Tuesday, October 21, 2008

Sayangkan anak tangan-tangankan, Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.



Orang Melayu sebenarnya mempunyai banyak panduan dan rujukan untuk membantu merealisasikan kehidupan mereka supaya dapat hidup di dalam kehidupan yang bersih dan suci.
Al.Quran, al.Hadis, ijmak Ulamak dan qias merupakan panduan utama orang Melayu Islam. untuk menjadikan sesuatu penjelasan dan penerangan lebih jelas dan difahami serta berkesan di dalam sanubari mereka, Orang Melayu menggunakan Perumpamaan, Simpulan Bahasa ( Peribahasa), Pepatah, Pantun dan seumpamanya.
Sayangkan anak tangan-tangankan, Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.
Rangkaikata bernilai ini wujud hasil daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam masyarakat mengenai perkara-perkara tertentu. Misalnya " Sayangkan anak tangan-tangankan, Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan." Perumpamaan ini bolehlah dikelumpukkan sebagai kelumpuk pendidikan kerana ianya memberi teguran dan panduan mengenai pendidikan anak-anak dan pentadbiran serta pengurusan rumahtangga.
Sayangkan anak tangan-tangankan.
Rangkaikata ini bermaksud sekiranya kita sayangkan anak hendaklah mengajar dan mendidik mereka sepanjang masa. Peraturan dan disiplin tersirat atau tersurat perlu wujud dan dijelaskan kepada mereka. Jika berlaku kesalahan dari segi peraturan atau disiplin hendaklah diambil tindakan dengan mengenakan hukuman yang setimpal dan adil supaya mereka memahami hakikat kehidupan yang akan mereka hadapi pada masa akan datang iaitu ketika mereka dewasa nanti. Dengan ini dapat menyedarkan mereka bahawa dalam masyarakat dewasa terdapat undang-undang, mahkamah dan penjara.

Denda atau bagi mereka yang melakukan kesalahan sangat diperlukan untuk pengajaran dan membuka jalan ke arah keinsafan terhadap kesalahan yang telah terlanjur. Sebagai contoh; Kanak-kanak yang baru boleh merangkak, merangkak ke arah api lilin dan menyentuhnya dan ia merasai kepanasan api tersebut dan secepat kilat ia menarik tangannya untuk menyelamatkan diri, kanak-kanak ini tidak akan melakukannya buat kali yang kedua dalam masa terdekat kerana menyedari di sana seolah-olah terdapat denda yang terpaksa diterimanya.

Allah Subhanahu Wa Taala mendidik manusia melalui peraturan dan undang-undang yang diwahyukan kepada Rasulullah.s.a.w. yang termaktub di dalam al.Quran dan al.Hadis. Mengapakah kita takut untuk memberi hukuman atau denda walau pun secara yang adil dan menepati kehendak Islam ?. Tidak semestinya cara atau kaedah yang lama itu ketinggalan zaman dan tidak pasti pula cara didikan terkini itu terbaik kerana ianya belum dibuktikan.

Mengenakan hukuman sesuka hati tidak layak dianggap hukuman atau denda atas kesalahan seseorang. Cara demikian layak dinilai sebagai melepaskan panas baran atau hawa nafsu yang tidak bersama akal yang sempurna. Denda atau hukuman wajib dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Prosedur yang ditetapkan itu pula hendaklah akur dengan perintah Allah dan RasulNya. Pelaksana yang melaksanakan hukuman dan denda sesuka hati adalah juga penjenayah. Ibubapa yang menghukum anaknya tidak setimpal dengan kesalahan mereka juga tidak akan terlepas dari pemerhatian dan penilaian Allah.

