Monday, October 20, 2008

Pentadbiran dan Pengurusan PIBG ( 1 )

Sekolah merupakan institusi pendidikan yang paling asas sebelum seseorang pelajar menjejak kakinya ke institusi Pusat Pengajian Tinggi. Jika asas ini tidak kukuh maka Pusat Pengajian Tinggi juga turut menjadi lemah dan tiada berkualiti. Bagi mengukuhkan institusi ini maka Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) ditubuhkan untuk membantu pihak sekolah bagi menjayakan tujuan tersebut.

Di sekolah terdapat tiga sektor yang biasanya kelihatan satu sahaja. Walau pun tiga sektor ini wujud secara jelas dari segi peraturan atau pengurusannya. Tiga sektor tersebut ialah sekolah itu sendiri, koperasi sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru.( PIBG )Jelas disebutkan di dalam peraturan di mana sekolah diuruskan oleh Guru Besar atau Pengetua sekolah berdasarkan panduan perintah am kerajaan, Koperasi diuruskan oleh Ahli Lembaga Pengarah koperasi yang diketuai oleh Pengurusi koperasi berdasarkan perlembagaan koperasi yang dibekalkan oleh pihak kerajaan, di mana koperasi diletakkan di bawah Jabatan Koperasi, Pengerusi Koperasi mungkin telah ditetapkan iaitu pengetua sendiri.Walau bagaimana pun terpulang kepada perlembagaan masing-masing. Manakala Persatuan Ibubapa dan Guru diuruskan oleh Ahli Jawatankuasanya yang diketuai oleh Yang Dipertua ( Pengerusi PIBG ) mengikut peraturan kecil yang juga disediakan oleh kerajaan di mana sektor ini diletakkan di bawah Jabatan Pelajaran. Dalam hal ini Guru Besar atau Pengetua sekolah hanya sebagai Penasihat sahaja.

Tugas pentadbir PIBG dinyatakan dengan jelas di dalam perlembagaan atau peraturan kecil PIBG. Namun demikian pengurusan dan pentadbiran PIBG kerap kali tersasar daripada peraturan yang telah digaris atau ditentukan. Maka berlakulah pengurusan secara sesuka hati tanpa memandang sebelah mata pun kepada peraturan yang disediakan. Terdapat juga di kalangan Ahli Jawankuasa yang tidak pernah melihat pun peraturan tersebut. Kalau ini benar-benar berlaku, bagaimana kita hendak mewujudkan PIBG yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat sekolah khususnya kepada murid-murid. Sikap ingin mengetahui peranan persatuan perlu ada di dalam diri setiap Ahli Jawatankuasa dan juga memahami cara pengurusannya.

Pengetua dan Guru Besar perlu faham tugas mereka di dalam PIBG, jangan hendaknya mereka juga termasuk salah seorang di kalangan yang tidak faham peraturan kecil PIBG. Kalau ini berlaku bermakna merekalah orang pertama yang akan melakukan kesalahan dan kesilapan kerana biasanya Jawatan Setiausaha dan Bendahari dilantik di kalangan guru, maka mudah bagi mereka mengarahkan sesuatu kepada setiausaha atau bendahari untuk bertindak sesuatu. Jika ini berlaku bermakna campur aduk pengurusan turut berlaku, keadaan asal dua dalam satu telah menjadi satu iaitu tanpa membezakan pentadbiran sekolah dan PIBG.

Mengikut peraturan persatuan secara amnya Ahli Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga bulan sekali atau setahun empat kali. Di dalam mesyuarat inilah sepatutnya diputuskan segala aktiviti PIBG dan diminitkan dengan jelas dan kemas.

Menguruskan PIBG tidak dapat dielakkan daripada menguruskan manusia dan wang persatuan. Tiada siapa pun yang berkuasa membelanjakan wang persatuan tanpa melalui mesyuarat yang mencukupi kuorumnya 2/3 ahli jawatankuasa. Manakala Mesyuarat Agung diadakan setahun sekali bertujuan melantik Jawatankuasa Baru atau mengekalkan beberapa Ahli Jawatankuasa Lama yang masih diperlukan sumbangannya. Kuorum Mesyuarat Agung biasanya kehadiran ahli seramai tiga kali ganda bilangan jawatankuasa atau 33 ahli. Ini terpulanglah kepada peraturan kecil persatuan masing-masing.

Keahlian PIBG kerana seseorang itu menjadi waris kepada murid atau menjadi guru di sekolah tersebut, keahlian bukan melalui pembayaran yuran, PIBG tidak mengutip yuran, walau pun telah menjadi kebiasaan disebut yuran PIBG, sebenarnya apa yang termaktub di dalam perlembagaan PIBG, persatuan hanya memungut derma daripada ahli-ahlinya sahaja. Derma tersebut biasanya disebut Derma Tahunan PIBG. Kadar derma tahunan sepatutnya telah dipersetujui atau diputuskan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Jika ahli-ahli merungut kerana derma itu terlalu tinggi sebenarnya salah ahli sendiri kerana mereka yang telah membuat persetujuan atas kadar tersebut.Tetapi sekiranya keputusan itu tidak dibuat di dalam Mesyuarat Agung kesalahan tersebut kembali kepada Ahli Jawatankuasa.

Peraturan PIBG yang mengandungi panduan pentadbiran atau pengurusan yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan adalah merupakan amanah yang dipikul oleh ahli Jawatankuasa. Pengurusan dan pentadbiran hendaklah tidak tergelincir daripada panduan tersebut. Sekiranya sengaja melanggar peraturan tersebut bererti amanah yang diberikan telah terjejas dan dicemari.

Bersatu teguh bercerai roboh.

No comments: