Monday, August 31, 2009

Proses pembelajaran kanak-kanak berjalan sepanjang masa.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Setiap orang Islam sedia maklum bahawa di dalam bulan Ramadan yang mulia ini masyarakat Islam berlumba-lumba membuat kebajikan , berlebih-lebih lagi pada bulan ini ganjarannya berlipat ganda, oleh itu marilah kita turut serta berlumba-lumba membuat kebajikan ( fastabiqul khairat ). Sembang-sembang mengenai puasa Ramadan kali ini membincangkan secara ringkas mengenai pendidikan kanak-kanak.

Kanak-kanak dilahirkan umpama kain putih , ibu bapa atau penjaganyalah yang akan mencorakkan kehidupan masa hadapan mereka .
Pada ketika kain putih inilah ibu bapa atau penjaga seharusnya membuat perancangan yang rapi dan berhati-hati dalam menyediakan peluang pendidikan mereka.
Sebagai orang Islam kita wajib mengutamakan pendidikan aqidah bagi mengiringi hidup mereka di samping pendidikan lain yang berjalan secara serentak dan bersepadu keduanya.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Anak dilahir dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang menentukan sama ada anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” – (Sahih Bukhari)

Ibu bapa perlu mengambil berat mengenai penghayatan akhlak Islam anak-anak mereka. Jangan membiarkan atau mengharapkan penghayatan itu berlaku dengan sendirinya apabila anak-anak dewasa nanti. Jika dibiarkan sikap yang salah ini tumbuh dengan suburnya akan wujudlah nanti kumpulan remaja dan seterusnya menjadi dewasa dalam keadaan yang tidak terdidik yang menyebabkan masyarakat menjadi kucar kacir tanpa pegangan aqidah yang pasti dan kukuh. Pembangunan insan akan turut terjejas dan terkandas. Mendidik anak-anak adalah suatu tugas yanng berat dan susah, ianya memerlukan kesungguhan, kemahiran dan istiqamah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” –
(Surah al-Ankabut, ayat 45)






Kanak-kanak belajar sepanjang masa.
Proses pembelajaran kanak-kanak berjalan sepanjang masa, mereka hanya berehat ketika tidur sahaja.




Proses ini berlaku melalui permainan atau ketika mereka melayan perasaan ingin tahu yang tersemat di dalam jiwa mereka. Mereka sedar bahawa mereka perlu menambahkan pengetahuan dan perkataan setiap saat supaya mereka dapat menyusuaikan diri dengan kehidupan nanti. Ini adalah bekalan pendidikan awal yang Allah takdirkan tabiat mereka ketika kanak-kanak lagi. Penambahan ilmu mereka yang seterusnya terletak di atas tanggungjawab ibu bapa mereka. Kesinambungan proses pembelajaran dan pendidikan ini memerlukan perancangan yang teliti dan cermat.

Sekian dahulu sekadar pembuka minda di bulan yang mulia Ramadan al.Mubarak.





Sekian.Wassalam

Sunday, August 30, 2009

Informasi ringkas mengenai Zakat Fitrah 1430/2009.


Beras- makanan asasi.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Sekadar informasi ringkas untuk mereka yang memerlukannya dan meraikan SMS sahabat lama saya Hj. Saad Sg.Layar.SP yang menyesorkan supaya menulis tajuk ini. Juga dalam usaha ke arah mendapatkan keredaan Allah. Semoga kita akan sama-sama memperolehinya.

Zakat Fitrah ialah Zakat Badan yang diwajibkan kerana tamatnya bulan Ramadan dan wajib dikeluarkan mengikut syarat-syaratnya yang tertentu yang telah ditetapkan oleh Allah Taala.

Diwajibkan pada tahun yang sama dengan kefarduan puasa Ramdan iaitu pada tuhun 2 hijrah. Zakat harta dikeluarkan bertujuan menyucikan harta, manakala Zakat Fitrah dikeluarkan untuk menyucikan diri atau badan yang terdapat padanya dosa. Selain daripada Zakat Fitrah, zakat ini dikenali juga sebagai Zakat Badan.

Dalam hadis riwayat Ibnu Umar:

“Rasulullah S.A.W telah mewajibkan zakat Fitrah pada bulan Ramadan pada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki, perempuan dan kaum Muslimin.”

Syarat-syarat Wajib Zakat Fitrah.

  1. Mestilah ia seorang Islam dan Merdeka.
  2. Mempunyai harta lebih daripada keperluan perbelanjaanya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.
  3. Wajibnya zakat Fitrah itu ialah setelah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan.
  4. Hidup di dalam bulan Ramadan dan bulan Syawal walaupun sebentar..
Ulasan:

orang Islam yang sempat hidup di dalam bulan Ramadan dan bulan Syawal walaupun sebentar . (wajib Zakat Fitrah). Mereka itu seperti Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari. ( wajib Zakat Fitrah ) dan mereka yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya (wajib Zakat Fitrah).


Waktu-Waktu Membayar Zakat Fitrah:
  1. Waktu Yang Dibolehkan iaitu dari awal Ramadan sehingga hari akhir bulan Ramadan.
  2. Waktu Wajib iaitu selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan.
  3. Waktu Afdhal iaitu selepas sembahyang subuh pada hari akhir Ramadan sehingga sebelum mengerjakan solat sunat Aidil Fitri.
  4. Waktu Makruh iaitu selepas solat sunat Aidil Fitri sehingga tibanya Waktu Maghrib (iaitu sebelum terbenam matahari).
  5. Waktu Haram iaitu selepas terbenam matahari pada Hari Raya Aidil Fitri.
Kadar Zakat Fitrah.
  1. Kadar bayaran mengikut cara asal ialah segantang Baghdad makanan asasi seperti beras atau
  2. Kadar mengikut timbangan 2.27 kilogram (bersamaan segantang Baghdad).
  3. Nilai ringgit mengikut kadar sekarang – RM7.00 bagi tahun 1430H/ 2009M ( Kedah/Selangor - sila rijuk ketetapan yang telah diputuskan oleh negeri masing-masing )
Nota Peringatan:
Kadar zakat Fitrah akan berubah dari semasa ke semasa bagi mereka yang mengeluarkan Zakat Fitrah menggunakan wang bagi menggantikan beras iaitu mengikut harga beras semasa ( makanan asasi) yang akan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
Jika mengeluarkannya dengan beras ( makanan asasi ) sukatan atau timbangannya tidak berubah.

Lafaz Akad / niat ketika mengeluarkan Zakat Fitrah.
  1. Bagi Diri Sendiri:
    "Inilah beras fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini kerana Allah Taala" , jika tidak dikeluarkan dengan beras. sebaliknya jika menggantikannya dengan wang niatnya seperti berikut - "Inilah wang bagi menggantikan Beras Fitrah yang wajib bagi diriku pada Tahun ini kerana Allah Taala’.
  2. Bagi Diri Sendiri dan Tanggungan:
    "Inilah beras fitrah yang wajib bagi diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Taala" , jika dikeluarkan dengan beras. Sebaliknya jika digantikan dengan wang niat seperti berikut "Inilah wang bagi menggantikan Beras Fitrah yang wajib bagi diriku dan tanggungan pada Tahun ini kerana Allah Taala’.
  3. Mengeluarkan Zakat Fitrah bagi pihak orang lain: (wakil)
    "Inilah beras fitrah yang wajib bagi .............(sebutkan nama)......................pada tahun ini yang diwakilkan kepadaku kerana Allah Taala." jika dikeluarkan dengan beras. sekiranya tidak dikeluarkan dengan beras tetapi digantikan dengan wang lafaznya seperti berikut: "Inilah wang bagi menggantikan Beras Fitrah yang wajib bagi …………(sebutkan nama)……… pada Tahun ini yang diwakilkan kepadaku kerana Allah Taala".

Orang Yang Berhak Menerima Zakat Fitrah

Firman Allah Ta’ala :

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ

وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang – orang fakir dan orang-orang miskin dan a’mil-a’mil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah dan (ingatlah) Allah amat mengetahui lagi amat bijaksana". Surah At-Taubah Ayat 60).


Dicerakinkan seperti di bawah ini:

1. Orang faqir.

2. Orang miskin.

3. Amil ( orang yang dilantik untuk menguruskan kutipan zakat ).

4. Muallaf ( Orang yang baru memeluk Islam, mereka ini perlu dijinakkan hati mereka supaya sayangkan Islam dan kekal di dalam Islam )

5. Hamba yang ingin memerdekakan dirinya.

6. Orang yang berhutang. ( ia hutang yang banyak melebihi harta yang dimilikinya, hutang itu berlaku kerana perbelanjaan nafkah atau perbelanjaan pada jalan Allah )

7. Fisabilillah ( pada jalan Allah )

8. Orang musafir. ( orang musafir yan g bertujuan baik dan kehabisan belanja ) .

Jangan Keliru:

Anak yatim tidak termasuk di dalam golongan yang berhak menerima Zakat atau Zakat Fitrah melainkan anak yatim berkenaan adalah orang faqir atau miskin barulah termasuk di dalam golongan mereka yang berhak atau boleh menerima zakat.

Jangan keliru kerana terdapat anak yatim yang kaya atau banyak harta yang diwarisinya daripada harta peninggalan ibu bapa mereka. Walinya diperintahkan supaya menguruskan harta anak yatim itu dengan adil dan dilarang memakan harta anak yatim melainkan dengan cara yang halal dan adil.

Orang yang berhak menerima Zakat itu perlu kita teliti kerana Zakat yang diberikan kepada orang yang tidak berhak atau tidak layak menerimanya akan menyebabkan Zakat Harta atau Zakat Fitrah kita itu tidak sah.


Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

Saturday, August 29, 2009

Terkenang masa dulu



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Dalam entri yang lepas saya telah menceritakan mengenai ais ketul yang dibalut dengan serbuk papan oleh peniaga air batu di tepi jalan atau di tepi simpang-simpang tempat laluan ramai. Pada entri ini saya akan menceritakan pula mengenai kisah-kisah dahulu yang setengahnya telah dilupai orang. Pada zaman saya masih bersekolah dahulu iaitu ketika di peringkat menengah saya d
an kekawan mengayuh basikal sejauh 6 km daripada rumah ke Pekan Langgar yang terletak 6 km jaraknya daripada pekan tersebut. Dari sini saya bersama kekawan menaiki bas ke bandar Alor Setar lebih kurang 8 km dengan tambang sebanyak 25 sen, dari bandar Alor Setar sekali lagi menaiki bas ke sekolah , perkhidmatan bas dari Alor Setar untuk laluan ke kampung kami ketika itu hanya setakat Pekan Langgar sahaja dan perjalanan bakinya terpaksalah kami menaiki basikal, Basikal yang saya tunggangi ditumpangi oleh seorang kawan setiap hari kerana basikal itu sebenarnya kepunyaan beliau tetapi disebabkan beliau tidak mahir menunggang basikal maka diserahkan kepada saya untuk mengendalikannya dan sama-sama mendapat faedahnya. Agak perit juga pada bulan Ramadan menunggang basikal sejauh itu berlebih-lebih lagi dalam keadaan berpuasa dan terdapat pembonceng pula dibelakang.

Pada akhir tahun 60an barulah perkhidmatan bas RIDA ( MARA ) diadakan tetapi ketika itu jalan masih belum diturap dengan tar lagi, jalam masih berkeadaan tanah merah dan berdebu,kekadang debu menyelimuti seluruh badan bas, budak-budak nakal menulis berbagai tulisan di dinding bas tetapi tulisannya disekitar perkataan biasa sahaja kalau ada yang lucah pun tidaklah begitu banyak. Kami memberi gelaran kepada bas itu dengan gelaran Bas Tayammum. Pada mulanya hanya bas pendek sahaja kemudian barulah bas panjang yang muatannya untuk 40 orang tetapi kekadang dimuatnya sekali ganda, namun demikian tiada siapapun mengadu kerana mungkin mereka merasai nasib mereka serupa iaitu kekurangan bas. Kalau mengikut peraturan sepenuhnya akan ada perkara yang tidak beres jadi semua orang TST ( tahu sama tahu ).

Kekadang ibu memberi pula wang yang lebih untuk membeli ikan segar di pekan langgar dalam perjalanan balik dari sekolah nanti, pada zaman itu ikan kembung atau pelaling 1o atau 15 ekor hanya 10 atau 15 sen saha
ja, manakala ikan terbuk hanya 10 sen seekor. Pada ketika itu membeli ikan kembung atau pelaling akan dipandang rendah oleh kekawan, mereka akan perli dengan bertanyakan " beli ikan kembung nak buat baja pokok pisang ka ? " untuk mengelakkan kena perli, ikan yang dibeli itu akan balut litup sehingga tidak kelihatan, penjual tidak membalutnya, ketika itu ikan yang dijual tidak dibalut tetapi dicucuk hidungnya dengan tali yang keras atau dikarang dengan tali seperti karangan bunga dan dibiarkan terdedah begitu sahaja, jadi saya terpaksalah menyediakan kertas surat khabar sendiri. Demikianlah cerita dahulu mengenai ikan kembung, sekarang sekilo RM9.00, kalau ikan bawal dan ikan terbuk tentulah lebih mahal lagi.
Petani-petani hanya sekali sekala sahaja menjadikan ikan laut sebagai hidangan harian mereka, mereka sering mencari ikan di dalam petak sawah, di dalam sungai atau taliair di kampung mereka sebagai hidangan tengah hari atau malam. Beras dan sayuran di tanam sendiri, terdapat juga sayuran yang terpaksa dibeli, mungkin ini bagi mereka yang mempunyai wang dan inginkan kelainan.

Alatan yang kerap digunakan untuk menangkap ikan oleh orang kampung saya ialah pelompat, jala, serkap, bubu, tuwak, penila, serampang, tangkul, memancing dan menahan taut (juga menggunakan kail ). nama-nama itu kebanyakkannya istilah tempatan.

Saya mempunyai sedikit pengalaman menangkap ikan secara menggunakan serkap dan juga lain-lain kaedah, di sini saya hanya ingin menceritakan kaedah menggunakan serkap. Ada dua kaedah menangkap ikan dengan menggunakan serkap ini. Salah satunya dengan cara serkap mengikut nasib iaitu kalau menyerkap itu kena pada ikan maka dapatlah ikan itu atau berhasillah serkapan itu. Cara kedua dengan berjalan meranduk di dalam air sambil melihat ikan berlari kerana gangguan tersebut, apabila nampak ikan berlari maka penangkap ikan akan mengejar ikan itu dan dengan serta merta menyerkap ikan tersebut berpandukan gelumbang air, kesan daripada rempuhan ikan itu tadi. ( lokasinya di dalam bendang ). Biasanya ikan yang ditangkap secara ini kebanyakannya ikan keli, haruan dan sepat, mungkin ikan sahaja yang banyak terdapat di dalam sawah.


Walaupun ikan keli itu berduri atau bersengat dan bisa pula, namun begitu kebiasaannya petani tidak menggunakan sarung tangan semasa menangkapnya sama ada ketika ikan itu terperangkap di dalam serkap atau di mana-mana penangkapan yang mereka lakukan, agaknya kerana alah bisa tegal biasa.

Kekadang bulan Ramadan kebetulan jatuh pada musim menuai atau hampir menuai, seetengah petak padi yang belum dituai masih mempunyai air tetapi agak cangkat atau sedikit, iarnya pula jernih, pada waktu malam petani akan menyuluh ikan di celah-celah pokok padi yang telah menguning , petani akan berjalan di sepanjang tepi-tepi batas sawah atau bendang, setelah melihat ikan yang sedang berenang di dalam air yang jernih itu mereka akan menggunakan serampang dua mata untuk menangkapnya. Mencari ikan cara ini sangat menyeronokkan tetapi perlu ada keberanian, maklumlah pada waktu malam pula, bertambah pula pokok padi pada zaman dahulu jauh lebih tinggi daripada pokok pada sekarang ini, ketinggian pokok padi zaman dahulu mencapai 4 atau 5 kaki.

Entri ini ditangguhkan dahulu ...akan dimurnikan kemudian.
Sekian.Wassalam.

Thursday, August 27, 2009

Kita merancang Allah pun merancang. Perancangan Allah adalah yang terbaik.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Sebelum kedatangan bulan mulia Ramadan al.Mubarak saya merancang akan menunaikan solat terawih di masjid qariah saya sendiri dan sekali sekala akan ke Masjid Negeri Shah Alam, setakat hari ini baru dua kali ke masjid Bt.3 dan belum lagi ke Masjid Negeri di Bandar Raya Shah Alam kerana terpaksa menolong menjayakan solat terawih di taman tempat kediaman sendiri. Di taman ini sebenarnya tiada surau didirikan oleh itu untuk bulan Ramadan ini Persatuan Penduduk telah berusaha mendapatkan sebuah rumah kosong untuk dijadikan tempat mendirikan solat sepanjang bulan Ramadan ini. Dengan jasa baik dan bermurah hatinya tuan rumah tersebut maka penduduk di sini pun dapatlah menggunakan salah sebuah rumah kosong untuk mendirikan solat yang dimaksudkan itu.

