Thursday, July 26, 2012

Beribadat tetapi kurang meneliti syariat.

Salam semua.

Anak berjaya diasuh untuk berpuasa walaupun ibu bapa masih meninggalkan solat.

Gambar hiasan

Senario masyarakat kita berkaitan dengan puasa.
Aku terkenang ketika aku masih kanak- kanak dahulu, 
maaf ya kali ini aku berbahasakan aku kerana aku itu adalah suatu pengakuan yang lebih kukuh berbanding dengan ungkapan saya, sehubungan itu lafaz angkat nikah lebih yakin menggunakan aku - " Aku terimalah nikahnya.........", kalau guna saya mungkin membawa maksud sahaya, kalau guna ambo pula membawa makna hamba, kedua-duanya tidak terarah kepada pengakuan tulen kepada diri sendiri.... hahaha... ini hanya bergurau saja bukan kerana itu aku gunakan ungkapan itu....cuma aku selesa begitu untuk artikel kali ini, mungkin juga cara ini lebih mesra.

Aku berpuasa sejak zaman kanak-kanak lagi, ketika aku berpuasa aku tidak pun bersolat, tiada siapa pun memberi teguran padaku, malah kawan-kawanku pun begitu juga. Bukan itu saja orang dewasa pun ramai tidak bersolat, orang yang solat cukup lima waktu ketika itu hanya orang yang bergelar Lebai dan Haji saja. itupun andaian saja, mungkin mereka pun celum celam jugak.Walaupun ibu bapa tidak bersolat atau tidak cukup solatnya mereka berjaya mendidik anak-anak berpuasa, itulah istimewanya orang Melayu. Satu kampung malah satu negara mendidik masyarakatnya berpuasa.Kalau berjumpa dengan kanak-kanak mereka akan bertanya berpuasa atau tidak.Terdapat di kalangan ibu bapa yang menawarkan hadiah kepada anak-anak kecil yang berjaya berpuasa penuh atau seumpamanya.


Kalaulah kewajipan bersolat itu juga dididik seperti kita  mendidik kanak-kanak berpuasa tentulah tiada bapa dan ibu yang tidak cukup atau tidak sempurna lima waktu manunaikan  solat.Solat ibarat tiang agama(Islam).

Ramai orang kita berpuasa berbanding dengan bersolat, ada yang berpuasa tetapi tidak bersolat, ada yang pergi ke masjid berbuka puasa tetapi tidak masuk saf solat Maghrib dan bersolat jamaah, ada yang berpuasa tidak pernah tinggal tetapi dalam keadaan sedang berpuasa itu mereka mendedahkan aurat bersahaja saja, ada jugak keadaannya keterlaluan sehingga mencuit nafsu lelaki normal. Ada juga yang hadir ke masjid untuk melibatkan diri dalam aktiviti menyediakan bubur atau jamuan berbuka tetapi tidak pula untuk bersolat Asar atau seumpamanya.Pendeknya macam-macam ada. 

Beribadat tetapi kurang meneliti syariat.
Semua tasauwur dan situasi yang diutarakan di atas adalah kefahaman orang Melayu mengenai kewajipan berpuasa yang tidak sepadu dengan rukun Islam yang lain, yakni fahaman dan pembawaan yang bercampur-aduk dengan adat dan syariat, menjadikan fahaman itu kabur dan tercemar. Amalan begini biasanya mereka merujuk kepada biah atau persekitaran mereka sahaja dan kurang merujuk kepada Al.Quran dan Al.Hadis, sehubungan dengan itu apabila tiba sahaja bulan Syawal mereka akan berhari raya sehingga sebulan iaitu sepanjang bulan Syawal dan melupai syariat yang menyuruh berpuasa sunat Syawal mulai 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal seperti disebutkan di dalam al.Hadis, walau pun puasa ini boleh dianjakkan ke tarikh yang lain asalkan dalam bulan Syawal. Sekiranya dibuat begitu bermakna kita telah memberi keutamaan kepada adat bukan ibadat. Adalah amat penting dalam semua ibadat dirujuk kepada al.Quran dan sunnah supaya amalan yang kita laksanakan itu diterima Allah bukan menjadi adat semata-mata.


Malah lebih dahsyat lagi pada suatu ketika dahulu Hari Raya disambut dengan acara hiburan yang melekakan terutamanya anak-anak muda.Walau pun anak muda yang menganjurkan acara maksiat  tetapi orang dewasalah puncanya kerana masyarakat dewasa pada ketika itu mengabaikan kewajipan mereka terhadap anak-anak muda.

Mereka yang berjaya dalam ibadat puasa ini ialah mereka yang berpuasa dengan mematuhi semua aspek perintah Allah dan sentiasa merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis bukan pak turut atau merujuk kepada adat kebiasaan semata-mata. Biarlah ibadat yang  dilaksanakan menepati perintah Allah itu yang  menjadi adat amalan kita supaya syariatnya sentiasa terpelihara. 


Renung dan fikirkan cara untuk menghayati Kehidupan Bersih.


Sekian...wallahu aklam. 


Wednesday, July 25, 2012

Penghijrahan para artis dan politik.

Salam semua.
Pada hematku.
Kebelakangan ini ramai masyarakat Malaysia dari berbagai golongan, baik dewasa atau pun muda-mudi  sebok membincangkan  penghijrahan para artis dari kehidupan glamour dan keduniaan semata-mata kepada kehidupan yang mengutamakan ketauhidan kepada Allah serta mengabdikan diri kepada Allah. Serentak dengan itu para artis yang berhijrah itu bukan sahaja memakai pakaian menutup aurat, bahkan mereka juga memanjangkan  langkah dengan mengisytiharkan parti politik pilihan mereka. Kebanyakan mereka memilih Parti PAS bagi memadan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka sebagai seorang Islam yang benar-benar ingin menghayati Islam sebagai cara hidup yang diredai Allah atau Islam sebagai Addin.

Situasi mereka memilih Parti PAS dan  tidak memilih Parti UMNO itu menjadikan sikap dan pilihan para artis  itu  mengundang perbincangan yang lebih panjang dan lama tempohnya. Persoalan timbul mengapakah mereka memilih Parti PAS dan tidak Parti UMNO atau parti-parti yang lain. 

PAS berada di dalam Pakatan Rakyat dan UMNO pula berada di dalam Barisan Nasional. Barisan Nasional adalah parti gabungan yang sedang memerintah, manakala Pakatan Rakyat adalah gabungan parti yang hanya memerintah di peringkat negeri sahaja, iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor , walau pun pada suatu ketika dahulu negeri Perak juga di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat tetapi akhirnya situasi itu berubah dan meninggalkan sejarah hitam bagi Pakatan Rakyat dan rakyat Perak . Sejarah hitam ini telah menceritakan banyak kisah dan ceritanya tetapi artikel ini tidak berhajat untuk menyentuhnya.   
Penghijrahan itu telah pun berlaku, seorang demi seorang berhijrah dan masuk Parti PAS, pada mulanya kita lihat para artis tersebut mesra dengan PAS dan belum masuk PAS tetapi, kini mereka telah pun masuk PAS, mungkin terdapat juga yang belum masuk PAS tetapi mereka ini tetap mesra dengan PAS.Di antara mereka itu ialah Bob Lukman, Puan Wan Aishah, Haire Othman, Abby Abadi dan lain-lain.
Mengapakah agaknya berlaku demikian rupa?.
Pada pendapat saya situasi itu sangat senang untuk ditelah dan diagak. Para pemimpin PAS dan para ahlinya serta penyokong di kalangan orang Melayu/Islam semuanya suka memberi motivasi dan menerima motivasi mengenai kehidupan secara Islam atau ingin menegakkan kehidupan secara Islam di atas muka bumi Malaysia ini. Maka tidak syak lagi bahawa PAS tentu sekali suka dan bersyukur di atas  perubahan dan penghijrahan tersebut, begitu juga pengikutnya. 

Tindakan yang dilakukan oleh para artis tersebut sesuatu yang amat diharapkan oleh PAS dan pengikutnya. Kalau tidak masuk PAS sekali pun mereka suka dengan penghijrahan artis itu kerana itulah juga salah satu perjuangan mereka ( Merujuk kepada Perlembagaan PAS, pengakuan  para pemimpin dan harapan para penyokongnya ).Dengan kemasukan mereka ke dalam PAS akan menyuburkan lagi penghijrahan dan kefahaman Islam para  artis itu sendiri.
Tegasnya para artis yang berhijrah itu memilih Parti PAS  kerana itulah medan yang paling sesuai untuk mereka aktif dalam suasana yang islamik.

Sekian...Wallahu aklam.

Tuesday, July 24, 2012

Penghijrahan para artis perlu diterima dengan ikhlas.

Salam semua.
Kini para artis semakin ramai mengambil keputusan membuat penghijrahan cara hidup mereka, penghijrahan  memilih Islam sebagai cara hidup itu amatlah baik dan disuruh ( diperintahkan Allah ), semua pihak perlulah menerima mereka secara ikhlas dan bersangka baik kepada mereka. Ikhlas yang dimaksud di sini ialah menerima perubahan mereka itu secara bersangka baik iaitu mempercayai bahawa perubahan itu berlaku setelah ilmu Islam meresap di dalam minda dan jiwa mereka serta mencetuskan kesedaran dan  penambahan keimanan kepada mereka.Bukan bersangka buruk kepada mereka dan berlebih-lebih lagi menyindir mereka itu dengan ucapan kata-kata yang tidak manis kerana diri kita sendiri pun belum tentu lebih baik daripada mereka, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa dan hal ini secara muktamadnya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Pengisytiharan atau pengumuman bahawa mereka akan menjalani hidup ini secara yang dituntut oleh Islam, ungkapan itu pun telah menjadi dakwah yang meluas kepada masyarakat atau dalam perkataan lain ianya telah memberi kebaikan dan dorongan serta motivasi  kepada masyarakat untuk mengikut jejak langkah tersebut., Saya lebih suka menyarankan supaya mereka mendalami ilmu serentak dengan berdakwah.Belajar dan dakwah boleh berjalan serentak, pengumuman mereka itu kepada peminat atau masyarakat tentang hasrat untuk berhijrah itu pun telah menjadi dakwah. Apabila berkesempatan eloklah mereka ini melibatkan diri dan mereka tidak perlu menunggu sampai alim dan pakar di dalam sesuatu bidang ilmu Islam, hayat maut manusia tidak diketahui masanya, kalau dibuat atau melibatkan diri di dalam dakwah sekurang-kurangnya Allah telah mencatatkan kerja baik  itu.Kerja baik tidak perlu tunggu untuk melakukannya supaya ianya kekal menjadi baik dan kerja jahat sesuai ditangguhkan pelaksanaannya supaya ianya berubah hati dan akan bertukar menjadi baik pula.

Semestinyalah di dalam berdakwah seseorang pendakwah itu perlu sertakan dalil-dalil dari al.Quran dan al.Hadis untuk mengukuhkan penjelasan dan penerangannya. Namun demikian tidak semua  syarahan dan ceramah atau topik yang dibincangkan itu terpaksa disertakan dengan dalil-dalil naqli, dalam perkara ini biarlah kita merealisasikan pepatah yang menyatakan " Tiada rotan akar pun berguna".

Para artis telah pun mempunyai peminat yang ramai, terutamanya para remaja yang sedang membina identiti diri, kalau mereka melibatkan diri di dalam bidang dakwah mereka akan dapat mengumpulkan peminat ke sesuatu majlis  dan mengikuti ilmu baru dari artis pujaan mereka iaitu ilmu mengenai Islam yang tidak pernah mereka mendengarnya  dari pengucapan lidah artis berkenaan sebelumnya. Kalau pun mereka berdakwah mereka tidak bersendirian, kebiasaannya mereka akan digandingkan dengan ustaz-ustaz yang berpengalaman bagi melengkapkan sesuatu ceramah atau majlis ilmu yang disertai mereka yang dianjurkan oleh masyarakat buat masa ini.


Sekian...Wallahu aklam.


Monday, July 23, 2012

Berbuka puasa di Masjid Negeri Shah Alam - Video.

Salam semua.
 
Masjid Negeri Shah Alam atau nama sebenarnya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah, Shah Alam, Selangor sama juga seperti masjid-masjid  lain di Malaysia di mana mereka juga mengadakan jamuan berbuka puasa dan menyediakan sahur  untuk mereka yang beriktikaf di masjid serta menyediakan berbagai program sepanjang bulan Ramadan.

Video ini diambil sebelum jam 6.30 petang, namun ahli jamaah  telah mulai ramai - ini adalah suasana sebelum berbuka - kelihatan ramai juga yang sedang membaca al.Quran sementara menunggu waktu berbuka, ada juga yang bersembang dengan kenalan baru.
Video di atas ini pula dirakamkan sebelum jam 6.50 petang di mana kelihatan para jamaah muslimin dan muslimat semakin bertambah, sedang video ini dirakam seorang kanak-kanak meminta pinjam telefon bimbit kerana beliau hendak menghubungi bapanya yang sedang berada di masjid ini juga tetapi tidak mengetahui di sudut mana beliau berada, setelah menelefon bapanya pun datang duduk bersama anaknya , berikutan itu di penghujung video  ini berlaku sedikit kecacatan  kerana penulis tidak mengendalinya dengan teliti .
 

Sambil penulis bangun untuk menyimpan beg di dalam kereta dan bersolat Maghrib video ini pula dirakamkan, kelihatan masing-masing asyik menikmati juadah ketika ini semuanya dirasai lazat dan nikmat sekali, ketika inilah juga orang yang berpuasa merasai paling gembira.
 
Selawat ketika hendak bersurai selepas solat Tarawih.

Catatan:
Dari segi peraturan dan disiplin para jamaah yang datang berbuka dan bersolat pada tahun ini insya Allah akan  lebih baik berbanding dengan tahun lepas, mungkin kerana terdapat penambahbaikan pelaksanaan peraturan yang ditetapkan oleh pihak masjid.Tempat makan diasingkan di antara lelaki dan wanita, papan tandanya sangat jelas dan dapat dilihat dari jarak jauh, pada tahun lepas terdapat juga para jamaah yang buat-buat tidak faham bertujuan tidak mahu patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan. Telah menjadi lumrah apabila terdapat orang ramai akan terdapat orang yang tidak jujur, malah ada yang mencuri.

Sekian...Wallahu aklam




Sunday, July 22, 2012

Solat Sunat Tarawih di Masjid Negeri Shah Alam - Video..

Salam semua.
Solat Sunat Tarawih telah selesai malam kedua malam tadi manakala puasa masuk hari kedua hari ini, berlaku demikian kerana solat Tarawih ditunaikan dahulu iaitu malam sebelum berpuasa kerana ketika itu Ramadan telah bermula, dalam Islam perkiraan hari bermula setelah terbenam matahari oleh itu hari Sabtu bermula setelah matahari hari Jumaat terbenam, malam tersebut disebut sebagai malam Sabtu tetapi orang zaman ini telah keliru dengan istilah ini maka disebutkannya Jumaat malam yang membawa maksud malam selepas hari Jumaat, begitulah pengaruh barat menghakis istilah kita.Di mana orang kita juga mengamalkan kalender masihi, mengikut kalender mereka hari bermula apabila setelah jam 12.00 tengah malam.
Malam tadi saya bersolat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam atau masjid ini dikenali juga dengan panggilan Masjid Negeri Shah Alam, Selangor, saya tidak dapat meneruskan solat sehingga 20 rakaat kerana kurang sihat, batuk mengukuk sepanjang solat, terasa mengganggu pula jaamah yang berada di kiri kanan atau saf berdekatan, mungkin juga mereka bimbang takut-takut berjangkit, semakin lama semakin jujuh batuknya oleh itu saya mengambil keputusan berhenti setakat 12 rakaat sahaja, ramai juga yang berhenti sekadar 8 atau 10 rakaat atas alasan masing-masing. Rupa-rupanya ketika ini kenderaan telah pun berpusu-pusu menuju ke arah pintu keluar, ramai, memang sangat ramai tetapi yang sedang meneruskan solat sehingga 20 rakaat lebih ramai dan selepas solat akan sekali lagi jalan di dalam kawasan masjid ini menjadi sesak dan kenderaan akan bergerak seperti kura-kura buat selama 10 atau 15 minit.


Mengikut berita yang saya baru sahaja membaca dan melihat fotonya, kini di Mesir para muslimin dan muslimat di sana begitu gembira dan bersyukur dengan suasana terkini yang dikurniakan Allah kepada mereka, mereka memenuhi ruang solat Tarawih dalam keadaan penuh sesak, amat berbeza sekali berbanding dengan zaman Hosni Mubarak, kini Mesir memiliki zaman berkat dan aman di bawah pemerintahan Dr. Muhammad Mursi (Presiden Mesir), seorang hafiz al.Quran.


 

Sebelum sampai ke kereta teringat pula supaya  dilewatkan sedikit keluar kawasan masjid untuk mengelakkan kesesakan , lantas  terfikir pula merakamkan video yang disertakan di atas.

Para imam yang berkhidmat di masjid ini memang terdiri dari mereka yang berkebolehan  dan huffaz al.Quran.

Sekian...Wallahu aklam.

Thursday, July 19, 2012

Bicara Selebriti (berdakwah) - video.

Salam semua.

Artikel ini sebenarnya dirakamkan ( rakaman sebahagian ) dari siaran langsung Bicara Selebriti yang direalisasikan oleh www.kelantantv.my malam tadi, untuk tujuan berdakwah saya rasa rakaman ini tidak menjadi kesalahan, malah memberi manfaat tambahan pula kepada penganjur.
 
 
Artis yang terlibat dengan bicara ini ialah Khairul Azzam ( Mas Khalidi ) - Indonesia  ( Pelakon  filem - Bila cinta bertasbih ), Yatt Hamzah, Ana Rafalli bersama Us.Hasrizal Abdul Jamil - Pemudahcara bicara Amin Idris.

.




Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, July 17, 2012

Info : Perjalanan bakal Haji dari Makkah ke Padang Arafah - Video.

Salam semua.

Artikel ini ingin mengutarakan sedikit informasi mengenai perjalanan dan persediaan ke Padang Arafah bagi membantu bakal Haji yang memerlukan informasi tersebut, walau pun ringkas tetapi bakal Haji akan mendapat banyak lagi informasi atau maklumat dari pihak lain. sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit. Di bawah ini  dipaparkan video ringkas, sebaik sahaja sampai di Padang Arafah video ini dirakamkan.

Bertolak ke Padang Arafah.
Tanggal 8 Zulhijjah 1432H selepas solat Jumaat  rombongan bakal Haji pun bertolak ke Padang Arafah, perjalanan boleh dianggap sebagai selesa memandangkan  orang begitu ramai tetapi apabila sampai di kawasan perkhemahan barulah bermasalah kerana kenderaan terlalu banyak, bas rombongan kami terpaksa berpusing jauh, lihat video kerana video ini merakamkan situasi tersebut.

Bagi mereka yang mengerjakan Haji secara Tamattuk, mereka telah mengerjakan  Umrah sebaik sahaja masuk ke Makkah dan selesai pada hari tersebut juga dan hari-hari bakinya sementara menunggu hari wukuf di Padang Arafah, bermalam Muzdalifah dan di Mina serta melontar, mereka mengerjakan Umrah sunat untuk beberapa kali lagi mengikut kemampuan kesihatan dan kudrat masing-masing.

Kini telah tiba 8 Zulhijjah, sebelum bertolak ke Arafah bakal Haji memakai Ihram dan berniat di tempat kediaman atau hotel masing-masing, rombongan ini sampai ketika waktu Asar dan bersolat Asar di dalam khemah, bermalam di sini, apabila terbenam matahari barulah dikira 9 Zulhijjah ( dikehendaki berada di Arafah sebentar sahaja -  tempoh masa wukuf selepas gelincir matahari hari 9 Zulhijjah sehinggalah terbit fajar - dalam tempoh tersebut dikehendaki berada sebentar di sini tetapi seelok-eloknya sebahagian hari tersebut ).Kami berada di Padang Arafah sehingga berakhir 9 Zulhijjah dan bersolat Maghrib di sini.


Selepas solat Maghrib ( ketika ini telah pun 10 Zlhijjah ) kami bertolak pula ke Muzdalifah salah satu lokasi yang dikehendaki bakal Haji berada di situ buat seketika, tempoh masanya mulai separuh malam 10 Zulhijjah sehingga masuk waktu Subuh. Kami sampai di sini lebih awal, waktu untuk mabit belum sampai oleh itu terpaksalah menunggu sehingga masuk separuh malam, kemudian kami bertolak pula ke Mina untuk bermalam di sana dan melontar.

                          Bermalam di Mina - dalam khemah.

Melontar di ketiga-tiga jumrah.
Ada baiknya cerita ini diteruskan dengan cerita mengenai melontar di tiga jumrah.Ketika sampai di Mina telah pun tanggal 10 Zulhijjah ( Hari Raya Haji ), tarikh ini memang telah bermula ketika kami bersolat Maghrib di Padang Arafah, waktu melontar di Jumrah Kubra ( Aqabah ) ialah setelah tengah malam tersebut, pada hari ini hanya melontar di Jumrah Kubra sahaja kemudian bolehlah  bertahlul/ bercukur dan bebas berpakaian asalkan menutup aurat. Kemudian pada 11, 12 dan 13hb Zulhijjah melontar di ketiga-tiga jumrah. Kalau tertinggal melontar pada hari tertentu boleh diganti lontaran itu pada hari yang lain asalkan yang dahulu hendaklah didahulukan dan tempohnya sehingga sebelum terbenam matahari hari 13 Zulhijjah ( hari tasyrik ).

Jumrah.
Tempat melontar pada masa ini telah dibina bertingkat dengan itu ramailah bakal Haji dapat pergi melontar dalam satu-satu masa dan menjadi lebih mudah lagi apabila pihak berkuasa mengatur jadual untuk jamaah bagi sesuatu negara pergi melontar, pada masa ini keadaannya jauh lebih mudah berbanding pada masa dahulu sehingga berlaku kemalangan kerana kesesakan. kini tiada lagi kesesakan di tempat melontar.
Pada 13hb.Zulhijjah semua jamaah Haji kembali ke Makkah, di sana mereka mengerjakan tawaf dan Saei untuk menyempurnakan Fardu Haji mereka, dengan itu barulah tamam Ibadat  Haji mereka.
Apa yang diceritakan ini hanyalah salah satu cara mengerjakan Haji, masih ada cara atau kaedah lain lagi untuk direalisasikannya, cara ini dikenali sebagai Cara Tamattuk...wallahu aklam. 
                                                                       Khemah di Mina.
.
Di Jabal Rahmah tidak jauh dengan khemah Arafah.

Sampai di lokasi.
Pada permulaan video ini menunjukkan rombongan bakal Haji ini telah pun sampai bertentangan dengan lorong masuk ke khemah Malaysia di Padang Arafah tetapi bas yang mereka naiki tidak dibenarkan membelok masuk ke lorong menuju ke khemah, sebaliknya pengawal mengarahkan pemandu bas membuat pusingan U dan dilarang  melintas masuk, malangnya pusingan U itu terletak jauh dari pintu masuk tersebut menyebabkan perjalanan memakan masa yang lama untuk sampa semula ke pintu lorong tadi, sebaliknya bas yang sampai kemudian dibenarkan pula terus masuk ke lorong tersebut, oleh itu mereka yang bertolak kemudian sampai ke lokasi terlebih dahulu kerana mereka mendapat kemudahan membelok ke lorong masuk ke khemah.
 
Bertugas tanpa perancangan.
Pasukan pengawal lalu-lintas seolah-olah bertugas tanpa perancangan awal menyebabkan orang ramai menerima kesulitan dan kesusahan, semasa di Makkah sebelum ini pun dilihat suasananya seperti itu juga, Dua minggu sebelum wukuf barulah kita dapati kelibat pengawal atau polis mengawal keadaan pada hal sebelum itu telah berlaku kejadian mencuri, meragut atau  mencopek. Sepatutnya dalam jangka masa dua bulan di dalam musim Haji ini pihak berkuasa sepatutnya membuat kawalan ketat terutamanya berkaitan lalu-lintas dan jenayah.


Sekian...Wallahu aklam.


 

Saturday, July 14, 2012

Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan.

Salam semua.

Membuat kebaikan dan kebajikan bukanlah suatu kerja yang susah, membuang ranting yang menghalang di tengah jalan pun termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan, malah senyum yang kena pada tempatnya pun sudah dikira perbuatan yang dijeniskan kebaikan ( khairat).

Walau bagaimana pun kebaikan itu adalah sesuatu yang berkualiti seharusnya pengamal (pembuat) kebaikan itu juga berkualiti, iaitu dilakukan dengan penuh ikhlas, semata-mata kerana menyahut perintah Allah, sekiranya melibatkan harta-benda seperti bersedekah atau memberi sumbangan perlulah harta-benda itu diperolehi secara halal atau dari harta yang halal tanpa sifat-sifat tersebut perbuatan kebaikan itu hanya kelihatan baik tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kebaikan itu seharusnya dilihat baik dan hakikatnya pun baik jua.

Kebaikan yang diperolehi itu pula perlu dijaga dan dipelihara supaya ianya tidak terhakis, perbuatan yang boleh menghakiskan pahala kebaikan di antaranya mengungkit-ungkit, menyakiti penerimanya dan riyak ( menunjuk-nunjuk ). Tegasnya setelah melakukan kebaikan minda hendaklah fokus sepenuhnya supaya sentiasa berada di dalam keihklasan tanpa bucur sedikit pun keadaannya.

Kini peluang untuk membuat kebaikan dan kebajikan yang lebih besar telah datang menghampiri kita, wadahnya juga semakin besar terpulang kepada kita untuk merealisasikannya atau sebaliknya. Ramadan akan menjelma tidak beberapa hari lagi di sana terdapat betbagai tawaran kebajikan untuk kita menyahutnya dengan senyum manis dan riang ria, setidak-tidaknya memberi sumbangan untuk menyediakan bubur lambuk dan hidangan untuk berbuka puasa atau memberi sumbangan untuk mentakmirkan masjid khas pada bulan Ramadan.

Kebajikan yang lebih um dan kemas serta berdaya maju lagi ialah memberi sumbangan wang sebagai wakaf kepada pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang julung-julung kalinya direalisasikan di dalam sejarah pemerintahan di Malaysia, kebetulan lebuh raya ini akan dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.Seolah-olah jalan ini sedang menuju ke syurga, mengapa tidak, bukankah mewakafkan harta atau wang ringgit untuk kebaikan itu ganjarannya syurga...wallahu aklam.

 jika wakaf ini dilakukan di dalam bulan Ramadan betapa indah dan banyaknya  pahala yang akan diperolehi.Menderma, bersedekah , berwakaf atau apa-apa yang kita namakan bukanlah kerana pahala tetapi, kerana perbuatan itu adalah suruhan Allah dan Rasulnya, kita hanya ingin mentaati-Nya sahaja tetapi pahala adalah janji yang telah dikhabarkan Rasul kepada umatnya.
_____________________________________

[148]
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[ Surah Al.Baqarah ]


[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[ Surah Al.Baqarah ]

____________________________________________


Sekian...wallahu aklam.

Monday, July 9, 2012

Kalau bercakap pasal Islam di sana ada politik.

Salam semua.

Gambar hiasan
 
Kalau 
bercakap 
pasal Islam di sana ada politik kerana politik tercakup di dalamnya  , kalau bercakap pasal politik belum tentu melibatkan Islam kerana terdapat politik yang tidak mengikut cara Islam dan tidak memperdulikan hukum-hakam yang telah ditentukan oleh Allah di dalam kehidupan orang Islam.Di mana kehidupan orang Islam wajib berpandukan al.Quran dan al.Hadis.Setiap detik kehidupan orang Islam, malah semua manusia di dunia ini  wajib berpandukan al.Quran dan al.Hadis .

Perjalanan ke akhirat.
Manusia yang berada di dunia ini hakikatnya mereka sedang dalam perjalanan ke akhirat, sesiapa yang tersalah pilih jalan maka mereka itu akan sesat dan tidak sampai ke destinasi yang betul, dunia juga tempat ujian dan ladang persediaan ke akhirat, ladang bagi mengumpulkan bekalan ke akhirat iaitu dunialah tempat untuk beramal ibadat, sebelumnya manusia perlu betulkan terlebih dahulu cara hidup mereka iaitu wajib akur dengan perintah yang terdapat di dalam al.Quran dan al.Hadis.Dalam menetukan pilihan sama ada menurut Islam atau tidak merupakan suatu ujian yang besar dan berat, setelah menurut Islam mereka masih lagi menghadapi ujian tetapi ujian ini tidak lagi yang amat berat seperti sebelumnya.Ujian merupakan  suatu bentuk penilaian yang disebut dosa dan pahala atas pemilihan yang dilakukan. Memilih Islam mendapat pahala, menolaknya mendapat dosa.

Islam di dalamnya ada politik.
Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap yang mana peraturan hidup Islam diturunkan oleh Allah, manakala  Rasul diutuskan untuk mengajar umatnya supaya memahami cara hidup tersebut.Maka setiap pekerjaan orang Islam, malah semua manusia yang dijadikan Allah wajib patuh kepada peraturan tersebut, salah satu item di dalam pekerjaan itu termasuklah berpolitik, politik hanya sebahagian kecil daripada cara hidup manusia, cara hidup Islam adalah sesuatu yang unggul dan agung. Islam memperingatkan manusia bahawa kehidupan ini tidak terhenti di dunia ini sahaja, kehidupan manusia sebenarnya akan berakhir di syurga atau di neraka di sanalah tempat kekal abadi, destinasi itu akan akur atau terpulanglah kepada pilihan dan amalan mereka di dunia ini.


Sekian...Wallahu aklam.

PIBG, Guru, Waris dan aktiviti.

Salam semua.
Gambar hiasan
"Sekolah kami Ahli Jawatankuasa PIBG terdiri daripada mereka yang hebat-hebat belaka, Professor, doktor, jurutera dan mereka yang setaraf dengannya.Berbagai program dicadangankan dan  diluluskan di dalam mesyuarat AJK untuk dilaksanakan oleh PIBG. Tetapi yang melaksanakannya gurulah juga". Rungutan biasa di kalangan guru.
###
Artikel ini sengaja memulakan dengan ungkapan tersebut sebagai titik permulaan artikel. Sebelum meneruskan coretan penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengimbau kembali status PIBG dari segi prosedurnya. Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) ialah sebuah organisasi atau persatuan yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, keahliannya secara automatis kepada guru dan waris pelajar sekolah berkenaan, keahliannya tidak bergantung kepada yuran ( PIBG tidak dikenakan sebarang yuran kepada ahlinya), sumber PIBG kebiasaannya melalui derma ahli atau masyarakat sekeling. Dalam hal ini ramai pihak sekolah dan waris juga menggunakan istilah yang salah apabila mereka memungut derma tahunan daripada waris dengan menyebut atau mencatatkan sebagai yuran tahunan ( Sepatutnya Derma Tahunan).

Beban Guru.
Jika PIBG melaksanakan banyak aktiviti, ini  bermakna bertambahlah beban tugas guru yang tidak memberi manfaat secara langsung kepada para pelajar, oleh sebab manusia memiliki tenaga dan kudrat yang terhad, maka tenaga guru yang sepatutnya dicurahkan kepada para pelajar menjadi kurang dan mengucup.Perkara demikian berlaku kerana 90 % aktivit yang diputuskan oleh AJK.PIBG kebiasaannya gurulah yang akan melaksanakannya. AJK.PIBG kebiasaannya hanya menghadiri mesyuarat dan majlis tertentu sahaja.Kebiasaan ini berlaku bertahun-tahun secara berterusan menyebabkan sesetengah pihak keliru dan tidak dapat membezakan di antara majlis sekolah dengan majlis PIBG.Sebagai contoh semua tugasan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG gurulah yang menyempurnakannya sehingga guru sendiri pun tidak menyedari bahawa kerja-kerja yang mereka lakukan itu adalah termasuk dalam tugas sukarela sahaja iaitu status mereka sebagai ahli PIBG bukan sebagai guru atau dalam ungkapan yang lain mereka sebagai yang menjalankan tugas bukan sebagai yang menurut perintah.

Guru-guru yang menjadi AJK.PIBG akan mendapat tugasan yang lebih berat berbanding dengan guru yang hanya ahli biasa, tugasan biasanya diagih-agihkan oleh Setiausaha. Setiausahalah yang menyediakan senarai tugas bagi sesuatu aktiviti yang akan dilaksanakan sama ada aktiviti Jogathon, Mesyuarat Agung atau sebagainya.Sepatutnya tugas melaksanakan aktiviti dilaksanakan secara sama berat dan adil di antara ahli di kalangan guru dan ahli di kalangan waris, kalau semua aktiviti PIBG direalisasikan oleh guru, sudah tentulah akan membebankan tugas guru yang memang sedia terbeban yang tidak pernah berjaya dikurangkan oleh mana-mana pihak, kalau berlaku kurang pun hanya buat beberapa ketika sahaja, hari ini kurang, esoknya bertambah pula, tegasnya guru tidak pernah percaya bahawa beban tugas mereka akan dikurangkan atau diringankan sehinggalah mereka mencapai tarikh bersara, hanya bersara sahaja yang boleh meringankan beban tersebut.Kerja-kerja perkaranian kini semakin bertambah semuanya dikehendaki masuk di dalam internet atau talian terus supaya kerja-kerja semakan menjadi lebih mudah dan canggih tetapi kemudahan itu dinikmati oleh pihak lain, para guru tetap terpaksa mengadap laptop menyelesaikan kerja-kerja perkeranian mereka, mengikut menasabahnya kerja-kerja tersebut sepatutnya dilangsaikan oleh pegawai lain yang berkaitan dengan perkeranian ( perlu dilantik untuk mengurangkan beban guru )

Sekian...Wallahu aklam.


Sunday, July 8, 2012

Merpati anih di dalam Masjid Nabawi.

Salam semua.
Madinatul Hujjaj
Artikel ini dinukilkan berdasarkan cerita yang disampaikan oleh orang yang menyaksikan peristiwa  yang berlaku, walaupun penulis juga berada di dalam masjid ketika peristiwa ini berlaku tetapi penulis berada di bahagian lelaki manakala peristiwa ini berlaku di bahagian perempuan, di antara ahli jamaah lelaki dan perempuan ada sekatan dinding yang menghalang kedua-dua pihak melihat di antara satu sama lain, pintu untuk masuk ke dalam masjid juga berasingan, suasana di dalam Masjid Nabawi kelihatan lebih tertib dan khusyuk berbanding di Masjidil Haram, di mana di Masjidil Haram manusia terlalu ramai sehingga susah hendak kawal, maka kita hendaklah  menerima keadaan itu seadanya. 

Merujuk kepada merpati anih yang disebutkan di dalam topik artikel ini. Penulis ingin menukilkan semula peristiwa yang tidak disangka-sangka  berlaku di Masjid Nabawi pada musim Haji yang telah lalu.Setelah masuk minggu ke dua kami berada di Madinah di mana pada ketika itu  para jamaah Haji bertambah semakin hari semakin ramai, kalau hendakkan tempat solat yang selesa para jamaah perlulah pergi lebih awal setiap kali masuk waktu solat. Sedang ahli jamaah perempuan beriktikaf, membaca al.Quran, bersolat sunat dan seumpamanya sementara menunggu masuk waktu Asar, tiba-tiba seekor  merpati terbang dengan lajunya dari arah atas bumbung bahagian dalam masjid dan tidak semena-mena hinggap di atas bahu seorang wanita, wanita itu menjerit sekuat-kuatnya sehingga kedengaran begitu kuat sekali dan berlari-lari dengan tidak tentu arah untuk menyelamat atau mengelakkan diri, keadaan itu memaksa jamaah lain turut berdiri dan bersiap siaga, kalau-kalau terpaksa membuat tindakan seterusnya, situasi yang tidak tenteram ini  terpaksa dibantu oleh para pengawal wanita yang sedang bertugas. Pergerakan yang tidak tentu arah itu menyebabkan orang lain juga turut rasa takut dan seram, maka berlaku keadaan tidak terkawal buat beberapa ketika, walaupun cuba ditenteramkan oleh pangawal bertugas.

Wanita itu akhirnya mendapat bantuan ambulan untuk dibawa ke hospital, setelah diperiksa mengikut cerita yang sampai kepada penulis wanita itu tidak disabitkan dengan apa-apa penyakit oleh itu beliau dibenarkan pulang semula ke hotel.
Ramai meramalkan merpati itu adalah jelmaan makhluk halus  ( penulis tidak pasti ) sebab itulah  pihak masjid melaungkan azan supaya keadaan kembali menjadi tenteram semula. Sedang azan dilaungkan wanita tersebut terjatuh ketika inilah beliau di bawa ke hospital.

Peristiwa ini dikaitkan dengan seorang wanita Malaysia yang terjatuh dari tingkat atas di Hotel Al.Haram.Penulis dan kawan-kawan menyaksikan mayat yang terkujur di atas kaki lima hotel sebaik sahaja wanita itu terjatuh, pada ketika itu mayat telah pun ditutup sempurna dengan kain dan diawasi oleh pihak polis dan jalan di hadapan hotel itu tutup.  Kejadian ini bukanlah kejadian membunuh diri, sebaliknya didapati banyak pertunjuk yang dipercayai wanita tersebut bertindak dalam keadaan tanpa kewarasan akalnya.

Video ini dirakamkan berhampiran Masjidil Haram.

Catatan:
Paparan kisah ini berdasarkan cerita yang disampaikan kepada penulis, telah menjadi adat dan kebiasaan sesebuah cerita akan berlaku kekurangan atau tokok tambah kerana pembawa cerita akan melibatkan orang yang tidak jujur atau jujur tetapi  lemah ingatan dan seumpamanya menjadikan cerita itu berpecah kepada beberapa versi. Kisah ini juga tidak terkecuali.  

(Setakat ini telah dibaca 1363 pembaca)

Sekian...Wallahu aklam.





Thursday, July 5, 2012

Pantun dan Madah Sahabatku ( sms )

Salam semua.

Madah sms Hj.Abdul Rahman Abd.Jalil.



HARI-HARI ILAHI DICINTAI (SMS 1).

Kelmarin dulu berlalu Isnin.
Kelmarin hilang hari Selasa.
Hari ini ada balik hari Rabu.
Besok akan ada hari Khamis.
Lusa barulah datang hari Jumaat.
Tulat akan menjelma Sabtu.
Tubin barulah nampak Ahad.


Jika tuan bersungguh teringin.
Beribadah kerana Allah Taala.
Pastikan ada ikhlas di kalbu.
Baru kejahatan dapat dikikis.
Apa pun kebaikan boleh dibuat.
Secara individu atau bersatu.
Dari hari Isnin hingga ke Ahad.

27 06.2012.


Catatan : 

Hari ini, kelmarin, kelmarin dulu ### Esok, lusa, tulat dan tubin.

@@@@@@@@@@@@@@

TEGUR SAPA LUHUR JIWA( SMS 2).


Esok akan datang hari Khamis.
Moga cuaca cantik dan berseri.
Kerja yang masih belum habis.
Sila bereskan pada esok hari.


Kehidupan ini penuh cita-cita.
Ada cita-cita kita rajin bekerja.
Kenalan kita elok ditegur sapa.
Walau dia menegur salah kita.


Jasad dan roh ajak bertakwa.
Kita mudah takwa Allah puji.
Rajin tegur menegur bahagia.
Kawan yang tulen tahan diuji.

BERSAHABAT CARI BERKAT
Aslm'kum wrt wbt & wassalam.

27.06.2012.

@@@@@@@@@@@@@@


SAYA KAGUM TUAN HEBAT (SMS 3).


Kelmarin lentok dibelai Selasa.
Hari ini Rabu nak santai juga.
Sekali sekala diri kita dimanja.
Roh,jasad dan minda bahagia.


Apa petua dan amalan dipakai?
Asyik bersolat malaikat intai.
Ketika berdoa syaitan terkulai.
Apabila qiamullail jin tersadai.

27.06.2012.

@@@@@@@@@@@@@@@


HARI - HARI ILAHI MERESTUI (SMA 4).

Kelmarin dulu berlalu Isnin.
Kelmarin merajuk hari Selasa.
Kini hari Rabu yang menunggu.
Besok akan tiba hari Khamis.
Lusa baru datang hari Jumaat.
Tulat akan bertandang Sabtu.
Tubin barulah singgah Ahad.
Hari-hari rajinkan diri bertaubat.
Tinggalkan dosa itu lebih wajib.
Lari dari dunia tak perlu heran.
Manusia alpa patut diherankan.
Bab ibadat tak diambil kesah.
Pahala terlepas kita teringin.
Moga kita perolehinya semula.
Dapat atau tidak belum tentu.
Jangan muram dan menangin.
Kita berdoa memohon syafaat.
Semoga Allah memberi restu.
Allah amat pemberi tanpa had.
Mari bertaubat tanpa muslihat.
Kepada Allah bersandar nasib.
Apa pun yang akan ditentukan.
Kita mohontak dikecewakan.
Terhadap Allah kita berserah. 

27.06.2012.

 Sekian dahulu...wallahu aklam.



Marhaban di sebuah kampung di Kedah

Salam semua.
Marhaban ini dikumandangkan
secara sepontan tanpa perancangan awal, Sebelumnya mereka bergotong-royong memotong atau bersiang daging ( rewang).



###########################



Sekian...wallahu aklam.

Monday, July 2, 2012

Program Ceria Dusun Komuniti - Cahaya Alam (puisi)

Salam semua.

Bangun pagi bersolat Subuh.
Kerana itu kewajipan kita.
Dalam hidup utamakan amal solih.
Kerana itu dijanjikan syurga.

AJK MPP. Zon 3. Shah Alam.
Pn.Sarimah - Pengerusi MPP.Zon 3 menanam pokok belimbing buloh.
Dr.Roslan wakil MBSA (duduk  paling kanan)
Pokok buah-buahan sumbangan MBSA dan penduduk.

Memang sah mereka bersungguh.
Menanam pokok amat berharga.
Itulah pokok belimbing buloh.
Tambah nilai masakan anda.

Menanam pokok amat berharga.
Rm15 itulah nilai dan harga.
Kerana permuafakatan aku beli jua.
Rupanya anda yang menanamnya.

Rm15 itulah nilai dan harga.
Bukan kebendaan yang diperkata.
Budaya indah hendak ditaja.
Hubungan silaturrahim di antara kita.

Bukan kebendaan yang diperkata.
Budi anda semua, aku suka.
Kalau ada program akan bersua.
Insya Allah aku menolong jua.

Budi anda semua, aku suka.
Kerana patuhi suruhan agama.
Silaturrahim tembok amat perkasa.
Menjaga dan memupuk permuafakatan kita.

Kerana patuhi suruhan agama.
Bertegur sapa menjadi budaya.
Membawa berkat juga ceria.
Itulah sebenarnya hakikat bahagia.

Berbual mesra.

Semua pihak penting dalam sesuatu permuafakatan


 


  
Sekian...Wallahu aklam.