Wednesday, May 30, 2012

Karenah di Mina - Sabar ada hadnya.

Salam semua.

Di Hotel As.Syaruoq
Saya ingin mengimbau kembali peristiwa ketika di Mina pada musim Haji yang telah lalu. Sebelum meneruskan artikel ini biarlah kita merujuk kepada kursus-kursus Haji yang biasa dianjur dan dihadiri oleh para bakal Haji Malaysia, para bakal Haji dinasihatkan supaya mempunyai kesabaran yang tinggi apabila berada di Makkah nanti. Dalam semua hal yang menimpa mereka hendaklah bersabar, itulah agaknya yang difahami oleh sebahagian besar para bakal Haji walaupun kejadian yang berlaku itu telah merentasi garisan sempadan  kesabaran, mereka tetap mengekalkan kesabaran dan melupakan aduan dan ikhtiar, sikap ini kononnya untuk memabrurkan Haji nanti. 

Khemah di Mina
 Semestinya para bakal Haji kena bersabar dalam semua kesusahan yang dihadapi ketika mengerjakan Haji kerana situasinya di dalam beberapa hal ianya sangat sukar dan merumitkan, tetapi, dalam pada itu mereka masih ada ruang untuk mengadu dan menegur pihak-pihak tertentu jika berlaku kelemahan dan kesilapan yang menjejaskan kehidupan dan urusan kerja Haji mereka.Tegasnya sabar itu ada hadnya dan ianya tidak menafikan ikhtiar dan usaha, sabar tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar akan menghilang dan melenyapkan kualiti orang Islam.

Kalau ruang  usaha dan ikhtiar ditutup maka akan kekallah pihak berwajib menyediakan tandas hanya beberapa pintu untuk digunakan hampir ribuan bakal Haji di sesuatu lokasi, sikap ini akan menyebabkan tidak akan berlaku perubahan dan kemajuan ke arah keselesaan.

Padang Arafah - bukan musim Haji.
Pada hari pertama di Mina khemah kami lewat  menerima makanan tengah hari.Apabila sampai waktu makan tengah hari makanan masih  belum tiba, semua jamaah Haji menunggu dan menunggu sambil tertanya-tanya dan merungut, situasi menunggu ini berlaku dari semasa ke semasa sehinggalah jam 4.00 petang, pihak jamaah diberitahu oleh petugas supaya menunggu dan bersabar, ini pun kami mengetahuinya melalui cerita mulut ke mulut, di khemah kami tiada siapa pun yang datang memberitahu perkara tersebut, saya sendiri tidak mengetahui apa yang sedang berlaku sebenarnya .

Setelah  jam 4.00 petang saya merasai kesabaran telah pun melampui garis hadnya,kalau bertindak atau memberi teguran pun dirasakan tidak menjejaskan kerja Haji maka saya pun bangun dan keluar dari khemah menuju ke bilik masak, tidak sempat sampai ke bilik masak telah bertembung dengan pengurusnya dan lantas saya meluahkan apa yang saya dan kami semua tidak berpuashati, walau pun saya tidak dilantik untuk itu. Saya meluahkan kepadanya bahawa kelewatan sehingga begini  tidak sepatutnya berlaku, saya juga bertanya patutkah makan tengah hari jam 4.30 petang, beliau memberi alasan dapur buat hal, saya memberitahu beliau supaya  jangan salahkan dapur kerana dapur tidak berakal, mungkin jawapan itu bercampur dengan kemarahan, saya sendiri pun tidak pasti, saya mengambil masa yang singkat sahaja bersama dengan pengurus atau penyelia tersebut untuk meluahkan apa yang kami rasakan dan bakinya dibiarkan beliau berfikirlah sendiri.

Setelah saya balik ke khemah yang tidak berapa jauh dari Bilik Dapur,sejurus  kemudian barulah makanan dihantar ke khemah kami. Hari-hari berikutnya makanan dan minuman yang dihantar tidak lagi  lewat dari masa yang ditetapkan, sebaliknya sentiasa dipastikan semua jamaah mendapat makanan dan minuman setiap kali penghantaran, situasi menjadi lebih baik apabila penghuni khemah sendiri bertindak proaktif dengan menolong memastikan bekalan hantaran sampai kepada semua penghuni khemah. Walau pun ketika makanan diedarkan mereka tiada di dalam khemah, habuan mereka tetap ada. Diharap dan didoakan semoga pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya layanan terhadap bakal Haji yang pergi melalui Tabung Haji Muassasah ini akan  lebih baik lagi, insya Allah.

Sekian...Wallahu aklam.



Tuesday, May 29, 2012

Menzalimi diri sendiri.

Salam semua.

Persepsi ketika kanak-kanak.
Ketika kanak-kanak dahulu memahami kalimah zalim ini terhad kepada sesuatu perbuatan yang kejam atau aniaya terhadap orang atau makhluk  lain sahaja seperti merejamkan kepala kucing ke dalam air selama  beberapa minit atau mengurung binatang tanpa diberi makanan dan minuman, tidak pernah terfikir bahawa kezaliman boleh berlaku terhadap diri sendiri. Setelah dewasa barulah mengetahui bahawa rupa-rupanya  di antara perbuatan yang dilakukan atau enggan  melakukannya itu terdapat juga perbuatan yang dikategorikan sebagai  menzalimi diri sendiri.

Menzalimi diri sendiri.
Islam menjelaskan bahawa apa-apa sahaja perbuatan yang dimurkai Allah atau yang mengakibatkan diri pembuat itu akan disiksa di dalam api neraka, maka semua perbuatan tersebut adalah dikira dan dikategorikan sebagai menzalimi diri sendiri. Sebagai contoh "meninggalkan solat fardu " iaitu solat yang diwajibkan Allah lima waktu sehari semalam. Orang Islam sedia maklum bahawa menunaikan solat itu adalah wajib, sesiapa yang engkar dan tidak melaksanakannya akan diazab di dalam neraka. Dalam keadaan sedar dan mengetahui hakikat itu solat yang wajib ditunaikan itu tetap ditinggalkan juga, perbuatan seperti  inilah yang dimaksudkan mezalimi diri sendiri kerana diri sendirilah yang menyebabkan kena siksa di akhirat nanti.