Tiba-tiba sahaja pada suatu malam saya menerima sms daripada salah seorang AJK Persatuan Penduduk meminta saya mengimamkan solat tersebut selama dalam bulan Ramadan ini. Tiada alasan untuk tidak bersetuju, jadi saya membuat pengakuan bersetuju dengan permintaan tersebut tetapi dengan syarat bukan sepanjang Ramadan sekali sekala perlulah ada penggantinya. setakat ini hanya ada seorang pengganti, keinginan saya untuk sekali sekala ke masjid itu masih tertanam di dalam hati kecil, sekarang pun telah rasa rindu dengan kekawan di sana, setakat ini mereka belum mengetahui kenapa saya tidak ke masjid. demikianlah manusia hanya merancang tetapi perancangan Allah akan mengatasi segala-galanya. Sekiranya perancangan kita sama seperti apa yang dirancangkan oleh Allah untuk kita , maka barulah perancangan kita itu berjaya. Perancangan Allah adalah yang terbaik oleh itu saya reda dengan apa yang telah dan sedang berlaku terhadap saya.

Keinginan ke masjid adalah kerana tarikan imam hafiz mengimamkan solat terawih sama ada di masjid qariah saya sendiri atau di masjid negeri kedua-duanya diimamkan oleh imam yang menghafaz al.quran (hafiz). Berimamkan atau menjadi makmum kepada hafiz sudah tentu kita akan dapat mempelajari sesuatu mengenai bacaan al.Quran. Insya Allah saya akan cuba pergi juga ke masjid walaupun tidak dapat pergi sekerap yang dirancangkan sebelum ini.

Demikianlah kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukannya.

Entri ini ditangguhkan buat sementara waktu.........insya Allah akan disambung semula.



Sekian. Wassalam.

Cerita dulu-dulu.

Air Zam-zam.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Hari ini hari keenam kita berpuasa, lagi empat hari agaknya selesailah zon rahmah iaitu suatu kurniaan Allah yang dikhaskan untuk bulan Ramadan, sudahkah anda menimbang berat badan anda, agaknya dah ringan sedikit, kalau berlaku begitu bermakna anda semakin sihat dan semakin selamat.

Rasanya dalam bulan Ramadan ini hidup kita lebih berdisiplin dan dapat mengikut jadual dengan baik berbanding dengan bulan-bulan lain terutamanya ketika berbuka puasa, jika lewatpun hanya beberapa saat sahaja, sebaliknya lebih kerap berbuka pada masa yang tepat, dua tiga minit belum waktu berbuka semua sudah berada di meja makan, tidak perlu dijemput-dijmeput atau dipanggil-panggil untuk makan atau berbuka puasa, demikianlah puasa mengajar dan mendidik kita, berlebih-lebih lagi berbuka tepat pada masanya itu akan mendapat ganjaran pahala yang lebih pula, nampaknya banyak perkara yang kita lakukan ketika kita berpuasa ini lebih memberi keuntungan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Semua orang gembira dan ceria ketika berbuka puasa, berlebih-lebih lagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Pada zaman dahulu ketika peti ais belum menjadi kegunaan ramai di setiap rumah seperti sekarang, di dalam bulan puasa seperti ini ais ketul akan dijual di tepi-tepi simpang laluan ramai pada jam 5.00 petang tersedialah satu dua bantal ais ketul atau air batu untuk dijual kepada orang ramai. ketul ais itu akan dibaluti dengan serbuk kayu gergaji ( serbuk papan ) yang diambil dari kilang papan berhampiran. ketul ais dibalut untuk melambatkan proses kececairannya sekurang-kurangnya dapat pertahan sehingga waktu berbuka, tindakan itu dilakukan oleh penjual ketika penjual menjualnya kepada pelanggan mereka akan membalut ketul ais itu dengan kertas surat khabar dan dialas dengan serbuk gergaji tersebut tetapi alasnya tidaklah begitulah tebal, apabila sampai di rumah pembeli terpaksa mengorek lubang dan ditanam di dalam tanah buat sementara waktu sehinggalah hampir waktu berbuka, setelah hampir waktu berbuka barulah ketul ais yang ditanam itu dikeluarkan untuk dibancuh bersama dengan pati sirap, air bali atau seumpamanya untuk dijadikan minuman waktu berbuka.

Biasanya cuaca di dalam bulan Ramadan 40 -50 tahun dahulu sangatlah panas berbanding dengan sekarang, tanah sawah menjadi merkah sehingga boleh dimasukkan jari dan keadaan itu juga membolehkan kanak-kanak bermain bola di dalam bendang, dibuang dan dibersihkannya tunggul-tunggul padi atau jerami untuk dijadikan padang bolasepak. Pada ketika itu telaga atau perigi kegunaan harian pun menjadi kering kontang, perkhidmatan air paip atau air pili belum wujud, ketika ini Leenoh masih kanak-kanak lagi, ketika tengah hari di antara jam 1.00 sehingga 3.00 petang orang yang berpuasa akan terasa amat dahaga sekali. Pada suatu hari ketika Leenoh baru belajar berpuasa , semasa perjalanan berjalan kaki balik dari sekolah yang jaraknya hampir dua kilometer dari rumah ketika cuacanya panas terik , apabila sampai sahaja di telaga yang terletak tidak jauh dari rumah, Leenoh tidak boleh menahan dahaganya lagi dan tidak mampu lagi meneruskan puasanya , lantas beliau mendapatkan air telaga itu dan diminumnya beberapa teguk sehingga melegakan tekaknya, pada ketika itu Leenoh berseorangan, kawan-kawan yang lain semuanya telah menyimpang atau membelok ke arah jalan yang menuju ke rumah masing-masing, maklumlah rumah di kawasan sawah keadaannya tidak tersusun ianya berpulau-pulau dan rumah-rumah itu pula didirikan mengikut tapak tanah masing-masing.

Perbuatan Leenoh itu hanya Allah sahaja yang melihatnya. Setelah sampai di rumah beliau mendiamkan diri sahaja dan peristiwa itu beliau tidak menceritakannya kepada sesiapapun, selepas itu beliau meneruskan perlakuan puasanya dengan menahan makan dan minum sehinggalah sampai waktu berbuka dan akhirnya beliau makan bersama-sama keluarga yang berpuasa, seolah-alah puasanya belum batal lagi, Sambil makan sambil beliau teringat peristiwa minum air di telaga tadi, rasa menyesal bermain-main di kepalanya kerana puasa hari itu telah rosak dan pecah dipertengahan jalan, adik-adik masih kecil, mereka belum belajar berpuasa lagi, agaknya beliau menjaga maruah kot hehehe. sebab itu beliau tidak memceritakan kisah itu kepada sesiapapun. Setelah puluhan tahun barulah beliau menceritakan kepada dunia maya ini....cerita dulu-dulu.

Sampai di sini entri ini ditangguhkan buat sementara waktu.........insya Allah akan disambung.



Sekian.Wassalam.

Wednesday, August 26, 2009

114 resipi masakan dihafaz, cuma sebahagian kecil sahaja digunapakai untuk masakan harian.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Apakah akan terjadi kepada resipi yang dihafaz oleh seorang chef sekiranya sebahagian besar daripada resipi hafazannya ( hafalannya) tidak digunapakai untuk masakan harian di restorannya, mungkinkah orang akan mengatakan chef tersebut miskin ilmu masakan dan tidak mampu mempelbagaikan masakannya atau bukan chef yang bertauliah. Rasanya kemungkinan ke arah tanggapan demikian akan berlaku terhadap dirinya. Walaupun beliau menghafaz sehingga ke tahap 114 resipi dan sering memaparkan artikelnya di dalam majalah masakan terkenal sekalipun kerana resipi masakan itu bukan hanya sekadar untuk dihafaz atau dingat sahaja tetapi yang lebih penting adalah untuk dimasak , kemudian dimakan oleh orang ramai supaya mereka mendapat manfaat daripadanya terutamanya dari segi kesihatan badan dan minda. Menghafaznya sahaja tanpa merealisasikannya di dalam kehidupan sebenar tentulah akan merugikan dan mengurangkan faedahnya. Malah melakukan kerja yang sia-sia dan membuang masa sahaja.

