Sunday, May 31, 2009

Semua orang bencikannya.


ا
لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Kali ini marilah sama-sama kita renungi telatah manusia di dalam kehidupan yang kita juga sama-sama turut serta sebagai penghuninya dan bertanggungjawab kepadanya.

Suka, duka, adil, zalim, tipu, pura-pura, jujur, bersih, kotor., harum, busuk, jijik dan seumpamanya sudah menjadi lumrah di dunia ini. Di antara perkara tersebut ada yang disukai dan ada juga yang tidak disukai manusia, terdapat juga yang disukai oleh seseorang, sebaliknya orang lain pula tidak menyukainya.

Di dalam topik ini kita hanya fokuskan kepada perkara-perkara yang semua orang benci atau tidak suka berlaku pada dirinya. Namun begitu, mungkin mereka pula suka perkara itu berlaku pada orang lain walaupun mereka benci jika berlaku pada diri sendiri. Mari kita fikirkan perkara tersebut dan senaraikan di bawah ini, apa-apa yang tertinggal anda bolehlah menambahnya di ruangan yang disediakan.

(1) Zalim, sebelum itu marilah kita teliti maknya, zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya, Zalim yang ketara ialah penipuan yang besar yang memberi kesan buruk yang juga besar atau suatu perbuatan siksa terhadap orang lain atau diri sendiri.

Siapakah di antara kita yang suka dirinya dizalimi, ditipu, dimarahi tanpa sebab atau lain-lain perbuatan yang dikategorikan sebagai perbuatan zalim. Sudah tentu tiada siapapun yang menyukainya.

Terdapat manusia yang tidak suka perkara ini berlaku pada dirinya dan keluarganya tetapi dia melakukannya kepada orang lain.

(2) Dia benci kalah, di dalam sesuatu perlawanan atau pertarungan seseorang itu tidak suka kalah, berlebih-lebih lagi kalau kalahnya itu hasil penipuan pihak lawan. Semua orang tidak suka perkara ini menimpa dirinya.
Ada orang menipu orang lain untuk kemenangan dirinya walaupun dia sendiri tidak suka dikalahkan secara penipuan.

(3) Semua orang benci kalau orang yang diberikan hutang tetapi tidak membayarnya.
Sebaliknya tidak pula dia benci kepada dirinya yang tidak membayar hutang yang diberikan kepadanya.


(4) Perkara yang paling ketara sekali ialah manusia tidak suka difitnah kerana fitnah itu akan membawa akibat buruk kepada dirinya.
Ada juga manusia yang suka membuat fitnah terhadap orang lain tetapi dalam masa yang sama dirinya tidak suka difitnah.

(5) Manusia benci dan marah kalau anak pinak atau ahli keluarganya diganggu atau dirosakkan oleh orang lain, dianiaya atau seumpamanya.
Dalam waktu yang sama terdapat pula mereka yang benci perbuatan tersebut tetapi melakukan kerosakkan terhadap anak pinak atau ahli keluarga orang lain.

(6) Semua orang tidak suka dirompak dan benci peragut.
Tetapi terdapat di kalangan yang benci perompak atau peragut itu bekerja sebagai perompak atau peragut.

Pada pendapat saya inilah di antara sifat pentingkan diri sendiri tanpa had dan sempadan. Sengaja dijadikan topik untuk direnungi bagi mencari sebab-sebab mengapakah perkara yang sepatutnya tidak berlaku tetapi ianya terus berlaku juga sehingga sukar dihapuskan.

Malah melibatkan semua lapisan masyarakat, sama ada berpelajaran atau tiada pelajaran, berpangkat tinggi atau rendah, orang bandar atau orang kampung, bangsawan atau rakyat biasa. Enam perkara yang disenaraikan di atas adalah sebagai contoh sahaja, banyak lagi perbuatan buruk seperti itu berlaku di dalam masyarakat.

_________________________

Firman Allah bermaksud;

"Dan sungguh Allah telah menurunkan
kepada kamu di dalam Al Qur'an bahawa
apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah
diingkari dan diperolok-olokkan
(oleh orang-orang kafir), maka janganlah
kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka
memasuki pembicaraan yang lain.
Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian),
tentulah kamu serupa dengan mereka.
Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan
semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir
di dalam Jahannam",
Surah An.Nisaak (140)
Sekian. Wallahu aklam. wassalam.

Friday, May 29, 2009

Menghayati Khutbah Jumaat. ( 29.05. 2009 )

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan kita bertemu lagi di dalam laman ini untuk sama-sama mencari keredaan Allah, diharap syaitan tidak berpeluang untuk mengganggui kita dengan itu kita dapat terus menambahkan ilmu pengetahuan serta menyimpannya di dalam dada.

Pada hari ini Jumaat ( 04. Jamadil Akhir 1430 ) saya masih diizinkan dapat pergi ke masjid menunaikan solat seperti biasa. Khutbah hari ini bertajuk Kedudukan Wanita di dalam Islam. Rumusan daripada tajuk ini akan dicatatkan untuk renungan anda semua, khasnya kaum wanita yang tidak tuntut atau diwajibkan bersolat Jumaat, sekurang-kurangnya mereka dapat juga sama-sama mengikuti perkembangan yang berlaku di masjid kita dan menghayatinya.

Khutbah memulakan tajuk ini dengan menarik perhatian para Jamaah kepada ayat-ayat Al.Quran yang berkaitan, khususnya yang disebutkan di dalam surah An.Nisak dan An.Nuur.

______________________________

Berikut adalah petikan maksud ayat-ayat Al.Quran yang berkaitan.

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita,
oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka
(laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena
mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari
harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh,
ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri
ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah
memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu
khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan
pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan
pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu,
maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk
menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi
lagi Maha Besar.
Surah An.Nisak (34)
____________________________________

"Katakanlah kepada wanita yang beriman:
"Hendaklah mereka menahan pandangannya,
dan memelihara kemaluannya, dan janganlah
mereka menampakkan perhiasannya,
kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.

Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung
ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,
kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,
atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka,
atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara
laki-laki mereka, atau putera-putera saudara
laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan
mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak

yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki
yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita)
atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui
perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah

kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman
supaya kamu beruntung".

Surah An.Nuur (31)
_____________________
"Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah
menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu
dan pakaian indah untuk perhiasan.
Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.

Yang demikian itu adalah sebahagian dari
tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan
mereka selalu ingat".

Surah Al.A'araaf (26)
____________________

"Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu,
anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri
orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan
jilbabnya ke seluruh tubuh mereka".

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah
untuk dikenal, karana itu mereka tidak diganggu.
Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
".
Surah Al.Ahzab (59)

_______________________

"Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti
(dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kawin
(lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan
pakaian mereka dengan tidak (bermaksud)
menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan
adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Surah An.Nuur (60)
_________________________________

Rumusan daripada ucapan khatib yang sempat dicatatkan pada hari ini.

(1) Kaum lelaki merupakan pemimpin di dalam keluarga atau rumahtangga, mereka berkewajipan memelihara keselamatan, kesejahteraan dan memberi nafkah kepada keluarga serta pendidikan dan lain-lain.

(2) Kaum wanita pada zaman jahiliyah kehidupan mereka dihina dan diperalatkan tetapi Islam mengangkatkan taraf waniti pada kedudukan yang sewajarnya, wanita yang bertaqwa adalah wanita yang mulia di sisi Allah.

(3) Islam mengambil berat terhadap wanita sejak mereka dilahirkan lagi, Islam meletakkan kewajipan ke atas pemimpin keluarga (lelaki) supaya menjaga, mendidik dan memberi nafkah kepada mereka dengan adil.

(4) Kebebasan tanpa batas merosakkan kaum wanita itu sendiri, islam melarang kebebasan tanpa batas lelaki dan wanta hendaklah menjaga batas-batas pergaulanm mereka seperti diperintahkan.

(5) Dinyatakan juga bahawa wanita yang memakai wangian dan melintas berhampiran kumpulan lelaki untuk menarik perhatian mereka akan membawa kepada perbuatan zina.

