Wednesday, January 29, 2014

Jom berpuisi



Kehidupan Dunia

Malam dan siang bersilih ganti.
kini hari yang baru muncul lagi,
hari semalam tinggalkan kenangan,
ada yang pergi bersama hari semalam,

ٍsanak saudara menangis tersedu-sedu.
mengenangkan nasib yang belum tentu,

ada pula yang datang seumpama pengganti,

dia menangis teresak-esak,sanak saudara riuh ketawa.
rezeki diperuntukkan, ajal ditetapkan,
Datangnya disambut dengan ketawa riang,
perginya diiringi sedu tangisan.
 
sampai bilakah tidur bangun ini akan berakhir,
manusia hanya tertanya-tanya dari  dahulu sampai kini.

mereka tidak tahu kerana itu adalah pekerjaan Allah.

Dunia ini umpama penjara, 

seolah-olah laranganNya menjadi tembok penghalang,
tetapi hakikatnya adalah tembok keselamatan dan kesejahteraan.
orang yang beriman memahami dan mematuhinya.

mereka akan  beruntung akhirnya. 
itulah kehidupan dunia.

والسلام 
 

Thursday, January 23, 2014

Musim panas dan sejuk di utara Malaysia.

 

Kini musim atau cuaca tidak menentu seperti dulu, dulu kalau di utara Malaysia terdapat dua musim iaitu musim hujan dan musim kemarau, musim hujan mulai bulan April/Mei sehingga Oktober / November, manakala musim kemarau di antara November sehingga Mac kurang lebih begitulah, ketika musim kemarau inilah padi masak dan dikenali juga musim menuai, tanaman padi hanya setahun sekali sahaja, tulisan ini tidak  merujuk kepada mana-mana sumber kecuali berdasarkan pengalaman semata- mata atau realiti yang dialami ketika itu.
Ketika artikel ini ditulis (23 Januari 2014) di Kedah mengalami cuaca panas kering pada waktu siang dan tersangat sejuk pada waktu malamnya, angin juga setiasa bertiup laju. Situasi ini mengingatkan saya ketika tahun sebelum 70an dan diawal 70an, pada masa itu dapat jadualkan dengan baik pergerakan kita kerana cuacanya dapat dijangka, pada musim kemarau panasnya sangat perit sehingga air di dalam perigi atau kubang-kubang kekeringan, ikan di dalam petak bendang terpaksa menyelamatkan diri dengan turun ke sungai apabila hampir berlaku kemarau, mereka seperti mengetahui akan berlaku kemarau dan akan mengancam kehidupan mereka, ikan yang tidak sempat menyelamatkan diri akan terperangkap di dalam selut, jika dijumpai petani akan menjadi rezeki mereka pula, ada yang mati di dalam selut yang akhirnya menjadi kering kontang.

Situasi sangat panas di waktu siang dan sangat sejuk pada waktu malam itu menyebabkan ramai yang demam, pecah bibir mulut atau pecah kulit tapak kaki, biasanya  di bahagian tumit, pada waktu Subuh minyak kelapa menjadi beku, sebelum digunakan untuk memasak minyak yang beku itu dipotong berkeping-keping, setelah dicampakkan ke dalam belanga @ kuali yang panas barulah minyak menjadi cair dan kembali kepada asalnya.  

Setelah siap Ampangan MUDA di Pedu dan siap Sungai MUDA, maka tali air menjalar ke seluruh kampung petani dan air dialirkan ke sawah, petani pun mulai menanam padi dua kali setahun, sekali gus menambahkan pendapatan mereka, walaupun musim kemarau air tetap memenuhi sungai dan anak sungai tersebut, situasi ini agaknya menyebabkan kepanasan siang dan kesejukan malam telah berkurangan tetapi kini terdapat sedikit keanihan cuaca telah kembali seperti dahulu.

Mengikut berita yang disiarkan di media maya menyatakan bahawa Negeri Perlis dijangka akan mengalami kesejukan sehingga 20 darjah celsius. merujuk kepada masa lampau rasanya perubahan cuaca seperti ini tidak pernah berlaku - wallahu aklam. 

Menurut berita terkini bukan sahaja Perlis yang mengalami cuaca sejuk, Kelantan dan Terengganu telah pun mengalaminya sehingga 19 darjah celsius, di mana penduduk terpaksa memakai baju tebal dan stokin dan takut menyentuh air terutamanya pada waktu Subuh kerana terlalu sejuk.

Sekian...Wallahu aklam.


Thursday, January 2, 2014

Tahun Baru 2014


Menyambut tahun baru 2014 tentunya dimulakan di penghujung tahun 2013 dan di awal tahun 2014, situasi ini kita namakan sempadan, akhir tahun 2013 disudahi oleh anak muda turun padang meminta kerajaan supaya harga barangan yang telah naik dan akan naik harga itu diturunkan, sama ada berjaya atau tidak permintaan itu belum menujukkan hasilnya, tentu sekali hasrat itu aromanya akan mengalir ke tahun 2014.Hari ini adalah hari kedua dalam tahun baru ini, rasanya masih awal untuk menduga  sama ada  berjaya atau tidak usaha tersebut.

Tahun 2014 nampaknya tahun yang banyak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Ramai juga bergembira melepaskan tahun 2013 dan menyambut tahun 2014, tetapi di sana tidak kurang ramainya yang berdukacita dan risau melepaskan tahun 2013 dan menyambut 2014.Kerisauan  kehadiran 2014 yang memuatkan barangan dan perkhidmatan yang berharga mahal itu tidak dapat disembunyikan  oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Bermacam tanda tanya melintasi di hadapan minda sedar akan perkara yang harus dihadapi sepanjang tahun ini, terutamanya kebimbangan tidak cukup perbelanjaan dan sukar melunaskan hutang yang sedia ada, kini seumpama seorang tua miskin memakai kain pelekat yang pendek saiznya, kalau diangkat terbuka di bahagian bawah, jika diturunkan  akan terbuka pula di bahagian atasnya , sukar hendak menjaga keaiban dalam keadaan begini, akhirnya terbuka jua, aibnya, mungkin ketika membongkok atau ketika mengangkat tangan mencapai sesuatu, demikianlah situasi sukar yang dihadapi. Orang berada tiada apa-apa yang terjejas kecuali Allah ciptakan penyakit atau  bala khas untuk mereka.

Ramai rakyat berpendapat Malaysia kaya dengan sumber dan khazanah yang dapat menghasilkan rezeki untuk rakyat, bukan Selangor sahaja yang kaya sehingga berjaya menyimpan rezabnya mencecah 3 bilion dan mampu pula menyara negeri sehingga 3 tahun, jika ditakdirkan berlaku apa-apa kemelesetan. Kalau ditadbirkan dengan cekap dan jujur Malaysia juga mungkin berjaya menempah kedudukan tersebut, tetapi sayang seribu sayang situasinya tidak demikian, mereka yang tidak pernah disentuh kebanjiran keperitan hidup adalah mereka yang berada di atas bukit.
Wallahu aklam.