Wednesday, September 30, 2009

Kiamat kecil berlaku satu demi satu.

Salam semua.

Pada Rabu ( 01.10.2009 ) di antara jam 6.20- 6.40 petang sedang berbaring tiba-tiba terasa rumah bergoyang beberapa kali, terfikir dan teringat di hati Tsunami di Samoa , banjir di beberapa negara berhampiran Malaysia. Teringat juga kematian beramai-ramai di sana sini, kematian kerana kemalangan jalan raya, banjir, tanah runtuh, bangunan runtuh,gempa bumi, kebakaran, ribut taufan dan bermacam-macam lagi. Semua peristiwa itu mengingatkan kita kepada kiamat, seolah-olah kiamat demi kiamat berlaku berturutan, cuma kita tidak terlibat dengan peristiwa itu maka bolehlah kita bercerita mengenainya. kalaulah diri kita turut kiamat, oran
g lainlah pula menceritakan peristiwa kiamat kita itu.

Kiamat yang dimaksudkan di sini ialah kiamat kecil seperti peristiwa yang diceritakan itu, mati adalah salah satu kiamat kecil bagi seseorang, tidur lena pula kematian sementara bagi seseorang. Mati adalah sesuatu yang benar dan kiamat juga sesuatu yang benar. Ianya akan berlaku dan pasti akan berlaku. fikir jangan tidak fikir.

Di antara tanda-tanda Kiamat.

Dalil - 1.

“ Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang." ”

Dalil - 2.

“ Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita" .
- Ibnu Majah ”

Dalil - 3.

“ Pada akhir zaman akan muncul suatu kaum yang mencelupi rambut mereka dengan warna hitam seperti 'bulu merpati' yang mereka itu tidak akan mencium bau syurga."
- Sahih Abu Daud & Nasai ”

Dalil - 4.

“ Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda:"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis."
- Sahih Bukhari[1] ”

Dalil - 5.

“ Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga."
- Riwayat Ahmad dan Hakim ”

Dalil - 6.
“ Dari Ali dan Abu Hurairah r.a.:
"Apabila harta rampasan perang (milik umum) dikuasai segelintir orang sahaja, barang amanah menjadi rampasan, harta zakat menjadi hutang, seorang lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, berbuat baik kepada temannya dan berbuat kasar kepada bapanya, suara-suara tinggi di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin suatu kaum (bangsa) adalah orang yang hina (berkelakuan/bersifat keji) di antara mereka dan orang yang menjadi ketua suatu suku (kabilah) adalah orang fasik di antara mereka, seorang lelaki dihormati kerana takut jahatnya, arak biasa diminum, sutera biasa dipakai (oleh lelaki), munculnya penyanyi perempuan dan alat-alat muzik, orang yang di kalangan umat terkemudian akan melaknat (mengutuk) umat terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu kedatangan angin merah atau pembalikan bumi atau keburukan bentuk-bentuk atau tanda-tanda yang beriringan seperti tali yang putus maka jatuhlah biji secara berterusan".
- Riwayat Tarmizi ”


@@@@@@@

Ya. Allah jauhilah dari kami bala bencana, wabak penyakit, perbuatan keji dan mungkar.
Ya Allah kiranya ada di kalangan kami yang melakukan kejahatan. Engkau berilah pertunjuk, taufik dan hidayah kepada kami.
Ya Allah Engkau pilih dan angkatlah orang-orang yang baik di kalangan kami menjadi pemimpin dan penguasa kami kerana kami inginkan keamanan dan kesejahteraan yang kekal abadi seperti yang Engkau wahyukan kepada Rasul-Mu.
Ya Allah hanya pada-Mu kami memohon, kami tidak pernah memohon pada yang lain, Engkaulah sahaja tempat kami memohon dan kepada Engkaulah kami berserah dan bertawakkal .Kepada Engkau jua kami kembali. amin.


@@@@@@@


Klik:

Ribut; 100 buah rumah rosak di Besut


Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.




Tuesday, September 29, 2009

Bolehkah berbuka puasa sunat Syawal apabila sanak saudara menziarahi kita.


Salam Semua.

Entri ini masih berputar di sekitar bersembang-sembang mengenai puasa dan raya, ianya bukanlah suatu tazkirah untuk anda . Sebaliknya suatu pandangan dan pendapat peribadi sahaja, kalau anda tidak setuju dengannya itu adalah hak anda kerana blog ini diwujudkan untuk menyampaikan maklumat dan pandangan penulisnya kepada umum maka ditulisnyalah pandangan ini untuk dibaca dan ditegur atau ditambah murnikannya.