(6) Dugaan yang paling besar kepada kaum lelaki ialah Godaan Wanita.

(7) Pemimpin Keluarga berkewajipan memastikan kaum wanita tidak mendedahkan tubuh badan mereka, mereka hendaklah mendidik kaum wanita berpakaian menutup aurat seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.



Sekian. wallahu aklam.wassalam.

Thursday, May 28, 2009

Minda Islam Melayu global.


lالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Salam Sejahtera.

Sudahkah minda Islam orang Melayu bertaraf global dan sudahkah minda Melayu terhadap bahasa Melayu juga bertaraf global.

Persoalan pertama : Minda Islam global.
Minda Islam global yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu hukum Islam atau dasar yang tercatat di dalam Al.Quran dan Al.Hadis adalah tututan dan perintah yang mencakup seluruh manusia berakal di atas muka bumi ini bukannya terhad kepada orang tempatan atau terhad kepada orang Melayu sahaja.

Jika kita fikir perkara ini di dalam lingkungan orang Melayu sahaja bermakna telah menyalahi tujuan Al.Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad.s.a.w. Ketika Al.Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad.s.a.w. di dalam dada baginda tiada Al.Quran. Setelah baginda menerima wahyu pertama barulah baginda mulai menghafaz Al.Quran sehinggalah sempurna Al.Quran diturunkan.

Setelah itu mulailah baginda menyampaikan ajaran yang terkandung di dalam Al.Quran ( wahyu ) itu kepada orang lain yang belum Islam, konsep menyatakan ajaran Al.Quran diturunkan untuk orang Islam adalah tidak tepat kerana Al.Quran itu diperintahkan Allah supaya semua manusia yang berakal di muka bumi ini mengambilnya sebagai panduan hidup, sesiapa yang menolaknya akan disiksa di akhirat nanti. Ini membuktikan lagi bahawa Al.Quran itu diturunkan untuk semua manusia yang berakal. Hanya orang Islam yang menjadikan Al.Quran sebagai panduan hidup di dunia ini, manakala orang bukan Islam menolaknya atau sebahagian daripada mereka tidak mendapat maklumat tentang Al.Quran dengan itu mereka ini juga tidak menjadikan Al.Quran sebagai ikutan atau anutan mereka.

Sudah tentulah pemilihara mutlak Al.Quran itu adalah Allah Taala tetapi manusia juga diperintahkan Allah supaya memelihara Al.Qura dan menyebarkannya kepada umat manusia yang lain pula.

Rasul adalah utusan Allah untuk menyampaikan Al.Quran
( wahyu ) ini kepada manusia kemudian diikuti sahabat-sahabat, pengikut sahabat dan seterusnya dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah ke hari ini.

Adakah kita menyahut tugas tersebut dengan tertib dan bertanggungjawab, Hampir separuh rakyat Malaysia belum menerima atau disampaikan wahyu tersebut kepada mereka. Sama ada mereka menolaknya atau menerimanya bukanlah persoalan. Perkara itu terpulanglah kepada mereka, menyelesaikan tanggungjawab adalah lebih penting dan paling utama, soal mereka ingin menerimanya atau tidak, terpulang kepada taufik dan hidayah Allah Taala kepada mereka. Itu bukanlah tugas manusia.

Sekiranya rakyat Malaysia yang beriman dan Islam menyedari perkara ini dan bertindak selaras dengan kehendak Al.Quran itu sendiri barulah dianggap minda Islam kita telah mencapai taraf global.

Persoalan kedua: Minda Melayu terhadap bahasa Melayu.
Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara Malaysia atau bahasa Malaysia. Adakah minda orang Melayu apabila berbincang mengenai bahasa Melayu ianya masih terbatas kepada orang Melayu, Jawapan bagi soalan berkenaan buat masa kini masih menjawab ya. kerana rata-rata orang bukan Melayu masih belum menguasai bahasa tersebut dengan fasih dan lancar. Oramg Melayu masih mengajuk kelemahan mereka apabila berintraksi dengan mereka di pasar, di kedai atau di mana-mana.

Pandangan ini tidak merujuk kepada kelemahan pelaksanaannya sejak penubuhan Malaysia sehingga sekarang ini. Sebaliknya merujuk kepada situasi yang terserlah di dalam masyarakat majmuk Malaysia kini. kekadang program forum yang ditontonkan di dalam Televisyen Malaysia menggunakan dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris sedangkan ahli panelnya adalah rakyat Malaysia. Sebahagian rakyat Malaysia menerima situasi ini tanpa rasa kekitaan terhadap bahasa Melayu. Mungkinkah mereka yang menerima situasi itu dengan hati terbuka adalah mereka yang terdidik pada zaman kebelakangan .Sekiranya ini berlaku bermakna kita akan kehilangan generasi pelapis dan bahasa gagal menjiwai bangsanya.

Pada suatu ketika dahulu kita menggunakan ungkapan " dengan izin " sebelum menyisipkan bahasa lain di dalam percakapan kita di sesuatu majlis yang rasmi atau di dalam program tertentu di televisyen, sekarang ramai telah melandanya kecuali di Parlimen Malaysia. Begitu juga ungkapan " Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia ", sekarang kembali semula menggunakan ungkapan " Duli Yang Maha Mulia" yang dikatakan kurang selesa di sisi hukum Islam.Apakah sebenarnya yang melambatkan bahasa Melayu menjatikan dirinya. Adakah kita beristiqamah dalam menjana bahasa kebangsaan kita atau adakah terdapat di kalangan kita masih ragu-ragu terhadap perancangan negara yang telah sama-sama mengambil ketetapannya.

Di manakah bahasa Melayu @ Malaysia harus berada dan bertapak, kini seolah-olah belum ditentukan lagi, pada hal ianya telah terpahat dan termaktub kukuh di dalam perlembagaan negara. Adakah bahasa Melayu masih di dalam lingkungan orang Melayu atau telah keluar sempadannya menjadi global seperti yang dicanangkan dan diinginkan sejak dahulu. Melihatkan perkembangan dan situasi yang sedia ada saya tidak mampu menjawabnya dengan yakin dan masih menyimpan persoalannya.

Bangsa Malaysia insya Allah akan bersatu seiring dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia yang meluas dan kehidupan mereka juga akan lebih mudah kerana seluruh warga Malaysia telah memiliki asas tersebut yang perlu digilap dan dimurnikan lagi sahaja, sekiranya wawasan ini diabaikan dan dipolitikkan un tuk keuntungan masa pendek, nescaya seluruh rakyat Malaysia akan menuai kerugiannya pada masa akan datang.
___________________

LAGU BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

_____________________________

Tulisan ini sekadar pandangan sepintas lalu yang belum diproses mendapatkan kematangannya, masih mempunyai ruang yang luas untuk dimurnikannya oleh mereka yang arif.

Sekian. Wassalam.

Berpuisi sambil bersantai dengan kawan - kawan.


Kelam mata segar subuh hari

Bangun menyahut seruan ilahi

Bersyukur nikmat diperoleh hari ini

Dilanjutkan usia untuk sehari


Mendaki impian mencapai hasrat

Mendukung cita mengerah anggota

Berfikir berusaha manakan penat

Tawakkal diserta memohon padaNya


Rehat sepetang ringankan beban

Mencari makan sesuatu yang enak

Di Balik Pulau Pulau berlonggok durian

Jemput Pak Leenoh anak-beranak


Market Gelugoq paginya hingar

Mami tanjung mee rebusnya enak

Nasi lemuni dibungkus kertas ditebar

Kenyang terbayang mulut tergelak


Di Pulau Betong harinya sepi

Riuh di warung suara Hero Huru Hara

Dok menunggu balik saudaraku Bro Zaidi Ali

Nak ajak pi Hameediyah makan sama-sama

________________________

Leenoh said...

Salam Hero Huru Hara.

Terima kasih atas jemputan.
Pergi@ tidak, pahala kedapatan.
Saudara utara, hamba di selatan.
Biarlah Zaidi sahaja tunai jemputan.

Pergi tidak, pahala kedapatan.
Dari Sg.Ara ke Paya Terubung.
Lagi pun Zaidi anak tempatan.
Jemputan saudara hamba sanjung.

Dari Sg.Ara ke Paya Terubung.
Singgah minum di pasar Air Hitam.
Sungguh indah tinggal di kampung.
Dapat ziarah kawan sampai malam.

Singgah minum di pasar Air Hitam.
Terus perjalanan ke Bukit Jambul.
Selagi hayat belum khatam.
Persahabatan kita biar bersimpul.

Terus perjalanan ke Bukit Jambul.
Beli serabai untuk makan malam.
Kalau persahabatan telah tersimpul.
Barulah layak ke Darus Salam.

######

Istimewa Untuk:
Sdr.Hero Huru Hara,
Sdr. Zaidi Ali.
Semua Pengunjung.

Sekian. Wassalam.

Durian Balik Pulau ( puisi )




Jumpa Hero Huru Hara.
Minta durian Balik Pulau.
Hebatnya durian Pulau Mutiara.
Terkandas di jaring di kampung Relau.

Minta durian Balik Pulau.
Bersama pulut dan air garam.
Dulu makan sampai kena halau.
Sekarang sekadar dok geram.

Bersama pulut dan air garam.
Ketul ais, santan penambah canggih.
Kalau tengok semua orang geram.
Kalau tak makan air liur melelih.

Ketul ais, santan penambah canggih.
Bila makan sambil celup roti.
Waktu malam tidur tidak beralih.
Kerana perut penuh isi.

Bila makan sambil celup roti.
Esoknya tenaga kuat sekali.
Malam hari pergi Penanti.
Dengar kempen pilihan raya lagi.

Esoknya tenaga kuat sekali.
Badan cergas sepanjang hari.
Malam meriah bukan siang hari.
Seperti pesta majlis khenduri.

Badan cergas sepanjang hari.
Malam berniaga siangnya tidur.
Pandai-pandailah membawa diri.
Jangan sampai aqidah hilang subur.

Malam berniaga siangnya tidur.
Kepada Allah tetap dipatuhi.
Bila bercakap tidak terlanjur.
Menjaga syariat, aqidah dipatuhi.
________________

Laman Renungan:

Firman Allah bermaksud:

Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit,
lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam
tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari
tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau,
Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu
butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai
tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun
anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima
yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah
buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan
(perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya
pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang beriman.

Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan
jin itu sekutu bagi Allah, padahal Allah-lah yang
menciptakan jin-jin itu, dan mereka membohong
(dengan mengatakan): "Bahwasanya Allah mempunyai
anak laki-laki dan perempuan", tanpa (berdasar) ilmu
pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari
sifat-sifat yang mereka berikan.
Surah Al.An-aam (99-100)

Sekian.wassalam.

Wednesday, May 27, 2009

Pengisian Masa Cuti Sekolah.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

SELAMAT BERCUTI.
29.05.2009 - 13.06.2009
30.05.2009 - 14.06.2009

Kepada semua pelajar, semua guru dan semua ibu bapa diucapkan selamat bercuti serta diucapkan kepada semua warga Malaysia selamat merasai dan menghayati suasana musim cuti sekolah. Cuti sekolah bagi setengah negeri akan bermula pada hari Jumaat ( 29.05.2009 ) seperti negeri Kedah dan negeri-negeri yang sama denganya dan negeri yang lain pula seperti Selangor dan yang sama denganya akan bermula pada hari Sabtu ( 30.05.2009) akan datang ini.

Kepada para pelajar dan ibu bapa penuhilah masa cuti dengan aktiviti yang berkualiti dan sentiasa prihatin terhadap keselamatan ank-anak. Kejadian kemalangan sering berlaku dan meningkat di dalam musim cuti kerana pada ketika ini aktiviti para pelajar berlaku secara tidak terancang dan tanpa kawalan.

Walaupun terdapat ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti kursus motivasi dan menghadiri kelas tambahan khas tetapi jumlahnya tidak ramai berbanding dengan mereka yang menghabiskan masa cuti secara tidak berkualiti.
Malang tidak berbau oleh itu sama-samalah kita menguruskan masa cuti anak-anak dengan baik dan berkualiti, sambil berdoa kepada Allah supaya dijauhi kemalangan dan mengekalkan keamanan dan kesejahteraan.

Bercakap pasal cuti ini, saya teringat masa yang telah lalu di mana ketika cuti biasanya saya menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan atau kursus motivasi. Pada ketika itu Datuk Dr. Hassan bin Moh.Ali sering menganjurkan Kem Motivasi , kalau di sebelah utara biasanya diadakan di Universiti Utara Malaysia. Semua anak-anak saya dihantar mengikuti kursus tersebut dengan dikenakan bayaran yang berpatutan, kursus seperti ini sangat berkesan kepada para pelajar tetapi selepas kursus ibu bapa hendaklah membuat tindakan susulan bagi memastikan kesan tersebut dihayati berterusan dan tidak putus kesinambungannya.

Sekarang terdapat banyak penganjur kursus seperti ini terpulang kepada ibu bapa hendak memilih yang mana satu yang berkenan di hati, Berilah peluang kepada ank-anak menambahkan bilangan kawan mereka secara sihat dan berkualiti, mereka boleh terus bermain di dalam program kursus yang memberi manfaat kepada mereka. Sekiranya kita membiarkan mereka menghabiskan masa secara bersendirian di sana mungkin terdapat lebih banyak kelemahan dan kesilapan yang akhirnya akan membawa akibat buruk kepada diri mereka dan keluarga. Ibu bapa yang tidak mampu masih berpeluang memanfaatkan cuti itu dengan menganjurkan aktiviti yang lain, asalkan kita tidak membiarkan aktiviti anak-anak berjalan tanpa kawalan dan perancangan.
____________________________

Laman Renungan:

Nabi Muhammad.s.a.w. telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:

"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."

_________________


Firman Allah s.w.t. bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia-manusia yang sombong dan engkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala"

________________________________



Kursus motivasi mampu memberi sumbangan sekadar 10% sahaja, kelas pengajaran dan pembelajaran secara formal adalah paling utama dan amat penting dimantau dan diberi perhatian sepanjang masa oleh guru dan ibu bapa.

Semoga anda memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat bersama keluarga.

Sekian. Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Wassalam.

Monday, May 25, 2009

Seminar reka fesyen pakaian wanita. Cegah ragut.

Salam Sejahtera.

Apabila minda didedah dan dihidangkan dengan peristiwa ragut yang mengerikan pada setiap hari oleh setiap jenis media sama ada akhbar, laman blog, TV dan radia serta cerita yang disampaikan oleh masyarakat di kedai kopi, di tempat kerja dan sebagainya maka timbul keinginan untuk saya menulis topik ini pada kali ini.

Amat menyedihkan lagi sekiranya cerita ragut ini tidak dapat diceritakan sendiri oleh mangsanya kerana akibat perbuatan ganas peragut itu menyebabkan mangsa menemui ajal, kisahnya kita hanya dapat diketahui melalui cerita yang disampaikan oleh saksi-saksinya sahaja.
Esok atau lusa belum tentu siapa yang akan menjadi mangsa kepada peragut berjiwa syaitan itu. Syaitan di kalangan manusia ini tidak memilih mangsa mereka akan lakukan mengikut kesempatan, jika ada kesempatan mereka akan layan jiwa syaitan mereka oleh itu kita kenalah banyak berdoa supaya Allah menjauhkan segala bala daripada menimpa diri kita, keluarga dan jiran kita.
Adakah dengan berdoa sahaja ?. Saya sebutkan doa di sini kerana itulah sahaja yang kita mampu melaksanakan dengan segara, manakala ikhtiar yang lain memerlukan masa dan kepakaran tertentu.

Berangan-angan.
Kekadang saya berangan-angan ingin menganjurkan Seminar Fesyen Pakaian Wanita yang dapat menangkis, menghalang atau pakaian yang tidak memerlukan wanita membawa beg yang menjadi tumpuan peragut.

Seorang lelaki memikirkan pakaian yang sesuai untuk wanita agak sukar menemui titik natijahnya. Kalau ianya bertemu, lelaki tersebut agak istimewa dalam cara berfikirnya. kalau dibuat seminar mengenai perkara ini, maka bolehlah kita kumpul dan cambahkan fikiran dan pergunakan fikiran itu untuk merekacipta suatu fesyen yang dimaksudkan itu.

Untuk menghasilkan rumusan yang berkualiti seminar tersebut tentulah melibatkan beberapa pereka fesyen yang terkenal, ulamak, Pertubuhan Bukan Kerajaan , pegawai polis. lelaki perempuan dan seumpamanya.

Selain daripada dapat menghasilkan rumusan yang berkualiti. sudah pasti seminar itu juga dapat memberi kesedaran kepada orang awam mengenai bahaya perbuatan jenayah ragut ini.

Artikal ini hanya angan-angan seorang penulis blog sahaja bukan realiti dan hakiki. Luahan ini untuk melegakan minda sendiri sahaja. Kalau anda mempunyai pandangan atau angan-angan yang lain, marilah kita kongsi bersama.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

Sunday, May 24, 2009

Lakonan marah .

Salam sejahtera.

Semakin lama menulis blog maka semakin susutlah juga idea yang terkandung di dalam minda, demikianlah yang berlaku pada diri saya. Disebabkan keinginan yang tinggi dan desakan hati supaya terus menulis, terpaksalah saya menulis walaupun topiknya tidak menarik dan ditambahkan pula huraian yang juga tidak menarik. bagi meneruskan nafas blog ini kali ini saya memilih topik " MARAH".


MARAH.
Marah pada amnya terbahagi kepada dua kategori iaitu marah terpuji dan marah yang tercela. Marah terpuji ialah marah yang menghalang daripada berlakunya perkara buruk atau perkara maksiat. Manakala marah yang tercela ialah marah yang tidak terkawal atau mengikut nafsu tanpa sebarang faedah.
Orang yang mempunyai sifat marah yang sebati dengan dirinya senang naik marah apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan dirinya rasa tidak puas hati dan sifat ini akan merenggangkan perhubungannya dengan ahli keluarga, sahabat, jiran , rakan sejawat dan lain-lain. Islam menyuruh penganutnya bersabar dan berlemah lembut. Islam juga melarang perbuatan marah yang tidak berfaedah. Marah biasanya akan tertanam sifat benci kepada orang lain dan menghapuskan sifat lemah lembut yang digalakkan oleh Islam. marah juga akan menafikan kebaikan orang lain. Islam juga memerintahkan umatnya mengamalkan sifat bersabar kerana bersabar itu adalah daripada sifat orang yang beriman.
_________________________

Berikut diperturunkan maksud Hadis yang berkaitan:

(1) Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)

(2) Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(3) Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(4) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia mendekatkan dirinya ke bumi ”.

(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

(5) Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya :

Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak maka hendaklah di berbaring

(Hadith riwayat Abu Daud)

(6) Rasululullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :

Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam”.

(Hadith riwayat Ahmad)

________________________________

Firman Allah bermaksud;

"Dan aku tidak membebaskan diriku
(dari kesalahan), karena sesungguhnya
nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan,
kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.
Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang".
Surah Yusuf (53)
______________________

Untuk meredakan marah;

Beristighfar banyak-banyak.
Mengambil wuduk.
Ketika marah hendaklah duduk atau berbaring.
Mendiamkan diri.
__________________________

Marah juga suatu sifat yang penting untuk dimiliki, sekurang-kurangnya bagi menjaga maruah diri dan mengawal keadaan terutamanya bagi guru yang sedang mengajar di dalam kelas atau sedang mengendalikan sesuatu perhimpunan pelajar atau mengawal disiplin pada keseluruhannya. Terlalu kerap marah juga boleh menyebabkan berlakunya ketegangan fikiran berpanjangan dan keadaan itu pula boleh merebak kepada kehadiran masalah yang lebih buruk lagi , seperti sakit jantung, kemurungan dan lain-lain.

Untuk Renungan Para Guru.

Guru yang sering menghadapi para pelajar yang nakal disyurkan supaya memfokuskan minda kepada keadaan normal dahulu sebelum marah, kemudian lakonkan marah itu pada kadar yang dikehendaki, Keadaan marah begini sebenarnya kelihatan pada zahirnya sahaja marah tetapi pada hakikatnya tidak marah, Marah yang dilakonkan ini tidak menyebabkan kejutan pada aliran darah, aliran darah akan berlaku atau mengalir secara normal .Marah seperti ini juga tidak melibatkan nafsu yang didampingi oleh iblis syaitan.

Lakonan marah ini perlulah dilakonkan sepenuh hati supaya kelihatan keadaan marah itu seperti marah sebenar, keadaan mata dan muka hendaklah kelihatan seperti orang yang betul-betul marah. Cara begini barulah memberi kesan takut dan hormat oleh para pelajar. Sikap dan sifat seperti ini hendaklah diamalkan berterusan dan istiqamah pada setiap keadaan yang memerlukan guru berbuat demikian. Biasanya tindakan guru yang tidak istiqamah dalam hal atau perkara seperti ini boleh menyebabkan para pelajar hilang takut dan hormat kepada mereka .
Walau bagaimanapun terdapat juga para pelajar yang nakalnya itu sukar ditangani oleh mana-mana guru pun , kita kategorikan kenakalan ini adalah pada tahap yang sangat tercabar kepada seluruh warga sekolah.. Para pelajar seumpama ini memerlukan kaedah khas yang hanya boleh diuruskan oleh pihak pengurusan sekolah sahaja.

Pengkisahan lakonan marah yang diutarakan di sini hanyalah mempamerkan pengalaman yang telah lalu.Jika ianya tidak sesuai dengan anda abaikan sahaja.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.
.

Saturday, May 23, 2009

Betapa Buruknya Akibat Mungkir Janji.

Selamat sejahtera,

JANJI.
Satu perkataan yang mengandungi lima huruf ini terkandung nilainya yang berbeza-beza, mungkin bernilai kecil atau bernilai besar, bernilai rendah atau bernilai tinggi terpulanglah kepada situasinya.

Apakah janji yang paling besar di dalam sesuatu keluarga, janji tersebut tentulah ikatan perkahwinan, mungkir sahaja perjanjian ini maka rosaklah rumahtangga.

Manakala persatuan dan pertubuhan janjinya ialah terkandung di dalam peraturan- peraturan kecil atau perlembagaannya, Jika peraturan ini tidak diikuti maka hilanglah kepercayaan ahlinya terhadap pegawai atau jawatankuasanya.

Apakah pula janji yang paling besar di dalam sesuatu negeri, tentulah perlembagaannya, kiranya ini tidak dipatuhi porak- perandalah rakyatnya,

Apakah pula janji yang paling besar di dalam sesuatu negara, tentulah juga perlembagaannya, jika ini tidak dihormati dan dipatuhi maka porak-perandalah juga rakyatnya.

Mengapakah perlunya perjanjian, perjanjian memang sangat diperlukan untuk menyatupadukan manusia, untuk menghalang manusia menindas di antara satu sama lain, untuk manusia mengetahui sempadan dan had pergerakannya serta sedar akan hak diri sendiri dan orang lain secara adil, bukan secara saksama. sebaliknya berbeza-beza mengikut situasinya, untuk memahaminya perlulah merujuk kepada rasional asal perjanjian dan keadilannya.
Mungkir janji sesama manusia akan mencipta suasana kehidupan menjadi porak peranda dan kucar kacir. Islam melarang sikap tersebut.
_____________________

Renungi maksud Hadis berikut:

(1) "Empat perkara sesiapa yang memilikinya adalah dia munafik yang nyata dan sesiapa yang memiliki satu daripadanya dia memiliki satu sifat munafik,
Apabila bercakap dia berbohong,
Apabila diamanahkan dia khianat.
Apabila berjanji dia mungkiri,
Apabila bergaduh dia melampau".

(2) "Nyawa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya, sehingga hutang itu dibayar".

