Tuesday, September 29, 2009

Bolehkah berbuka puasa sunat Syawal apabila sanak saudara menziarahi kita.


Salam Semua.

Entri ini masih berputar di sekitar bersembang-sembang mengenai puasa dan raya, ianya bukanlah suatu tazkirah untuk anda . Sebaliknya suatu pandangan dan pendapat peribadi sahaja, kalau anda tidak setuju dengannya itu adalah hak anda kerana blog ini diwujudkan untuk menyampaikan maklumat dan pandangan penulisnya kepada umum maka ditulisnyalah pandangan ini untuk dibaca dan ditegur atau ditambah murnikannya.

Sering dibincangkan persoalan bolehkah berbuka puasa sunat Syawal apabila dikunjungi tetamu ke rumah untuk membolehkan kita melayani tetamu dengan lebih selesa lagi atau sebagai menghormati tetamu. Jawapnya tentulah boleh kerana puasa itu hanya sunat sahaja, malah kalau tidak berpuasa langsungpun masih boleh.

Persoalan kita di sini bukan soal boleh buka atau tidak. Persoalannya siapakah pengunjung itu, adakah mereka tidak terikat dengan suruhan berpuasa sunat pada bulan Syawal itu, kalau mereka itu orang Islam sudah tentu mereka juga terikat dengan suruhan tersebut, jika mereka tidak berpuasa sunat dan memilih untuk menziarahi sanak saudara, bermakna mereka memilih yang tidak afdal atau pilihan mereka bukan yang terbaik. Sebaliknya tuan rumah tadi berpuasa sunat dan memilih yang terbaik dan afdal. Jadi munasabahkah berbuka puasa kerana melayani orang yang memilih tawaran yang kurang baik. Pada hal mereka juga di bawah perintah yang sama dan terikat dengan saranan yang sama supaya berpuasa sunat Syawal.

Mungkin lebih baik berpuasa sunat dan menziarahi sanak saudara dengan cara itu tidak akan menyusahkan sesiapa, peruntukan masa untuk makan itu bolehlah berbual-bual mengenai perkara-perkara yang berfaedah, kalau terdapat peti TV di ruang tamu eloklah dimatikan siarannya dahulu kerana kehadiran tetamu bukan untuk menonton TV di rumah kita, mungkin tidak sesuai berpuasa kalau menziarahi sanak saudara yang jauh melebihi dua marhalah kerana tindakan seperti itu akan meletihkan ketika dalam perjalanan. Kalau ziarah itu di daerah yang sama rasanya tidak menjadi masalah untuk meneruskan puasa.

Ibadat yang mana satukah yang hendak diangkat atau hendak diutamakan, berziarah atau berpuasa sunat, berziarah masanya boleh dilakukan sepanjang tahun, manakala puasa sunat Syawal hanya 6 hari sahaja tempoh tawarannya yang paling afdal.

Ramai di kalangan kita sering memberi alasan berpuasa pada awal bulan Syawal itu sebagai menunjuk-nunjuk atau mempamerkan akhlak baik kepada orang lain,
sedangkan orang lain itu pula berhari raya. Alasan ini sebenarnya tidak berasas kerana mereka yang berpuasa mulai 2hb. Syawal itu adalah mereka yang menepati dan mematuhi agenda Syawal yang ditunjukkan oleh Rasulullah.s.a.w.
iaitu;

1. Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan.
2. Berhari Raya pada 1hb. Syawal.
3. Berpuasa sunat Syawal pada 2hb. sehingga 7hb.Syawal.
4. Berhari Raya pada 8hb.Syawal dan hari-hari seterusnya.

Pilihan yang tersebut di atas adalah yang terbaik dan afdal. Apapun terpulanglah kepada niat seseorang yang melakukan ibadat itu. Jangan pula kerana takut dikatakan menunjuk-nunjuk maka ditinggalkan ibadat yang istimewa itu, tuduhan atau anggapan begitu bukanlah terbit dari pemikiran mereka yang berilmu ataupun hanya sepintas lalu sahaja tanpa semakan kali kedua untuk mengesahkan hujah tersebut.

Menyediakan perabot mewah dan hiasan lain khusus untuk menyambut Hari Raya pada setiap tahun, mungkin lebih munasabah untuk dicap sebagai menunjuk-nunjuk kerana persediaan itu tiada di dalam agenda menyambut raya dan Syawal sedangkan berpuasa sunat Syawal adalah agenda selepas berhari raya atau selepas 1hb.Syawal dan amalan itu memang di dalam agenda menyambut Syawal dan diajar pula oleh Islam. Inilah amalan yang sepatutnya diaplikasikan dan dijadikan tradisi masyarakat Islam dan seterusnya disuburkan oleh genarasi pelapis nanti. Amalan yang telah menjadi adat ala berpoya-poya, berpesta , berseronok-seronok atau pengisian sambutan raya yang tidak merujuk kepada sumber yang betul dan sohih dibimbangi akan meniruskan syiar Islam yang hakiki pada masa akan datang . Perbuatan mengurangkan atau menokok tambahkan amalan tertentu memungkinkan berlaku penguncupan, penirusan dan penghakisan terhadap amalan yang sepatutnya.

@@@@@

Rasulullah s.a.w bersabda.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”

@@@@@

Artikel ini sebenarnya tidak serius objektifnya, ditulis semata-mata bertujuan percambahan minda dan pembuka minda sahaja, agar ianya tidak statik dan beku. Diharap ianya menyentuh minda pembacanya dan turut memikirkannya, tanpa berfikir mana mungkin berlaku anjakan atau penghijrahan ke arah yang lebih menepati perintah Allah dan Rasul-Nya..


Sekian. Allah Maha Mengetahui.Wassalam.

5 comments:

Dee said...

sdra leenoh,

puasa sunat 6 dahulukah atau puasa ganti dahulu..bertanya utk lebih memahami..

Dee said...

Salam,

lupa lah..maaf dee ni mmg byk bertanya..

timbul persoalan psl 4 mazhab selepas dee baca artikel kat sini..

http://payakumbuh1.blogspot.com/2009/09/sok-sek-sok-sek.html

lagi satu yg menarik..cuba baca link ini..n nk tya pendapat leenoh ttg artikel yg kuar kt paper singapore tu..

http://vogue-u.blogspot.com/2009/09/i-love-mondays-energy-spill-hari.html

terima kasih sbb lyn kerenah dee..

Mak Su said...

bagi yang telah biasa berpuasa sunat syawal, tentu tidak menjadi isu bagi mereka tentang bab menjamu tetamu tu... bagi orang2 yang masih berjiwa muda, mereka suka puasa sunat during work days, weekend diperuntukkan untuk jamuan or menghadiri jamuan, gitu ler adanya... dan saya masih , err....

Leenoh said...

Salam Dee.

Dahulukan yang wajib, mengkadakan puasa wajib di dalam bulan Syawal tersentuh juga kebaikan Syawal.

Mengenai 4 Mazhab tu sya ada link dalam entri di bawah...sila baca.

Insya Allah saya akan baca blog tersebut.

Sekarang banyak perkara yang mengelirukan dlm internet. nampaknya menunutut kita menghadiri kelas pengajian supaya bila bertemu perkara yang ada kelainan mampu mengatasinya.

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Memang betul kata Mak Su. Orang muda seleranya masya Allah seperti api dengan petrol. hehehe.

Masih suatu keputusan yang baik. Tidak mampu buat semua, tidak ditinggalkan semua.

Buat mengikut kemampuan, Orang muda yang berpuasa Sunat Syawal pada saya mereka itu orang yang cemerlang dan akan lebih cemerlang lagi bila mereka tua nanti.