Sering dibincangkan persoalan bolehkah berbuka puasa sunat Syawal apabila dikunjungi tetamu ke rumah untuk membolehkan kita melayani tetamu dengan lebih selesa lagi atau sebagai menghormati tetamu. Jawapnya tentulah boleh kerana puasa itu hanya sunat sahaja, malah kalau tidak berpuasa langsungpun masih boleh.

Persoalan kita di sini bukan soal boleh buka atau tidak. Persoalannya siapakah pengunjung itu, adakah mereka tidak terikat dengan suruhan berpuasa sunat pada bulan Syawal itu, kalau mereka itu orang Islam sudah tentu mereka juga terikat dengan suruhan tersebut, jika mereka tidak berpuasa sunat dan memilih untuk menziarahi sanak saudara, bermakna mereka memilih yang tidak afdal atau pilihan mereka bukan yang terbaik. Sebaliknya tuan rumah tadi berpuasa sunat dan memilih yang terbaik dan afdal. Jadi munasabahkah berbuka puasa kerana melayani orang yang memilih tawaran yang kurang baik. Pada hal mereka juga di bawah perintah yang sama dan terikat dengan saranan yang sama supaya berpuasa sunat Syawal.

Mungkin lebih baik berpuasa sunat dan menziarahi sanak saudara dengan cara itu tidak akan menyusahkan sesiapa, peruntukan masa untuk makan itu bolehlah berbual-bual mengenai perkara-perkara yang berfaedah, kalau terdapat peti TV di ruang tamu eloklah dimatikan siarannya dahulu kerana kehadiran tetamu bukan untuk menonton TV di rumah kita, mungkin tidak sesuai berpuasa kalau menziarahi sanak saudara yang jauh melebihi dua marhalah kerana tindakan seperti itu akan meletihkan ketika dalam perjalanan. Kalau ziarah itu di daerah yang sama rasanya tidak menjadi masalah untuk meneruskan puasa.

Ibadat yang mana satukah yang hendak diangkat atau hendak diutamakan, berziarah atau berpuasa sunat, berziarah masanya boleh dilakukan sepanjang tahun, manakala puasa sunat Syawal hanya 6 hari sahaja tempoh tawarannya yang paling afdal.

Ramai di kalangan kita sering memberi alasan berpuasa pada awal bulan Syawal itu sebagai menunjuk-nunjuk atau mempamerkan akhlak baik kepada orang lain,
sedangkan orang lain itu pula berhari raya. Alasan ini sebenarnya tidak berasas kerana mereka yang berpuasa mulai 2hb. Syawal itu adalah mereka yang menepati dan mematuhi agenda Syawal yang ditunjukkan oleh Rasulullah.s.a.w.
iaitu;

1. Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan.
2. Berhari Raya pada 1hb. Syawal.
3. Berpuasa sunat Syawal pada 2hb. sehingga 7hb.Syawal.
4. Berhari Raya pada 8hb.Syawal dan hari-hari seterusnya.

Pilihan yang tersebut di atas adalah yang terbaik dan afdal. Apapun terpulanglah kepada niat seseorang yang melakukan ibadat itu. Jangan pula kerana takut dikatakan menunjuk-nunjuk maka ditinggalkan ibadat yang istimewa itu, tuduhan atau anggapan begitu bukanlah terbit dari pemikiran mereka yang berilmu ataupun hanya sepintas lalu sahaja tanpa semakan kali kedua untuk mengesahkan hujah tersebut.

Menyediakan perabot mewah dan hiasan lain khusus untuk menyambut Hari Raya pada setiap tahun, mungkin lebih munasabah untuk dicap sebagai menunjuk-nunjuk kerana persediaan itu tiada di dalam agenda menyambut raya dan Syawal sedangkan berpuasa sunat Syawal adalah agenda selepas berhari raya atau selepas 1hb.Syawal dan amalan itu memang di dalam agenda menyambut Syawal dan diajar pula oleh Islam. Inilah amalan yang sepatutnya diaplikasikan dan dijadikan tradisi masyarakat Islam dan seterusnya disuburkan oleh genarasi pelapis nanti. Amalan yang telah menjadi adat ala berpoya-poya, berpesta , berseronok-seronok atau pengisian sambutan raya yang tidak merujuk kepada sumber yang betul dan sohih dibimbangi akan meniruskan syiar Islam yang hakiki pada masa akan datang . Perbuatan mengurangkan atau menokok tambahkan amalan tertentu memungkinkan berlaku penguncupan, penirusan dan penghakisan terhadap amalan yang sepatutnya.

@@@@@

Rasulullah s.a.w bersabda.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”

@@@@@

Artikel ini sebenarnya tidak serius objektifnya, ditulis semata-mata bertujuan percambahan minda dan pembuka minda sahaja, agar ianya tidak statik dan beku. Diharap ianya menyentuh minda pembacanya dan turut memikirkannya, tanpa berfikir mana mungkin berlaku anjakan atau penghijrahan ke arah yang lebih menepati perintah Allah dan Rasul-Nya..


