Wednesday, November 30, 2011

Mina di antara ujian dan siksaan.


Salam semua.

Aku masih mahu menceritakan kisah mengerjakan Haji khasnya cerita di Musim Haji 1432 yang telah lalu, masih ada lagi serdak-serdak kisahnya di dalam mindaku, mungkin di antaranya susah hendak dilupakan. Musim Haji kali ini cuacanya sangat panas, dalam pada khemah yang bersesak dan panas itu pendingin hawa pula rosak dan tiada rancangan untuk memperbaikinya, dibiarkan dalam keadaan tiada ikhtiar, demikianlah diceritakan oleh setengah bakal Haji apabila mereka balik ke Makkah bertemu dengan kawan-kawan yang tidak tinggal sekhemah dengan mereka.

Keadaan bilik air yang sentiasa sesak dengan pengguna itu tidak perlu diceritakan lagi kerana semua mereka telah faham dan mengalaminya, itulah sangkaan tetapi rupa-rupanya bilik air perempuan lebih merumitkan lagi disamping sesak dan berebut-rebut pula dengan bakal Haji negara lain sehingga timbul perselisihan kecil.

Kesukaran dan kesempitan serta kesusahan mendapat giliran menggunakan bilik air itu tidak mampu dinafikan oleh sesiapa yang berada di sini dalam tempoh tiga atau empat hari itu, adanya bilik air di Mina itu hanya sekadar ambil ada sahaja. ( asalkan jangan kata tiada ). Dalam pada menahan kekerapan ke bilik air datang pula masalah yang lain yang hampir menggagalkan urusan kerja haji, ramai yang jatuh sakit, ramai mengalami sembelit, sakit kepala dan pening. Terdapat juga di antara mereka terbuang air besar atau air kecil setelah lama menunggu. ada yang terpancut di dalam kain, ada juga yang terpaksa meninggalkan ketul masnya di laluan dan terpijak oleh mereka yang lalu lalang di situ, akhirnya laluan itu kelihatan berpeta. Lebih sedih lagi bagi mereka yang datang ke sini dalam keadaan tidak sihat..........adakah bilik air dan tandas itu tidak penting................kalau penting mengapakah dibiarkan prasarana dan situasi begini berlaku.......Adakah orang Islam telah mengambil keputusan bahawa keadaan itu telah sesuai dan memadai serta selebihnya mereka diminta supaya bersabar tanpa merujuk kepada kualiti pengurusan yang dikendalikan oleh orang Islam.


Situasi ini tidak dapat kita memastikan sama ada mereka itu sedang menghadapi ujian Allah atau siksaan akibat kelemahan manusia dalam bidang pengurusan.


Sekian....wallahu aklam.

Monday, November 28, 2011

Bersolat di Masjid Nabawi ada kelainannya.

Salam semua.

Semasa di Tanah suci mulai 2.Okt 2011 - 14.Nov 2011 iaitu selama 45 hari sebaik sampai sahaja di Madinah kami ditempatkan di Hotel Holiday Villa terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi, di sini tiada apa-apa tugas yang perlu dibuat selain bersolat, berqiamullail, beriktikaf, bersedekah dan membaca al.Quran, di sinilah jadual kehidupan sebahagian besar daripada jamaah haji tertumpu kepada ibadat khas, seawal jam 3.00 pagi mereka telah mulai bergerak ke masjid, jalan yang menghala ke masjid mulai dipenuhi, di sinilah mereka melakukan qiamullail sebenar iaitu melakukan ibadat solat sunat selepas 1/3 malam secara bersendirian, munajat yang sangat bermakna bagi mereka yang ingin bertaubat dan memohon sesuatu daripada Allah Taala.

Bersolat di Masjid Nabawi memang ada kelainan dan perbezaannya berbanding dengan masjid-masjid lain kerana di sini terdapat Makam Nabi, walaupun yang wujud di situ hanya makam sahaja tetapi terasa seperti kita bersama baginda semasa beginda masih hidup, sebaik sahaja terkenang jasa baginda dengan tidak disedari air mata pun mengalir, berlebih-lebih lagi kalau imam membaca ayat-ayat al.Quran dengan nada yang sedih dan terharu, bagi mereka yang faham akan kandungannya akan lebih cepat lagilah air matanya mengalir. Setiap orang yang sampai di sini akan berdoa supaya kehadirannya bukan kali terakhir, sebaliknya akan merayu-rayu kepada Allah supaya mereka diberi peluang lagi pada masa yang akan datang untuk datang ke sini lagi.



Sayang seribu sayang segala video yang dirakamkan untuk manfaat peminat blog Kehidupan Bersih tidak dapat dipaparkan di sini kerana Nokia C3 yang digunakan telah diseluk dan diambil serta dibawa lari oleh Si Gadis Berkulit Hitam yang berbaju hitam semasa saya berulang alik ke Masjidil Haram, banyak video dan photo yang dirakamkan di Madinah untuk disebarkan sebagai salah satu kaedah berdakwah, amat sayang sekali hajat itu tidak kesampaian, Apa pun saya doakan agar Allah memberi taufik dan hidayah kepada gadis atau wanita tersebut.

Video yang dipaparkan di bawah ini adalah video yang dirakam di Makkah dengan menggunakan Nokia C3 yang baru dibeli sebagai menggantikan yang telah hilang, harganya lebih kurang sama dengan yang dijual di Malaysia, tetapi, kerana ringgit Malaysia lebih tinggi nilainya berbanding dengan rial atau mata wang Arab Saudi menjadikan harganya lebih murah sedikit.





Sekian...wallahu aklam.

Saturday, November 26, 2011

Berbagai kaum dan bangsa menyembah Allah Yang Wahdaniah.

Salam semua.

Dalam kesesakan mengerjakan ibadat Haji itu tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka yang berduyun-duyun memenuhi setiap lokasi mengerjakan Haji , mereka itu terdiri daripada berbagai kaum dan bangsa serta warna kulit yang datang dari berbagai pelusuk dunia, semuanya melaksanakan perintah Allah Yang Wahdaniah dan menuntut keredaan-Nya.

Pada dasarnya mereka melaksanakan satu niat dan satu matlamat serta sangat ingin mendapatkan Haji Mabrur tetapi, kerana jangka masa melaksanakannya sangat panjang dan terpaksa menghadapi berbagai halangan, maka di celah-celah itu berlakulah perkara-perkara atau perbuatan yang dapat menafikan Haji Mabrur, ada juga di antara mereka yang terlupa matlamat dan menjadi orang yang tidak jujur di antara satu sama lain, tidak pandai bertolak ansur atau cepat bergaduh walaupun dengan orang yang paling rapat dan tempat berharap, kurang bertimbang rasa, tegasnya sangat pentingkan diri sendiri, tidak kurang yang ingin menonjolkan diri agar dipandang berketrampilan dan berwibawa, dalam tempoh yang panjang itu semua perkara tersebut memang ada ruang dan berkesempatan untuk direalisasikan kebanyakkan hasrat hati sama ada baik atau buruk, terpulanglah kepada pilihan masing-masing.


Apa pun penilaian dan tanggapan manusia terhadap pencapaiannya, penilaian Allah adalah yang terbaik, tepat dan muktamad sama ada akan dikurniakan Haji Mabrur ( Haji yang diterima Allah ) atau Haji Mardud. ( Haji Jelek atau Haji Tayang - tidak diterima), hasil yang akan diperolehi juga sebenarnya adalah bersangkut rapat dan bertalian dengan Ikhlas ( iaitu beribadat semata-mata kerana Allah Taala)
.
Maka berjayalah mereka yang mampu mempertahan atau mengekalkan hati supaya diikat kukuh dengan rasa ikhlas dan berjaya menjauhkan diri daripada perbuatan menunjuk-nunjuk, riak dan bangga diri serta sentiasa bersangka baik pada orang lain dalam masa mengerjakan ibadat ini.

Sekian...wallahu aklam.

Tingkat Atas Masjidil Haram - video

Salam semua.

Video ini dirakamkan ketika kami menunggu ketibaan waktu Isyak, kini azan sudah berkumandang dan lampu di atas Menara Jam pun telah berkelip-kelip, demikianlah setiap kali azan berbunyi ia akan berkelip-kelip, agaknya sememang diatur dan dijadualkan begitu.




Tingkat atas ini adalah suatu tingkat yang menjadi pilihan mereka yang tidak mahu bersesak-sesak di dataran Kaabah untuk bertawaf tetapi jarak pusingannya agak jauh dan memakan masa yang panjang untuk menamatkan 7 pusingan itu.

Kelihatan ramai yang masih bertawaf walaupun azan sudah berkumandang di udara, sebaik sahaja azan berhenti mereka pun akan berhenti dan bersolat di tempat terakhir tawaf mereka dan menyambungnya selepas solat nanti.


Sekian...wallahu aklam.

Friday, November 25, 2011

Mendengar bacaan al.Quran melembutkan hati

Salam semua.



14 : Surah Ibrahim.

[1]
Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
[2]
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).
[3]
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.
[4]
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[5]
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.
[6]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”.
[7]
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
[8]
Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[9]
(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: “Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang – mengikut dakwaan kamu – kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya”.
[10]
Rasul-rasul mereka bertanya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata”.
[11]
Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: “Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.
[12]
“Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah”.
[13]
Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: “Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami”. Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: “Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.
[14]
“Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu”.
[15]
Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah, untuk mendapat kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya).
[16]
Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).
[17]
Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.
[18]
Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.
[19]
Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Ia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu.
[20]
Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
[21]
Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? ” Mereka menjawab: “Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)”.
[22]
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
[23]
Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.
[24]
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.
[25]
Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
[26]
Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.
[27]
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
[28]
Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?
[29]
(Iaitu) neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.
[30]
Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka”.
[31]
Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).
[32]
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).
[33]
Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.
[34]
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
[35]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.
[36]
Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).
[37]
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
[38]
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!
[39]
“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.
[40]
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
[41]
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
[42]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).
[43]
(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
[44]
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu”. Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): “Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?
[45]
“Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-buKti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)”.
[46]
Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.
[47]
Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya).
[48]
(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.
[49]
Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu.
[50]
Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.
[51]
(Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.
[52]
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.


Haji yang mana satukah yang terbaik?.

Salam semua.

Di antara Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran, cara kerja haji yang mana satukah yang paling baik, persoalan ini sentiasa berputar di minda - apa cara dan apa kaedah pun yang dilakukan semasa kita mengerjakan Haji - Kiranya terhasil Haji Mabrur itulah yang terbaik kerana Haji Mabrur tiada lain janji-Nya melainkan jannah (syorga).
Kelihatan di dalam video sekumpulan orang berjalan laju seperti berkejaran itu adalah orang sedang bertawaf di tingkat satu ( bukan di dataran Kaabah ). di lokasi ini akan memakan masa yang agak lama untuk siap 7 pusingan kerana jaraknya lebih jauh berbanding di dataran di bawah sana.

Melakukan tawaf di bahagian ini juga perlu lebih barhati-hati kerana lengkongannya agak terkeluar atau jauh dari bangunan Kaabah yang boleh menyebabkan bahu kiri kita akan menghala ke arah lain.



Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, November 22, 2011

Menggunakan pembesar suara terkadang mengganggu.

Salam semua.

Keadaan di Mina pada 11,12 dan 13 Zulhijjah memang sesak, khemah didirikan berdekatan dan bersambungan di antara satu sama lain, penghuni hanya dipisahkan dengan dinding tirai sahaja, aku tidak pasti sama ada situasi ini masih boleh dibaiki atau dinaikkan tarafnya lagi pada masa akan datang atau ianya akan kekal begini sampai bila-bila kerana penggunaannya hanya
tiga hari sahaja dalam masa setahun. Wallahu aklam.

Keadaan demikian menyebabkan banyak perkara tidak selesa, bakal haji ke sini tidak seharusnya mengharapkan keselesaan, kemungkinan mereka boleh mengharapkan kelemahan yang boleh dibaiki oleh pihak pengurusan dibaiki dan diuruskan sebijak yang mungkin.

Dalam keadaan khemah berdekatan dan bersempadan itu mereka mendirikan solat mengikut khemah masing-masing, itulah sahaja cara yang terbaik.Tetapi Pembesar Suara pula menjadikan solat berjamaah tidak sempurna dan khusyuk, penghuni yang bersolat di khemah yang tiada pembesar suara tidak mendengar bacaan imam yang mereka ikuti sebaliknya mendengar bacaan imam dari khemah lain dengan jelas dan terang, beberapa bacaan dari khemah yang menggunakan pembesar suara berkumandang di udara, dalam keadaan letih dan penat itu tersasul juga makmum dibuatnya, terutamanya ketika takbir intiqal.

Ketika penghuni membuat ibadat secara individu kekadang terusik pula dengan gangguan pembesar suara yang menguasai ruang udara, hasrat bermunajat kepada Allah terpaksa beralih mendengar dan memikirkan apa yang dilaungkan atau dibaca oleh individu yang menggunakan pembesar suara. Munajat tidak lagi khusyuk dan tulen.

Qiamullail ialah jenis ibadat yang dilakukan atau dikerjakan secara individu ( bukan beramai-ramai - diadakan secara beramai-ramai itu adalah program latihan bagi mereka yang belum berpengetahuan dalam bidang tersebut ), sebaiknya dilakukan secara individu dengan dorongan dari hati sendiri ketika tengah malam sehingga menjelang waktu Subuh.

Andaian:
Mungkin keadaan akan menjadi lebih baik kalau semua khemah tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara atau penggunaan secara terkawal dengan menyedari bahawa penggunaan tersebut tidak menjejaskan ibadat dan aktiviti pihak yang lain di khemah yang berhampiran dengan mereka.

Sekian...wallahu aklam.


Monday, November 21, 2011

Nokia C3 - diseluk Si gadis berbaju hitam.


Salam semua.

Dalam jutaan manusia sedang beribadat kepada Allah terselit juga syaitan berakal di tengah-tengah ahli ibadat yang begitu ramai itu, mereka mencari peluang untuk menipu, mencuri dan merampas harta orang lain. Di tanah suci kita sentiasa bersangka baik dan melakukan perkara yang baik-baik tetapi syaitan berakal tidak demikian hasrat hatinya. mereka sentiasa mencari keuntungan dunia semata-mata.

Setiap hari ketika di Makkah aku bersama kekawan berjalan kaki ke Masjidil Haram untuk beribadat , di antaranya beriktikaf, melakukan solat sunat dan membaca al.Quran,walaupun jaraknya agak jauh kurang lebih 3km pergi dan balik kerana inilah satu-satunya peluang bersolat di masjid yang amat berkat dan berganda pahalanya itu maka kami gagahkan diri juga untuk ke sana.

Dalam kesesakan kami berjalan kaki itu, tiba-tiba seorang wanita muda menghampiriku dan disaksikan dua lagi kawan di sebelah kananku. wanita itu merapatiku disebelah kanan, kononnya memohon sedekah, dalam rayuannya meminta sedekah itu aku mensyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana wanita itu merapatkan badannya dengan diriku, aku mengherdiknya dengan mengeluarkan perkataan haram-haram dengan suara yang agak nyaring, Aku menyedari niatnya tidak baik tetapi langsung tidak terlintas apakah niatnya, kawanku Mustafa Kamal dan Lukman hanya mampu memerhatikan sahaja kerana aksi itu hanya sebentar sahaja, setelah aku herdik dia pun terus pergi dengan pantas, rupanya dalam keadaan kalut itu telefon Nokia C3 aku telah diseluk dan diambil keluar dari poket jubahku serta dibawa lari tanpa rasa bersalah sedikit pun, segala photo dan video yang dirakam di Madinah semuanya turut pergi bersama wanita muda berkulit hitam dan berbaju hitam tadi.

