Friday, May 24, 2013

Tunjuk Perasaan.


Sekarang jam 4.19 pagi (am) setelah bangun tidur aku buka Fb dulu untuk melihat apa-apa peristiwa yang baru belaku jika ada, sebelum memulakan ihya' al.lail yang berhubung terus dengan Allah,  rasanya tiada peristiwa yang menonjol kecuali peristiwa-peristiwa kesinambungan sahaja. Aku terbaca  "SuaraRakyat505" di dalam Malaysiakini, lantas teringat kisah diriku pada hari Khamis 05.05.05 yang telah lama berlalu. Pada hari itu diriku diraikan oleh warga sekolah yang aku bertugas , aku diarak bergerak mulai  Medan Perhimpunan Sekolah sehinggalah pintu pagar sekolah, kemudian menaiki kereta sehingga ke rumahku yang jaraknya dari sekolah kurang lebih 70km.

Semasa aku diarak itu aku terdengar suara " mohon maaf banyak-banyak ustaz" aku tidak dapat menjawab suara-suara itu kerana terlalu ramai, aku tidak bimbang dengan peristiwa gagal menjawab itu kerana di dalam hati, aku telah memaafkan semua mereka itu sebelumnya, tiada siapa pun yang tidak aku maafkan. Aku sentiasa memaafkan semua orang dan memohon keampunan untuk diri dan semua orang Islam sama ada yang telah mati atau yang masih hidup, hal itu aku lakukan dengan hati yang ikhlas, dengan harapan aku juga diampunkan Allah terhadap semua dosaku sama yang sengaja atau sebaliknya. Tarikh itu hampir sama dengan tarikh persaraanku, cuma hari dan tahunnya sahaja yang berbeza.
______________________________________
Beri laluan utk iklan
____________________________________________

Demikianlah tarikh atau angka 505 itu menarik perhatian aku, 505 ini merujuk kepada beberapa tunjuk perasaan yang sering diadakan pada ketika ini, aku tidak menceritakan di sini kerana aku menganggap semua pembaca sedia maklum, tunjuk perasaan ialah suatu luahan hati yang berkesan kalau dilakukan bersungguh-sungguh, luahan cara ini sebenarnya datang bersama-sama manusia sejak dilahirkan lagi. 

 Photo: Tahniah buat adekku Dena Ali dan suami...comel bb...tggu makcaq p shah alam tau...

Alhamdulillah pada Rabu 12 Rejab 1434 / 22 Mei 2013 aku menyambut seorang lagi cucu lelaki, biasalah pada saat aku sedang menulis ini dia  baru berusia dua hari, kurang lebih begitulah, dia dilahirkan pada jam 10.21 pagi, oleh itu ibunya tidak mempunyai susu yang cukup untuk diberikan kepada si comel ini, apabila Si Comel ini lapar kerana masih  terasa lapar, maka dia menangislah sekuat hatinya sehingga memaksa ayahnya pergi ke kedai berdekatan membeli susu tambahan, setelah hilang lapar dia tidak menangis lagi, kadang-kadang dalam keadaan tidak semena-mena dia menangis pada hal baru sahaja diberinya susu, setelah diperiksa rupa-rupanya dia tidak selesa kerana "pampers"nya dibasahi najis.Itulah bukti "tunjuk Perasaan" itu datang bersama-sama kita sejak dilahirkan, itulah bahasa dan komunikasi pertama manusia yang amat berkesan kepada mereka yang berada di persekitaran dan berkaitan dengannya.

Bayi tidak akan menangis tanpa sebab-sebab tertentu, oleh itu kalau mereka menangis carilah sebab-sebabnya, mungkin dia sedang digigit semut, sebab itulah kain lampin atau pakaian bayi biasanya kita gunakan yang  berwarna putih supaya kita senang melihat atau mengesan musuhnya seperti semut gatal dan lain-lain, kemudian dapatlah kita  selesaikan dengan cepat, insya Allah sebaik sahaja kita menyelesaikan masalahnya dia pun terus berhenti menangis dan tidur dengan aman, kita pun merasai lega dan tiada lagi masalah.

Demikianlah  cara kita berfikir dengan mengemblengkan tenaga minda bergerak secara dua hala.

Sekian...Wallahu aklam.





.

Tuesday, May 21, 2013

Bersatu belum tentu baik untuk kita.




Monday, May 20, 2013

Aku sangka orang gila /sangkaanku salah.



|| Ku Sangka Orang Gila ||

......26 May 2011.....