Sekian. Allah Maha Mengetahui.Wassalam.

Kalau berziarah dalam bulan Syawal - Tuan rumah bertanya puasa tak ?


Salam Semua.

Sembang-sembang selepas Aidil Fitri .
Entri kali ini ingin mengajak anda merenung dan memikirkan semula perlakuan dan aktiviti sambutan raya yang sering kita lakukan sama ada kita lakukan secara Pak Turut atau atas pertimbangan ilmu pengetahuan Tauhid dan Fiqah yang dikuasai dan dimiliki. Adakah kita merayakannya kerana memenuhi tuntutan masyarakat atau tuntutan al.Hadis dan al.Quran. Dalam hal ini yang mana satu yang sering kalah, tuntutan masyarakat (adat) atau tuntutan Islam. Dan yang mana satukah kita ketepikan.

Dalam ajaran Islam menyatakan 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal adalah afdal berpuasa sunat, paling baik berpuasa sunat dan tidak menyatakan amalan lain yang paling baik. Pepatah Melayu ada menyebutkan " Kalau tiada rotan akar pun berguna" bermakna akar adalah pilihan yang kedua dan rotan pilihan utama atau pertama, bagaimana pula kalau rotan itu ada tentulah akar tidak berguna lagi dan akar itu mungkin disimpan untuk digunakan ketika kehabisan rotan, bagaimana pula kalau kita memilih akar untuk digunakan sedang rotan terlonggok di hadapan kita, adakah pilihan ini bijak dan cerdik ?

Rasulullah.s.a.w. menyatakan kepada umatnya bahawa berpuasa 6 hari berturut dalam bulan Syawal mulai 2hb sehingga 7 hb. setelah berpuasa Ramadan dengan sempurna puasa Syawal itu nilainya seperti berpuasa sepanjang tahun. kiranya kita membuat perkiraan menggunakan matematik tentulah nilai puasa Syawal 6 hari itu adalah sebelas bulan, sebelas bulan itu jika dicampur dengan puasa sebulan bulan Ramadan maka jadilah setahun ( 12 bulan ). Tawaran puasa Syawal ini tidaklah sehebat tawaran Lailatul Qadar yang mana kebaikannya bernilai 83.33 tahun itu tetapi ianya masih tergolong di dalam tawaran Allah kepada hamba-Nya yang sangat penyayang itu suatu tawaran yang bernilai tinggi dan hebat.

Apa kata pada tahun depan kita raya pada 1hb.Syawal dan 6 hari berikutnya kita pakat-pakat berpuasa dan kita teruskan Pasar Ramadan dengan Pasar Syawal pula dengan sedikit pindaan. Kemudian kita sambung sambut perayaan selepas selesai puasa sunat tersebut.Perubahan ini boleh dibuat dan dilakukan kalau seluruh umat Islam memilih rotan dan tidak memilih akar ketika ada rotan.

Masyarakat Islam Kedah dan Kelantan di kampung-kampung tidak menyambut perayaan Aidil Fitri sehingga sebulan seperti di setengah negeri di Malaysia, sebaliknya di tempat ini sekiranya tetamu ke rumah pada bulan Syawal biasanya mereka bertanya sama ada berpuasa atau tidak, sebelum mereka menyediakan minuman dan makanan untuk tetamu. Ini menunjukkan amalan berpuasa Sunat Syawal masih menjadi amalan yang meluas dan mereka yang berpuasa lebih dihormati berbanding dengan mereka yang masih meneruskan aktiviti raya.

Saya tidak mengetahui secara pasti masyarakat di negeri lain mengenai puasa ini tetapi saya perhatikan secara rambang bahawa terdapat negeri-negeri yang masyarakatnya melebihkan perayaan berbanding dengan berpuasa sunat. Pada hal itu bukanlah pilihan yang bijak kerana memang telah ternyata berpuasa syawal seperti disebut di atas tadi adalah lebih afdal dan Nabi Muhammad. s.a.w. tidak menyebut bahawa meneruskan beraya itu lebih baik atau afdal.

@@@@@

Rasulullah s.a.w bersabda.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”


@@@@@

Di dalam sembang-sembang ini saya tidak berhasrat untuk membincangkan cara atau versi sambutan Hari Raya yang diamalkan oleh Televisyen di Malaysia sebab di sana terdapat banyak sangat perkara yang perlu dicarakinkan satu persatu.

Apapun Ilmu Itu Pelita yang dapat menyuluh kegelapan dan mampu mencerahkannya, dengan itu orang yang memiliki ilmu dapatlah melihat perkara-perkara yang membahayakan diri, lantas akan mengelak dan menyelamatkan diri daripada terjebak di dalam suasana berbahaya itu. Ilmu jugalah pencetus dan penambat iman , tanpa ilmu manusia tidak akan beriman kepada Allah dan pradigma manusia juga akan statik.



Sekian . Allah Yang Maha Mengetahui. Wassalam.

Sunday, September 27, 2009

Ziarah menziarahi salah satu amalan yang digalakkan oleh ajaran Islam.

Wahnuar-Lee Noh
Salam semua.
 Amalan ziarah menziarahi di antara satu sama lain telah menjadi amalan yang telah sebati dengan umat Islam, terutama pada musim perayaan sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha. Di mana ajaran Islam mengajar penganutnya supaya ziarahi menziarahi, menghormati tetamu, memberi makan tetamu, di sana diterangkan juga kelebihan-kelebihan mengenainya. Menyedari perkara ini dan melaksanakannya insya Allah aktiviti tersebut akan menjadi ibadat, jika melakukannya tanpa menyedarinya mungkin menjadi adat sahaja kerana setiap amalan bergantung dan berteraskan niat . Insya Allah apa yang kita lakukan itu atas niat menyempurnakan perintah Allah dan Rasul-Nya maka tertunailah perintah tersebut.
@@@@@@@
Daripada Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w;
“ Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”
@@@@@@@

Atas kesedaran tersebut pada petang Jumaat yang telah lalu (25-09-2009 ) saya menziarahi ahli keluarga di Kluang, bertolak dari Shah Alam jam 5.00 petang dan selamat sampai di Kluang jam 10.00 malam. semua ahli kelua
rga menunjukkan kegembiraan dan keceriaan, berbual-bual dan bersembang sampai lewat malam barulah masuk ke kamar tidur.

Esok paginya ( 26.09.2009 ) jam 6.30 pagi selpas solat Subuh saya pergi ke Pasar Kluang mencari ikan dan lain-lain keperluan untuk membuat Laksa Kedah, kebanyakan ahli keluarga di sini gemar masakan tersebut, atas h
arapan kita gembirakan orang lain Allah gembirakan kita, maka kami jadikan Laksa Kedah sebagai hidangan untuk ahli keluarga dan tetamu yang lain .
Alhamdulillah kami bernasib baik kerana berbagai jenis ikan ditawarkan di pasar tersebut, kebetulan harganya pun murah. Biasanya selepas Hari Raya ikan tidak banyak di pasaran kerana ramai nelayan masih berhari raya, nampaknya kali ini mereka turun lebih awal ke laut berbanding dengan tahun-tahun yang lalu.



Ikan kacang-kacang at
au alu-alu sekilogram dijual dengan harga hanya RM10.00 sedangkan pada waktu yang lain harga mencecah RM16.00 atau RM17.00 sekilogram. kami membelinya tiga kilogram.

Ikan kacang-kacang ( alu-alu)

Jam 4.30 petang kami berangkat ke Bandar Batu Pahat menziarahi keluarga yang berasal dari Perlis dan telah lam bermustautin di bandar ini. Sesamapi sahaja kami di sini, kami dihidangkan dan dijamu dengan kuih raya. Ketika itu jam menunujukkan hampir pukul 6.00 petang. Mereka sekeluarga berpuasa sunat Syawal tentulah tidak afdal membukanya kerana menghormati kami sedangkan waktu berbuka telah hampir. Alhamdulillah syiar ini masih bersinar di kalangan umat Islam, saya selaku musafir tidaklah berpuasa sunat seperti mereka, insya Allah akan menyambung puasa berbaki itu pada hari yang lain.

Kemudian kami bertolak pula ke Kampung Mampan untuk menziarahi rumah Wahnuar yang tinggal tidak jauh dari Masjid Mampan Batu Pahat, Johor.

Ini adalah kali kedua saya ke rumahnya. Jalinan saliturrahim di antara keluarga saya dengan keluarga Wahnuar semakin erat dan mantap, saya sangat berharap jalinan ini akan berterusan dan membawa berkat kepada keluarga kami berdua. Terima kasih kepada keluarga Wahnuar yang telah memberi layanan yang terbaik kepada rombongan kami, saya belum pasti mampu berbuat demikian kiranya mereka menziarahi kami nanti.
Me bandung Muar.

Jam 9.00 malam kami bertolak pula ke Kampung Parit Salam untuk ke rumah Pak Uda. Pak Uda dan mak Uda juga melayani kami dengan penuh mesra dan ceria, kalau tidak salah ingatan saya ini adalah kali keempat saya menziarahi mereka, saya juga berharap hubungan silaturrahim di antara keluarga semakin erat dan mantap serta berterusan dan diberkati Allah.
Jam 10.00 malam kami bertolak balik ke Kluang dan sampai di Kluang jam 11.30 malam.