Anak-anak atau murid pada zaman dahulu tidak melawan ibubapa dan guru tetapi murid-murid pada zaman sekarang telah pandai melawan ibubapa dan guru, malah murid perempuan yang baru berusia 13 atau 14 tahun pun telah berani menyerang dan melawan gurunya sendiri secara tindakan fizikal sehingga menyebabkan guru tersebut terpaksa melaporkan peristiwa itu kepada pihak polis. Adakah orang dewasa pada zaman ini telah gagal mendidik anak-anak mereka. Ini bukanlah peristiwa tunggal yang kita pernah terbaca di dada akhbar tempatan malah banyak lagi peristiwa keruntuhan akhlak seperti ini.

Untuk menafikan kesalahan dan kesilapan diri sendiri dan masyarakatnya. Orang zaman ini akan menyalahkan kecanggihan cara hidup dan kesebokan mencari rezeki sebagai penyebab kepada keruntuhan akhlak remaja dan berlakunya peristiwa buruk tersebut. Kata orang bijak pandai kalau hendak melihat akhlak orang dewasa di dalam sesuatu masyarakat itu, lihatlah dahulu akhlak anak-anak muda mereka. Di sinilah kayu pengukur dan di sinilah juga jawapannya.

Pengusaha rumah urut, kedai judi, kelab malam, kilang arak, ladang tembakau, kilang mercun dan seumpamanya. Pengusaha tersebut bukan di kalangan remaja. Mengapakah remaja dipersalahkan dan siapakah sebenarnya yang perlu terlebih dahulu diperbetul atau dimurni atau dibersihkan akhlak mereka?. Marilah kita sama-sama fikirkan jawapannya.


Renungi Hadis berikut:
Dari Abu Hurairah.r.a. katanya Rasulullah.s.a.w. bersabda (maksudnya);
" tiada seorang jua pun bayi yang baru dilahirkan melainkan dalam keadaan suci. Maka kedua orang ibubapalah yang menyebabkan anak itu menjadi Yahudi, nasrani dan musyrik. Lalu bertanya seorang lelaki ; " Ya Rasulullah !. Bagaimanakah kalau anak itu mati sebelumnya, ( sebelum disesatkan ibubapanya) ?. Jawab baginda, " Allah jualah yang Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan".



_______________________________________________
Beri laluan iklan
 
____________________________________________________________________

Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.
Rangkaikata ini sama seperti rangkaikata di atas juga . Sebenarnya maksud yang tersirat itulah yang hendak direalisasikan , sebaliknya sebutan tersurat itu pula sebagai ungkapan yang mampu memperindahkan bahasa dan perantara yang berkesan dalam kaedah (methot) menyampaikan maklumat. Begitulah keindahan bahasa Melayu warisan kita.

Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan bermaksud sekiranya seseorang itu sayangkan isteri dan kehidupan berkeluarga, suami sebagai ketua keluarga hendaklah tinggalkan isteri di rumah dan keluar mencari rezeki untuk menyara hidup keluarga yang tersayang. Manakala isteri membantu suami dengan menyelesaikan kerja yang perlu dibereskan di rumah. Walau bagaimana pun suami adalah teras dan tunggak rumahtangga sebab itulah disebut " sayangkan isteri tinggal-tinggalkan dan tidak menyebut " sayangkan suami tinggal-tinggalkan".

Kestabilan ekonomi rumahtangga adalah perkara yang sangat penting bagi mengukuhkan keharmonian dan rukun damai suami isteri dan keluarga, disamping keimanan dan ketakwaan sebagai tunjang dan tiang penegaknya.
Renungi maksud ayat (34) surah An.Nisak;
"Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan, sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). Perempuan -perempuan yang solihah ialah perempuan-perempuan yang taat, yang memelihara kehormatan ketika ghaib ( suaminya), sebagai mana Allah memelihara dirinya. Perempuan yang khuawatir kamu akan derhakanya, hendaklah kamu berikan nasihat dan kamu tinggalkan mereka sendirian di tempat berbaringnya dan kamu pukullah mereka ( dengan pukulan yang tidak menyakiti badannya). Jika mereka taat kepadamu, janganlah kamu mencari jalan untuk menginiayanya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar".
Sekian...Wallahu aklam.

No comments: