Thursday, September 17, 2009

Ibadat yang tidak mewajibkan bacaan.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Ibadat khas yang tidak mewajibkan bacaan.

Kekadang kita tidak menyedari bahawa terdapat beberapa ibadat khas yang diperintahkan Allah supaya kita menunai dan melaksakannya, ianya tidak mementingkan bacaan atau tiada rukun bacaan, di antaranya ibadat Puasa, Haji, Umrah dan Zakat, keempat-empat ibadat ini hanya mementingkan niat dan perbuatan sahaja.

Sebagai contoh ibadat puasa yang sedang kita lakukan sekarang ini ( Hari ini hari yang ke 27 Ramadan ), tidak memberatkan bacaan atau pengucapan. Rukun puasa hanya niat dan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari, jika kita telah berniat pada malamnya dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang dikehendaki, maka puasa kita sah dan diterima. jikapun ada bacaan seperti membaca lafaz niat, itu semua adalah sunat , perkara wajib dan rukun ialah niat di dalam hati bukan ucapan atau melafazkannya dan tidak merosakkan puasa sekiranya kita meninggalkannya.

Begitu juga ibadat Haji perkara yang amat penting ialah niat mengerjakan Haji dan perbuatan atau mengerjakan tawaf, Sae, berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar di ketiga-tiga jumrah dan bercukur atau bergunting rambut, Semua perkara tersebut adalah perbuatan bukannya bacaan.
Bacaan yang terdapat ketika mengerjakan Haji adalah sunat sahaja. Membacanya akan menambahkan pahala, tidak membacanya tidak menjejaskan ibadat Haji, iaitu Ibadat Haji masih sah.
Manakala Umrah memerlukan niat mengerjakan Umrah, kemudian mengerjakan tawaf, Sae dan bercukur atau bergunting beberapa helai rambut sahaja. juga tiada rukun bacaan. selain daripada niat semua pekerjaannya adalah perbuatan. Bacaannya sekadar sunat sahaja.

Demikian juga ibadat Zakat, kewajipan mengeluarkan Zakat memerlukan niat dan harta yang diwajibkan Zakat dan penerimanya iaitu asnaf , lapan golongan yang telah ditetapkan mengikut hukum Fiqah.
Ucapan-ucapan lain hanya diperlukan kerana urusan komunikasi di antara pemberi dan penerima zakat sahaja.


Ibadat yang dilakukan tanpa diindahkan dan dikukuhkan dengan amalan sunat seumpama rumah tanpa perabot di dalamnya, rumah tersebut masih sempurna tetapi kurang indah dan ceria, nilainya juga tidak melonjak tinggi, sekiranya dilengkapkan dengan perabot tentulah kelihatan lebih cantik dan indah, begitulah juga ibadat ianya perlu dilengkapkan dengan amalan sunat, barulah ibadat kita lebih bermakna lagi.

Kalau nak sambung baca lagi, bacalah atau di sini.


Sekian .Wallahu aklam. Wassalam.

2 comments:

Mak Su said...

puasa dan zakat mmg istimewa, tapi mementingkan keikhlasan hati. adakah posa utk menunjuk2? utk dietkan badan yang ada xtra? utk lebih seronok tika raya kelak? etc etc

zakat pula, adakah utk mengelakkan cukai? adakah utk showoff?

mudah tapi tak mudah, tepuk dada tanya selera

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Semua ibadat memerlukan ikhlas iaitu melakukannya semata-mata kerana Allah, kerana patuh perintah Allah, tiada udang disebalik batu.

Sebab itulah Islam menuntut kita memahami Iman , Islam dan Ihsan.

Membuat sesuatu ibadat secara sembunyi sehingga siapapun tidak mengetahuinya pun, mungkin tidak tepat juga kerana kita disuruh berdakwah iaitu menyebarkannya kepada orang lain.

Apapun hati perlu dikontrol supaya tidak keluar dari landasan ikhlas.