan juga terpelajar pada zamannya. Beliau bertugas sebagai salah seorang pegawai di Pejabat Tanah Pontian, itulah maklumat yang ada pada saya sama ada tepat atau sebaliknya kurang pasti tetapi itu bukanlah mauduk yang hendak dikupaskan di sini.

Anak Pak Sidek dan beberapa orang kawannya dari Daerah Pontian terpilih untuk ditempatkan di bawah suatu program Jabatan Pelajaran Johor yang dikenali sebagai Rancangan Khas. Oleh itu setelah Shaharuddin anak Pak Sidek dan kekawanya Mohd.Rafie Abdul Razak, Jaya Salam, Mahmud, Zakaria Sarman dan lain-lain tamat persekolahan di sekolah rendah, maka mereka ditempatkan di Maktab Sulatan Abu Bakar ,Johor Bharu.yang juga dikenali sebagai English College (EC). Di EC mereka ditempatkan di Asrama Jalan Kapt.Mohd.Amin.di bawah jagaan, kawalan dan didikan saya sebagai Guru Asrama pada ketika itu.

Dua minggu sekali atau sebulan sekali Pak Sidek akan melapangkan masa melawat anaknya di asrama tersebut.Apa yang menarik per
hatian saya di sini ialah cara Pak Sidek memberi perbelanjaan mingguan atau bulanana kepada anaknya Sharuhaddin. Beliau mampu memberi perbelanjaan sebanyak mana yang diminta oleh anaknya ketika itu tetapi beliau tidak melayan permintaan anaknya itu, sebaliknya beliau hanya ingin melayan keperluan anaknya sahaja . Menurut hematnyanya , jika dibekalkan wang kepada anak-anak secara yang berlebihan dari keperluannya ditakuti tidak akan memberi pengajaran baik kepada mereka.

Pak Sidek akhirnya meminta pandangan saya untuk menentukan jumlah yang patut diberikan kepada Shaharuddin pada setiap minggu, saya sendiri pun tidak arif untuk menentukannya, beliau momohon khidmat dan memberi peluang kepada saya supaya meninjau dan mendapatkan maklumat dari kebanyakkan pelajar, akhirnya maklumat tersebut diperolehi dan disampaikan kepadanya.

Jelaslah bahawa Pak Sidek tidak mahu anaknya bermewah-mewah kerana perbuatan tersebut akhirnya akan membawa kegagalan di dalam bidang pelajaran. Sikap ini sangat baik untuk diikuti dan dicontohi oleh ibu bapa yang berada dan sikapnya itu juga telah mengajar dan memberi peringatan kepada saya sehingga hari ini.Anak Pak Sidek akhirnya berjaya.
Ir. Hj. Shaharuddin Sidek & Dr. Hjjh Zaharimah Abdul Kadir.
( Di depan Istana Sri Menanti. Negeri Sembilan )

Di Istana Kuala Pilah.

Di Perak - Perak Korat.




Sekian.Wassalam.


Wednesday, April 14, 2010

Mengenali sifat munafik.

Salam semua.

Dalam kehidupan harian yang dilalui setiap hari seseorang itu akan melalui berbagai cabaran dan ujian hidup, ada yang berjaya kita mengatasinya , ada pula
yang sebaliknya.setiap hari kita bertemu orang lain dan bertegur sapa.Di antara aktiviti dengan orang lain ialah bercakap, menerima amanah, berjanji, bertengkar dan lain-lain. Manusia sering terbabas dan gagal mengawal aktiviti tersebut dengan baik, maka dalam hal ini Rasul telah memberi panduan kepada kita supaya diikuti dan ditaati. Namun sejauh manakah manusia dapat mematuhinya, dalam hal ini tiada manusia yang berjaya mengatasi sepenuhnya.Pengakuan ini perlu diakui tanpa mengaku kelemahan diri seseorang itu akan terus leka dengan kelemahannya dan terus melanggar pesanan dan larangan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah),

apabila dipercayai dia khianat,

apabila bercakap dia berdusta,


apabila berjanji dia mungkir

dan apabila bertengkar dia melampau .
(Menegakkan benang basah )

.
Huraian ringkas.

1. Apabila dipercayai dia khianat. Di dalam menjalani hidup harian setiap individu akan menerima amanah atau mempunyai amanah tertentu untuk ditunai dan diselesaikan, dalam proses melaksankannya kekadang manusia tidak melakukan dengan baik dan sempurna sama ada menambah atau mengurangkannya tanpa berdasarkan panduan yang telah diberikan.Tiada siapapun yang terlepas dari kelemahan ini.