Kesimpulannya apa sahaja perbuatan yang membawa ke neraka dikenali sebagai zalim. Mengenai orang yang zalim atau orang-orang yang zalim  ini  terdapat firman Allah di dalam al.Quran.

Bermaksud.
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan". 
( Surah Hud : 113 )

"And do not incline toward those who do wrong, lest you be touched by the Fire, and you would not have other than Allah any protectors; then you would not be helped".


Sekian...Wallahu aklam.


Debat dapat memantapkan kematangan berpolitik.

Salam semua.

Pada hematku.
Debat isu Palastin.
Malaysia telah pun memulakan debat di antara tokoh-tokoh politik sejak beberapa tahun yang telah lalu, seingat saya Tun Dr.Mahathir Muhamad pernah berdiri di atas pentas yang sama berhujah dengan Almarhum Dato' Sheikh Fadzil  Noor mengenai isu Palestin dan diikuti dengan beberapa debat yang lain dengan beberapa tokoh yang lain, seperti Salahuddin Ayub lwn Dato' Nazri Aziz, Dato' Seri Anwar Ibrahim lwn Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Lim Guan Eng lwn Datuk Seri Chua Soi Lek dan terkini Pengarah Strategi KeADILan Ahmad Rafizi Ramli  lwn Ketua Pemuda UmNO Khairy Jamaludin, pasangan Rafizi/Khairy telah dua kali bertemu dalam merealisasikan debat ini,sekalung bunga sesuai dihadiahkan kepada dua tokoh muda ini, sangat molek kalau permulaan itu diteruskan sehingga menjadi perkara biasa dan adat berpolitik negara Malaysia tercinta.

Rakyat ingin memilih tokoh-tokoh  yang berketrampilan untuk mengisi ruang parlimen yang sangat luas itu untuk mewakili mereka dan berhujah membela dan menjaga kepentingan mereka. Debat dapat memberi peluang mereka menilai tokoh-tokoh tersebut.

Melalui perdebatan dan hujah yang disampaikan akan memberi ilmu pengetahuan kepada rakyat biasa, amalan ini jauh lebih baik daripada mereka menonton TV di rumah atau pergi ke konsert yang menghiburkan. Sekali sekala elok juga melatih rakyat supaya berfikir secara rasional dan mengawal emosi serta membina ketahanan jiwa mereka.

Pada peringkat permulaan siri debat sememangnya akan terdapat ganguan tetapi lama kelamaan para penonton akan dapat mengawal diri iaitu setelah amalan debat ini dibiasakan, "Alah bisa tegal biasa", akhirnya ganguan-gangguan yang pernah dilakukan itu akan menjadi kera sumbang kalau mereka meneruskan amalan buruk itu.

Kalau takut untuk membuat anjakan dan perubahan akan lambatlah berlaku kematangan, budaya bergocoh, bertumbuk dan baling batu di lokasi dan pentas kempen politik akan berlaku berterusan. Kita tidak seharusnya melambatkan perkembangan intelek dan emosi sihat generasi muda yang boleh berkembang melalui budaya debat ini, di mana pada suatu hari nanti mereka  akan mewarisi pemimpin negara. Jadikanlah budaya debat sebagai salah satu medan memantapkan kematangan berpolitik rakyat.

Fizikal kita kelihatan telah maju dan sama majunya dengan negara barat, melihat pada pakaian, hiasan rumah, kenderaan yang digunakan persis orang maju, akan lebih lengkap kemajuannya kalau rohani juga dipersiapkan dengan minda yang mampu berfikir secara rasional dan adil untuk semua. 


Sekian...Wallahu aklam.


Saturday, May 26, 2012

Marah dan kekerasan bukanlah cara terbaik untuk mengubah sikap masyarakat.

Salam semua.

Pada pemerhatianku.

Senario negara Malaysia kini sedang menyerlahkan suasana kesebokan berpolitik masyarakatnya yang sedang bergerak aktif di seluruh ceruk  kampung dan bandar, kesepaduan rakyat berbagai bangsa dan agama kelihatan lebih jelas dan meningkat. Kefahaman orang bukan Islam terhadap Islam semakin meningkat dan positif, suasana ini selari dengan apa yang berlaku di seantero dunia, sejak 11 Sept 2001 iaitu selepas peristiwa keruntuhan bangunan WTC di Amerika Syarikat di mana keruntuhan itu kononnya disebabkan serangan pengganas Islam, tuduhan tanpa bukti itu menimbulkan keraguan awam, akhirnya peristiwa itu menjadi titik tolak masyarakat dunia ingin mengenali Islam melalui saluran yang betul iaitu mendapatkan maklumat dari orang Islam sendiri, Setelah mengenali Islam maka ramailah yang memeluk Islam sehingga Islam menjadi agama yang paling pesat menerima penganut baru di dunia.

Kalau dulu golongan yang cintakan Islam akan dijauhi oleh bukan Islam,setelah Islam semakin difahami, kini golongan itu dijadikan kawan dan rakan seperjuangan di dalam memakmurkan Malaysia secara berkongsi dan sama-sama berusaha mewujudkan landasan yang adil dan kena pada tempatnya.
Abad yang ke 21 adalah abad di mana manusia telah maju dan berpelajaran termasuklah rakyat Malaysia, sebahagian besar daripada mereka menguasai dan berkebolehan menggunakan internet dan teknologi moden (ICT) untuk menambahkan ilmu dan mendapatkan maklumat.Ilmu dan maklumat yang bertambah itu telah membentuk sikap dan pendirian di dalam sesuatu isu terutamanya terhadap suasana politik di persekitaran mereka dan juga perkembangan politik seluruh dunia.
Masyarakat yang  cerdik dan bermaklumat kebiasaannya mempunyai sikap dan pendiriannya yang tersendiri, termasuk mengenai  parti politik, ianya terbentuk melalui pengetahuan dan maklumat yang sentiasa mereka perolehi dari semasa ke semasa. Maklumat inilah mendorong mereka menyertai parti politik, mereka yang tidak menyertai parti dianggap sebagai  orang di atas pagar tetapi sebenarnya mereka menyokong parti tertentu secara diam-diam dan rahsia, perkara ini berlaku kerana sesuatu sebab yang tertentu yang berkait dengan suasana dan biah masyarakat. 

Marah dan kekerasan bukanlah cara terbaik untuk mengubah sikap  masyarakat yang bermaklumat, masyarakat kini menilai sesuatu dengan maklumat yang bermaruah dan contoh yang baik, sesuatu isu yang timbul perlu diulas dengan hujah yang benar dan boleh dipercayai.Sebahagian propaganda tidak lagi dapat memerangkap mereka, sebaliknya mungkin propaganda akan menjadi senjata makan tuan. 

Dalam bidang politik, kempen-kempen yang menjurus kepada penambahan ahli atau sokongan akan berjaya kalau dasar parti tertentu dapat menarik dan menambat hati mereka serta pemimpin yang menerajuinya pula dari kalangan mereka yang boleh dicontohi, gaya hidupnya sederhana dan memiliki keluarga yang baik dalam aspek amalan dan penghayatan Islam.(merujuk kepada masyarakat Islam), masyarakat bukan Islam pun tertarik dalam hal-hal seperti ini.

Islam sendiri menyebarkan ajarannya dengan memberi kefahaman mengenai  aqidah dan syariatnya, terpulanglah kepada manusia untuk mempercayainya, Islam melarang penganutnya menyebarkan ajarannya  secara paksaan, kalau terdapat di kalangan mereka yang ingin masuk Islam, mereka melakukannya secara sukarela dan reda di hati, jika kemasukan seseorang ke dalam Islam secara paksa ianya dikira tidak sah/ tidak diakui islamnya.
  
Firman Allah bermaksud.
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al.Baqarah : 256).

Sekian...wallahu aklam.


Rumah Usang.

Salam semua.

Menilai sebuah rumah yang usang.

kalau berada di dalam imej ini tidak kelihatan.
Sebuah rumah yang telah usang tetapi masih diduduki tidak akan dilihat usang atau buruk, jika dilihat dari dalam kerana di dalam rumah kebiasaannya akan dihiasi dengan berbagai perabot lama dan baru yang indah-indah.
Perabot, langsir dan cat yang cantik inilah akan menyebabkan keusangan itu terlindung dan memberi sangka baik kepada penghuninya bahawa rumah masih kukuh dan tidak perlu dibina baru atau berpindah ke rumah yang lain. 

Orang yang berada di luar rumah mempunyai tanggapan dan penilaian berbeza berbanding dengan penghuni yang berada di dalamnya sejak puluhan tahun yang telah lalu, orang di luar rumah  melihat dan menilai rumah itu memang telah usang dan tiada lagi ruang yang boleh  dibaiki kerana strukturnya telah rosak dan reput,mungkin pada  suatu hari nanti  rumah itu akan jatuh merudum menimpa penghuninya, demikianlah dari sudut pandangan orang yang berada di bawah dan di luar rumah, untuk menyelamatkan penghuninya rumah itu perlu diruntuhkan dan dibina yang baru atau berpindah ke rumah yang baru. 

Tiang, rasuk, papan lantai, kuda-kuda dan atap, semuanya telah dimakan ani-anai dan bubuk, kalau hendak dibaiki semua kerangka itu perlu ditukar baru,dalam proses  pertukaran itu mungkin akan menjejas dan merosakkan pula kayu-kayu yang masih kuat dan elok, memperbaikinya seolah-olah membuat yang baru, lebih baik rumah itu ditinggalkan dan membina yang baru.Tindakan ini dilihat lebih selamat dan menguntungkan, tinggalkan sahaja anai-anai dan bubuk yang menjadi ancaman terhadap ketahanan rumah. 

Catatan.
Orang di dalam rumah menilai perabot tetapi orang yang di luar rumah menilai struktur rumah.

Sekian...wallahu aklam.


Thursday, May 24, 2012

Ulamak Pewaris Nabi - Mufti bukan Tuhan.

Salam semua.

Mufti bukan Tuhan.
Mimbar di Raudah
Penulis terbaca di laman maya tajuk yang tertera di atas beberapa hari yang telah lalu dan terpanggil untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengannya.
Tiada siapa pun di kalangan orang Islam sejati menganggap mufti itu Tuhan, malah menganggap mereka itu Nabi pun tidak tetapi di sebalik itu umat Islam mengakui  bahawa mereka itu adalah warisatul  anbiyak ( Waris nabi-nabi) kerana mufti-mufti itu tentunya  dipilih dan dilantik di kalangan ulamak, kecuali, jika mereka itu tidak jujur dan khianat dalam menjalankan  tugas  akan termasuklah pula mereka itu ke dalam kalangan ulamak suk (jahat), ketika itu mereka  tidak lagi layak menjadi waris nabi-nabi.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ulama adalah pewaris para nabi.” الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ
( Hadis riwayat  At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda r.a )             .    

Umat Islam memerlukan ulamak.
Umat Islam memerlukan ulamak dan juga mufti oleh itu umat Islam berkewajipan menjaga kewibawaan mufti supaya mereka  sentiasa berada di dalam status warisatul anbiyak dan mufti sendiri juga berkewajipan menjaga status dan maruah diri mereka  supaya tidak dipertikaikan kewibawaan mereka. 

Suka atau benci umat Islam tidak dapat elak dari menjaga institusi atau golongan ini, Islam sebagai addin yang diterima Allah datang dan berkembang melalui mereka. Selepas zaman Rasulullah.s.a.w.dan sahabat-sahabat, Islam berkembang melalui golongan ulamak sehinggalah zaman ini mereka masih berperanan dan terus berperanan, Ilmu Islam diperturunkan secara berhati-hati dari generasi ke generasi supaya tidak lari ketulenannya. Tertib dan disiplin mempelajari ilmu Islam semestinya bersama guru dan kitab. Ulamaklah yang menjadi guru di dalam sesuatu masyarakat Islam, inilah amalan yang dipraktik sejak zaman berzaman di dunia ini, selepas itu barulah wujud langkah yang lain, sabda Nabi " ballighu 'anni  walau ayah" ( sampaikanlah dariku walau satu ayat ). Mempelajari sesuatu kitab atau ilmu Islam terutamanya ilmu yang melibatkan aqidah dan hukum hakam, jika tanpa berguru seumpama mempelajarinya  dengan bergurukan syaitan. Maksudnya mempelajari ilmu secara itu akan terdedah dengan penyelewengan atau terpesong.

Ulamak.
Ulamak yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang alim atau mempunyai ilmu yang luas, khususnya ilmu dari al.Quran dan al.Hadis ( Ilmu Islam ), ilmu tersebut tidak sekadar tersimpan di dalam minda atau merujuk kepada sijil yang dimilikinya sahaja tetapi lebih dari itu iaitu mereka mengamal dan menghayatinya serta mengajak masyarakat sama-sama menghayati amalan tersebut. Terdapat di kalangan mereka itu diiktiraf oleh masyarakat Islam di peringkat daerah, negeri, negara dan dunia Islam. Status mereka  terpulanglah kepada pengiktirafan tersebut mengikut tahap kebolehan dan kewibawaan masing-masing.Semua ulamak menguasai  bahasa Arab dengan itu mereka memahami bahasa al.Quran.

Ulamak tercabar.
Orang bijak dan pintar yang penuh dengan keegoan yang enggan mempelajari ilmu Islam secara tertib akan dengan sewenang-wenangnya membuat kesimpulan sendiri dan sanggup melanggar hukum-hukum yang telah pun diputus dan diamalkan, akibatnya ajaran Islam akan hilang ketulenan dan umat Islam di peringkat awam menjadi celaru dan terpinga-pinga, lebih berbahaya lagi jika terdapat di kalangan mereka  yang terikut-ikut atau menjadi pengikut setia pula. Gejala ini sedang mencabar golongan ulamak dan umat Islam amnya.


Dakwah Islam.
Adakah gerakan dakwah Islam setiap negeri atau di peringkat negara sedang bergerak secara proaktif untuk memantapkan aqidah orang Islam, adakah mereka yang layak mendapat tauliah telah diberi tauliah  untuk memudahkan mereka bergerak di dalam masyarakat, adakah pendakwah yang bertauliah nisbahnya sesuai dengan jumlah masyarakat Islam yang memerlukan ilmu daripada pendakwah atau guru yang dimaksudkan. Persoalan ini wajib direnungi dan diselesaikan, jika mahu masyarakat Islam kebal dari ancaman aqidah mereka.

Sekian...wallahu aklam.

Monday, May 21, 2012

Tatkala Jantung Hati Mati ( Video )

Salam semua.
Artikel kali ini sekali lagi memaparkan video, video sekitar Forum bertajuk " Tatkala Hati Mati "  yang dirakamkan pada 29 Jamadil Akhir 1433/20 Mei 2012 di Surau Ar.Rahmah Seksyen 8.Shah Alam. Selangor. Hati yang dimaksudkan ialah jantung hati iaitu Qalbu ( qulub) suatu kalimah yang tercatat di dalam  al.Quran, setengah pendapat menyatakan terjemahan qalbu sebagai hati itu  kurang tepat seperti mana yang dikehendaki kerana qalbu itu adalah jantung, mungkin lebih tepat kalau disebut di dalam bahasa Melayunya jantung hati.

Allah menegaskan bahawa di dalam hati/jantung  golongan manusia munafik mempunyai penyakit, penyakit yang dimaksudkan bukanlah penyakit fizikal jantung hati itu tetapi ianya berupa penyakit rohani atau masalah jiwa. 


Hati yang sakit:

Allah berfirman;

Bermaksud,
 Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Hati yang hidup:

Allah berfirman.

Bermaksud.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

                                      Video 1
                            Ustaz Ahmad Dusuki Rani.

                                       Video 2
                                   Bob Lukman
 
Video 3
Ustaz Nik Abduh  Nik Abdul Aziz
Video 4 
Video 5 
Video 6 
Video 7

Sekian...wallahu aklam.

Saturday, May 19, 2012

Ingatlah MATI kerana peringatan itu memberi kebaikan.

Salam semua.

Mengingatkan mati.
Mengingatkan mati bukan suatu perbuatan yang menunjukkan berubah tabiat, sebaliknya mengingatkan MATI itu sesuatu yang disuruh dan mendapat pahala, mengingat bermakna berfikir dan minda akan aktif.Kalau mengingatkan sesuatu dengan berilmu manfaatnya akan berganda.Apakah faedah yang akan diperolehi hasil daripada mengingatkan MATI, Jom kita fikir-fikirkan faedahnya.Dengan mengingatkan mati mungkin ego seseorang akan menurun dan beransur kurang, akan menyedarkan seseorang mengenai hal-hal mengenai persediaan ke akhirat, lantas menyemak kadar persediaan bekalan yang akan dibawa ke akhirat, akan datang rasa  muhasabah sejauh mana perintah Allah telah dilaksanakan dan akan terasa menyesal terhadap pengabaiannya selama ini.

Apakah MATI itu ?.
Kita mungkin tidak menyedari bahawa kematian seseorang itu hanya sebahagian sahaja, pernahkah kita fikir hal ini, pernahkah anda fikir hal ini, kalau tidak fikir kita akan terlepas pandang. Ya betul, kita hanya mati sebahagian sahaja.Bukankah diri kita terdiri daripada jasad (fizikal) dan roh, dua unsur ini bersepadu ketika kita hidup, apabila sampai saat berlakunya kematian ROH keluar daripada BADAN. Badan akan dimandi dan solat mayat dilakukan ke atasnya,kemudian dikebumikan, manakala roh pergi ke alam roh ianya tidak mati. BADAN pada asalnya tiada kemudian ada. ROH juga asalnya tiada kemudian ada dan terus ada. Roh ketika dijadikan berada di alam roh kemudian barulah Allah masukkan ke dalam badan ketika kita berada di dalam perut ibu, kemudian setelah hidup di dunia dalam masa tentu roh pun dikeluarkan  daripada badan ( MATI ) dan roh kembali ke alam roh, apabila kita dibangkitkan semula dari alam kubur, roh akan dikembalikan dan bersepadu semula dengan badan. Demikianlah Maha Berkuasa dan Maha Pencipta Allah, wallahu aklam.

Apabila berlaku kematian fikiran kita lebih tertumpu kepada jasmani yang telah rosak dan kurang memberi perhatian kepada roh yang telah berpisah dengan badan yang masih hidup. Roh inilah sebenarnya teras diri manusia tanpa roh manusia akan menjadi rosak, reput dan hancur serta bercampur aduk dengan tanah dan akhirnya menjadi tanah semula. 

Apabila mengingatkan mati manusia akan terkedu sebentar, kemudian selepas beberapa ketika melupainya pula, manusia bukan tidak takut mati, semua manusia memang takut mati tetapi Allah Maha Bijaksana menjadikan rasa takut itu tidak keterlaluan, sebaliknya Allah juga menyediakan ketenangan dan kegembiraan kepada manusia semasa hidup di dunia ini, dengan itu manusia boleh terus hidup dan mampu membuat persediaan menghadapi kematian, itulah hakikat hidup di dunia yang manusia perlu fahami. 

...........................................................

Firman Allah;


Bermaksud,
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".
( Surah Ali Imran : 185 )
 Firman Allah;

 Bermaksud;
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
( Surah al.Anbiyak:35 )


Firman Allah,
 Bermaksud;
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.
( Surah Al.Jumuah : 8 ) 

Al.Hadis,
Ya Allah, lanjutkanlah hidupku sekiranya hidup itu
lebih baik bagiku dan segeralah matikan aku sekiranya
mati itu lebih baik bagiku. 
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5671).


...........................................................


Catatan.
Dengan mengingatkan kematian akan mendorong kita  lebih
berwaspada dalam menghadapi cabaran dan liku-liku kehidupan. Kita akan sentiasa berusaha untuk mematuhi dan mentaati perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan berusaha sedaya upaya meninggalkan segala
larangan-Nya kerana kita tidak mengetahui masa dan detik ajal akan sampai  dan tiba giliran kita.
Islam menggalakkan umatnya  supaya sentiasa ingat akan kematian kerana peringatan itu akan memberi motivasi kepada kita untuk bersungguh memperhambakan diri dengan Allah, dengan cara ini juga kita dapat merapat dan mengakrabkan diri kepada Allah.

Peringatan khas untuk diri sendiri dan dikongsi bersama anda.

Sekian...wallahu aklam.


Friday, May 18, 2012

Semua agama adalah sama - Suatu kenyataan yang tidak tepat.

Salam semua.
 Artikel kali ini akan menyentuh secara ringkas dan sepintas lalu mengenai kepercayaan atau kenyataan yang menyatakan " semua agama adalah sama"  adalah suatu kenyataan yang tidak tepat dan menyeleweng  serta berbahaya bagi orang Islam. Kenyataan atau isu ini  sering terpapar di media pada  masa kebelakangan ini. Penulis berharap orang Islam perlu berhati-hati dalam mengambil sikap menyetujuinya. Cara hidup orang Islam berpandukan al.Quran dan al.Hadis dan dipermudahkan kefahamannya melalui Ilmu Tauhid (Aqidah), Fiqah, Ulum al.Hadis, Ulum al.Quran dan lain-lain ilmu yang merujuk dan berpandukan kepada al.Quran dan al.Hadis, ilmu ini menjuruskan  minda seseorang itu kepada makrifatullah ( Kenal Allah ) dengan itu

Apakah yang dimaksudkan dengan kalimah "sama" itu.
Maksud sama sangat senang untuk difahami tetapi kalau tidak berhati-hati dan teliti akan tersasar ke arah lain jua, "Sama" dalam bahasa yang mudah difahami bahawa ianya membawa makna  tiada perbezaan, benarkah ianya tiada perbezaan atau sama itu hanya secara rambang sahaja seperti  kebanyakan orang sering menyatakan adik beradik kembar itu sama rupa parasnya, betulkah sama, cuba perhatikan betul-betul, apabila dilihat dan diperhatikan dengan cermat ternyata mereka itu sebenarnya tidak sama, mereka berdua hanya hampir sama, hampir sama adalah tidak sama atau berbeza.

Allah hanya menerima Islam sahaja sebagai cara hidup yang diredai-Nya seperti yang telah dinyatakan Allah di dalam Surat Ali Imran ayat 85 ( rujuk ayat dan maksudnya di bawah ini ). Allah menegaskan bahawa barang siapa mencari agama ( Addin )  selain Islam. Allah  tidak akan menerimanya dan mereka itu akan menerima kerugian di hari akhirat kelak.