Aku reda dengan ujian itu dan aku doakan semoga Allah sayang pada wanita itu dan memberi hidayah dan taufiq kepadanya selepas peristiwa itu, doa ini aku luahkan di Masjidil Haram.

Sekian. Wallahu aklam.

Pengalaman naik bas tanpa bumbung.


Salam semua.

Dalam perjalanan dari
Mina ke Makkah selepas selesai mabit dan melontar di jumrah pada 13hb.Zulhijjah 1432 kami menaiki bas tanpa bumbung, pada mulanya rasa seronok kerana tidak panas tetapi sebenarnya banyak keburukannya habuk dan asap memenuhi ruang bas,berlaku kesesakan sepanjang jalan, lebih teruk lagi apabila berlaku kesesakan di dalam terowong, kekadang bas langsung tidak boleh bergerak, di sini barulah mengetahui keburukan menaiki bas tanpa bumbung suasana dalam bas menjadi panas dan menggelisahkan penumpangnya. nasib baik aku sediakan air di dalam alat sembur wuduk, aku semburkan air ke kepala beberapa kali sementara sampai ke destinasi.
Demikianlah berbagai ujian perlu dihadapi oleh mereka yag sedang mengerjakan haji, terkadang ujian itu tercipta oleh kejahilan dan kelemahan manusia itu sendiri.

Sekiranya pengurusan dalam bidang ini ditingkatkan kecekapan dan keprihatinnya dengan mengambil kira situasi para bakal haji yang terdiri dari berbagai usia dan kondisi kesihatan mereka, mungkin perkhidmatannya akan menjadi lebih baik lagi.

Peruntukan tandas dan bilik mandi yang tidak mencukupi di Mina menjadikan mereka yang tiada ketahanan mulai jatuh sakit atau sekurang-kurangnya tidak bermaya kerana keadaan cuaca panas yang tidak dapat dikendurkan kerana tidak cukup mandi dan jadual ke tandas tidak akur dengan hajat semasa. Kondisi ini akan terbawa keburukannya ke Makkah dan melambatkan beberapa tugas yang perlu diselesaikan untuk menjadikan kerja haji itu lengkap dan tamam.

Sunday, November 20, 2011

Dah nak balik Malaysia.

Salam semua.

Rasa dan teringin nak balik sudah sampai kemuncak, Isnin 18hb Zulhijjah 1432/14hb.Nov 2011 semua barang dah dimasukkan ke dalam beg, ikat dan tambat kuat-kuat takut terburai isinya nanti, pakaian lama dan baru semuanya ada termasuk ole-ole untuk yang mununggu dan menyambut kepulangan.

Boleh tawaf di tiga lokasi.

Salam semua.

Video ini menunjukkan lokasi tawaf terutamanya di dataran Kaabah, aras 1 dan aras 2. Mungkin anda ingin memanfaatkannya.

Saturday, November 19, 2011

Berjumpa kembali


Salam semua.

Alhamdulillah akhirnya dapat juga kita berjumpa kembali. Dengan izin-Nya kita masih berpeluang berkongsi ilmu. Setiap amal atau aktiviti di dalam kehidupan manusia bergantung pada niat yang tercetus dari hati, jika niatnya kerana Allah setiap kerja baik akan mendapat ganjaran baik dari-Nya, Niat kerana Allah bermaksud mengerjakannya kerana perintah Allah bukan didorong oleh hal-hal atau unsur lain yang berupa keduniaan semata-mata, seumpama umat Islam mengerjakan Haji. pemergian mereka ke lokasi mengerjakan Haji adalah kerana menunaikan perintah Allah, jika terdapat dikalangan mereka tersebut membiarkan pemergian itu atas dorongan lain maka terpesonglah tujuannya dan tidak terhasillah matlamat asalnya.