Showing posts with label Email Berantai. Show all posts
Showing posts with label Email Berantai. Show all posts

Wednesday, May 6, 2009

Email Berantai Ganti Surat Berantai.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Pada hari ini sekali lagi saya ingin berkongsi pendapat dan pandangan dengan saudara muslimin dan muslimat mengenai mauduk yang disebutkan di atas.
Sejak saya membuka email dan laman blog sering juga menerima email yang meragukan dan juga sebaliknya, di antaranya email menyatakan memenangi cabutan bertuah beratus ribu ringgit, email mengenai manfaat amalan membaca Al.quran tetapi disisipkan dengan perkara yang meragukan dan lain-lain peristiwa yang berlaku di dunia ini.
Pada tahun 60an sehingga 80an para pelajar sering menerima surat berantai yang menceritakan tentang seorang hamba Allah bermimpi di Baitullah menyatakan bahawa Rasulullah.s.a.w. berasa sedih terhadap sikap umatnya yang telah ramai meninggalkan Solat dan berbagai nasihat yang baik-baik dimuatkan di dalam surat berantai tersebut.
Di akhir surat tersebut meminta supaya sesiapa sahaja yang membaca surat tersebut hendaklah disalin atau dipotostat dan dihantarkan kepada 5 orang yang lain, bilangan 5 itu dinaikkan pula kepada 11 orang pada zaman wujudnya kemudahan potostat.
Perkara yang mendukacitakan dalam hal ini, unsur khurafat dimasukkan iaitu menyatakan sesiapa yang tidak berbuat demikian iaitu tidak memanjangkan surat seperti yang diarahkan akan menjadi papa kedana, juga ditimpa kesusahan dan kesengsaraan, ditegaskan dan ditekankan lagi bahawa perkara tersebut memang telah terbukti.
Bagi mereka yang jahil akan rasa ketakutan dan akan menuruti kehendak surat tersebut. Takut meninggalkan solat telah menjadi ringan dan remeh.
Semasa saya masih bertugas berpuluh surat seperti itu saya hancurkan di hadapan para pelajar sambil menerangkan bahawa surat tersebut sebenarnya membawa mesej yang jahat dan ingin menyelewengkan aqidah orang Islam, saya mengoyak surat tersebut di hadapan mereka bertujuan memberi keyakinan kepada mereka bahawa dakwaan menyatakan sesiapa yang enggan menyambung surat berantai tersebut akan menjadi papa dan ditimpa kesengsaraan adalah karut dan suatu penipuan.

Rupanya pada zaman ICT inipun masih wujud surat berantai ini, cuma ianya lebih ke hadapan sedikit kaedahnya iaitu daripada surat berantai digantikan dengan email berantai pula dan tidak lupa juga sms berantai.
Tidak semua email berantai ini membawa mesej yang tidak baik, entri ini hanya memfokuskan kepada email yang disisipkan dengan elemen khurafat yang bertujuan merosakkan aqidah orang Islam terutamanya mereka yang tidak kukuh pengetahuan aqidahnya kerana mereka yang kurang pengetahuan aqidah tidak mampu membuat pertimbangan sendiri.

Baru-baru ini saya menerima Email Berantai ini yang menerangkan berbagai kebaikan membaca ayat Al.Kursi ( Surah Al.Baqarah ayat 255 ) tetapi pada saranan dan arahan diakhir penjelasannya disisipkan unsur yang meragukan walaupun ucapan insya Allah diungkapkan. Cuba anda baca dan fahami betul-betul catatan yang dipeturunkan di bawah ini.
________________________________

Petikan diambil bahagian arahan atau saranan sahaja.

(A) Dari Abdullah bin 'Amr r. a. ,Rasullullah s.a. w. bersabda,

' SAMPAIKANLAH PESANKU BIARPUN SATU AYAT........'

Allahu Akbar !
AL-QAYYUM, AL-MAJID, AL-WAJID, AL-WAHID, AL-AHAD,
AL-SAMAD, AL-KADIR, AL-MALIK , AL -RAHMAN, AL-RAHIM ALLAH SWT TIDAK PERNAH
TIDAK DAPAT MENYEMPURNAKAN PESANNYA, KALA KAMU MENGHANTAR BERITA INI KEPADA 9 ORANG INSYAALLAH KAMU AKAN MENDAPATKAN BERITA BAIK ESOK..
_______________________________________

(B) ALLAH SWT TIDAK PERNAH TIDAK DAPAT MENYEMPURNAKAN PESANNYA, KALAU KAMU MENGHANTAR BERITA INI KEPADA 9 ORANG INSYAALLAH KAMU AKAN MENDAPATKAN BERITA BAIK ESOK.
_______________________________________
(C) Surat Berantai tahun 60an - 80an.
Sesiapa yang tidak memanjangkan surat seperti yang diarahkan akan menjadi papa kedana, juga ditimpa kesusahan dan kesengsaraan, ditegaskan dan ditekankan lagi bahawa perkara tersebut memang telah terbukti.
________________________________________

Kesimpulanya;
Email berantai yang bermanfaat masih menguasai keadaan tetapi kita hendaklah berwaspada dan berhati-hati menerima email walaupun di dalamnya terkandung perkara-perkara mengenai ajaran Islam kerana di sana ditakuti disisipkan secara halus unsur-unsur yang merosakkan aqidah orang Islam.



Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.