Kenderaan berjalan lancar.

Hari Ahad ( 27.09.2009 ) jam 12.30 petang selepas berjamu selera di Retoran Hj.Ali di tengah bandar Kluang kami pun bertolak pulang ke Shah Alam dan tiba di rumah jam 4.30 petang. Alhamdulillah segala yang dirancang, pelaksanaannya berjalan lancar dan selamat.

Sekian. Wassalam.

















Thursday, September 24, 2009

Kampung mengekspot cerdik pandainya ke bandar.




Salam Semua.

Sejak zaman berzaman kampung diistilahkan sebagai te
mpat yang lebih mundur dalam serba-serbi dan beraneka macam berbanding dengan bandar. Adakah benar kampung sememangnya tidak pernah menghasilkan kemajuan dan tidak pernah memiliki cerdik pandai atau kepakaran dalam apa bidangpun sehingga kampung berkeadaan mundur berbanding dengan bandar.

Membakar diri menerangi orang lain.
Kampung sebenarnya membakar diri menerangi orang lain, kampung menghasilkan pelajar cemerlang dan sebahagian mereka kemudiannya ditempatkan di sekolah-sekolah berasrama penuh dan seterusnya mereka menyambung pelajaran ke Pusat Pengajian Ti
nggi dan juga lulus dengan cemerlang, juga di antaranya melanjutkan lagi pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi dan sebahagiannya belajar di sekolah-sekolah yang berkurikulum Pengajian Islam yang mampu mencapai ke taraf ilmuan Islam iaitu setelah mereka melanjutkan pelajaran ke Pusat-Pusat Pengajian Tinggi tempatan dan luar negara, dan akhirnya mereka juga berkhidmat di bandar, mereka balik kampung hanya ketika bercuti, khasnya ketika bercuti Hari Raya. Pada masa yang lain mereka sebok di bandar kerana menjalankan tugas sama ada di sektor kerajaan atau swasta.
Panggilan kampung ketika Hari Raya amat kuat sekali, jasmani dan rohani warga bandar yang berasal dari kampung diresapi ingatan terhadap suasana dan kenangan kampung yang dilonjakkan oleh ketauhidan dan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Di mana tuntutan menziarahi ibu bapa, keluarga, sanak saudara dan kawan- rakan perlu ditunaikan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dan meraih keberkatan.

Mereka akan rasa muda sekembalinya ke kampung terutama apabila bertemu ibu bapa dan berpeluk cium dengan mereka, ketika itu akan terasa seperti kanak-kanak, setua mana mereka , setinggi mana pangkat, mereka tetap akan terasa nostalgia itu, rasa muda juga akan datang dalam dalam hati kecil ketika mengenangkan sewaktu mereka kanak-kanak dahulu atau sekurang-kurangnya menghayati kemudaan itu dalam bentuk khayalan sambil mengingatkan kuasa Allah terhadap diri masing-masing dan kekawan yang lain dan kenangan lain yang amat mengusik jiwa.

Ketupat , lemang, rendang dan lain-lain masakan ibu mereka adalah hidangan dan juadah yang diidam-idamkan tanpa tolok bandingnya. Demikianlah kesan air tangan ibu.

Suasana kampung tenang dan nyaman.

Mereka memenuhi masjid dan surau di bandar, mereka balik kampung selepas mengimamkan solat dan mereka balik kampung setelah membaca khutbah Hari Raya, Kiranya mereka balik kampung lebih awal akan tidak sempurnalah aktiviti masjid dan surau di bandar.

Mereka juga memakmurkan masjid-masjid dan surau-surau di bandar dengan bersolat fardu secara berjamaah dan mengadakan kuliah-kuliah pada waktu malam dan subuh hari. Nampaknya kampung mengekspot cerdik pandai ke bandar sehingga tidak ramai lagi yang tinggal di kampung dan hampir semua cerdik pandai kampung berpindah ke bandar. Maka tinggallah kampung dalam keadaan tradisinya, nyaman serta sederhana.

Apakah pendapat anda pula dalam hal ini ?.

Klik je:

Bersediakah kita untuk berpuasa Sunat Syawal - 1430H


Sekian.Wassalam.

Wednesday, September 23, 2009

Perubahan sikap semasa berpuasa.

Salam Semua.


Ramai orang Islam dipercayai menyedari akan perubahan sikap terhadap diri mereka khasnya ketika sedang berpuasa dan amnya sepanjang bulan Ramadan. Di luar bulan Ramadan kebanyakan orang akan makan apa sahaja yang dihidangkan pada waktu tengahari atau ketika makan malam. Mereka tidak banyak bertanya atau tidak banyak soal tentang apa yang akan dihidangkan kepada mereka pada waktu tengahari atau waktu malam nanti.