2.Apabila bercakap dia berdusta. Dalam masa berhujah atau mencetitakan sesuatu kita sering menambah atau mengurangkannya, sama ada dengan sengaja atau disebabkan lemah ingatan atau tersalah ambil punca ceritanya.Ada juga berdusta bertujuan kononnya hendak meningkat kualiti diri atau ingin menunjukkan bahawa dia adalah orang yang berkebolehan dan seumpamanya.

3.Apabila berjanji dia mungkir. Berjanji ialah suatu persetujuan bersama di dalam sesuatu hal dan berjanji supaya kedua-dua pihak melaksanakan ikatan janji itu secara saksama dan tidak menyeleweng.tetapi kekadang dalam diam-diam kita menyeleweng, penyelewengan dibuat bertujuan mendapatkan faedah untuk diri sendiri tanpa memperdulikan langsung kerugian di pihak yang lain. semuanya itu dilakukan tanpa disertai rasional akal. itulah kelemahan kita, sukar hendak diakui bahawa kita terkecuali.

4.Apabila bertengkar (bergaduh) dia melampau. Apabila berlaku pertengkara atau pergaduhan manusia sering memberi hujah dan keterangan yang melampaui batas kebenaran kerana terlalu ingin mendapatkan kemenangan dan supaya dilihat dialah di pihak yang benar, Dalam meyakinkan orang lain bahawa dialah di pihak yang benar maka di sinilah berlaku perbuatan melampau dengan mencampuradukkan dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan. Inilah kelemahan kita sebagai manusia biasa atau orang awam, siapapun tidak terkecuali daripada melakukan kelemahan tersebut. mereka yang kurang melakukannya ialah mereka yang sentiasa muhasabah diri. Semoga Allah ampunkan dosa kita di atas segala keterlanjuran.Sekiranya kita orang yang teraniaya atau dizalami, tindakan yang terbaik ialah memaafkannya kerana memaafkan orang lain itu suatu cara mempermudahkan kita mendapatkan keampunan Allah kerana kebaikan itu menghapuskan keburukan.Jika ingin membalasnya hanya balasan seumpamanya.

Sekian. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Wassalam.
_____________________________________________


Sekadar mengenali anak muridku yang telah berjaya.

Wednesday, August 26, 2009

Sila klik: Di Hadapan Istana Sri Menanti Negeri Sembilan

Ir. Hj. Shaharuddin Sidek & Dr. Hjjh Zaharimah Abdul Kadir

Sekian.

Sunday, April 11, 2010

Tanggungjawab suami isteri.

Salam semua.

Berikut dimuatkan rakaman ceramah dari laman www.niknasri.com menjelaskan mengenai tanggungjawab suami isteri, Mungkin sesuai untuk kita sama-sama mengikutinya.

Klik di sini (Tanggungjawab suami isteri)


Sekian .Wassalam.

Saturday, April 10, 2010

Allah rahsiakan detik kematian kita.

Salam semua

Kematian ada
lah termasuk di dalam perkara-perkara yang dirahsiakan Allah subhana wa ta'ala.

Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:”Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu:
(1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim
(kandungan perempuan) melainkan Allah.

(2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah.

(3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah.

(4) Tiada seorangpun mengetahui di bumi mana dia akan mati melainkan Allah

(5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.

[ Hadis dari Abdullah Ibn Umar r.a. Dikeluarkan Imam Bukhari dalam sahihnya hadis no:4627]

Berkata Sheikh al-Alusi dalam komentarnya mengenai kiamat :

"Allah telah merahsiakan Al-Saa'ah (hari Kiamat) kerana hikmah shar'i dan sebab kenapa ia begitu, kerana ia lebih berkesan didalam menyeru orang mentaatinya dan menjauhkan mereka dari melakukan maksiat, sebagaimana dia merahsiakan ajal seseorang itu... dan petikan kenyataan ini menunjukkan bahawa Nabi saw tidak mengetahui bila Al-Saa'ah bermula. BENAR, baginda mengetahui ia agak dekat didalam ertikata yang umum, dan baginda saw memberitahu kita yang itu" [Tafsir al-manar]

Benar Baginda sendiri pernah bercerita kepada Fatimah tentang kewafatan baginda:

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memanggil Fatimah dan bercakap dengannya secara rahsia. Tiba-tiba Fatimah menangis, baginda bercakap lagi, sejurus kemudian Fatimah tersenyum. Aisyah berkata: Lalu aku bertanya kepada Fatimah: Apa yang Rasulullah s.a.w katakan padamu menyebabkan kamu menangis dan ketawa. Fatimah berkata: Aku menangis kerana Rasulullah memberitahu aku tentang kematiannya dan aku ketawa kerana akulah orang pertama dari kalangan keluarganya yang akan menyusuli baginda.

[ Hadis dari Aisyah r.a. Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Kelebihan Para Sahabat r.a (Bab Kelebihan Fatimah Puteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) hadis no. 4486]

Namun adalah tidak mustahil untuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengetahui perkara-perkara ghaib. Sumber kita dalam mengetahui hal-hal ghaib selain al-Quran adalah melalui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. HANYA Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerima perkhabaran dari Allah subhana wa ta'ala tentang perkara-perkara ghaib. Telah Allah nyatakan dalam firman-Nya:

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya; maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)".
[al-Jinn 72: 26-27]

"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". [al-An’aam 6:50]


Sekian.Wallahu aklam.


Sunday, April 4, 2010

Memulakan episod baru dalam penghidupan.


Salam semua.

Sabtu 18.R.Akhir 1431 / 3 April 2010.

Jam 11.30 pagi kami tiba di Kg.Londang, Melaka kerana meraikan perkahwinan Ajul sesampai kami di perkarangan rumah, kami disambut mesra oleh sanak saudara dan sahabat handai. setelah menjamu selera aku pun mengambil gambar sebagai kenangan, gambar itu dipaparkan di bawah ini.Ajul dengan pasangannya pada hari ini dengan sendirinya diisytiharkan detik permulaan episod baru dalam penghidupan mereka.

Dah sampai
Hidangan ini untuk pengantin kot
Khemah khas disediakan untuk raja sehari dan rombongan.



Sekian.

Banyak projek ke Hulu Selangor.

Salam semua.

Banyak projek ke Hulu Selangor begitulah yang dilaporkan oleh media tempatan.

Mengapakah politik kita jadi begitu mencipta budaya yang tidak sihat, apakah kita ingin menyelesaikan masalah hari ini sahaja, bukankah perancangan perlu menyeluruh dan istiqamah, bukannya bermusim.

Aku jadi bebal memikirkan perkara ini. bilakah minda kita nak berubah.



Wallahu aklam.

Saturday, April 3, 2010

Berkongsi ilmu - Cari Bakal Isteri

Salam semua


Fairuz Basri Akil April 3 at 2:08am
SEORANG penceramah wanita di tv tadi menjelaskan ada enam sifat wanita yang mana jika wanita memiliki salah satu dari sifat ini dinasihati dijauhi atau dilarang daripada lelaki untuk mengambilnya sebagai isteri.

Kalau wanita yang memiliki sifat-sifat ini diambil menjadi isteri nescaya ia akan mendatangkan masalah kepada si suami. Enam sifat itu disebutkan dalam sebuah kitab yang turut dibacanya.

1. Al Nananah - wanita yang banyak mengomel itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.
2. Al Manah - wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabit dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini yang bekerja berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3. Al Manaqah - wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya. (Saya teringat satu masalah dulu wujud kumpulan pencari suami bergelar datuk. Dalam kumpulan ini ada beberapa orang wanita yang sudah bneristeri yang juga turut berminat suami bergelar datu dan berkedudukan).

4. Al Hudaqah - wanita yang suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang suah botak.

5. Al Basaqah - wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk sumainya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orsng lain tidak boleh mengatasi dirinya.

6. Al Salaqah - wanita yang mulut becoh, banyak cakap. Selalu ada ditempat kenduri atau majlis keramai kita menemui wanita yang kecoh, dan cuba memonopoli majlis. Kebecohan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi.
Fairuz Basri Akil April 3 at 2:12am Reply
ISTERI SOLEHAH

* Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

* Isteri yang sentiasa menjaga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya dan pandangan matanya sendiri. Tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.

* Isteri sedia menjadikan suami sebagai ketua dalam rumah tangga mereka. Ini kerana sifat semula jadi itu Allah anugerahkan kepada lelaki.

* Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami tidak bertentangan perintah agama.

* Isteri sedia memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami berasakan rumah tangganya adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dari sebarang masalah kerja.

* Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya, begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami. Isteri mestilah memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah atau untuk mengerjakan puasa sunat.

* Isteri mestilah bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar sederhana dan tidak membazir. Cara ini dapat menyelamatkan suami daripada masalah kewangan.

* Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan. Isteri tidak meminta sesuatu yang suami tidak mampu menunaikannya.

* Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang, sama ada menerima nikmat atau dugaan daripada Allah. Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu serta perintah Allah dengan tabah dan sabar.

* Berdiam diri sambil mendengar bila suami bercakap.

* Isteri yang sedia melayani dan memenuhi kehendak batiniah suami bila diperlukan.

* Isteri yang sentiasa menghias diri bila di hadapan suami dan
sebaliknya pula bila ketiadaan suami.

* Isteri yang sentiasa mendahulukan keperluan suami dari keperluannya sendiri.

* Isteri yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.

* Isteri yang menemani suaminya ke muka pintu bila ia hendak keluar dan menyambutnya dengan senyuman bila ia pulang.
.
Sekian..Wallahu aklam.