
Salam semua.
Pejam celik, pejam celik hari ini sudah
1hb. Zulhijjah 1430, baki lagi 7 hari akan berlakulah wukuf di Arafah iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah, wukuf di Padang Arafah adalah salah satu rukun Haji yang mesti ditunaikan. Inilah perhimpunan terbesar yang diadakan setiap tahun yang tidak pernah berlaku perhimpunan seperti ini di mana-mana pun di atas muka bumi Allah ini.
Setengah ulamak berpendapat di sinilah nanti manusia akan berkumpul atau dikumpulkan setelah berlaku kiamat nanti, manusia sejak zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah manusia yang berada pada Hari Kiamat itu semuanya dihidupkan semula dan dikumpulkan di sini yang dinamakan Padang Mahsyar, bayangkanlah betapa ramainya manusia pada hari tersebut.
Allah akan muncul pada Hari kiamat nanti di Padang Mahsyar ini dan memerintahkan manusia berkumpul mengikut kepercayaan mereka di dunia dahulu, mereka yang sembah berhala hendaklah berkumpul bersama-sama berhala yang mereka sembah, mereka yang sembah api bersama kumpulan mereka, mereka yang sembah batu bersama-sama mereka yang menyembah batu dan begitulah seterusnya. Mereka yang beriman kepada Allah serta menyembah Allah berkumpul di hadapan Allah bersama-sama mereka yang menyembah Allah.
Mereka yang menyembah selain Allah di dunia ini hendaklah mengikut benda yang mereka sembah itu dan jangan lagi berada di hadapan Allah, demikianlah kesusahan yang diterima oleh mereka yang tidak menyembah Allah di dunia ini di Padang Mahsyar nanti. Allah tidak lagi mengira dosa pahala mereka kerana telah jelas tiada apa-apa kebaikan yang mereka lakukan di dunia ini melainkan penuh dengan perbuatan derhaka dan maksiat. Mereka ini akan terus dimasukkan ke dalam neraka yang apinya menjulang dan kekallah siksaan itu selama-lamanya di sana.
Bagi mereka yang beriman kepada Allah dan menyembah Allah di dunia ini, mereka ini akan dikira dosa pahalanya.
Mereka yang tiada dosa atau ada dosa tetapi diampunkan Allah akan dimasukkan ke dalam syurga dan kekal selama-lamanya di dalamnya. Inilah kejayaan hakiki dan wawasan sebenar yang mereka usahakan semasa di dunia dahulu.inilah juga yang dikatakan kebaikan atau hasanah di akhirat.
Bagi mereka yang beriman dan menyembah Allah di duni ini tetapi ada dosa dan tidak diampunkan Allah, maka mereka ini dimasukkan ke dalam neraka dalam tempoh tertentu, setelah sempurna tempoh siksaan akhirnya mereka ini dikeluarkan dari neraka dan barulah dibawa masuk ke dalam syurga dan kekallah mereka di dalam syurga buat selama-lamanya.
Bagi mereka yang kafir dan tidak menyembah Allah di dunia seperti disebutkan tadi maka mereka ini terus sahaja dimasukkan ke dalam neraka dan kekal selama-lamanya di dalam neraka dan selama-lamanyalah juga menerima siksaan Allah.
Wukuf di Padang Arafah mengingatkan kita akan Padang Mahsyar di mana kedua-duanya merupakan tempat berkumpulnya manusia yang begitu ramai, kiranya tidak tepat sekali pun pendapat yang menyatakan di situlah nanti berlakunya Padang Mahsyar, namun di mana pun Padang Mahsyar itu nanti ianya tetap merupakan tempat perhimpunan manusia yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Berkuasa dan Pencipta sekalian alam ini.
Padang Mahsyar merupakan tempat perhimpunan semua manusia yang dilahirkan sejak Nabi Adam.a.s. sehinggalah manusia yang dilahirkan pada Hari Kiamat itu berlaku dan perhimpunan agung itu bertujuan membuat perhitungan amalan manusia semasa mereka hidup di dunia ini, Perhimpunan di Padang Arafah tidaklah sebesar perhimpunan di Padang Mahsyar . Perhimpunan di Padang Mahsyar adalah perhimpunan semua manusia yang pernah hidup di dunia . Masya Allah ramainya manusia tiada tandingannya.
Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.
