Tuesday, September 15, 2009

Selamatkah - " Selamat Hari Raya"


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

- SELAMATKAH -
"SELAMAT HARI RAYA "

Pada pagi ini Selasa 25 hb.Ramadan 1430 hijrah ini saya sengaja memilih tajuk yang berbunyi seperti yang dinukilkan di atas dengan mangajukan persoalan yang memerlukan jawapan, daripada jawapan itu barulah kita menilai sama ada sambutan Hari Raya kita itu selamat atau sebaliknya.

Apakah yang dimaksudkan dengan " SELAMAT", jika selamat daripada kemalangan berarti seseorang telah selamat daripada kesusahan kemalangan tersebut seperti tidak cedera, tidak berdarah, tidak patah kaki atau tangan dan seumpamanya, keadaan ini menyebabkan seseorang itu masih dapat meneruskan kesejahteraan dan kebahagiaannya di dunia ini.

Bagaimanakah pula dengan Selamat Hari Raya, adakah doa itu sekadar untuk seseorang Islam itu selamat daripada kejadian seperti di atas atau lebih jauh lagi. Adakah selamat Hari Raya itu kerana seseorang individu itu mampu menyediakan juadah untuk dijamukan kepada kawan rakan dan menyediakan pakaian baru kepada ahli keluarganya atau seseorang Islam itu sihat dan dapat merayakan hari tersebut dan dapat menyempurnakan semua aktiviti yang disediakan oleh komunitinya.

Umat Islam seluruhnya faham bahawa mereka berpuasa adalah semata-mata kerana menyahut perintah Allah yang tersebut di dalam al.Quran ayat 183-185 surah al.Baqarah, ayat ini menerangkan tentang kewajipan menunaikan kewajipan puasa di dalam bulan Ramadan. maka puasa itu akan terpakai atau dikira sah sekiranya mereka mematuhi perintah dan panduan yan g telah disampaikan oleh Rasulullah.s.a.w.

Adakah berhari raya terkecuali daripada perintah Allah, kalau jawabnya tidak terkecuali, malah wajib mematuhi perintah Allah, kalau wajib mematuhi perintah-Nya juga, apakah perintah Allah yang dimaksudkan itu.

Rasulullah.s.a.w. adalah utusan Allah. Bagindalah yang menerangkan, menjelaskan dan mendidik umat Islam melaksanakan semua jenis ibadat termasuklah puasa dan berhari raya. Bagindalah contoh teladan, bagindalah pakar rujuk umat Islam.

Untuk berhari raya umat Islam wajib merujuk kepada didikan NabiMuhammad.s.a.w. pada masa yang telah lalu khasnya tentang aktiviti Hari Raya yang dilakukan baginda pada masa hidupnya bukan daripada sumber yang lain. Baginda berhari raya pada 1hb.Syawal dan berpuasa pada 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal, ( 6 hari ). Bermakna berhari raya hanya sehari sahaja dan Hari Raya Aidil Fitri merupakan sempadan di antara Puasa Ramadan dan Puasa Sunat Syawal. Apakah ini kita ambil kira di dalam aktiviti dan program hari raya yang kita sambut atau untuk berhari raya kita mengambil panduan yang lain atau tidak mengambil mana-mana panduan sebaliknya berhari raya secara hantam kromo sahaja.

Kalau kita tidak merujuk dan patuh kepada al.Quran dan al.Hadis dan juga ijmak ulamak masakan sambutan Hari Raya kita itu akan selamat. Selamat Hari Raya tentulah membawa maksud selamat mendapat pahala atau ganjaran baik daripada Allah kerana kita mematuhi perintah-Nya dalam melaksanakan pengisian aktiviti Hari Raya seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasul-Nya.

Marilah kita sama-sama muhasabah dan menilai semula aktiviti yang sering dilaksanakan oleh masyarakat kita pada Hari Raya dan muhasabah juga tempoh masa yang masih dikategorikan sebagai Hari Raya, adakah tempoh masanya sampai berminggu-minggu dan meringankan Puasa Sunat Syawal berbandingan dengan berhari raya selepas atau diluar 1hb. Syawal. Mengapakah kita berhari raya melebihi had dan terlajak sempadan yang disuruh, adakah
sebenarnya kita berhari raya atau berpesta atau berpoya-poya.

Sekiranya kita bermuhasabah kita akan dapat jawapannya tetapi sebaliknya kalau kita menjadi Pak Turut kita akan terperangkap di dalam aktiviti yang bertentangan dengan perintah Allah. kalau ini berlaku bermakna " Selamat Hari Raya" kita itu sudah tidak selamat lagi dan tinggal ucapan kosong sahaja.
Manakala Hari Raya Aidil Adha pula mempunyai aktivitinya yang tersendiri iaitu menyempurnakan ibadat Qurban bagi mereka yang tinggal di luar Makkah. Bagi mereka yang berada di Makkah mereka bolehlah mengerjakan Haji dan menunaikan Qurban sekali. Adalah munasabah Hari Raya Qurban itu lebih meriah berbanding dengan Aidil Fitri kerana Hari Raya Qurban ( Aidil Adha ) selama empat hari iaitu mulai 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Manakala Hari RAya Puasa ( Aidil Fitri ) hanya pada 1hb.Syawal sahaja, selepas tarikh itu diutamakan puasa sunat seperti disebutkan di atas tadi.

Takbir Raya Aidil Fitri hanya mulai malam Hari Raya sehingga sebelum solat Aidil Fitri sahaja.Takbir untuk Aidil Adha mulai malam raya (10 Zulhijjah) sehingga selepas Solat Asar hari 13 Zulhijjah
.

Cara-cara menyambut Hari Raya ini semuanya telah ditunjukkan dan dijelaskan oleh baginda di dalam hadis-hadisnya
. Tetapi di negara kita keadaannya menjadi sebaliknya, Hari Raya Puasa pula yang lebih meriah dan lebih panjang pula masa menyambutnya. Kelainan tersebut ditakuti dicampuradukkan dengan aktiviti bid-ah bersamanya.

Keadaan ini nampaknya menjadikan kita terpanggil untuk menilai semula cara-cara kita menyambut Dua Hari Raya ini bagi mengenalpasti aktiviti yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah.s.aw. dengan itu dapatlah kita mengabaikannya pada masa akan datang.


Cuba baca di sini. Apa pula pendapat orang lain,


#####

Allah berfirman dalam surah An.Nisak ayat (59) yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul dan orang-orang yang menguruskan pekerjaan dari kalangan kamu.Jika kamu berbantah-bantah tentang suatu (perkara), hendaklah kamu kembali kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan".

#######

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

No comments: