Al.hamdulillah, kami memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana perjalanan kami balik kampung untuk berhari raya dengan keluarga tercapai, khasnya kepada ibu tersayang, kupeluk rapat dan kucium kiri dan kanan berulangkali, namun demikian budinya tidak dapat kubalas, walaupun doa setiap waktu solat kupanjatkan kepada Allah Yang Maha Pengampun. Ayah telah lama meninggalkan kami menuju ke tempat yang kekal abadi, hanya doa dan sedekah menziarahinya. Semoga Allah ampunkan segala dosanya dan mendapat ganjaran yang besar kerana mendidik dan menafkahkan kami sehingga dewasa, amin ya rab bal alamin.
Lebih kurang jam 10.00 pagi 10/12/2008 (Rabu) kami bertolak balik dari Taman Malaysia menuju Pekan Rabu yang sememangnya tempat ini tidak asing lagi bagi penduduk badaraya Alor Star dan pelancong yang mengunjungi negeri Kedah dan Alor Star khasnya. Memang di Pekan Rabu macam-macam ada. Ubat-ubatan, buku, pakaian, makanan, barang hiasan dan sebagainya. Malangnya Pekan Rabu sifatnya mandul, memanglah dia semakin gemuk dan tembun tetapi tidak beranak dan tidak berkembang zuriatnya ke tempat-tempat lain di Kedah atau di manan-mana berbanding dengan pasaraya Giant, Tesco, Jaya Jusco dan lain-lain. Pasaraya tersebut wujud di mana-mana tetapi Pekan Rabu hanya di Alor Star sahaja.
Inilah kelemahan diriku dan juga bangsaku dalam bidang perniagaan. Apakah punca , apakah sebab tidak dapat kujawab kerana diriku sendiri jahil dalam bidang yang rumit ini. Hanya orang politik yang dapat menyelesaikan masalah ini kerana mereka bijak sebab itu mereka meminta kuasa dan telah pun berkuasa. Usahalah sehingga berjaya kerana ini adalah tanggungjawab anda. Jangan sampai tiada jawapan apabila ditanya kerana Allah itu Maha melihat dan Maha Mengetahui.
Selama dua jam kami berada di Pekan Rabu tanpa ke mana-mana, menjamu selera dan membeli-belah ala kadar, membeli barang-barang yang sukar didapati di Shah Alam. Sambil menunggu bauhulu panas siap di masak, terpaksa mengambil giliran kerana pembelinya ramai.
Jam 12.00 kami pun bertolak ke Tanjung Dawai, membeli barang-barang pesanan kawan-kawan terutamanya ikan kering dan ikan bilis. jam 1.00 petang lebih kami pun sampai di Tanjung Dawai, selepas membeli- belah kami pun sekali lagi bertolak ke Sg. Petani dan singgah di Taman Orkid, Fasa 1, Sg. Layar untuk menziarahi jiran yang pernah bersama kami dahulu. Selepas solat Zohor dan asar secara jamak takdim dan menjamu selera , kurang lebih jam 4.00 petang kami bertolak balik ke Shah Alam ( Jalan batu Tiga Lama ). Perjalanan kali ini amat selesa walaupun kekadang hujan turun tetapi tidak membimbangkan.
Kami berhenti solat maghrib dan Isyak secara jamak takdim di R&R Lebuhraya Guhtri dan setelah berhenti makan kami pun bertolak semula dan selamat sampai di rumah jam 10.00 malam, ketika itu alhamdulillah suasana malam pun amat baik tidak panas seperti kebiasaan, keadaan rumah yang ditinggalkan pun dipelihara Allah.
Wassalam.

