Wednesday, September 9, 2009

Lain hulu lain parang. Lain dulu lain sekarang.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Lain hulu lain parang.
Lain dulu lain sek
arang.

Pada tahun 60an seingat saya masyarakat Melayu atau masyarakat Islam di Kedah ( tidak pasti di tempat lain ) berbuka puasa dengan kuih-muih. Pada bulan Ramadanlah anak-anak dara pulun belajar membuat kuih kerana sepanjang bulan Ramadan itu setiap petang surirumah atau ibu-ibu mereka membuat kuih untuk hidangan berbuka puasa. Pada zaman itu masyarakat Islam berbuka puasa dengan makanan yang agak ringan dahulu, selepas makan sedikit kuih-muih mereka akan menunaikan solat maghrib.

Selesai sahaja solat maghrib barulah masing-masing duduk bersila mengelilingi hidangan untuk memakan makanan yang lebih berat iaitu nasi dan lauk-pauk yang sederhana hidangannya kerana ketika itu negara kita belum maju seperti sekarang, masing-masing mempunyai pendapatan yang rendah, hanya jarang-jarang sekali sahaja mereka dapat makan lauk daging atau ayam . Walaupun mereka pelihara ayam di dalam kampung tetapi ayam-ayam itu untuk dijual bagi mendapatkan duit belanja harian.

Manakala peluang menikmati juadah kuih-muih hanyalah pada bulan Ramadan, pada masa lain jarang dapat merasainya, kalau adapun pisang goreng, cucur kodok ( jemput-jemput) dan pulut udang atau kuih yang berasaskan pulut itupun sekali sekala sahaja. Keadaan ini berlaku kerana pada ketika itu masyarakat kita hidup di dalam kesempitan, tidak seperti sekarang kuih-muih diperolehi sepanjang masa kerana masyarakat kita telah mempunyai kemampuan untuk membelinya.

Zaman dahulu.

Dikala itu tanaman padi hanya setahun sekali dan mereka yang berkebun getah kehidupannya lebih daif lagi, petani-petani sekurang-kurangnya mereka ada beras untuk dijadikan nasi dan lauk pauknya mereka akan pergi mencari atau menangkapnya di dalam bendang atau sungai. Petani yang miskin akan diberikan zakat padi kepada mereka oleh jiran-jiran yang berkewajipan mengeluarkan zakat 1/10 daripada hasil pendapatan mereka pada setiap musim.

Mereka yang mempunyai tanah yang luas sama ada tanah bendang atau kebun getah, tentulah tiada masalah bagi mereka ini. Mereka ini dikategorikan sebagai orang kaya oleh orang kampung. Orang kaya dimaksudkan ia
lah mereka yang tidak berhutang dengan sesiapa, malah mampu pula memberi hutang kepada orang lain.

Pada zaman tahun 60an kelulusan LCE sudah boleh menjawat jawatan kerajaan sebagai kerani, memasuki Maktab Perguruan atau seumpamanya. Pada masa ini orang Cina dan India belum begitu ramai. walaupun orang Melayu ramai ataupun orang Islam ramai tetapi kehidupan masyarakat Melayu lebih kepada kemelayuan daripada keislaman, di majlis rasmi negara dihidangkan dengan minuman yang dilarang , budaya ini menular sehingga ke institusi pendidikan, di sekolah juga tidak terkecuali, guru-guru mengadakan majlis jamuan selepas sukan juga dihidangkan minuman keras..

Pada akhir tahun 70an barulah gejala ini berkurangan sehinggalah sekarang. Perubahan ini bukanlah datang daripada atas ke bawah tetapi sebaliknya teguran rakyat terhadap pemimpin iaitu daripada bawah ke atas. Walaupun berlaku perubahan di dalam majlis rasmi tetapi masih berlaku di balik tabi
r, maklumlah perbuatan dan amalan itu telah menjadi darah daging sejak sekian lama, mana mungkin berhenti dengan serta merta, perubahan begitu bukanlah suatu perubahan yang ikhlas, yakni bukanlah berubah kerana taatkan Allah, perubahan itu hanyalah perubahan kesan daripada tekanan oleh manusia kepada manusia yang lain sahaja. di rumah-rumah masih terdapat amalannya seperti biasa.

Demikianlah orang barat berjaya menjajah negara kita bukan hanya sekadar menjajah di permukaan bumi negara kita tetapi sehingga ke sanubari dan minda masyarakat kita terutamanya masyarakat atasan Melayu ketika itu. Mereka sangat faham bahawa strategi dan teknik serta kaedah yang paling baik untuk menguasai sesuatu bangsa itu hendaklah dengan merosakkan atau merenggangkan kepercayaan terhadap budaya mereka terutamanya mereka yang menganut Islam.

Dengan memasukkan budaya minum arak di kalangan masyarakat pertengahan dan para pemimpin ketika itu maka senanglah untuk menyekat perkembangan Islam. Kaedah mereka itu berupa serampang banyak mata, apabila masyarakat kita Melayu terutamanya berpecah kepada dua golongan, satu golongan menghayati Islam yang dipelupori oleh alim ulamak yang berpusat di pondok-pondok dan di kampung-kampung pada ketika itu, manakala satu golongan lagi yang terperangkap dengan budaya barat tadi, maka bertembunglah mereka ini di dalam berbagai arena terutama arena politik negara.

Satu golongan mahu kepada kehidupan Islam yang sebenar dan satu lagi ingin bersederhana. Pihak yang ingin mewujudkan kehidupan Islam sebenar menyatakan tidak boleh bersederhana pada perkara wajib, sebagai contoh; wajib solat lima waktu sehari semalam tidak boleh disederhanakan menjadi tiga atau empat sahaja, sederhana perlulah ditaarifkan dengan betul dan tepat. Begitulah juga semua suruhan Allah di dalam al.Quran dan al.Hadis wajib ditunaikan, sama ada di peringkat individu, masyarakat dan negara, kalau kurang tenaga atau kepakaran untuk mengaplikasikannya perlulah diikhtiar dan diusahakan.

Mereka tidak dapat kata sepakat dalam mengatur hidup masyarakat setelah negara merdeka kerana memiliki nilai hidup yang berbeza, hakikat merdeka dari segi fizikal diterima oleh semua pihak tetapi kemerdekaan minda masih dipersoalkan, sama ada minda Islam dan minda barat telah bercampur aduk dan merosakkan atau minda Islam tulen . Perbahasan ini belum berkesudahan walaupun negara kita telah merdeka 52 tahun yang lalu. Mereka mempunyai penyokongnya masing-masing. Dakwah Islam berjalan secara bebas tetapi terdapat juga jalan yang tirus yang menyebabkan cara hidup Islam tidak dapat dijelaskan atau diberi faham sebaik mungkin.

Pada awal tahun 70an ketika saya baru menjadi guru amalan buruk ini masih berlaku terutamanya ketika sekolah mengadakan hari Sukan atau menyambut ulang tahun tertentu seperti Jubli Intan dan seumpamanya. Kekadang kita melakukan kesilapan dalam menaruh harapan seperti mengharapkan peminum arak untuk menghapuskan amalan minum arak di kalangan orang Islam atau mengharapkan orang yang tidak mengamalkan Islam atau tidak menghayati Islam untuk menjaga Islam. Sikap ini menunjukkan kita telah menggunakan fikiran yang berliku-liku atau fikiran yang tidak lurus sifatnya, di hujung sana tentulah akan gagal.

Zaman sekarang.

Pada zaman abad ke 21 ini kita berbuka puasa dengan berbagai makanan dan meno yang terhidang di depan kita kerana Allah telah memberikan rezeki lebih kepada kita berbanding dengan orang dahulu. Ini adalah hasil usaha yang berkesinambungan mereka yang terdahulu. Kepada mereka jangan dilupakan dan sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan mereka setiap hari atau setiap kali lepas solat.

Maka dengan itu kita kini boleh memilih sama ada berbuka dengan kuih-muih terlebih dahulu atau terus sahaja makan nasi berlaukkan yang berbagai jenis itu. Tepuk dada tanya selera di samping tepuk dada tanya iman.


Hanya sekadar ini dahulu.

Sekian. Wassalam.

8 comments:

DrSam said...

Alhamdulillah Pak Ngah, generasi sekarang diberi rezeki yang melimpah ruah oleh Allah S.W.T berbanding generasi terdahulu. Semoga dengan nikmat yang tidak terkira banyak itu, tidak sekali-kali membuat kita lalai dan alpa.

Terbaca kisah ayam tadi, teringat ketika kecil-kecil dulu merupakan hidangan istimewa untuk majlis istimewa sahaja. Lauk harian memang ala kadar aja.

Leenoh said...

Salam Dr.Sam.

Pengalaman mengajar kita jadi cerdik dan insaf.
Rupanya Dr.Sam pun sempat menghidu kehidupan seperti itu. Pak Ngah menghadapinya agak lama juga.
Kalau tidak dingatkan semula mungkin akan terlalai.
Apapun kita bersyukur kpd Allah atas limpah kurnia-Nya itu.

buNga said...

salam..

pakNgah.. dulu sy igt lg... mak abah bile time buke... sape2 anak2 yg x posa x leh buka same org yg pose..

so dorang kena kasi laluan kat yg puasa menikmati juadah yg ade dulu.. maka terkulat2lah sape2 yg x pose.. hehe

tu yg bangkitkan semangat nak puasa ms kecik2.. takut x dpt buke bersame... tp skrg pose ke tak, buke tpp sesame huhu

Leenoh said...

Salam bunga.

Orang tua dulu pandai gak berpsaikologi - mereka tegas dan anak terpaksa ikut, akhirnya menjadi amalan dan budaya yang baik.

Nl said...

salam pak ngah...

syukur kehadrat Ilahi
kerana kita masih ada
sesuatu untuk dimakan... :)

Leenoh said...

Salam Naqeeb.

Sememangnya kita kena sentiasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada manusia kerana kehidupan kita sentiasa dibantu dan mendapat pertolongan.

Selamat Berpuasa.

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Dugaan masa nak bukak posa, sama ada nak solat dulu atau makan main course dulu.. Tak kisah la, asalkan jangan tak solat maghrib. Tapi sebaiknya solat diutamakan.

Leenoh said...

Salam Hani.

Selamat Berpuasa dan semoga sihat walafiat.

Ada juga yang berpuasa tapi tidak bersolat, itulah yang dikatakan puasa umum.

Kalau makan kuih dulu kemudian solat lepas tu baru makan nasi, rasanya ok.

Tapi kalau makan yang berat-berat terus, mestilah tersadai dulu, kemudian baru pergi bersolat.

Orang lain Pak ngah tak tau tapi kalau Pak Ngah itulah jadinya.

Apapun bulan Ramadan ni seronok la Hani.Dah tinggal 10 hari saja lagi..cepatnya.