Pagi tadi lebih kurang pukul 10.30 aku singgah sarapan di bazar batu buruk sementara menunggu interview di steten minyak kerana sudah tiada kerja di Terangganu yang menggunakan Ijazah aku ini. Sewaktu makan, mata ni terpandang seorang pakcik yang "lusuh " karekternya.. Bau busuk, baju koyak, pakai kain pelikat singkat, tak beralas kaki, tapi berkopiah.

Duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi aku. Terdetik dalam hati, apa pakcik ni kelaparan. Orang gila pun lapar, masih tetap manusia. Aku pesan satu lagi nasi minyak. Pesanan aku sampai ke meja. Terus aku beri pada pakcik tadi. Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah2 memanggilku. Aku pun balas tunggu skejap.

Pakcik tadi tenung aku sambil berkata "pakcik dah makan nak.. terima kasih nak.." Dalam hati terdetik sungguh indah bahasa pakcik yang ku sangka gila tadi. Aku bangun dengan kecewa kerana pesanan aku tidak dijamah oleh pakcik. Lalu aku pergi kepada tuan kedai yang memanggil ku tadi.

Ada apa pakcik? Pakcik kedai balas: Jangan bagi dan suruh dia makan kat sini, nanti customer pakcik lari. Aku tersentap. Dan spontan aku membalas. "Jika orang ini ayah kandung pakcik, pakcik halau tak dia?" Pakcik tu diam. Takpe pakcik, saya akan bayar ansuran kalo pakcik rugi hari ni. Saya nak tanya, betul ke pakcik td tu sudah makan? Pakcik kedai jawab, tidak. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi pakcik kopiah tu duduk kat tiang tu.

Dalam hati kecil ni cakap, tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta. Aku pegi semula pada pakcik kopiah tu. "Pakcik, saya sunyi makan sorang2, pakcik teman saya makan jom." Pakcik tu akur dengan pelawaan aku kerana kesungguhan aku. Ramai yang beralih meja kerana bau pakcik tu, namun kerana ingin menjaga hati orang tua yang aku tak kenal, aku tahan bau itu.

Lega tengok pakcik tu makan dengan sangat sopan. Aku lontarkan beberapa soalan pada pakcik tu. Pakcik dari mana, tinggal dimana? Pakcik tu jawab. Pakcik merantau cari redha Allah. Aku terkejut. Dalam hati aku dah syak bukan2. Kot2 wali ke ni? Mana keluarga pakcik?
Pakcik dibuang oleh keluarga pakcik kerana sekeping geran tanah. Kenapa pakcik? Apa masalahnya? Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang untuk dibangunkan pondok2 mengaji. Keluarga pakcik terus buang pakcik. Allah...

Pakcik tinggal dimana? Pakcik tu diam tak menjawab. Masa terlalu singkat untuk aku menyambung urusan kerja. Aku panggil pakcik kedai untuk kira. Semuanya berharga RM 11.60. Aku celup dompet aku, dan aku lupa yang aku hanya bawa RM 5.00. Aduh.... Pakcik tu nampak raut wajah muka aku seolah2 melihat masalah dalam dompetku. Pakcik tu mencelah. Nak, ambil duit ni, pakcik bayarkan.

Nak tau ape? pakcik keluarkan satu sampul surat sebagai dompet dia (macam dompet TGNA), dalam tu duit seratus setebal setengah inci, dan satu kad BSN dan i.c lama (pakcik tu bekas tentera laut).. Satu kedai dia bayarkan. Allah.. Satu kedai hairan apabila pakcik kedai tu announce yang makanan semua sudah dibayarkan oleh pakcik kopiah tadi. Masing2 semua pandang aku dan pakcik kopiah. Dengan tiba2 pakcik kopiah angkat tangan dan berdoa dengan suara yang agak sederhana kuat, aku pun turut angkat sama. Dan paling terharu apabila aku dengar suara "amin....." dengan suara yang ramai. Bila aku berpaling ke belakang, satu kedai mengangkat tangan bersama pakcik kopiah tu.. Ada yang bangun mendekati kami berdoa dekat2.