Firman Allah Taala


Bermaksud,
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi
(Surah Ali Imran : 85 )

 Makrifatullah ( Mengenal Allah ).
Di dalam ajaran Islam mengenal Allah atau mengenal Tuhan itu adalah perkara yang paling utama dan paling awal yang perlu diselesaikan. Di antara ayat yang wajib dirujuk untuk mengenal Allah ialah Surah al.Ikhlas yang tertera di bawah ini.

 Firman Allah;

Bermaksud,
[1]
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
[2]
“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3]
“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4]
“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Perakuan mentauhidkan Allah.
Adakah di dalam agama lain di dunia ini mempercayai dan beriktiqad seperti yang diwajib dan disarankan oleh Islam seperti yang disebutkan di dalam Surah al.Ikhlas di atas, jawabnya tentulah tidak, kalau jawapannya tidak, dari manakah datangnya kenyataan yang menyatakan semua agama itu sama, mungkin  datangnya dari orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak peka dengan ilmu Tauhid terlepas pandang dan mempercayainya, tanpa mengetahui akibatnya di kemudian hari, kalaulah  kenyataan ini datangnya dari orang bukan Islam, kenyataan itu mungkin sesuai dengan kepercayaan mereka, maka biarkanlah mereka mempercayainya demikian, bagi umat Islam tidak patut terpengaruh dengan kefahaman yang bertentangan dengan aqidah Islam itu tetapi tindakan yang lebih baik dan afdal perjelaskanlah pendirian orang Islam dan aqidah orang Islam kepada umum, setidak tidaknya tindakan itu sebagai salah satu aktiviti dakwah orang Islam, tetapi malangnya di tempat dan situasi tertentu kita dilarang berbuat demikian kerana dihalang oleh ketiadaan tauliah dari pihak berkuasa, berilmu tidak semestinya boleh berdakwah.Apa pun semangat dan roh dakwah jangan dipadamkan, jika diusahakan di sana ada jalannya.

Perakuan di dalam Surah al.Ikhlas inilah yang memperjelaskan lagi  bahawa " semua agama tidak sama ", tegasnya Islam tidak sama seperti agama-agama yang lain di dunia ini. Islam berpendirian dan mempercayai bahawa Islam  tidak sama dengan agama-agama yang lain termasuk agama-agama samawi.

Syirik/menyengutukan Allah.
Syirik atau menyengutukan Allah adalah dilarang keras, jika mempercayai semua agama itu sama, maka jelaslah kepercayaan seumpama itu mensyirikkan Allah kerana mengakui dan mempersetujui kepercayaan dan perbuatan agama lain yang jelas mensyirikkan Allah, sebagai contoh orang Kristian mempercayai Allah tetapi disamping itu mereka juga mempercayai Isa anak Tuhan dan Mariam ibu Tuhan, kepercayaan ini bertentangan dengan mesej yang terkandung  di dalam Surah al.Ikhlas. Demikianlah juga penganut agama selain Islam mempercayai dan menyembah berbagai sembahan yang dikategorikan sebagai syirik kepada Allah.

Wawasan addinul Islam.
 Wawasan dan matlamat utama umat Islam ialah memastikan mereka mendapat tempat syurga di akhirat nanti,iaitu suatu tempat yang kekal abadi , dunia ini adalah sebagai ladang untuk mendapatkan bekalan yang akan dibawa ke akhirat, setiap kerja buat di dunia akan ada balasannya di akhirat, sama ada balasannya syurga atau neraka, oleh itu orang Islam hendaklah berusaha bagi mendapatkan identiti yang betul seperti yang dikehendaki serta  diredai Allah, tegasnya tidak syirik atau tidak kafir kepada Allah.
Firman Allah,
Bermaksud,
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.
Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, May 16, 2012

Anak-anak melihat dan menonton (puisi)

Salam semua.

Hari Guru disambut dihiasi bunga indah.
Hasrat tersirat anak-anak mencontohi.
Atas pentas anak-anak ucap kalam indah.
Menghormati pemimpin datang menziarahi.

Hari Ibu siap sudah.
Sambutannya juga cukup indah.
Hasrat tersirat mengajar dan mentarbiah.
Zuriat  diharap manjadi solih dan solihah.

Malaysia majmuk digarab 1Malaysia.
Rakyat berpecah diusaha disatu.
Itulah dicanang setiap media.
Agar rakyat bahagia dan bersatu.

Lain di lidah, lain pula perbuatan.
Pinggul ditunjuk di khalayak ramai.
Anak remaja melihat akan perbuatan.
Apakah budaya yang hendak disemai.

Hari Ibu dan Hari Guru.
Harapannya tinggi menggunung.
Jangan hendaknya ada yang tipu.
Merayakannya hanya tunjuk sombong.

Mengajar dan belajar melalui teladan.
Sejak  berzaman budaya bersambung.
Anak-anak melihat dan menonton.
Tabiat yang sama akan disambung.

Tanpa persekitaran yang sepadu.
Sukarlah tugasan  ibu dan guru.
Janganlah lupa pada yang Satu.
Itulah tertib budaya ilmu.
 

Sekian...wallahu aklam.

Media gergasi menidurkan masyarakat dunia

Salam semua.
imej google
Pembohongan atau berbohong di zaman teknologi canggih ini liputannya sangat meluas dan seantero dunia, sifatnya kelihatan hebat dan bermaruah. Pembohongan ini digerakkan melalui agensi yang juga canggih dan berwibawa dari segi kuasa dan kewangannya. Pembohongan ini dilihat oleh orang yang jahil sebagai benar dan perlu diberi sokongan yang mantap.

Zaman pembohongan.
Syaitan juga sangat canggih memainkan peranan liciknya sambil memperkudakan tokoh-tokoh manusia yang jahil ajaran Allah atau yang sangat cintakan kebendaan. Makhluk  Allah yang jahat dan licik ini berjaya memukau minda manusia sehingga kedapatan di antara  mereka melihat sesuatu yang buruk itu kelihatan baik dan perlu dipertahan dan diteruskan aktivitinya.
Syaitan ingin mencipta kehidupan zaman ini sebagai zaman pembohongan dan zaman kejahatan yang mengamalkan kepercayaan " siapa pandai berbohong dia akan menang dan berjaya" dengan ini mereka akan berjaya menyah dan melemahkan para pejuang  menegakkan kebenaran. Kepercayaan ini sedang mendapat sambutan dan sokongan daripada berbagai lapisan masyarakat, baik cendekiawan, agamawan dan berbagai manusia yang sangat cintakan kebendaan.
Cendekiawan sanggup menukar teori ilmunya untuk memenangkan pembohongan kumpulan sokongannya, agamawan pula sanggup  membiarkan pemimpin dan ahli kumpulannya menyebarkan pembohongan, walau pun diri sendiri menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran,aktiviti ini hanya menjurus kepada sasaran tertentu sahaja tetapi, tidak pula mencegah kemungkaran dan pembohongan yang sedang dilakukan oleh pemimpin atau  ahli kumpulan sendiri kerana kononnya ingin melakukan teguran itu secara berhikmah yang akan dilakukan secara dalaman, sedangkan apabila berada di dalam kumpulan, sifatnya berubah menjadi kecil dan hilang keberanian, umpama pijak semut pun tidak mati. Mungkinkah hujah itu hanya untuk menjaga kebendaan yang dicari atau dicari-cari selama ini.

Pembohongan global.
Biarlah kita melihat pembohongan ini secara lebih luas dan global, apabila Islam dituduh menjana keganasan melalui individu atau pertubuhan tertentu tanpa sebarang bukti yang dapat disabitkan dan diuar-uarkan oleh musuh Islam ke seantero dunia di dalam media gergasinya berulang kali, lantas orang Islam turut hilang daya nilai sehingga menyebabkan benda  putih dikatakan hitam, perkara baik pula  dikatakan jahat, semata-mata terpengaruh dengan propaganda musuh, budaya berbohong ini telah berjaya membaluti kehidupan masyarakat dunia, termasuk masyarakat negara maju juga terpedaya dengan aktiviti yang  bersifat syaitan ini.Justeru sebahagian masyarakat Islam juga mengambil kaedah ini untuk menjayakan cita-cita mereka, termasuk hasrat politik yang serba mencabar kini tanpa rasa bersalah atau tertipu dengan budaya yang tidak bermaruah ini.

Media gergasi menidurkan masyarakat dunia
Suatu ketika dahulu Iraq dituduh menyimpan senjata canggih dan berbahaya untuk berperang atau meluaskan jajahan takluknya, media gergasi memainkan peranannya untuk memperdayakan masyarakat dunia, media berjaya mempengaruhi masyarakat dunia, setelah pembohongan ini menjadi gah seantero dunia, masyakarakat antara bangsa pun bersetuju  menyerang Iraq  untuk menewaskan Sadam Husein Presiden Iraq pada ketika itu, kononnya Sadam sangat jahat orangnya, oleh itu Amerika Syarikat mengambil peranan penting menyerang Iraq yang tidak bersalah itu, kononnya untuk menghapuskan senjata yang tersimpan dan disembunyikan oleh Sadam tetapi sehigga ke hari ini senjata tersebut tidak dijumpai, mustahil akan menjumpai sesuatu yang tiada.

Sedang pembohongan global berlaku masyarakat dunia mendengarnya seperti seorang yang sedang tidur, tiada tentangan dan tiada pertanyaan, mereka tidak fikir bahawa tindakan itu akan menyebabkan dunia akan musnah dan rosak, kalau tiada keadilan tidak mungkin akan wujud keamanan. Media gergasi dunia menipu masyarakat dunia manakala media gergasi negara menidurkan masyarakat negaranya, kini kita sedang terperangkap di dalam cengkamannya.


Jenis pembohongan.
Berbagai cara pembohongan boleh dilakukan pada zaman teknologi canggih ini, melalui video yang tulen atau "diedit" , foto asal atau juga "diedit" dan berbagai-bagai lagi dengan menggunakan teknologi terkini yang disebarkan melalui internet, media eletronik atau media cetak, bagi mereka yang mempunyai kuasa dan wang  yang banyak maka banyaklah  peluang turut menunggu mereka untuk merealisasikan hajat.

Walau pun kita tidak melihat-Nya tetapi Allah melihat dan menilai perbuatan kita

Sekian...wallahu aklam.



Selamat Hari Guru - 2012

Salam semua.

SELAMAT HARI GURU

Imej Ihsan google
Laman Kehidupan Bersih mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru.

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara.


Firman Allah yang bermaksud : 
"Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan" 
( al-Mujadalah : 11 )

Kalau hendak dunia dengan ilmu.
Kalau hendak akhirat dengan ilmu.
Kalau hendak kedua-duanya dengan ilmu.
Belajarlah rajin-rajin jangan jemu.
Kalau murid ikutlah guru.
Kalau guru tunjukkanlah lokasi yang dituju.


Sekian...Wallahu aklam.

Tuesday, May 15, 2012

Titik hitam yang tertera di atas kertas putih pastinya akan jelas kelihatan

Salam semua.
Apa yang anda lihat.Jawabnya ?
Berfikir dengan betul, tepat dan adil.
Titik hitam yang tertera di atas kertas putih sudah pasti akan jelas kelihatan, sebaliknya amat sukar melihat titik hitam yang tertera di atas kertas hitam, ditambah pula melihatnya  pada waktu malam yang gelap gelita.
Titik hitam yang tertera di atas kertas putih, ungkapan ini pula merupakan suatu ibarat yang mungkin kita dapat huraikan perbandingannya, di dalam Islam Rasulullah.s.a.w. pernah bandingkan bayi yang baru dilahirkan itu seumpama kain putih, perbandingan tersebut untuk menyatakan bersih dan baiknya bayi tersebut dari segi akhlaknya, kesimpulannya putih disesuaikan dengan bersih dan baik. 
Manakala hitam ibarat kepada sesuatu yang tidak baik dan tidak disukai, namun begitu ibarat ini tidak selalunya betul dan benar, ada kalanya tidak tepat tetapi pada kebiasaannya manusia memberi penilaian demikian. Kedua-dua perbandingan atau ungkapan ini bertujuan supaya manusia berfikir dengan betul dan tepat serta adil.

Apakah yang anda lihat?.
Kalau ditanya, apakah yang anda lihat di dalam imej yang tertera di penjuru kiri di atas itu, sebahagian besar daripada kita akan menjawab titik hitam, jawapan itu sebenarnya betul tetapi tidak betul semuanya kerana di situ bahagian yang lebih besar atau lebih luas ialah putih.Putih yang dilihat itu hanya terhenti dan tersimpan di dalam minda sahaja, tidak mahu meluah atau menceritakannya, putih tidak diaktifkan menjadikan situasi putih itu akhirnya dilupakan sahaja.Kalaulah titik hitam itu disebarluaskan, dihebohkan, dipropagandakan, difitnahkan akhirnya titik hitam itu akan menjadi teras di dalam imej yang putihnya itu lebih banyak dan lebih luas .Situasi ini amat rugi kerana penilaian yang tidak betul dan tidak tepat menjadi pilihan. Kalaulah imej itu diibaratkan sebagai seorang manusia bermakna masyarakat telah melakukan kesilapan besar terhadap dirinya dan diri masyarakat itu sendiri. Islam menolak penilaian cara ini, penilaian cara ini hasilnya tidak tepat dan tidak hakiki.

Manusia yang baik.
Kembali kepada alam yang nyata, alam yang biasa kita lalui
selama ini, manusia yang baik bermaksud manusia yang memiliki sedikit kejahatan dan melakukan kebaikan berganda-ganda, ditakrifkan demikian sebab tiada manusia yang maksum, tiada manusia yang tiada titik hitam dan tiada manusia yang tiada dosa, semua manusia melakukan dosa. Kesimpulannya manusia yang baik itu adalah manusia yang sedikit titik hitamnya atau dosanya.Manusia seperti ini ibarat kain atau kertas putih, layak diberi penghormatan atau diangkat darjatnya oleh masyarakat.

Kesilapan.
Orang baik seperti ini kalau ada sedikit kesilapan atau titik hitam pada dirinya masyarakat akan melihat dan fokus pada titik hitam tersebut kerana terpengaruh dengan suara dan bisikan syaitan yang menguasai propaganda dan menjana fitnah di seluruh ceruk rantau, syaitan berusaha supaya titik hitam itu menjadi dominan di dalam diri orang tersebut dan melupakan latar putih yang lebih luas dan berganda banyaknya berbanding dengan titik hitam yang sedikit itu, kalaulah orang berkenaan itu berada di dalam saf sesuatu kepimpinan, masyarakat akan gagal memilihnya sebagai pemimpin dan tindakan ini membawa kepada kegagalan masyarakat membina masyarakat lebih berkat dan dihormati.Sebaliknya yang terpilih ialah individu yang mempunyai banyak titik hitam dan sedikit titik putih kerana titik putih yang ada padanya dijulang dan dihebohkan sehingga ianya  kelihatan seolah-olah  besar dan bitara.

Titik hitam di atas kertas yang hitam.
Titik hitam yang berada di atas kertas yang hitam umpama semut hitam yang sedang berhenti atau bergerak di atas batu yang juga hitam tentulah sukar hendak melihatnya, pandangan objek itu telah pun menguasai imej keseluruhannya dan tidak lagi pedulikan imej hitam yang lain yang sedang berada atau menokok tambah di atasnya, demikianlah kejahatan yang dilakukan oleh orang yang sedia jahat atau banyak jahatnya akan menjadi mangli dan malas untuk orang lain menilainya, malas menilai inilah akan memberi peluang kepadanya untuk menguar-uarkan bahawa dia sebenarnya orang baik dan berwibawa.

Menilai Islam secara salah.
Orang Islam yang mengikut ajaran Allah yang baik itu dihebohkan sebagai pengganas oleh suara dan bisikan syaitan di seluruh dunia,akhirnya sebahagian besar masyarakat dunia yang sedang tidur terpengaruh dengan bisikan jahat tersebut, kecuali mereka yang jaga dan sedar sahaja yang dapat berfikir secara lojik dan diterima akal bahawa orang Islam tidak ganas, mereka yang jaga ini pula akhirnya bergerak meraba-raba mencari orang Islam untuk mengetahui hakikat sebenar tentang Islam, maka kemudiannya berduyun-duyunlah pula masyarakat bukan Islam dunia beralih kepada Islam dan menganut Islam.

Orang Islam terperangkap.
Sebahagian orang Islam yang kurang iman dan tidak patuh pada ilmu hakiki juga terperangkap di dalam cara hidup demikian, untuk membuktikannya lihat dan bacalah sebahagian media orang Islam, bukankah cara mengarang dan mengolahnya mengikut acuan tersebut, peringatan demi peringatan diberi supaya bercakap benar tetapi nasihat itu umpama mencurahkan air ke atas daun keladi membasahi di atas permukaannya tetapi tidak masuk ke dalam dirinya. 

Sekian...wallahu aklam.