Semua ayat di dalam perenggan di atas dirangkumkan menjadi suatu perumpamaan atau bandingan bagi kita orang Islam yang membaca dan menghafaz al.Quran tetapi tidak mengamalkan atau menghayati sepenuhnya isi kandungannya sama ada di peringkat individu, masyarakat dan juga negara. Apakah maknanya kalau kita bersungguh-sungguh belajar berenang secara teori dan tidak pernah berenang di dalam kolam atau di dalam air yang dalam. Akan berlaku seseorang itu pandai menceritakan secara teori cara-cara berenang atau kaedah berenang tetapi tidak pernah berenang pun. Sekiranya dicampak ke dalam sungai yang airnya dalam tentu sekali beliau akan mati lemas. Ini juga suatu perbandingan kepada pembaca al.Quran yang telah berkhatam berpuluh kali tetapi tidak mengetahui makna dan tafsirannya, jika keadaan ini berlaku bagaimanakah seseorang itu dapat melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Adakah sikap ini betul terhadap suruhan Allah supaya kita membaca al.Quran. Untuk apakah al.Quran disuruh baca, bukankah untuk melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan serta mendapatkan teori yang banyak terkandung di dalamnya untuk dikaji atau seumpamanya.

Adakah terjawap apa yang disarankan di dalam al.Quran, sekiranya pembaca hanya setiap kali membaca al.Quran, cukup atau memadai mengambil al.Quran dan membacanya sehingga tempoh masa tertentu, kemudian berhenti membaca dan menutup al.Quran dengan tertib dan menyimpan di tempat yang sesuai. kemudian diulang lagi membaca pada setiap Ramadan atau pada masa yang lain dengan langkah yang sama tanpa mempedulikan dan memahami isi kandungannya. Al.Quran adalah ayat-ayat Allah, atau perkhabaran daripada Allah atau kalam Allah kepada manusia, malaikat dan jin syaitan di dalamnya terkandung suruhan, larangan dan lain-lain panduan untuk dimanfaatkan oleh manusia, kalau hanya membaca ibarat seperti burung kakak tua yang mengeluarkan suara atau pengucapan tetapi diri sendiri tidak mengetahui apapun yang diucapkannya.

Nampaknya pradigma terhadap pembacaan al.Quran perlu dianjak ke hadapan untuk beberapa langkah lagi. Al.Quran perlu diseminarkan dan didiskusikan kandungannya satu persatu dan bagi mereka di peringkat awam perlu membaca terjemahannya bersekali dengan matannya ( ayatnya ) supaya mereka memahami apa yang terkandung di dalamnya. sekurang-kurangnya memahami secara umum, dengan cara ini barulah mereka dapat menjiwai al.Quran atau mendarah dagingkannya di dalam tubuh badan masing-masing.

Ulamak memperjelaskan isi kandungan al.Quran melalui Kitab Tafsir, Kitab Tauhid dan Kitab Fiqh serta Kitab Tasauf, mempelajari buku atau pelajaran tersebut , itulah sebenarnya mempelajari kandungan al.Quran atau mengaji ( mengkaji ) isi kandungan al.Quran untuk dilaksanakan perkara yang disuruh Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang-Nya kerana semua kandungan kitab-kitab tersebut adalah berdalilkan al.Quran dan juga al.Hadis ( as.Sunnah).

Kesimpulannya:
Semua ayat-ayat atau lafaz-lafaz atau teori-teori atau isi kandungan yang terdapat di dalam al.Quran adalah untuk diamal, dihayati, direalisasi dan dipraktikkan di dalam kehidupan manusia sama ada di peringkat individu atau di peringkat masyarakat atau negara. Inilah yang dimaksudkan siratal mustaqiim., jalan kehidupan yang lurus. Inilah juga panduan yang membawa manusia mencapai kesejahteraan sama ada di dunia atau di akhirat. kita sebagai orang awam wajib menghayati sekadar upaya kita terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat di persekitaran kita. Manakala para pemimpin sewajarnya lebih baik amalan mereka berbanding dengan masyarakat bawahan sehingga amalan mereka itu mampu menjadi teladan dan mereka berkewajipan pula memastikan anak buahnya mengamal dan menghayatinya kerana pemimpinlah guru yang tertinggi dan berkuasa di sesebuah negara. amanah ini adalah amanah yang diamanahkan Allah kepada mereka.

Sekian. Wallahu aklam.Wassalam.



Sekian.Wassalam.

Puasa Hari Ke - 5 - Suatu penilaian.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Pejam celik , pejam celik, masa pun berjalan tanpa sedikitpun berhenti, tanpa sedikitpun bertolak ansur, ianya berlalu kekadang terasa seperti kejam, kekadang terasa indah dan amat berharga sekali. apapun semua manusia menyedari itulah hakikat masa sejak azali lagi menjalankan tugasnya tidak pernah mungkir tetapi manusia seperti sedia maklum mereka sentiasa lupa dan lalai, walaupun diberi gelaran an-nas (pelupa) oleh Allah sendiri sebagai penciptanya. Manusia sedar bahawa mereka digelar pelupa tetapi mereka tetap akan terlalai dan terlupa dan tidak mampu mengelakkan diri daripada berlaku terlupa atau terlalai.

Adakah jumlah empat hari yang telah siap kita berpuasa telah dinilai semula sama ada puasa kita itu termasuk di dalam puasa khas, puasa khusus atau puasa khusus alal khusus. Empat hari di awal puasa bermakna kita sedang berada di pertengahan zon rahmah dan akan datang pula zon maghfirah dan seterusnya zon itqan minal nar atau terlepas siksaan api neraka , berdasarkan Ramadan dibahagikan kepada tiga bahagian atau tiga zon yang dimaksudkan itu bermakna zon pertama telah berada di pertengahan dan lagi 5 hari akan selesai dan masuk pula ke zon kedua.

Untuk memudahkan penilaian adakah puasa kita melebihi daripada lapar dan dahaga atau puasa kita itu betul-betul telah memberi keinsafan dan menyebabkan banyak perkara buruk atau maksiat telah kita tinggalkan, sudahkah kita berhenti daripada mengumpat, berdengki, bermasam muka dengan jiran, mengambil rasuah, curi tulang di tempat kerja dan sudahkah kita menunaikan solat dengan sempurna, lima waktu sehari semalam, menutup aurat dan seumpamanya.

Adakah puasa empat hari yang telah kita sempurnakan itu telah memberi kesan anjakan kepada kita ke arah sikap yang lebih positif (mahmudah), maka jawapan-jawapan kepada semua soalan tersebut sekurang-kurangnya telah dapat memberi pertunjuk dan gambaran hasil kerja ibadat kita itu.

Kalau dibuat penilaian kepada masyarakat Islam secara umumnya sukar hendak memberi atau mendapatkan jawapannya kerana masih terdapat pada bulan Ramadan mereka yang tidak perdulikan perkara penting yang merupakan perkara asas yang perlu dijaga tetapi tidak dijagainya. Kita masih melihat dikhalayak mereka yang memakai pakaian yang terdedah aurat, memakai pakaian yang ketat sehingga memperlihatkan susuk tubuh badan dan menimbulkan keghairahan kepada kaum berlainan jentina mereka, sedangkan mereka berpuasa. mereka memperagakan diri sehingga sesuai diumpamakan perbuatannya terangkum dua di dalam satu, di satu pihak sedang beribadat iaitu berpuasa dan pada satu pihak lagi sedang melakukan maksiat, keadaan ini ditakuti akan menjadi seperti kata Nabi ramai orang berpuasa tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja.

Begitu pantas sekali masa berlalu, tidakkah kita mencemburuinya dengan meningkat amalan dan mematuhi perintah Allah secara yang lebih kukuh dan bermakna lagi. Baju yang kita beli semasa remaja dulu telah kita tinggalkan dan membeli gantinya bersilih ganti tetapi sedarkah kita bahawa ilmu membaca Al.Quran yang kita kuasai tidak pernah bertambah sejak kita meninggalkan bangku sekolah, begitu juga ilmu syariah yang lain.
Bolehkah kita memakai pakaian yang dipakai pada waktu remaja dahulu sedangkan saiz dan berat badan kita telah bertambah, mungkin perbandingan ini boleh disesuaikan dengan persoalan tersebut di atas.