Terasa sangat gemuruh dan terharu dengan keperibadian orang yang ku sangka gila ini rupanya seorang guru agama!! Ada yang menangis kerana doa oleh sang guru itu sungguh merdu.. Kecoh seketika.. Selesai berdoa, aku bersalam dengan pakcik tadi dan ucap terima kasih dengan harapan dapat jumpa lagi. Aku terus berjalan ke motor aku. Aku berpaling ke belakang, semakin ramai yang berkerumun pada pakcik tadi. Aku senyum tanda puas bahawa orang sekeliling mula mendekati pakcik. Aku buka semula dompet aku kerana aku simpan kunci motor dalam tu.

Nak tau apa? Aku terkejut kerana ada 2 keping duit seratus dan satu nota kecil yang bertulis: "Ambil duit ni buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah anak yang mengidam.." Aku terkaku, dan terus pandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada disitu. Aku terus pakai helmet dan tutup pemuka helmet. Aku menangis kerana terharu dan sangat bersyukur. Bagaimana dia tahu aku dalam kesusahan...
Ya Allah.. Kau peliharakanlah pakcik itu..

(Copy pasted - Warta Dari Hati)


Dari facebook - Mencari Keredhaan Ilahi.

Iftar beramai-ramai di Masjid Negeri Shah Alam.








Gambar di atas di atas ialah Masjid Negeri Shah Alam dan di bawahnya suasana iftar Ramadan 1432, kehadiran para jamaah dianggarkan tidak kurang 700 orang setiap malam.

Pada tahun ini 1434H/2013M mulai bulan Rejab sehinggalah berakhirnya Ramadan diadakan iftar jamai (beramai-ramai) tetapi untuk bulan Rejab dan Syaaban diadakan hanya pada hari Isnin dan khamis sahaja. Pada malam ini iaitu ketika artikel ini ditulis jam 4.00 pagi 10 Rejab 1434/20 Mei 2013 sedang diadakan qiamullail atau ihyaullail.
Kepada sesiapa yang tinggal berdekatan,jika berminat bolehlah turut serta iftar/berbuka puasa dan bersolat jamaah bersama-sama di masjid ini.

Sekadar ini dahulu. Sekian.
والله أعلم



Sunday, May 19, 2013

Suara Azan Sheikh Abdulkarim al.Fatani al.Makki




 ____________________________
Bagi laluan iklan
____________________________

Ahad (malam Isnin) 03 Rejab 1434 / 12 Mei 2013 Bilal bertugas Us.Azizi kurang sihat dan tidak sesuai utk berazan agaknya kerana itu, maka Sheikh Abdulkarim Omar terpanggil untuk menggantikan bilal khas utk berazan sahaja ( tolong menolong atas kebaikan ). Kemudian Us.Azizi kembali beriqamah kerana iqamah tidak menggunakan suara yang kuat seperti azan maka beliau boleh meneruskan tugasnya seperti biasa. Sheikh Abdulkarim pula menjalankan tugasnya sebagai imam dan mengimamkan solat Isyak malam tersebut.

Semoga Us.Azizi cepat sembuh, kepada petugas yang lain semoga Allah sentiasa memberi kesihatan dan kesejahteraan kepada anda kalian dengan itu kami ahli jamaah dapat beribadat dengan selesa....amiin.

Inilah suara azan yang disampaikan oleh Sheikh Abdulkarim itu.....
— at Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (Masjid Negeri, Shah Alam).

Friday, May 17, 2013

Thursday, May 16, 2013

Terkenang suka duka ketika bertugas sebagai guru.



MUNGKIN ADA MANFAATNYA UNTUK GURU MUDA.
Kehadiran Hari Guru mengingatkan semula peristiwa
suka duka ketika saya sedang bertugas, kebetulan saya pernah bertugas di Johor Baharu. Sungai Petani dan akhir sekali di Alor Setar.
, coretan di dalam status ini saya ingin mengutarakan dua peristiwa sahaja, satu kisah duka dan yang kedua kisah suka.

DUKA.
Pada suatu hari sedang saya mengajar telah berlaku suatu peristiwa yang menyedihkan, ketika itu semua murid sedang meyalin nota dari papan tulis/papan hitam seperti biasa saya memerhatikan setiap kelibat murid menjalankan tugas atau membuat kerja masing-masing dan memastikan nota ditulis dengan kemas dan teratur.

Ringkaskan cerita; Terdapat seorang murid tidak menyalin nota tersebut, sebaliknya sedang menulis surat untuk dihantar kepada seseorang, nasib baik saya tidak terus memarahinya atau merentap sahaja kertas yang telah dipenuhi dengan berbagai cerita sedih dan duka itu.

Apa yang berlaku itu menyebabkan saya rasa husnuzzon terhadap dirinya bahawa murid ini sudah tentu mempunyai masalah besar kerana pada kebiasaannya murid yang saya ajar tidak berani melanggar arahan saya sebegitu rupa, dalam fikiranku ketika itu agaknya budak ini bermasalah besar sehingga menulis nota itu menjadi tidak penting lagi.

Saya pergi rapat dengan mejanya tanpa disedari oleh murid lain kerana saya sembunyikan perbuatannya itu oleh itu murid ini tidaklah kelihatan melakukan kesalahan atau menlanggar disiplin pembelajaran.

Apa yang saya buat ?
Saya membaca surat yang ditulisnya itu, rupa-rupanya menulis surat kepada IBUNYA yang lama berpisah dengannya, selah saya faham isi kadungannya lantas saya sedih dan sebak, ....teringat...rupanya ramai juga guru tidak mengetahui masalah murid....air mataku mengalir tidak boleh disekat lagi, supaya tidak diketahui murid-murid lain saya terus melangkah keluar dan berada di luar bilik darjah buat beberapa ketika, sebelum keluar saya mengizinkannya meneruskan dan menyiapkan suratnya itu.

Hanya hati batu sahaja tidak cair setelah mengetahui kisah seorang anak mencari IBUNYA entah di mana ibunya berada, di antara ungkapan yang disebut yang masih saya ingat sampai saat ini ; katanya " Setelah ibu berkahwin lain telah lama kita tidak berjumpa...alamat ini saya dapat daripada kawan kalau betul dan surat ini sampai kepada ibu, ibu jawablah kerana...teringin sangat nak jumpa ibu..." ( murid ini di dalam Tingkatan 1 ). Patah perkataannya tidak tepat tetapi kandunganya tepat.

SUKA.
Selama kurang lebih 32 tahun saya bertugas di tiga buah sekolah di bandar yang disebutkan tadi, saya tidak pernah bermasalah dengan pihak pengurusan dan juga tidak pernah dimarahi. Hubungan rapat dengan pihak pengurusan hanya di tempat kerja....wallahu aklam.


Sekian.     .والله أعلم 



Tuesday, May 14, 2013

Apa yang aku dengar @ aku baca selepas PRU 13.


 Klik besarkan


Aku mohon maaf berbahasakan aku kerana bagiku aku itu lebih tepat ganti namanya, walaupun terasa kasar di dalam pengucapan harian, kadang-kadang di dalam urusan tertentu penggunaan perkataan gantinama  aku ( pengakuan ) itu diperlukan.

Dalam pada aku membaca facebook, blog, youtube dan lain-lain media lagi aku terjumpa dengan banyak cerita dan kisah tetapi yang aku merasai pilu dan kesal ialah kenyataan berwarna merah yang aku sengaja letakkan di atas itu.

Rumah Mampu Milik.
Perkara pertama yang hendak disembangkan di sini ialah  pihak yang menang @ berkuasa menyatakan mereka tidak mahu membantu @ menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat miskin yang telah memberikan undi mereka dalam PRU.13 (2013) kepada Parti Pakatan Rakyat. Kalau beginilah halnya, apakah akan terjadi dengan cara dan roh demokrasi negara kita, selera siapakah yang sepatutnya kita ikut dan patuh . Bukankah sepatutnya kita wajib faham perlembagaan negara dan setiap rakyat perlu mematuhinya.

Tidak melayani selayaknya kepada golongan parti lawan pernah kita dengari melalui rungutan atau luahan tetapi tidaklah pihak yang terlibat itu berterus terang begini yang seolah-olah mengesahkan kebenaran perbuatan yang dahulunya itu. Kita rakyat yang berkenaan memerlukan pencerahan supaya apa yang tertanam di dalam minda itu tidak terbawa-bawa dan menjadi perbincangan yang akan mewujudkan kekerohan di dalam lautan masyarakat.
 _____________________________________
Laluan iklan


 _____________________________________________

Lucut Kerakyatan.
Cadangan melucutkan kerakyatan Anwar bukanlah suatu cadangan yang baik , malah langsung tidak diperlukan, sebaliknya kita perlu menyemak semula amalan demokrasi di mana setiap lima tahun diadakan pilihan raya yang disertai oleh berbagai parti yang berdaftar di Pendaftar Pertubuhan Malaysia.Rakyat awam adalah penilai yang terbaik dan adil terhadap perjalanan pilihan raya yang dijalankan sama ada telus atau tidak. Rakyat yang maju tidak bersedia menjadi rakyat ya (yes) sepanjang masa tetapi mereka seharusnya mempunyai minda yang kritis terhadap yang berlaku di persekitaran mereka.

Aku bukan hendak menyebelahi mana-mana pihak tetapi cadangan seumpama ini tentunya tidak adil, situasi ini telah mencuit hatiku  untuk membuat pencerahan berdasarkan fahamanku sebagai orang awam dan muslim, terpulanglah kepada pembaca untuk menilainya.Sudah tentu pembaca berhak untuk tidak bersetuju dengan pandangan atau tullisan ini.

Anwar hanya mengambil bahagian atau turut serta di dalam PRU.13 yang mana beliau  mengetuai Pakatan Rakyat seperti mana Najib mengetuai Barisan Nasional, pada umumnya kedua-dua pihak menghormati atau patuh kepada perlembagaan negara. Jika apa yang telah dilakukan itu tidak menyalahi undang-undang negara, apa perlunya sampai beliau hendak dilucutkan kerakyatan. Melalui demokrasi inilah rakyat dapat menyekat mana-mana pihak melakukan perkara yang tidak patut kepada mereka dengan menyuarakan apa yang mereka tidak berpuas hati dan terkilan dengannya.

Apa-apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku mempunyai sebab dan musababnya, perkara inilah yang mustahak untuk difikir dan diselesaikan.

Sekian...Wallahu aklam.










Monday, May 6, 2013

Tahniah kepada calon yang menang - PRU:13

Saturday, May 4, 2013

Pendirianku dalam PRU : 13 - tahun 1434H/ 2013M




Seluruh rakyat Malaysia telah mengetahui dan maklum  bahawa pada hari Ahad 24 Jamadil Akhir 1434 bersamaan 05 Mei 2013 merupakan hari mengundi untuk Pilihanran Umum yang ke 13 ( PRU : 13 ).

Pilihanraya kali ini saya lebih cenderung mengundi Pakatan Rakyat kerana melihat kepada sebahagian besar ulamak negara berada di dalam kumpulan ini, gabungan tiga  parti ( PAS.PKR DAN DAP ) yang ahlinya terdiri daripada berbagai kaum ini diyakini  lebih mampu memajukan negara secara telus dan berhemah, Dengan persetujuan dan kefahaman semua parti di dalam gabungan itu. Syiar Islam juga akan terjaga dan terpelihara kerana di sana terdapat Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) yang sememangnya telah berusaha dan berjuang menegakkan Islam sejak selepas merdeka lagi, walau pun sering kalah di dalam pilihanraya tetapi mereka tetap berjuang dan berusaha tanpa jemu dan serik. Kini parti mereka telah dapat menarik pelbagai kaum untuk menyertai dan menyokong mereka, termasuk sebahagian besar cerdik pandai. 
_________________________________
LALUAN IKLAN.
___________________________________

Sekian...Wallahu aklam.
والله أعلم

Friday, May 3, 2013

Himpunan Aman yang tidak menjadi/dijerit jamaah masjid balik-balik (video)






ANCAMAN CAMPURTANGAN KUASA ASING TERHADAP KEDAULATAN ISLAM.

Himpunan ini katanya bertujuan melahirkan kerisauan Ancaman Campurtangan Kuasa Asing Terhadap kedaulatan Islam. Siapakah kuasa asing itu tidak dinyatakan, kenapa dibuat himpunan ini di Masjid Negeri Shah Alam, mungkin di tempat lain  pun ada dibuat...wallahu aklam.

Mengapakah kita sering heboh-heboh begini, mengapakah kita tidak berusaha bersungguh-sungguh memakmurkan dan menyebarkan ilmu kepada rakyat beragama Islam. keluarkan tauliah sejumlah/ yang sesuai dengan penduduk  Islam di sesuatu tempat.
Berbalik kepada perhimpunan ini saya kira tidak sesuai pada masa dan tempatnya sebab itulah agaknya , mereka yang menyuruh para pesertanya balik sahaja.Mungkin kehadiran mereka itu dilihat sebagai suatu tindakan yang ada udang di sebalik batu.
Sila saksikan videonya. 

____________________________________________________________________________
 LALUAN IKLAN

 ____________________________________________________

Sekian...Wallahu aklam.