______________________

Demikianlah di antara contoh perjanjian kita sesama manusia dan perjanjian kita dengan Allah adalah amanah yang paling utama disempurnakan tanggungjawabnya.
Janji dan perjanjian sebenarnya amat luas pengertiannya sentuhan ini hanyalah mencakup sebahagiannya sahaja.

Sekian, wallahu aklam. wassalam.

Friday, May 22, 2009

Suara Mimbar hari ini. (22.05.09 )

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Pada hari ini ( 27. Jamadil Awal 1430 ) masuk waktu Zohor di kawasan Shah Alam dan kawasan yang sewaktu dengannya jam 1.13 petang. Seperti biasa setiap petang Jumaat saya akan melaporkan ucapan khatib/khutbah yang disampaikan di masjid yang saya hadir menunaikan untuk solat.

Pada hari ini khutbah menyentuh mengenai kewajipan mentaati ibu dan bapa. berikut adalah dalil nakli berkenaan.
Fiirman Allah bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia".
Surah Israk (23).

Rumusannya.

(1) Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada ibu bapa dan sentiasa bersopan dengan mereka, memandangkan ibu mengandungkan kita dan mendidik kita sehingga menjadi manusia yang berguna, ibu dan bapa sama-sama berkorban memelihara kita sejak dari kecil maka sewajarnyalah kita pula memelihara mereka apabila mereka telah tua dan uzur.

(2) Pada zaman ini terdapat anak-anak yang tidak hormati ibu bapa, malah terdapat juga anak-anak yang melawan ibu bapa dengan kekerasan dan terdapat juga yang tergamak membunuh ibu bapa kerana hilang kewarasan.

(3) Paling menyedihkan terdapat juga anak yang menghantar ibu atau bapa mereka ke Pusat Jagaan orang tua tetapi tidaklah menjadi kesalahan, jika dihantar di atas persetujuan mereka ke Pusat-Pusat Penjagaan disamping mendalami ilmu pengetahuan mengenai Islam, khususnya perkara yang berkaitan dengan amal ibadat khusus.

(4) Anak-anak hendaklah sentiasa berbuat baik dengan ibu bapa, memberi perbelanjaan, memastikan penjagaan makan, minum, kesihatan dan keperluan lain supaya mereka hidup selesa dan sentiasalah berdoa kepada ibu bapa supaya Allah mengampunkan dosa mereka, mengasihani mereka seperti mana mereka mendidik dan mengasihi anak-anak mereka semasa anak-anak mereka masih kecil.
_______________________________________

Dilarang berkata "ah" kepada ibu bapa
_______________________________________

Sekian, Wallahu aklam. wassalam.

Thursday, May 21, 2009

Hendak Senang Susah, Hendak Susah Senang.

Alor Kundang ibu negeri Kedah.
Alor Setar disebut lebih senang.
Hendak senang amatlah susah.
Hendak susah amatlah senang.

Alor Setar disebut senang.
Bukan ibarat bukan madah .
Susah melihat orang senang.
Senang melihat orang susah.

Bukan ibarat bukan madah.
ungkapan lisan yang abadi.
Jangan ingat hidup mudah.
Itulah penjelasan penyakit hati.

Ungkapan lisan yang abadi.
Untuk ingatan pemimpin negeri.
Rosak hati, rosaklah jasmani.
Kesuburan hati hendaklah dijagai.

Untuk ingatan pemimpin negeri.
Peluang di tangan jagalah negeri.
Rasa ikhlas tanamlah di hati.
Nescaya negeri akan diberkati.

Peluang di tangan jagalah negeri.
Agar rakyat berpuas hati.
Jika rakyat suka berkelahi.
Nanti dimurkai oleh Ilahi.
_________________

Maksud firman Allah.
" Kalau kamu mendapat kebaikan ( kemenangan dan kemakmuran maka yang demikian ), menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya . Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang merela lakukan ".
Surah Ali Imran (120)
_______________

Sekian.Wassalam.

Wuduk Zahir dan Batin

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Barikut adalah email yang baru saya terima,

sama-samalah kita renungi.

______________________________________

Salinan email

"Bagaimana wudhu' zahir dan batin?" cuba praktikkan



Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk
solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk
dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,
demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam
dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan
menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya
yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Untuk munafaat kita bersama, Tolong sampaikan email ini kepada sahabat2. Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan,insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya.

__________________________________

Sekian. Wallahu aklam. wassalam.

Wednesday, May 20, 2009

Lambaian mengenali Allah ( Makrifatullah )




Salam sejahtera.

Topik kali ini merupakan topik yang paling istimewa yang ditujukan khas kepada kekawan lama saya yang belum beriman kepada Allah ( belum Islam ) dan juga pembaca-pembaca lain yang belum beriman serta pengunjung Islam yang berminat membacanya.Tajuk ini juga ditulis atas rasa kasih sayang dan rasa tanggungjawab sebagai seorang Islam kepada kekawan yang belum beriman dan belum Islam.

Al.Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad.s.a.w. untuk disampaikan kepada semua manusia di dunia ini dan Al.Quran adalah sebagai kitab panduan hidup manusia semasa di dunia ini, dengan mengikuti panduan itu manusia akan selamat di dunia dan di akhirat ( selepas mati ) nanti.
Di dalam Al.Quran menceritakan tentang hakikat hidup di dunia dan di akhirat dan menceritakan tentang Tuhan yang sebenar atau Tuhan yang berhak kita sembah. Dunia atau alam ini adalah ciptaan Tuhan ( Allah ). Tuhan yang dimaksudkan itu adalah Allah. Allah adalah pencipta sekalian alam ini, Allah bersifat Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Melihat dan mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain.

Setiap manusia wajib mempercayainya kerana manusia makhluk ciptaan-Nya, hamba ciptaan-Nya dan adalah salah mempercayai benda-benda atau makhluk seperti kita sebagai Tuhan kerana segalanya itu adalah ciptaan Allah jua. semuanya itu makhluk Allah yang sama tarafnya dengan manusia atau lebih rendah daripada manusia.

Allah itu sifat-Nya tidak sama seperti makluk atau sifat-Nya berlainan daripada makhluk, kalau Allah sifat-Nya sama seperti makhluk bermakna Dia lemah dan Dia bukan Tuhan, Sebarang apa yang sifatnya sama seperti makhluk,
Maka itu bukanlah Tuhan ( Allah ). Allah itu tidak beranak dan tidak diberanakkan. Dialah tempat kita meminta atau memohon sesuatu.
________________________________________

Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
____________________________________________________

Manusia tidak mungkin mampu mencari Tuhan (Allah ) dengan menggunakan akal semata-mata. Jika manusia mencari Allah dengan menggunakan akal semata-mata, nescaya mereka akan terjumpa dengan benda-benda yang ajaib dan dikagumi, lantas menganggap benda-benda itu sebagai Tuhan . Di atas ketidakmampuan manusia mencari Tuhan dengan akal itulah maka Allah menurunkan kitab Al.Quran sebagai panduan dan melantik Nabi Muhammad.s.a.w. sebagai utusan-Nya. Oleh itu untuk mengenal Allah manusia memerlukan akal, Rasul dan Al.Quran ( wahyu ).

Manusia yang tidak berakal atau tidak sempurna akal akan terlepas daripada siksaan Allah kerana mereka tidak mampu mengenal Allah dan dengan itu mereka juga tidak menyembah-Nya. Tegasnya mereka ini dimaafkan. Mereka yang dimaafkan termasuklah orang yang tidak sampai maklumat mengenai-Nya kerana berada di tempat yang terpencil atau di dalam hutan belantara dan juga jauh daripada orang Islam. Mereka ini diistilahkan sebagai tidak sampai seruan Islam.

Allah memperkenalkan diri-Nya melalui malaikat Jibril dan Rasul iaitu Nabi Muhammad.s.a.w. dengan membekalkan kitab Al.Quran sebagai panduan dan rujukan.

Manusia yang telah disampaikan maklumat ini tetapi masih tidak percaya atau beriman, diakhirat nanti mereka akan disiksa di dalam api neraka yang amat pedih di atas keingkaran tersebut. Manakala manusia yang telah beriman pula berkewajipan menyampaikan maklumat ini kepada manusia yang belum beriman atau belum percaya dengan hakikat ini.
Mereka yang tidak beriman atau tidak percaya bahawa Allah itu Tuhan bagi sekalian alam ini kerana mereka itu belum kenal Allah atau belum makrifatullah, sesuai dengan pepatah mengatakan tidak kenal maka tidak cinta. Oleh itu berusahalah untuk mengenali-Nya sambil berdoa mendapatkan kasih sayang-Nya.

Anggaplah penjelasan dan makluman ini sebagai lambaian kasih dan lambaian ke arah mengenali Tuhan yang sebenar atau Tuhan yang mencipta sekalian alam ini, Tuhan yang dimaksudkan itu adalah Allah yang selayaknya kita sembah dan tempat kita meminta dan mohon.

Setakat ini dahulu untuk kali ini, berdoalah kepada Allah supaya diberikan hidayah dan taufik untuk mengenali-Nya.

Sekian dahulu, Allah Maha Mengetahui. wassalam.


Gejala sosial dulu dan kini.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Pada hari ini saya masih ingin berkongsi pengalaman dengan anda semua, kali ini mengenai akhlak atau gejala sosial masyarakat di Malaysia, Pengalaman yang akan dipaparkan ini hanya di sekitar pengalaman hidup saya sahaja, walau bagaimanapun berkemungkinan terdapat persamaan dengan pengalaman orang lain juga.

Zon Pertama.
Semasa saya masih kanak-kanak lagi iaitu tahun 50an ketika itu Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, tidak termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura. Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al.Haj.


Apa yang hendak diceritakan di sini merupakan pengalaman sendiri dan juga apa yang dikisahkan oleh orang dewasa pada ketika itu. Pada tahun di antara 30an dan 50an ,tahun 30an saya belum dilahirkan lagi, pada ketika itu masyarakat Persekutuan Tanah Melayu hidup di dalam kesusahan dan kejahilan, atas desakan kesusahan terdapatlah di kalangan ahli masyarakat menjadi pencuri dan perompak atau lanun , kegiatan ini hanya berlaku pada
waktu malam sahaja. Walaupun masyarakat kita tidak berilmu dan pelajaran tetapi ramai juga yang mempunyai ilmu sihir atau ilmu yang berkongsi dengan jin syaitan, oleh itu ramailah yang syirik atas sebab-sebab tersebut.

Pada akhir tahun 50an kejahatan merompak di kampung-kampung telah berkurangan atau hampir tiada langsung. te
tapi kejahatan mencuri pada waktu malam masih berlaku dengan aktifnya. sesiapa yang memiliki banyak kerbau lembu mereka terpaksalah membuat kandang berhampiran dengan rumah, terdapat juga kerbau yang saiznya besar dan bernilai tinggi harganya terpaksa ditambat di bawah rumah, Semua rumah pada zaman tersebut dibuat bahagian bawahnya berkeadaan tinggi iaitu dalam ukuran lebih kurang 6 kaki, di bahagian ini biasanya digunakan untuk menyimpan peralatan bertani dan seumpamanya dan di bahagian atas sebagai tempat kediaman. Kekadang kerbau lembu juga terpaksa ditambat di bahagian tersebut.
__________________
________
31 Ogos 1957
Persekutuan Tanah Melayu.
Merdeka.


16 September 1963
tarik
h pembentukan Malaysia

__________________________

Zon Kedua.
Pada zaman di antara tahun 50an sehingga 70an masih berlaku kecurian kerbau lembu dan ayam itik serta barangan yang berharga seperti padi yang tersimpan di dalam jelapang dan juga peralatan bertani, Semua kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Untuk langkah keselamatan penduduk kampung akan berikhtiar dan berusaha sendiri mengikut kemampuan masing-masing. Pada tahun 70an gejala ini telah banyak berkurangan atau hampir tiada langsung, Pada ketika ini ramai di antara penduduk kampung telah berpelajaran sekurang-kurangnya mereka pergi menambahkan ilmu di madrasah-madrasah ( surau ) khususnya ilmu mengenai ajaran Islam iaitu Ilmu Tauhid dan Ilmu Fiqah serta tajwid. Sebelum itupun telah dijalankan pengajian ini tetapi kurang berkembang atau masih kurang kesedaran dan sambutan. Kehidupan pada ketika ini memang tiada langsung ancaman kecurian, rompakan, dadah dan seumpamanya.
Padi yang telah dituai, dibanting dan diisikan di dalam guni, jika padi tersebut diletakkan di dalam petak bendang pada waktu malam tanpa jagaan pun akan selamat dan demikianlah juga getah sekerap yang ditinggalkan di pondok di tengah kebun getah, begitulah juga barangan yang berharga yang lain. Namun demikian langkah keselamatan diteruskan seperti sebelumnya juga atas alasan ikhtiar dan tawakkal.

Zon Ketiga.
Pada zaman ICT iaitu tahun 80an sehingga ke abad ke 21 ini, manusia semakin berubah, mereka semakin maju dan canggih di dalam tindakan dan ciptaan kerana perkembangan Sains dan teknologi bergerak begitu pesat sekali. Akhlak buruk manusia juga berjalan seiring dengan kemajuan dan akhlak mulia tersebut.
Sebenarnya pada tahun 70an di bahagian selatan Tanah Air anak-anak muda telah mulai terlibat dengan penyalahgunaan dadah tetapi gejala itu belum menular ke utara Tanah Air.
Gejala buruk dadah ini kelihata ketara di utara Tanah Air mulai tahun 8oan. Wujudnya kemiskinan dan penagihan dadah ini menyemarakkan kejahatan kecurian, ragut dan rompakan, selain daripada itu ditambah pula dengan warga asing yang semakin ramai menjadi penghuni Malaysia. Warga asing ini telah biasa dengan kehidupan susah dan tercabar di negara masing-masing , mereka ini tidak lagi menghiraukan undang-undang tempatan, sikap ini menjadikan anak-anak tempatan berasa takut dan gelisah serta terancam kehidupan mereka kerana secara amnya anak-anak tempatan telah biasa dengan hidup berakhlak dan bersopan. Maka sukar bagi mereka menelah perbuatan jahat sesetengah warga asing ini.
Bahagian ini saya tidak berhajat untuk meneruskan paparannya kerana anda sendiri telah mengalaminya dan sedia maklum mengenai perkembangannya.

Sekian, wallahu aklam. wassalam

Tuesday, May 19, 2009

Ulamak kalimah yang semakin popular.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Kebelakangan ini kalimah atau perkataan ulamak semakin popular dan bertambah masyhur di kalangan masyarakat kita walaupun difinasinya telah diketahui ramai. terdapat juga kecenderungan supaya dipanggil ulamak kepada semua mereka yang berilmu atau tegasnya cerdik pandai, sebenarnya tiada halangan untuk berbuat demikian tetapi oleh sebab kita menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris lebih banyak daripada menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan harian maka panggilan ulamak itu tidaklah digunapakai sebagai panggilan kepada semua mereka yang berilmu atau ilmuan .

Tiada siapapun membeza-membezakan penggunaan perkataan ini, kalaupun ada perbezaan penggunaannya adalah disebabkan keperluan yang berbeza . Kalau digunakan pun tetap juga akan berlaku perbezaan yang tidak dapat dihalang, sebagai contoh, sekiranya doktor, jurutera, akauntan, peguam dan lain-lain ilmuan dipanggil ulamak , akhirnya terpaksa juga dibezakan kerana doktor pakar tulang berbeza dengan doktor pakar ENT , pakar jantung dan seumpamanya, bukan sebarang doktor pakar boleh mengubati atau merawat pesakit yang sakit telinga atau sakit jantung ianya memerlukan pakar penyakit masing-masing, maka di sinilah mudahnya kepada masyarakat apabila panggilan kepada doktor itu terdapat pengkhususannya , Maka bagegitulah juga pengkhususan terhadap panggilan ulamak, lagi pun masih banyak lagi perkataan lain yang boleh digunakan untuk menunjukkan seseorang itu berilmu atau ilmuan, Walaupun semua ilmuan boleh dipanggil ulamak dari segi bahasa tetapi amalan itu akan mengelirukan masyarakat , Jika amalan itu diteruskan juga, akhirnya berlaku juga perbezaan dan keadaan ketidaksesuaian penggunaannya seperti tersebut di atas.

Sebagai contoh apabila kita ingin mendapatkan pandangan tentang hal atau isu yang berkaitan dengan ajaran Islam sudah tentulah kita terpaksa menemui mereka yang pakar dalam bidang tersebut, oleh sebab telah dilabelkan atau dipanggilkan mereka yang pakar dalam bidang tersebut sebagai ulamak, maka mudahlah bagi kita untuk berkomunikasi dengan orang lain dalam hal ini kerana tiada kekeliruan atau pertembungan istilah lagi. Sekiranya panggilan ulamak ini digunakan secara berleluasa sudah tentulah akan menimbulkan kekeliruan oleh masyarakat.

Pada masa kini penggunaan perkataan khalwat secara meluas telah tersasar ke arah lain , pada hal orang Melayu mengenali perkataan itu pada asalnya membawa makna yang lebih baik dan hormat iaitu mengasingkan diri dan bersunyi diri serta beribadat kepada Allah kerana kurang teliti cara penggunaannya, akhirnya perkataan tersebut terpakai seperti sekarang, walaupun terpakainya sesuatu perkataan itu setelah digunapakai sekian lama sesuatu perkataan itu oleh masyarakat , maka terpakailah perkataan itu secara rasminya, pada adatnya memang begitu perlakuannya tetapi apapun alasan, kita masih boleh mengawalnya, sebab sikap kita tidak mahu mengawalnya , maka terciptalah perkataan itu di tengah-tengah masyarakat. Demikian juga perkataan ulamak jika tidak dijaga dengan baik, tidak mustahil pada masa akan datang akan berlaku demikian jua.

Keadaan tersebut adalah dalam kontek kehidupan masyarakat Malaysia, sekiranya di dalam masyarakat Arab tentulah berbeza, namun demikian penggunaan perkataan ulamak dalam istilah Islam oleh orang Islam situasinya sama sahaja di mana-mana pun.Iaitu mereka menggunakan istilah yang sama kerana istilah tersebut telah digunakan sejak dahulu lagi sama ada di peringkat tempatan atau diperingkat global.

Adakah kita mahu menggunakan juga panggilan ulamak kepada doktor, jurutera dan lain-lain, sebagai contoh dipanggil ulamak perubatan, ulamak polima, ulamak penyakit tulang, rasanya cara begini akan menyusahkan masyarakat di dalam berkomunikasi harian mereka .

Sudah sekian lama kita gunakan perkataan atau panggilan ulamak itu membawa maksud mereka yang pakar di dalam bidang ilmu syariah dan usuluddin atau berkaitan dengan Al.Quran , Al.Hadis ,Ijmak Ulamak dan Qias. Walaupun kepakaran itu tidak sampai maqam mereka yang terdahulu atau mereka yang hampir dengan zaman Nabi Muhammad.s.a.w, disebalik kelemahan itu kita kenalah terima bahawa tiada rotan akarpun berguna.
Kalau tiada rotan dan akar yang sedang dimiliki pula dibuang tentulah akan merosakkan keadaan dan apa tindakan pun tidak akan dapat dilakukan, akhirnya kita tidak lagi memiliki benteng atau tembok pertahanan untuk menjaga kesucian Islam.

Tafsiran ulamak yang dikehendaki di dalam Islam adalah seperti yang dijelaskan di bawah ini sesiapa yang mempunyai ilmu dan pengetahuan yang hampir dengan situasi itu maka merekalah yang bertanggungjawab menjaga kesucian Islam dan merekalah ulamak yang dimaksudkan dan merekalah juga yang layak dipanggil ulamak.
___________________________________

Maksud Al.Hadis:
''Bila ulamak dan umarak (pemimpin) baik, umat Islam pun akan baik.''
________________________________

Istilah ulamak dari segi bahasa Arab.
Ertinya dari segi bahasa ialah orang-orang alim atau orang-orang pandai. para ilmuan atau cerdik pandai.
Takrif dari segi bahasa, ulama itu adalah orang alim (pandai) dalam apa jua bidang sama ada ilmu dunia ataupun ilmu akhirat, ilmu yang baik atau pun ilmu yang jahat, tidak kira ilmu itu diamalkan atau pun sebaliknya. Orang yang mempunyai ilmu dalam bidang teknologi,kedoktoran dan ekonomi misalnya, juga digelar ulama. Begitu juga yang mengetahui ilmu usuluddin, ilmu syariah mereka itu juga digelar ulama.
Tetapi ini adalah perbincangan dari segi bahasa ataupun loghah sahaja.

Maksud ulamak dari segi Islam.
Ulamak yang dimaksud itu adalah ulamak sebagai pengganti atau pewaris Rasul berbeza dengan pengertian yang tersebut di atas. Pengertian ini lebih khusus kepada ilmuan yang mengetahui tentang ajaran Al.Quran dan Al.Hadis ( ilmu dunia dan akhirat ) serta mereka sememangnya betul-betul menghayati ilmu tersebut di dalam kehidupan harian mereka, mereka istiqamah dalam mematuhi dan mentaati Allah dalam apa keadaan dan tekanan sekalipun.
_________________________

Di Malaysia buat masa ini tiada ulamak yang bertaraf demikian tetapi tiada rotan akarpun berguna.
_________________________

Pengertian ulamak mengikut Istilah Islam mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu.

(1) .Beriman
Ulamak itu mestilah dari kalangan orang-orang yang beriman. Firman Allah bermaksud:

''Allah mengangkat mereka yang beriman dikalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu itu beberapa darjat.'' (Al Mujadalah: 11)

(2) .Beramal
Mereka mestilah beramal dengan ilmu mereka. Seperti kata Abu Darda':


Maksudnya:
'Tidak dianggap seseorang itu alim sehinggalah dia beramal dengan ilmunya.''


(3) .Takutkan Allah.
Mereka mestilah orang yang takut dan taat dengan Allah. Firman Allah yang bermaksud:


''Hanya sanya yang takut dengan Tuhan itu ialah ulamak.'' (Al Fathir:28)

Tegasnya ulamak itu memiliki ilmu tentang ajaran Islam ini seumpama mendarah daging dalam dirinya, bertanyalah apa sahaja tentang ajaran Islam mereka tidak perlu lagi merujuk kepada kitab-kitab kerana ilmu itu telahpun berada di dalam dada mereka.

Demikianlah huraian sekadar yang saya faham mengenai perkara tersebut.


.Sekian . Allah Maha Mengetahui. Wassalam.


Keamanan dan ketenangan penduduk dirobek penjenayah.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Dukacita dimaklumkan bahawa dalam masa kebelakangan ini di tempat atau di taman yang saya tinggal telah berlaku suasana yang tidak tenteram dan menakutkan penghuninya, Keamanan dan ketenangan penduduk telah dirobek penjenayah, beberapa buah rumah telah dicerobohi, berlaku kejadian pecah rumah dan kecurian, inilah akibat yang terpaksa kita terima apabila manusia tidak beriman kepada Allah atau sekurang-kurangnya mereka percaya kepada Tuhan mengikut kepercayaan masing-masing, sebab setiap agama tidak membenarkan penganutnya melakukan perbuatan jahat seperti ini, kemiskinan juga salah satu penyebab gejala ini berlaku, Islam menyatakan bahawa kepapaan hampir menjadikan seseorang itu kafir oleh itu Islam menggesa umatnya supaya bekerja keras mencari rezeki bagi menyara keluarga kerana Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itulah sendiri yang mengubahnya.

Bersabit dengan perkara ini semua penduduk taman ini dijemput ke mesyuarat pada 22 MEI 2009, jam 9.00 malam, insya Allah, jika diizinkan Allah saya akan hadir, sebenarnya saya tinggal di sini hanya sebagai penyewa sahaja kerana rumah yang baru dibeli belum siap dibina, mengikut perjanjian akan siap pada Disember 2009. Walaupun demikian adalah mustahak untuk saya terlibat bersama di dalam mesyuarat tersebut sekurang-kurangnya dapat juga memberi buah fikiran atau mendapatkan maklumat daripada persatuan.

Berdasarkan maklumat di sini terdapat sebelas buah rumah yang terlibat dengan kejadian buruk dan menyakitkan hati itu, Senarai kejadian adalah seperti berikut;
(1) Peras ugut.
(2) Pecah kereta dan mencuri kasut.
(3) Pecah cermin kereta.
(4) Pecah rumah.
(5) Pecah rumah.
(6) Curi kereta.
(7) Pecah rumah.
(8) Pecah rumah.
(9) Samun bersenjata.
(10) Pecah rumah.
(11) Cubaan pecah rumah.

Kemungkinan rekod tersebut termasuk kejadian yang telah lama berlaku dan juga yang terbaru . Taman ini mula diduduki pada awal tahun 2009 dan sehingga sekarang masih terdapat rumah yang belum diduduki.

Saya memaparkan kejadian ini bertujuan memberi peringatan kepada kekawan supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi dan mencegah kejadian buruk ini di tempat masing-masing atau mengambil langkah-langkah tertentu bagi menjaga keselamatan rumah , tempat , taman atau kampung .

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH.

Semoga Allah sentiasa memelihara kesejahteraan dan keselamatan keluarga kita, amin.

Sekian. wallahu aklam. wassalam.

Sunday, May 17, 2009

Peristiwa tahun 60an. ( puisi )

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Bulan Bahasa, Jiwa Bangsa.
Pertandingan Syarahan dan Berbalas Pantun.
Demikianlah program menjulang bahasa.
Dilaksanakan dengan penuh santun.

Pertandingan syarahan dan berbalas pantun.
Budak sekolah aktif bersama.
Waktu malam meriah di dewan
Menghadiri majlis menjati bangsa.

Budak sekolah aktif bersama.
Ketika masih ejaan lama.
Kenapa sekarang ramai lena.
Majlis tidak dianjur bersama.

Ketika masih ejaan lama.
Belajar sastera, pantun indah.
Angkat bahasa, dakwah bersama.
Agar masyarakat mendapat hasanah.

Belajar sastera, pantun indah.
Bersama guru penuh sopan.
Peristiwa ini berlalu sudah.
Nukilan peristiwa tahun 60an.


Sekian. Wassalam.

Saturday, May 16, 2009

Ulamak profesional - Profesional ulamak


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Sejak kebelakangan ini perbincangan mengenai ulamak profesional dan profesional ulamak sering dipaparkan di akhbar dan laman blog, mengenai perkara ini saya ingin menyorot ke belakang bermula pada tahun 70an, di mana ketika itu telah ramai para pelajar daripada sekolah menengah melanjutkan pelajaran ke Universiti dan juga Maktab Perguruan. Mereka yang melanjutkan pelajaran tersebut termasuklah mereka yang bersekolah di sekolah menengah aliran bahasa Arab atau terkenal dengan panggilan sekolah Arab.
Walaupun orang Melayu masih bersongkok hitam kerana mereka percaya bahawa berkopiah putih hanyalah dikhaskan kepada mereka yang berpengetahuan Islam yang agak tinggi dan mempunyai kemahiran membaca doa di rumah khenduri atau majlis-majlis tertentu.

Pada ketika itu cara berfikir orang Melayu masih disaluti adat yang lebih tebal berbanding dengan fikrah yang disaluti nailai-nilai Islam. Namun begitu sebahagian kecil daripada mereka yang melibatkan diri dengan kegiatan dakwah terutama Angkatan Belia Islam ( ABIM ) telah mulai diserap dengan fikrah Islam dan adat tebal yang menyaluti mereka mulai lekang sedikit demi sedikit. Akhirnya pada tahun 80an masyarakat Melayu mulai berubah dan memahami Islam semakin meluas.

Perkembangan ini juga hasil perjuangan parti politik yang berteraskan Islam dan sudah tentulah di sana terdapat sumbangan daripada institusi kerajaan. Kombinasi dakwah dari berbagai institusi ini telah berjaya mengubah sikap sebahagian orang Melayu, daripada tidak bertudung kepada bertudung, daripada songkok hitam kepada songkok putih , daripada gelap kepada alam yang cerah. Ini adalah di antara contoh yang kecil yang dapat dilihat seperti kita melihat jumlah mereka yang memakai songkok hitam dengan jumlah mereka yang memakai kopiah putih di masjid pada hari jumaat dan hari-hari yang lain berbanding pada tahun 70an dahulu. Walaupun kelihatan kecil tetapi perubahan itu adalah perubahan minda dan anjakan pradigma.

Pada awal tahun 70an guru-guru ( ustaz dan guru ) telah tamat kursus sama ada di universiti atau maktab perguruan, Guru-guru yang dilatih di Maktab Perguruan Ilmu Khas menjalani latihan di dalam berbagai bidang dari berbagai kumpulan. termasuk guru-guru yang akan mengajar Pendidikan Islam, Guru-guru yang mengambil subjek Pendidikan Islam sebagai subjek yang akan mereka mengajar selepas tamat pengajian nanti, mereka ini juga berkebolehan mengajar di dalam subjek yang lain. Mereka inilah yang dimaksudkan sebagai ustaz cikgu dalam bahasa dan ungkapan mengikut budaya kita, dalam bahasa yang biasa semua mereka itu sebenarnya guru (cikgu).Setelah itu wujud pula Maktab Perguruan Islam sebagai penyambung kepada kursus ustaz cikgu ini.

Pada ketika yang sama mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia telah tamat pengajian dan masuk ke sektor pekerjaan termasuk menjadi guru, terdapat di kalangan mereka mampu mengajar Pendidkan Islam dan subjek yang lain. mereka juga layak dikenali sebagai ustaz cikgu. sejurus selepas itu mahasiswa Universiti Islam Malaysia pula tamat pengajian dan keluar menjawat berbagai jawatan kerajaan, ramai juga di kalangan mereka yang berkelulusan syariah dan usuluddin menjawat jawatan seperti Pegawai Tadbir, Penolong Pegawai Daerah dan seumpamanya. Mereka inilah agaknya akan menjurus kepada ulamak profesional kerana asas ulamat telah dimiliki sejak di universiti lagi. manakala pengalaman kerja mereka menjadikan mereka profesional pula. Contoh individu-individu seumpama itu telah ramai pada masa ini tetapi tidak perlulah disebut di sini kerana individu-individu ini senang sahaja untuk dikenalpasti.

Selain daripada itu terdapat juga guru-guru biasa yang berkelulusan syariah tetapi mengambil kursus guru dalam bidang akedamik ( Bukan Pendidkan Islam ), mereka ini pula layak dan berkebolehan mengajar subjek Pendidikan Islam. Mereka ini juga boleh dikenali sebagai cikgu ustaz yang saya maksudkan di atas tadi.

Manakala profesional ulamak pula ialah mereka yang mempunyai asas akademik yang tinggi dan pada masa yang sama mereka juga mendalami ilmu syariah sehingga mampu mengamalkannya dengan betul dan tepat, malah mengajarkannya kepada orang lain dan sudah tentulah penguasaan ilmu syariah mereka perlulah pada tahap diakui oleh ulamak yang lain.
Demikianlah fahaman saya mengenai ustaz cikgu. cikgu ustaz, ulamak profesional dan profesional ulamak.
Pada saya inilah yang dimaksudkan Islam itu adalah suatu cara hidup, di mana setiap individu Islam menguasai ajaran Islam ke tahap yang selayaknya untuk diri masing-masing bukan hanya milik kumpulan tertentu sebab setiap orang akan disoal dan disemak di akhirat nanti terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka di dunia ini.

Apakah pula pandangan anda ?.

Sekian. wallahu aklam. wassalam.