Adakah perlu kita membuat anjakan pradigma terhadap persoalan ini dan persoalan-persoalan lain yang masih diabaikan kerana kesibukan keduniaan yang akan ditinggalkan di dunia ini tanpa dapat diajak bersama ke akhirat untuk menjadi penolong kita nanti , di mana akhirat adalah tempat yang diidam-idamkan oleh orang yang beriman.

Di antara persoalan yang dipaparkan di atas penulis tidak dapat melarikan diri kerana beliau juga terlibat di dalam kelemahan tersebut oleh itu marilah kita sama-sama berpakat dan bekerjasama untuk membuat anjakan pradigma ke arah pembangunan insaniah yang hakiki dan diredai Allah.

Entri ini ditangguhkan buat sementara.........insya Allah sembang-sembang mengenai puasa Ramadan akan bersambung.........


Sekian. Wassalam.

Tuesday, August 25, 2009

Sambungan entri ini ditangguhkan sementara.................kini disambung.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Sambungan entri ini ditangguhkan sementara.................kini disambung.

Pahala Puasa.
Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pemurah setelah diberi-Nya pahala berganda diberi-Nya pula masa dan tempat tertentu juga dengan pahala yang berlipat ganda, sebagai contoh sesiapa yang berpuasa dan bersahur akan diberi-Nya pahala, sesiapa yang melewatkan atau mentaakhir makan sahur akan mendapat pahala yang lebih banyak lagi dan puasanya pula akan lebih selesa dan tidak penat dan letih atau tidak lapar dan dahaga. Sesiapa yang bersolat di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al.Aqsa pahalanya akan melonjak lagi banyak dan berganda.

Betapa Allah juga memberikan kita ni'amat-Nya (nikmat-Nya) sehingga tidak terkira banyaknya, cuba renungkan berapa helai rambutkah yang sedang seseorang individu miliki dan pergunakan untuk faedah dirinya, berapakah banyaknya pula jumlah nasi yang dimakannya. berapa banyak pula ikan, daging, ayam, udara, haba, oksigen dan berbagai lagi yang digunakan oleh manusia, semuanya adalah kurniaan Allah, Jika Allah kurangkan oksigen untuk seseorang akan berlaku sesak nafas, jika Allah kurangkan makanan, manusia akan hilang tenaga dan terdedah kepada berbagai penyakit.

Sesungguhnya manusia yang berada di dunia sekarang ini, mereka sedang menghabiskan fasa ketiga kehidupan mereka yang masih berbaki, di hadapan mereka masih ada dua fasa untuk sampai ke destinasi, alam roh destinasi pertama, di dalam kandungan ibu destinasi kedua, setelah dilahirkan ke dunia mereka menjalani kehidupan di destinasi yang ketiga, alam kubur destinasi keempat, Padang Mahsyar destinasi kelima dan syurga atau neraka adalah destinasi terakhir perjalanan hidup manusia. Kini kita masih dalam perjalanan, kita masih mengembara atau kita masih bermusafir. Berhati-hati dan berjaga-jagalah melihat dan membaca panduan supaya tidak tersesat jalan, fahamilah betul-betul panduan tersebut, jika tersesat jalan akan sampai ke neraka, di sana tempat siksaan dan azab yang amat pedih yang Allah sediakan untuk manusia yang ingkar dan tidak mengikuti panduan yang disediakan. Acapkali telah diingatkan bahawa Al.Quran dan As.Sunnah adalah panduan yang betul dan benar. Panduan itulah yang menunjukkan jalan ke syurga. Jangan diabaikan, fahamilah kandungannya, patuhilah perintah dan saranannya. Insya Allah manusia akan bertemu dengan jalan yang lurus menuju ke syurga.

Pesananku kepada anda adalah juga pesanan pada diriku sendiri, pesananku pada anda agar pesanan itu berbalik kepada diriku sendiri, kuingatkan anda sebenarnya kuingin ingatkan diriku sendiri, kusuruh anda berbuat baik, sesungguhnya kusuruh diriku juga berbuat baik, kuingin anda mendapat rahmah, maghfirah dan terlepas siksaan neraka, sesungguhnya itu jugalah keinginanku.
Semoga kita sama-sama mendapatnya, Insya Allah. amin.

Entri ini ditangguhkan lagi.........insya Allah akan disambung.



Wassalam.

Betapa Agung dan Hebatnya Ramadan.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Kewujudan Ramadan dan kefarduan puasa Ramadan adalah salah satu dalil dan petanda kasih sayang Allah kepada manusia sebagai hamba-Nya yang terpilih, di dalamnya terkandung rahmah, maghfirah dan jaminan terlepas daripada siksaan atau azab api neraka.

Betapa banyaknya kurniaan Allah yang dimuatkan di dalam Ramadan. Ramadan sarat dengan hadiah Allah kepada manusia. Manusia yang berilmu melihatnya dengan gembira dan penuh keceriaan, ilmu penyuluh itu dapat melihat segala-galanya yang terkandung di dalam Ramadan, ilmu itu cahaya, cahaya itulah yang dimiliki oleh mereka yang beriman kepada Allah. Mereka melihat dengan yakin dan gembira akan kurniaan tersebut seperti kumbang melihat bunga tanpa membuang masa mereka memanfaatkannya.

Sepertiga Ramadan diisikan dengan rahmah, sepertiga jugalah diisi dengan maghfirah dan sepertiga lagi diisi dengan peluang terlepas daripada azab api neraka. Apabila orang-orang yang beriman telah memperolehi rahmat tentulah mereka juga layak mendapat maghfirah, Itulah sebenar-benarnya rahmat, rahmat itulah membawa kepada maghfirah, apabila mereka telah mendapat maghfirah lantas terlepaslah mereka daripada siksaan neraka. Begitulah Agung dan hebatnya Ramadan, begitulah juga besarnya kurniaan Allah kepada manusia hamba-Nya yang dikasihi.

Ramadan adalah satu-satunya Medan Latihan Nafsu Manusia yang terbesar, di dalamnya terkandung kurikulum teori dan amali yang perlu dihayati dan diamalkan sepanjang hari dan malam , tegasnya sepanjang bulan Ramadan. Kewajipan dan aktiviti siang perlu dihayati dan diamalkan dan pada waktu malam disusuli dengan kurikulum yang lain pula yang juga perlu dipenuhi tuntutannya.

Mulut, mata, telinga, nafsu syahwat, nafsu suk, hidung , tangan, kaki dan anggota yang lain dilarang membuka dan melibatkan dirinya untuk melakukan larangan Allah atau melakukan perkara-perkara yang diharamkan.( di luar Ramadan sentiasa terlalai larangan tersebut ) Semua kegiatan dan aktiviti anggota-anggota tersebut adalah berpaksikan hati. Hati adalah pusat kegiatan anggota tersebut.

Oleh itu hatilah yang perlu diubati dan dibantu serta diperbaiki untuk menjayakan kepatuhan kepada larangan Allah. Hati perlu dididik dan diasuh supaya sentiasa beriman kepada Allah , Apabila hati telah terdidik maka arahan hati akan menjadi adil kepada seluruh tubuh badannya. Maka jadilah manusia itu bertakwa. Inilah peranan dan jasa Ramadan, Ramadan ibarat jurutera memperbaiki hati. Manusia khasnya orang Islam patut bersyukur di atas kurniaan yang amat hebat ini.

Mengapa tidaknya. Ramadan jugalah yang membawa Lailatul Qadar yang terkandung di dalamnya pahala atau kebaikan lebih daripada seribu bulan, sekiranya seumur hidup seseorang mukmin itu memperolehi atau mendapat puluhan kali Lailatul Qadar berarti ibadat mereka telah menyamai atau melebihi umat-umat yang terdahulu, di mana umat yang terdahulu memiliki umur yang panjang tentulah ibadatnya pun banyak.

Demikianlah kelebihan umat Nabi Muhammad.s.a.w. walaupun umur mereka pendek tetapi amal ibadat mereka diberi gandaan yang banyak bukan sahaja pada malam Lailatul Qadar, malah pada masa-masa atau ketika yang lain pun mereka dikurniakan Allah puluhan , malahan ratusan dan kekadang sehingga tujuh ratus , pendeknya setiap amalan solih diberi pahala dalam bentuk gandaan . Situasi ini selayaknyalah mereka akan masuk syurga terlebih dahulu berbanding dengan umat-umat Nabi yang lain.

Amat rugilah mereka yang tidak mengambil peluang keemasan ini atau tidak menyedarinya.

Sambungan entri ditangguhkan sementara.......

Wassalam.