Lelaki dan perempuan sangat peka dengan pergerakan dan peredaran masa, mereka sering melihat jam di tangan atau di dinding untuk mengetahui catatan masa terkini, kalau dulu mereka risau kerana masa berjalan sangat pantas, kini mereka terasa masa bergerak terlalu lambat, berlebih-lebih lagi pada waktu petang dan mereka yang tidak bangun makan sahur akan lebih terasa masa itu bergerak lebih lambat daripada kura-kura , kalau ikutkan hati seakan hendak menggerakkan sendiri jarum jam itu ke hadapan supaya waktu berbuka cepat tiba, lantas dapat bergembira dengan makanan yang terhidang di atas meja.Tetapi bagi mereka yang bangun makan sahur seperti yang dianjurkan perubahan sikap mereka tidaklah ketara, mereka ini kelihatan seperti biasa sahaja, di kalangan mereka ini biasanya akan meneruskan puasa selepas Aidil Fitri nanti iaitu berpuasa sunat Syawal.

Sikap ini berubah setelah datangnya bulan Ramadan dan perubahan sikap itu berlaku sepanjang bulan Ramadan, di dalam bulan Ramadan mereka pandai dan rajin pula meninjau ke dapur untuk mengetahui perkembangannya, apa yang dimasak dan apa yang ada dan apa pula yang kurang, yang tiada akan diadakan, yang kurang akan ditambah dengan segera supaya hidangan berbuka nanti tidak berkurangan. Ternyata perubahan ini berlaku pada orang lelaki. Agaknya perubahan ini berlaku kerana nafsu makan meruntun sepanjang masa, melihat makanan dan berbual mengenai makanan akan melegakan runtunan itu kerana mungkin terasa seolah-olah menikmati sebahagian daripada kelazatan makanan itu.

Selama 11 bulan perut bertugas tanpa berhenti, hanya sebulan sahaja perut dapat berihat di dalam jangka masa setahun itupun pada waktu siang sahaja, ini bermakna setelah ditolak waktu malam perut hanya berihat cuma 14 atau 15 hari sahaja dalam setahun, bakinya perut terpaksa bertugas untuk memproses penghadzaman makanan yang diisi ke dalam kantungnya. Kerihatan itu telah mengundang kesihatan dan kesejahteraan kepada mereka yang berpuasa. berpuasalah kerana berpuasa itu menyihatkan tubuh badan. Kita boleh berpuasa setiap minggu dengan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis atau kita berpuasa setiap bulan dengan berpuasa pada tanggal 13, 14, dan 15 haribulan pada setiap bulan yang dinamakan bulan putih.

Kiranya Allah tidak memaklumkan perkara ini kepada manusia tentulah manusia akan terus jahil tanpa mengetahui kelebihan orang berpuasa, maka manusia akan terus makan dan makan sepanjang tahun tanpa berhenti, setiap kali lapar manusia akan makan dan minum tanpa mengetahui bahawa 90% penyakit datang dari perut mereka sendiri atau disebabkan makanan.


Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

Sunday, September 20, 2009

Selamat Berpuasa Sunat Syawal- 1430.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Amalan baik jangan ditangguhkan kerana masa berjalan sangat pantas meninggalkan kita.
_____________

Berakhirlah sudah 1hb.Syawal dan berakhirlah juga sambutan berhari raya "Aidil Fitri" yang diperintahkan Allah dan muncul pula perintah yang kedua yang berkaitan dengannya iaitu perintah supaya berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal, mulai 2hb.Syawal sehingga 7hb. Syawal. cara tersebut adalah cara yang afdal atau terbaik, selain daripada itu juga terdapat pilihan lain iaitu berpuasa 6 hari dalam tempoh di antara 2hb.Syawal sehingga berakhirnya Syawal. pilihan ini tidak afdal.

Walaupun kita masih menyambut kunjungan tetamu ke rumah tetapi sambutan itu bukan lagi sambutan Hari Raya yang dimaksudkan atau yang diperintahkan, sebaliknya sambutan itu hanya merupakan sempena Hari Raya sahaja, sekurang-kurangnya dapat mengeratkan tali silaturrahim yang juga dititik beratkan oleh ajaran Islam. Insya Allah pahalanya akan diperolehi asalkan tidak dicampuradukkan dengan aktiviti yang dilarang Allah dan lagha.

Saya ucapkan Selamat Berpuasa Syawal kepada mereka yang akan berpuasa sunat Syawal esok hari . Semoga anda beristiqamah dan berterusan sehingga 7hb.Syawal dan saya juga berharap saya sendiri dapat beristiqamah bersama-sama anda.


Sekian. Wassalam.

Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.من العائدين والفائزين




Ditujukan khas kepada semua
pelawat Laman ini.


من العائدين والفائزين
Minal 'Aidin Wal Faizin.
"SEMOGA ANDA MENDAPAT KEJAYAAN"


MAAF ZAHIR DAN BATIN.


#######

"Puasa itu adalah perisai yang dengannya seorang hamba terlindung dari panahan api neraka, dan puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya."
(Hadis Qudsi riwayat Ahmad dan Baihaqi dari Jabir bin Abdillah r.a.)

#######

Panduan ringkas solat sunat Aidil Fitri.
1. Niat. Sahaja aku bersolat sunat aidil fitri dua rakaat (ikut imam) kerana Allah Taala.
kemudian takbiratulihram ( lintasan di hati lafaz niat tadi semasa takbiratul ihram) kemudian selepas doa iftitah diikuti dengan takbir 7 kali dan diselang seli dengan tasbih sebanyak 6 kali, kemudian barulah baca fatihah dan ayat( surah al.Akla). Selepas itu rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan bangun berdiri betul, selepas berdiri betul dan takbir intiqal , takbir lagi 5 kali dan juga diselang seli dengan tasbih 4 kali, kemudian baca fatihah dan surah al.Ghasyiah, selepas itu rukuk dan seterusnya sehinggalah baca tahiyat akhir dan beri salam. ( Lafaz tasbih secara ringkas:" Subhanallah walhamdulillah walailaha illallahu wallahu akbar" )

2. Selepas solat barulah khatib membaca khutbah. Kalau solat ditunaikan bersendirian tidak perlu membaca khutbah.

@@@@@@@

IKRAR DAN PENGAKUAN KITA DI DALAM TAKBIR HARI RAYA ( Arab ).:

﴿ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالحَمْدُ للهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ، وَلَوْ كَرِهَ الْمُنَافِقُوْنَ، وَلَوْ كَرِهَ الظَّالِمُوْنَ. لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ. لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

. IKRAR DAN PENGAKUAN KITA DI DALAM TAKBIR HARI RAYA ( Melayu ).:

“BAHAWA KITA TIDAK AKAN TUNDUK DAN PATUH MELAINKAN HANYA KEPADA ALLAH WALAUPUN SIKAP KITA ITU DIBENCI OLEH ORANG-ORANG KAFIR, SYIRIK, MUNAFIK DAN ZALIM. KITA TEGASKAN BAHAWA KITA YAKIN SEPENUHNYA KEPADA JANJI ALLAH YANG BENAR DAN DIA SAHAJA YANG MENOLONG DAN MEMBERI KEMENANGAN KEPADA HAMBANYA YANG BERIMAN. KITA TEGASKAN JUGA BAHAWA KITA YAKIN DIA SAHAJA YANG MEMPERKUATKAN TENTERA-TENTERANYA. DIA SAHAJALAH JUA YANG MENGHANCURKAN BARISAN MUSUHNYA YANG MENENTANG KEDAULATAN AGAMANYA.”


>>> Wallahu aklam <<<


Sekian .Wassalam.

Puisi hatiku

Salam Semua.

Ulasanku di blog Pengalaman di Kota Makkah. kukutip dan kuabadikan di laman ini.

Blogger Leenoh said...

Salam Manzlie.

Selepas kubersahur,
Kubuka peti ajaibku,
Kulihat dan kurenung paparannya.

Kurasa bagai kuada di sana.
Tapi hakikatnya aku di timur jauh dari Qiblat.

Kuhanya mengadap ikut petua kompas.
Hatiku tetap dekat dan hampir.
Semakin lama semakin subur.
Hati bertekad untuk ke sana.
Biarlah ke sana dulu sebelum ke kubur.

Sungguh untung mereka di sana.
Apakah tiada habuanku sama.
Biar kita rasai sama-sama.
Biar di atas bumbung atau di depan Multazam.
Asalkan berada di dalam lingkungannya.

Ada wang ada harta.
Belum sempurna wasilahnya.
Kiranya ditakdirkan.
Itulah titik pertemuannya.

Kuingin bukan keindahan zahirnya.
Tapi tauhid di hati yang hendak dizahirkan.
Menyatakan cinta pada-Nya.

Cinta-Nya padaku, cintaku pada-Nya.
Hendak dipertemukan.
Biar ihsan dibuktikan.
Dilihat atau melihat bersepadu di hati.

Bukan bersajak atau berpuisi,
di hujung jari.
Tetapi luahan hati rindu hendak ke mari.

Insya Allah akan terbukti.

18 September 2009 14:43

Delete

Friday, September 18, 2009

Panduan berdoa - Ringkas.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْSekadar panduan ringkas bagi mereka yang masih mencarinya.
بسم الله الرحمن الرحيم.الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين

Mulakan doa seperti di atas dengan menugucapkan basmalah ( bismillah ) dan memuji Allah
serta selawat ke atas Nabi. Kemudian diikuti dengan isi kandungan doa sama ada di dalam bahasa Arab atau bahasa ibunda.

Penutup doa seeloknya ditutup dengan ibu segala doa dan selawat ke atas Nabi dan mem
uji Allah seperti di bawah ini.
رَبَّنَا آتِنَا فِى ال دُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

@@@@@@@@@

Diperturunkan sekali lagi contohnya di bawah ini.
___________



بسم الله الرحمن الرحيمالحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين

Sambungkan doanya di tengah ini ( sama ada menggunakan bahasa Arab atau bahasa ibunda ) dan ditutup dengan.
رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
_______________

Ulasan Ringkas:
Kalau kita perhatikan susunan ayat di dalam doa di atas, kita akan dapati doa bermula dengan memuji Allah kemudian diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad.s.a.w. dan ditutup atau diakhiri dengan selawat ke atas Nabi Muhammad.s.a.w. kemudian diikuti pula dengan memuji Allah.

Permulaan doa dan penutup doa ada sedikit perbezaan - sila perhatikan kelainannya.
Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.

Aku tetap menanti dan menanti............(puisi)




Oh Engkau Sungguh Mulia.

Oh engkau sungguh mulia.
Kemuliaanmu tiada tandingan.
Kehadiranmu membawa bingkisan berharga.
Kedatanganmu bersama ganjaran berganda-ganda.
Muatanmu sarat dengan pahala.

Peninggalanmu meninggalkan Rahmah.
Pemergianmu meninggalkan Maghfirah.
Perpisahanmu memberi kami hadiah.

Hadiahmu Rahmah.
Hadiahmu Maghfirah.
Hadiahmu Syorga.

Oh sungguh indah.
Keindahan engkau, umpama bulan.
Putih engkau seputih bulan purnama.

Membawa berkat seribu bulan.
Nama engkau selepas Syaaban.
Usia engkau sekadar menyentuh Syawal.

Di depan engkau rahmah.
Di tengah engkau maghfirah.
Di akhir engkau syorga.

Kehadiran engkau;
Manusia berkumpul.
Manusia bersatu.
Manusia hidup berjamaah.
Di masjid.
Di surau.
Di Pasar Ramadan.
Di meja makan.


Oh indahnya Engkau.
Aku cinta padamu.
Engkau datanglah lagi.
Engkau jengoklah lagi.
Engkau ziarahilah kami.
Kami rindu padamu.

Pemergian engkau menjadikan;
Hati ini gersang.
Hati ini kosong.
Hati ini tawar semula.
Tiada lagi suara selawat berkumandang.
Tiada lagi suara riuh kanak-kanak.
Tiada lagi kesebokan bersedekah.

Aku tidak malu.
Aku tidak segan,
Untuk menyatakan aku cinta padamu.

Kerana cinta padamu,
cinta pada Allah.
Kerana cinta padamu,
cinta pada Rasul.

Cinta padamu, cinta Allah.
Cinta Allah adalah cinta Allah.
Puji makhluk, puji Allah.
Puji Allah adalah puji Allah.

Aku tetap menanti dan menanti..........
kehadiranmu nescaya akan muncul lagi .
Kita akan bertemu lagi....insya Allah.

Engkaulah Ramadan al.Mubarak.
Engkau pembawa Rahmah dan Maghfirah.
Engkaulah pendorong ke syurga.

Engkaulah Ramadan al.Mubarak.
Allahu akbar.

SEKIAN. WASSALAM.

Thursday, September 17, 2009

Menjinakkan anak-anak remaja dengan masjid

Salam Semua.

Majlis Penyampaian Hadiah.

Majlis ini diadakan secara ringkas untuk menyampaikan hadiah-hadiah dan sumbangan kepada anak-anak remaja yang bertugas di masjid Fastabiqul Khayrat sepanjang bulan Ramadan al.Mubarak.



Hadian berupa sejumlah wang,
makanan dan minuman.


Orang dewasa bersama-sama anak-anak remaja untuk meraikan dan memberi galakkan kepada mereka supaya berjinak-jinak dengan masjid, diharap pada tahun akan datang bilangan mereka akan bertambah. Sebahagian daripada anak-anak yang terlibat tidak hadir ke majlis ini pada malam ini kerana telah balik beraya di kampung halaman masing-masing.



Klip video ini diambil secara sepontan sebaik sahaja selepas solat Tarawih
sebentar tadi jam 10.20 malam.




Ucapan ringkas sebelum hadiah disamapaikan.





Sekian.Wassalam.