Tuesday, October 14, 2008

Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.






Kehidupan di bandar-bandar pada masa kini, keadaan masyarakatnya diibaratkan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Di mana anggota masyarakat hidup mementingkan diri sendiri. Tanpa mengindahkan kehidupan orang lain yang berjiran dengan mereka. Keadaan ini mengundang banyak keburukan berbanding dengan kebaikan. Ketika kita senang tidak kelihatan keburukannya tetapi apabila kita menghadapi kesusahan barulah kita menyedari bahawa kita memerlukan kehidupan bermasyarakat seperti yang dianjurkan oleh ajaran Islam.


Jika kita merenungi kehidupan masyarakat binatang akan kita dapati kehidupan mereka sentiasa bermasyarakat atau sekurang=kurangnya berpasangan dan hidup dua sejoli. seolah-0lah mereka menyedari bahawa kehidupan ini memerlukan antara satu sama lain seperti aur dengan tebing.



Cuba perhati dan renungkan kehidupan masyarakat binatang seperti anjing, harimau, gajah, singa, kerbau, lembu dan seumpamanya.


Anjing, singa dan harimau adalah binatang yang mempunyai ikatan masyarakat yang kuat, kehidupan mereka bukan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. semangat kerjasama mereka sangat tinggi dan pintar terutamanya apabila mereka berpakat untuk mendapatkan mangsa sebagai habuan makanan mereka. Kerbau, lembu dan gajah yang
begitu besar serta berada di dalam kumpulan yang juga besar berjaya ditumbangkan oleh mereka.

Kerbau, lembu dan gajah juga hidup bermasyarakat tetapi ikatannya sangat longgar. Apabila seekor gajah diserang oleh beberapa ekor harimau, buat seketika kumpulan mereka akan menolongnya , apabila serangan dibuat bertubi-tubi gajah-gajah tersebut akan lari menyelamatkan diri, maka gajah yang seekor tadi akhirnya menjadi hidangan yang lazat untuk masyarakat harimau.
Begitulah juga sikap kerbau dan lembu terhadap kesusahan kawan-kawan mereka. Walau pun mereka mempunyai ahli yang banyak tetapi tidak digeruni oleh pihak musuh kerana kelemahan kesatuan mereka, mereka tidak bersatu untuk melawan musuh.

Itulah natijah kehidupan gajah yang masyarakatnya hidup seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Terutamanya ketika serangan musuh, bersatu hanya bertujuan untuk mendapatkan habuan masing-masing. Ertinya bersatu hanya pada waktu yang boleh memberi kesenangan pada diri sendiri sahaja. Tiada siapapun yang sanggup susah untuk menolong yang lain, walau pun kalau disatukan tenaga pasti mereka akan mendapat kekuatan yang mengkagumkan dan dengan mudah sahaja dapat menewaskan kumpulan harimau yang sejak berzaman menjadi musuh dan ancaman kepada mereka. Kerana tidak menggunakan kepintaran dan pentingkan diri sendiri kehidupan mereka terancam sepanjang masa.

Begitulah juga masyarakat kita sekarang terutamanya di dalam bandar, mereka masih hidup bermasyarakat tetapi ikatannya sangat longgar.

Persoalannya sekarang bagaimanakah cara memperkukuhkan semula kehidupan bermasyarakat ini supaya masyarakat kita berupaya bersatu di dalam suatu ikatan yang mampu menggembelingkan tenaga mempertahankan kepentingan bersama seperti kekuatan harimau menumbangkan gajah.


Ikatan masyarakat yang kuat banyak faedahnya, tiada siapa manafikan kebaikan ini, tetapi , bagaimana hendak memulakannya atau menjanakannya supaya kembali hidup dan bernafas segar. Bak kata pepatah bersatu teguh bercerai roboh.

Islam menyarankan kita supaya hidup bersaudara tetapi tidak ramai yang pedulikan saranan ini, mungkin kurang yakin dengan kebaikannya atau masyarakat kita mempunyai tasauwur atau pandangan terhadap Islam berbeza di antara satu sama lain. Agaknya pandangan hidup yang berbeza-beza inilah menjadikan kesatuan kita tidak kukuh dan longgar.

Orang Islam yang benar-benar memahami Islam tidak mungkin bersetuju dengan cara hidup yang berteraskan fahaman bukan Islam. Sebab itu sebelum wujud institusi kewangan seperti Tabung Haji dan Perbankan Islam orang Islam kumpulan ini sanggup menyimpan wang mereka dalam bantal atau dalam tabung yang diperbuat daripada batang buluh dan seumpamanya daripada menyimpanya di dalam bank yang tidak mengamalkan sistem Islam, walau pun mereka dikutuk oleh pihak tertentu, mereka tetap tidak berubah dan tidak pedulikan kutukan itu, kerana mereka menganggap pihak yang mengutuk itu terdiri daripada mereka yang jahil dan minda terjajah serta tidak memberi sumbangan kepada Islam.

Krisis seperti inilah yang sentiasa diingatkan di dalam khutbah Jumaat bahawa apabila berlaku perselisihan dan perbalahan di dalam sesuatu perkara hendaklah kita kembali kepada ajaran Allah dan rasul. Tetapi saranan ini sehingga sekarang lebih banyak menjadi teori berbanding kenyataan dan rangkaikata yang mulia ini seolah-olah untuk mengindahkan ucapan khutbah sahaja dan tidak banyak yang bertapak di bumi yang nyata.

Wallahu aklam.

2 comments:

Anonymous said...

salam...

mmg diakui di zaman moden ni... masing2 umpama tidak lagi memerlukan jiran tetangga... sbbnye dahulu... kehidupan menuntut bantu membantu, kenal mengenali dan bermasyarakat... but skrg bile sumenye mampu dimiliki dgn usaha sendiri...(kononnya la.. padahal Allah SWT yg bg rezeki) maka ape gunanye jiran2.... (ni fikiran yg pendek akal)

tp pd hakikatnya... semua org tahu yg kehidupan ini x selalu di atas.. langit juga x selalunye cerah... ape yg penting... konsep kejiranan x wajar dibiarkan luput ditelan era kemodenan... mungkin caranye sedikit berbeza tp matlamat ttp sama...

sekian utk hr ini :D

Leenoh said...

Jiran orang paling dekat dengan kita, kalau kita ditimpa perkara buruk, jiranlah tahu dahulu dan memberi pertolongan terlebih dahulu, walaupun kita ada rakan sepejabat tetapi mereka tidak bersama kita.

Oleh itu senyum dan tegurlah jiran kita, jangan pura-pura tidak nampak atau malu tidak kena tempat.