Monday, August 24, 2009

Madah SMS yang perlu dimurnikan lagi.....


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Madah SMS yang boleh dimurnikan lagi....

Pada minggu pertama berpuasa ini masih banyak lagi sms ucapan Selamat Berpuasa Ramadan datang menyusuri telefon bimbit, kekadang pesanan berantai yang terkandung di dalamnya pesanan yang baik tanpa campur aduk dengan sesuatu yang menyesatkan dan ada juga yang sebaliknya.

Berbalik kepada salah satu SMS yang ingin dipaparkan di sini ianya berbunyi seperti berikut;

Parkataan yang cantik "ALLAH".
Lagu yang merdu "AZAN".
Novel yang menarik " AL.QURAN".
Diet yang mujarab " PUASA".
Selamat Menyambut Bulan Ramadan.
Semoga sihat selalu.

Dari...................

Ulasan:

Ungkapan yang menarik perhatian saya di sini ialah " Novel yang menarik " AL.QURAN" bagi saya perbandingan atau ibarat tersebut kurang sesuai kerana Novel ialah buku yang lebih rendah tarafnya daripada al.Quran. Kandungan Novel biasanya disekitar beberapa persoalan hidup manusia sahaja. Semestinya Novel itu nilainya lebih rendah daripada Al.Quran dan perkataan " menarik" yang disebut di situpun tidak mempunyai kekuatan yang dapat melonjakkan Al.Quran sebagai Kitab Mukjizat , kalau dimasukkan perkataan "paling menarik" akan menambahkan sedikit kekuatan tetapi masih belum mencapai tahap yang sewajarnya.

Kalau dialih ayat tersebut dengan menggunakan ayat penyata dengan mengungkapkan " Al.Quran itu novel yang menarik" akan kelihatan jelas madah tersebut tersasar dan menyeleweng.

Cuba lihat:
Novel menarik "Al.Quran". ( Novel menarik ialah Al.Quran )
"Al.Quran" novel menarik. ( Al.Quran ialah novel menarik )

Al.Quran sebenarnya sebuah kitab yang sempurna yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. di dalam bahasa Arab. Ianya tiada bandingan dan tandingan. Malah Taurat, Zabur dan Injil sekalipun masih tidak setanding dengannya kerana Al.Quran kandungannya sesuai sehingga akhirat ( akhir zaman ).

Saya cadangkan supaya madah itu dimurnikan lagi dan diungkapkan semula seperti di bawah ini atau lebih baik lagi.

Perkataan yang tercantik "ALLAH".
Lagu yang merdu "AZAN".
Kitab yang Ajaib /mukjizat "AL.QURAN".
Diet yang mujarab "PUASA".
Selamat Menyambut Bulan Ramadan.
Semoga sihat selalu.

Daripada.............................

________________________________

Firman Allah bermaksud:
"Dan jika kamu ragu-ragu tentang (Al Qur'an)
yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad),
maka perbuatlah olehmu satu surah seumpamanya
dan panggillah saksi-saksi kamu selain daripada Allah,
jika kamu orang yang benar".

Surah al.Baqarah -23

______________________________


Sekian.Wassalam.

Sunday, August 23, 2009

Sejauh mana manusia tidak boleh mengkelaskan seseorang itu Islam atau kafir atau masuk syurga atau masuk neraka.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Adakah benar manusia tidak mempunyai hak langsung untuk mengkelaskan seseorang itu masuk syurga atau neraka secara umumnya atau sejauh manakah manusia tidak boleh mengkelaskan manusia itu sebagai Islam atau kafir atau seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka. Pada saya secara umumnya manusia di dunia ini boleh dikelaskan kepada Islam dan Kafir, jika manusia boleh dikelaskan kepada Islam dan kafir maka manusia itu boleh juga dikelaskan kepada masuk syurga dan masuk neraka.
Hujah secara umumnya sesiapa yang patuh kepada Al.Quran dan As.Sunnah iaitu kepatuhan secara teori dan amali serta menghayatinya sepanjang masa maka mereka ini adalah tergolong di kalangan orang Islam dan beriman. Manakala mereka yang tidak percaya dan tidak patuh kepada Al.Quran dan As.Sunnah maka mereka ini pula terdiri dari golongan orang kafir dan tidak beriman kepada Allah. Mereka yang patuh kepada Al.Quran dan As.Sunnah adalah Islam dan beriman, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan mereka yang ingkar Al.Quran dan As.Sunnah adalah kafir dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Orang Islam mempercayai kenyataan ini, malah wajib mempercayai kenyataan tersebut kerana itu adalah panduan hidup mereka.
Menentukan seseorang itu Islam atau tidak, bukan berdasarkan kepada bangsa atau keluarganya tetapi melihat kepada amalannya, namun begitu amalan sahaja belum dapat menentukan seseorang itu beriman kerana iman itu berakar dan bertunjang di hati, walau bagaimanapun amalan Islam seseorang itu dapat menyatakan keimanannya atau dapat dikesan oleh orang lain tentang keimanannya. ( Penilaian Zahir sahaja )

.Tidak mungkin tercetus di hati kita bahawa orang yang sentiasa melakukan maksiat seperti minum arak, rasuah, tidak menunaikan solat dan seumpamanya itu sebagai ahli syorga. Manusia boleh membuat penilaian secara zahiriah terhadap seseorang tetapi di samping itu manusia juga perlu sedari bahawa penilaian sebenar dan hakiki adalah penilaian Allah S.W.t.Dalam memilih jodoh, saksi, pemimpin atau pemegang amanah perkara-perkara tersebut adalah dirujuk dan diberi panduan oleh Islam.


Jika manusia tidak dapat mengkelaskan seseorang individu itu Islam atau tidak, tentulah menjadi kesusahan bagi mereka untuk berurusan sesama mereka terutamanya mengenai hal-hal yang bersangkut-paut dengan aqidah.

Pada umumnya kita sememangnya dapat menentukan seseorang individu itu Islam atau tidak. Khususnya pada bulan Ramadan ini tentulah 99% yang mengunjungi gerai Pasar Ramadan adalah orang Islam tetapi hakikat sebenarnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, Mereka yang berniaga di gerai tersebut juga adalah orang Islam.Cara menentukan atau mengenal orang-orang yang solih dan warak ada ditunjukkan di dalam Al.Quran dan Al.Hadis serta diperjelaskan oleh alim ulamak dan diabadikan di dalam buku-buku Tafsir, Fiqh, aqidah dan seumpamanya.

Jika seseorang Islam meninggal dunia wajib dimandi, dikafan, disolatkan dan dikebumikan. Untuk menentukan seseorang itu Islam atau tidak, manusia boleh menentukan berdasarkan panduan yang disebutkan tadi tetapi penilaian ini adalah penilaian manusia.

Penilaian hakiki sama ada seseorang yang telah disolatkan dan dikebumikan itu Islam atau tidak, adalah hak Allah Taala.
Terdapat juga di kalangan mereka yang Islam di dunia sahaja iaitu di dunia manusia mengatakan atau menganggap orang itu Islam tetapi di akhirat Allah Taala tidak mengiktiraf orang tersebut sebagai Islam kerana aqidahnya yang tidak menepati panduan yang tersebut di atas tadi.

Penentuan dan penilaian manusia tadi bukanlah satu kesilapan atau kesalahan, malah penentuan itu adalah adil kerana manusia tidak dapat mengetahui apa yang tersirat di dalam hati manusia lain selain daripada apa yang tersirat di dalam hatinya sendiri. Penilaian manusia hanya berdasarkan amalannya sahaja. Dan itulah juga sumber yang disuruh manusia rujuk dan membuat pertimbangan.


Manusia Islam seharusnya mengetahui manusia yang macam mana yang akan ke syurga dan manusia yang macam mana pula yang akan ke neraka supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada dimasukkan ke neraka nanti.Oleh itu mereka hendaklah mengikut jejak kehidupan orang-orang yang dianggap layak ke syurga iaitu mereka yang cintakan Al.Quran dan As.Sunnah dan berkeinginan serta berusaha merealisasikannya di dalam masyarakat dan sanggup menentang sesiapa sahaja yang menentang kemahuannya yang murni itu.

Untuk mengetahui jalan ke syurga sudah tentulah wajib merujuk kepada Al.Quran dan As.Sunnah kerana di sana terdapat segala penjelasan dan penerangannya. Kalau enggan merujuk kepada dua sumber yang amat penting tersebut tentulah akan berlaku kegelinciran daripada landasan kebenaran dan keredaan Allah. Dengan itu gagallah matlamatnya.
.

###

Sekadar nukilan untuk panduan.

Firman Allah bermaksud:

Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui (kebenarannya).

Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur adukkan yang hak dengan yang bathil, dan menyembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui?

Segolongan (lain) dari Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya): "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran).

Dan Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang yang mengikuti agamamu. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk (yang harus diikuti) ialah petunjuk Allah, dan (janganlah kamu percaya) bahwa akan diberikan kepada seseorang seperti apa yang diberikan kepadamu, dan (jangan pula kamu percaya) bahawa mereka akan mengalahkan hujahmu di sisi Tuhanmu". Katakanlah: "Sesungguhnya kurnia itu di tangan Allah, Allah memberikan karunia-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui";

Allah menentukan rahmat-Nya (kenabian) kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu; dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya satu Dinar, tidak dikembalikannya padamu, kecuali jika kamu selalu menagihnya. Yang demikian itu lantaran mereka mengatakan: "Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang umi. Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahui.

Surah Ali Imran ( Ayat 70 - 75 )

###

Dari Hasan.r.a, katanya: " Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar Al.Muzani ketika beliau sakit hampir meninggal. Kata Ma'qil kapada 'Ubaidullah, " Aku hendak menyampaikan kepadamu sebuah Hadis yang kudengar sendiri dari Rasulullah.s.a.w. yang kalau aku yakin bahawa usiaku akan panjang.Hadis ini belum akan kusampaikan kepadamu.Aku mendengar Rasulullah.s.a.w,bersabda." Tidak ada seorang hamba yang dipercayakan Allah kepadanya, kemudian dia mati, sedangkan pada hari kematiannya dia (masih) menipu rakyatnya, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya".

###

Dari Abul Malih r.a. katanya:'Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar ketika dia sakit. Kata Ma'qil kepada 'Ubaidullah, " Aku hendak menyampaikan sebuah Hadis kepadamu seandainya aku tidak hampir mati, nescaya Hadis ini belum akan kusampaikan kepadamu. Aku mendengar Rasulullah.s.a.w.bersabda," Tiada seorang pun amir ( pembesar, penguasa atau pemimpin ) yang menguasai atau memerintah kaum muslimin.tetapi dia tidak berjuang dengan bersungguh-sungguh dan tidak memberikan pengarahan untuk kemakmuran mereka,
nescaya Allah tidak membolehkannya masuk syurga bersama-sama dengan mereka".

###

SELAMAT BERPUASA.
KULLU AM WA ANTUM BIL KHAIR.

###

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

Saturday, August 22, 2009

Jom kita baca macam-macam sms mengenai puasa Ramadan .


Belum Berbuah - Kurma.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Malam tadi saya menerima sms ucapan Selamat Berpuasa daripada kekawan, tertulis dan terungkap berbagai-bagai madah dan kata-kata motivasi mengenai puasa Ramadan, begitu kreatif dan kritis minda orang muda sekarang, sungguh bertuah orang muda yang mengambil berat mengenai Ramadan dan amnya mengenai kewajipan ibadat yang diperintahkan Allah. Stok umur mereka masih banyak lagi yang berbaki. maka banyak lagilah peluang di hadapan mereka. Syukur alhamdulillah. Cuba tengok dan baca di bawah ini tentu menyeronokkan anda semua. Jom kita tumpang sama, kot-kot bernasib baik.

###

Di antara kata-kata dan ungkapan tersebut:

KARNIVAL IBADAT SEMPENA BULAN RAMADAN.
Tarikh : 1 sehingga 29 Ramadan.
Tempat : Seluruh Dunia.

ACARA-ACARA UTAMA:
> Berpuasa.
> Solat Sunat Terawih.
> Sahur.
> Zakat Fitrah

ACARA SAMPINGAN:
> Zikrullah.
> Qiamullail.
> Sedekah.
> Tadarus Al.Quran.
> Dan sebagainya.

BONUS HEBAT :
> Pahala 1000 bulan. Lailatul Qadar.
> Doa dimakbulkan.
> Sihat tubuh badan.
> Diskaun 100% & sebagainya.

CEPAT !!!. NANTI TERLAMBAT !!!.
Ganjaran dari Allah Taala,
sementara stok umur masih ada.


Untuk maklumat lanjut .
Sila rujuk Al.Quran dan Al.Hadis
serta
Alim Ulamak.


( Terima kasih. Cikgu Yahya ).

###

Kedatanganmu dirindui.......,
Kehadiranmu dirai.........,
Pemergianmu ditangisi.......,
Marhaban Ya Ramadan.......,
Selamat Menyambut Ramadan al.Mubarak.

( Terima kasih Cikgu Che Lah & Famili )


###

Sekejap tadi jam 3.30 petang saya terima lagi satu sms, cuba baca di bawah ini.

Wahai tetamu Ramadan untukmu Rahmat & Maghfirah...airmata taubat dendangan tadarrus yang berselimutkan Terawih & berbantalkan tahajjud...Semoga mewarisi Jannatul Firdaus - Salam Ramadan Al.Mubarak.

( Terima kasih Nan Besi sahabat lamaku ).

###

Sekian dahulu.Wassalam.

Friday, August 21, 2009

Jom.Jom. Kita sembang mengenai puasa .


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Jom. Jom. Kita sembang mengenai puasa.

Pada hari ini seperti mana kita sedia maklum bahawa pihak berwajib telahpun mengisytiharkan bahawa esok ( Sabtu ) kaum muslimin dan muslimat Malaysia akan memulakan kewajipan berpuasa. Ini berarti pada malam ini merupakan malam pertama kita berniat puasa dan melakukan ibadat Solat Terawih.

Dalam entri ini saya hanya ingin memberi peringatan ringkas mengenai niat puasa sebulan dan niat setiap malam untuk diri saya sendiri dan kekawan yang mengunjungi laman ini.

Pada malam ini eloklah kita berniat berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadan tahun ini dan juga berniat untuk berpuasa esok hari. Pada mulanya kita berniat untuk sebulan kemudian diikuti niat untuk esok hari. Tempoh dibolehkan kita berniat ialah sepanjang malam, pilihlah pada waktu manapun asalkan waktu malam. Niat boleh dilakukan sebaik sahaja telah masuk waktu Magrib atau setelah terbenam matahari sehinggalah sebelum masuk waktu Subuh atau sebelum naik fajar Sadik.

Contoh niat untuk sebulan Ramadan:
"Sahaja aku berpuasa sebulan menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Taala".
( Niat ini hanya dilakukan pada malam pertama sahaja sebagai persediaan kalau-kalau berlaku terlalai pada malam-malam yang akan datang, maka bolehlah digunapakai niat tersebut . Selepas niat untuk sebulan, diikuti pula berniat untuk berpuasa esok hari dan pada malam-malam seterusnya hendaklah berniat pada tiap-tiap malam seperti biasa, jika lupa barulah kita kembali dengan memadai niat yang sebulan itu )

Contoh Niat setiap malam Ramadan.
"Sahaja aku berpuasa esok menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Taala".
.

Peringatan ringkas ini ditangguhkan sementara.

Mungkin dapat menginsafkan:



Asri Rabbani : Selimut Putih Pembalut Badan

Sekian .Wassalam.

Thursday, August 20, 2009

Selamat Berpuasa Ramadan 1430.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Selamat Berpuasa Ramadan 1430.

Khamis (malamJumaat) 30.Syaaban 1430 - jam 9.40 malam.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah melalui siaran langsung di TV1 sebentar tadi telah mengisytiharkan dan memasyhurkan bahawa permulaan puasa pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu 1hb.Ramadan 1430 bersamaan 22hb.Ogos 2009.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat berpuasa kepada semua kaum muslimin dan muslimat pembaca laman blog ini dan amnya sekalian kaum muslimin dan muslimat di mana sahaja anda berada.





Sila klik untuk mendengar ucapan ringkas.
(Lee.Noh)


Sekian.Wassalam

Jom kita sembang mengenai puasa ..

Syaaban akan berakhir.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Jom kita sembang mengenai puasa.

Hari ini Khamis jam 6.00 petang , 29hb.Syaaban 1430 bersamaan 20hb.Ogos 2009. Mengikut amalan biasa yang terdapat di dalam Ilmu Fiqh pada 29hb.Syaaban setiap tahun umat Islam akan menentukan tarikh awal puasa dengan melihat anak bulan . Pada waktu senja 29hb.Syaaban sehingga selepas terbenam matahari ahli Astronomi atau ahli Falak masing-masing sebok menoropong anak bulan untuk memastikan sama ada bulan Syaaban masih wujud atau telah timbul anak bulan baru iaitu bulan Ramadan. Sekiranya nampak anak bulan, anak bulan itu bermakna anak bulan Ramadan oleh itu esoknya umat Islam wajib berpuasa. Jika anak bulan tidak kelihatan bermakna esoknya masih bulan Syaaban,iaitu 30hb.Syaaban hari ini dinamakan hari syak, kita dilarang berpuasa pada hari tersebut.

Esoknya pula sudah pastilah 1hb.Ramadan dan orang Islam diwajibkan berpuasa kerana bilangan hari di dalam bulan Hijrah ( Islam )
sama ada 29 hari atau 30 hari sahaja dan tiada 31 hari.

Berbalik kepada sembang kita di dalam entri ini pada malam ini Pasukan Melihat anak bulan sekarang ini tentunya sedang bersedia di lokasi masing-masing, dalam beberapa jam daripada saat ini kita akan mengetahui tarikh kita mula berpuasa pada tahun ini. Kebiasaannya akan diumumkan oleh pihak berkuasa melalui TV dan Radio. Kita sebagai masyarakat awam ikut sahaja arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang berwajib tanpa mempertikaikannya kerana mereka yang diamanahkan tentu sekali melaksanakan tugas mereka secara yang terbaik dengan menggunakan alatan canggih yang terdapat pada mereka.


Sambungan.
Khamis jam 10.00 malam ketika ini semua kaum muslimin dan muslimat telah dimaklumkan sebentar tadi bahawa rakyat Malaysia akan berpuasa pada hari Sabtu, ini bermakna anak bulan tidak kelihatan sebentar tadi oleh itu esok (Jumaat ) kita cukupkan Syaaban 30 haribulan, lusa kita akan berpuasa, insya Allah kalau dipanjangkan umur.




Sekian dahulu. Wassalam.


Jom kita sembang mengenai puasa .


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Jom kita sembang - sembang lagi pasai posa.

Mari kita sembang-sembang lagi mengenai puasa ( di atas tu cakap utara /Kedah). Pagi tadi saya keluar ke Seksyen.20 pekena nasi lemak dan teh o nipis di Restoran Ali's Corner, sambil tu rakam roti yang tersedia di dapur tu, baru dok belajar rakam video , walaupun dah terlambat tetapi belum terlepas hehehe.

Kemudian pergi ke Pasar Basah Sek.16. dengan harapan dapat membeli daging segar , nampaknya tiada pilihanpun. Saya ingat macam di Kedah. Kalau di Kedah lagi dua hari atau sehari nak puasa gerai daging segar akan tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kalau tinggal di Alor Setar pergi saja ke Jalan Hutan Kampung atau Kubang Rotan di sana berbagai pilihan daging segar dijual. kalau di Pasar Basah, di market kata orang Kedah memang di sana tempat dialah. Di sana lagi banyak pilihan.

Pada tahun ini akan kurasa kelainannya dan kemeriahan yang berbeza tetapi kutetap dapat menyesuaikan diri. Insya Allah di sinipun bahagia, bahagia tu di hati kan, kalau kita sayang dan cintakan Allah kita akan redza segala yang diberi dan ditetapkan-Nya untuk kita, biar berbaju buruk dan berkain selekeh bahagia tetap bahagia kerana Allah yang beri bahagia itu bukan kita dapat daripada makhluk. Terima kasih Allah. Alhamdulillah.

Rupa-rupanya dia nak kucing
yang sedang berjalan tu.




Pada bulan Ramadan lebih ramai orang Islam akan mencari barang makanan untuk persediaan berbuka puasa kerana ingin menunaikan hajat selera yang sabar bertahan tidak makan dan tidak minum sepanjang siang hari, . Agaknya kerana keinginan hendak makan dan minum itu sangat tinggi maka semua orang akan mencari barang makanan mengikut selera masing-masing. Apabila petang sahaja makanan dan minuman pun terkumpul di ruang dapur, makanan itu dibeli oleh beberapa orang yang tinggal di dalam rumah kerana melayan selera, mungkin masing-masing mempunyai pendapatan tetap. Kekadang makanan itu terlebih dan akhirnya esok pagi dibuang sebahagiannya ke dalam tong sampah kerana tidak mampu dihabiskan, maklumlah perut kita saiznya sama juga sama ada puasa atau tidak. Pembaziranpun berlaku, kelemahan inilah yang selalu diingatkan oleh Rasullullah.s.a.w. supaya umatnya tidak membazir, nampaknya kita kenalah merancang dengan betul supaya perancangan kita itu tepat dan tidak membazir.

Pada kebiasaannya pada minggu ketiga selera kita semakin menurun, terpaksalah kita mencari makanan yang boleh dimakan pada waktu sahur, kalau tiada selera makan pada waktu sahur tentulah puasa kita akan terganggu pada waktu siangnya nanti.

Mentaakhirkan (melewatkan) makan sahur.

Sebab itulah Islam menyuruh kita mentaakhirkan ( melewatkan ) makan sahur, 20 atau 15 minit sebelum masuk waktu Subuh, itulah waktu yang terbaik dan mendapat banyak pahala jika kita bersahur pada ketika itu puasa kitapun akan berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan sehinggalah waktu berbuka. Kalau ada gangguan laparpun mungkin sekejab sebelum waktu berbuka sahaja.

Selagi belum terbit fajar sadiq atau masuk waktu Subuh kita masih boleh bersahur, waktu yang hampir dengan Subuh itu dinamakan waktu imsak iaitu waktu berjaga-jaga supaya tidak berlaku makan sahur setelah masuk waktu Subuh, jika ini berlaku maka puasa pada hari tersebut tidak sah maknanya sejak dari awal lagi puasa itu tidak diambil kira. Sebab itulah diingatkan supaya berjaga-jaga.

Untuk kali ini hanya sekadar itu dahulu.
Sehingga bertemu lagi.


Wassalam.

Wednesday, August 19, 2009

Jom baca informasi mengenai puasa .

Gambar hiasan.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Entri kali ini hanya memaparkan informasi ringkas mengenai puasa dengan harapan tidak menjemukan anda untuk membacanya, membaca sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Pertambahan ilmu sukar hendak dikesan melainkan dapat dilihat melalui perubahan sikap.

###
Hadis Mengenai Puasa.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya (bulan Ramdan ) dan berbukalah kamu kerana melihatnya ( bulan Syawal ). Jika dilindung oleh awan atas kamu hendaklah kamu sempurnakan bilangan Syaaban tiga puluh hari". Riwayat Syaikhan.

Ulasan:

1.Orang Islam mula berpuasa setelah melihat anak bulan Ramadan atau bulan Syaaban telah cukup 30 hari.
2. Berpuasa hanya pada waktu siang sahaja pada tiap-tiap hari dalam bulan Ramadan.
3. Berbukalah kamu kerana melihatnya ( bulan Syawal ) bermaksud berhentilah berpuasa Ramadan dan hendaklah berhari raya pada 1hb.Syawal itu.
$$$

"Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata beriman dan berharap-harap pahala nescaya terampun dosanya yang telah lalu, dan barang siapa beribadat malam Laitatul Qadar ( lailatul Qadr ) semata-mata beriman dan berharap-harap pahala nescaya terampun dosa yang telah lalu".
Riwayat Abu Hurairah.
$$$

" Tiap amal ibadat anak Adam semuanya berganda - Memanglah kebajikan itu sepuluh kali gandanya sehingga tujuh ratus kali ganda. Firman Allah Taala: " Melainkan puasa maka puasanya Aku membalasnya, sebab meninggal orang yang berpuasa itu akan keinginannya dan makan minumnya kerana Aku. Bagi yang berpuasa itu dua kesukaan, kesukaan waktu berbukanya dan kesukaan waktu bertemu dengan Tuhannya. Dan bermula bau mulut orang berpuasa itu terlebih harum daripada kasturi (akhirat) dan puasa itu sebagai pemelihara daripada azab neraka, dan apabila kamu berpuasa janganlah kamu berkata-kata sebagai perkataan yang keji-keji dan jangan membuat bising, maka jika memaki oleh seseorang atau hendak dipukulnya hendaklah berkata: Aku berpuasa".
Riwayat Syaikhan.


$$$


Sekian.Allah Maha Mengetahui. Wassalam.