Wednesday, August 26, 2009

Puasa Hari Ke - 5 - Suatu penilaian.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Pejam celik , pejam celik, masa pun berjalan tanpa sedikitpun berhenti, tanpa sedikitpun bertolak ansur, ianya berlalu kekadang terasa seperti kejam, kekadang terasa indah dan amat berharga sekali. apapun semua manusia menyedari itulah hakikat masa sejak azali lagi menjalankan tugasnya tidak pernah mungkir tetapi manusia seperti sedia maklum mereka sentiasa lupa dan lalai, walaupun diberi gelaran an-nas (pelupa) oleh Allah sendiri sebagai penciptanya. Manusia sedar bahawa mereka digelar pelupa tetapi mereka tetap akan terlalai dan terlupa dan tidak mampu mengelakkan diri daripada berlaku terlupa atau terlalai.

Adakah jumlah empat hari yang telah siap kita berpuasa telah dinilai semula sama ada puasa kita itu termasuk di dalam puasa khas, puasa khusus atau puasa khusus alal khusus. Empat hari di awal puasa bermakna kita sedang berada di pertengahan zon rahmah dan akan datang pula zon maghfirah dan seterusnya zon itqan minal nar atau terlepas siksaan api neraka , berdasarkan Ramadan dibahagikan kepada tiga bahagian atau tiga zon yang dimaksudkan itu bermakna zon pertama telah berada di pertengahan dan lagi 5 hari akan selesai dan masuk pula ke zon kedua.

Untuk memudahkan penilaian adakah puasa kita melebihi daripada lapar dan dahaga atau puasa kita itu betul-betul telah memberi keinsafan dan menyebabkan banyak perkara buruk atau maksiat telah kita tinggalkan, sudahkah kita berhenti daripada mengumpat, berdengki, bermasam muka dengan jiran, mengambil rasuah, curi tulang di tempat kerja dan sudahkah kita menunaikan solat dengan sempurna, lima waktu sehari semalam, menutup aurat dan seumpamanya.

Adakah puasa empat hari yang telah kita sempurnakan itu telah memberi kesan anjakan kepada kita ke arah sikap yang lebih positif (mahmudah), maka jawapan-jawapan kepada semua soalan tersebut sekurang-kurangnya telah dapat memberi pertunjuk dan gambaran hasil kerja ibadat kita itu.

Kalau dibuat penilaian kepada masyarakat Islam secara umumnya sukar hendak memberi atau mendapatkan jawapannya kerana masih terdapat pada bulan Ramadan mereka yang tidak perdulikan perkara penting yang merupakan perkara asas yang perlu dijaga tetapi tidak dijagainya. Kita masih melihat dikhalayak mereka yang memakai pakaian yang terdedah aurat, memakai pakaian yang ketat sehingga memperlihatkan susuk tubuh badan dan menimbulkan keghairahan kepada kaum berlainan jentina mereka, sedangkan mereka berpuasa. mereka memperagakan diri sehingga sesuai diumpamakan perbuatannya terangkum dua di dalam satu, di satu pihak sedang beribadat iaitu berpuasa dan pada satu pihak lagi sedang melakukan maksiat, keadaan ini ditakuti akan menjadi seperti kata Nabi ramai orang berpuasa tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja.

Begitu pantas sekali masa berlalu, tidakkah kita mencemburuinya dengan meningkat amalan dan mematuhi perintah Allah secara yang lebih kukuh dan bermakna lagi. Baju yang kita beli semasa remaja dulu telah kita tinggalkan dan membeli gantinya bersilih ganti tetapi sedarkah kita bahawa ilmu membaca Al.Quran yang kita kuasai tidak pernah bertambah sejak kita meninggalkan bangku sekolah, begitu juga ilmu syariah yang lain.
Bolehkah kita memakai pakaian yang dipakai pada waktu remaja dahulu sedangkan saiz dan berat badan kita telah bertambah, mungkin perbandingan ini boleh disesuaikan dengan persoalan tersebut di atas.

Adakah perlu kita membuat anjakan pradigma terhadap persoalan ini dan persoalan-persoalan lain yang masih diabaikan kerana kesibukan keduniaan yang akan ditinggalkan di dunia ini tanpa dapat diajak bersama ke akhirat untuk menjadi penolong kita nanti , di mana akhirat adalah tempat yang diidam-idamkan oleh orang yang beriman.

Di antara persoalan yang dipaparkan di atas penulis tidak dapat melarikan diri kerana beliau juga terlibat di dalam kelemahan tersebut oleh itu marilah kita sama-sama berpakat dan bekerjasama untuk membuat anjakan pradigma ke arah pembangunan insaniah yang hakiki dan diredai Allah.

Entri ini ditangguhkan buat sementara.........insya Allah sembang-sembang mengenai puasa Ramadan akan bersambung.........


Sekian. Wassalam.

4 comments:

Cikgu Ije said...

hmmm.. ije masuk hari ke-5 terperap di rumah. cuti. adei.

Leenoh said...

Salam ijechan.
Rupanya dah cuti sekolah. untungnya dalam bulan Ramadan.
Kalau cuti bacalah entri Pah Ngah yang terbaru di atas tu.....memang sesuai sangat utk orang bercuti...ini promosi kali pertama ni....selalunya tidak pernah buat promosi...cikgu punya pasal....bacalah free saja ..hahaha. lawak puasa.

Nl said...

itulah kita ini byk sangat
melakukan kesilapan dalam kehidupan
seharian... dalam beribadah juga
ada yang buat kesilapan tanpa
disedari...

Leenoh said...

Salam Naqeeb.
Ya,Semua orang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan sebab itu kita disuruh beristighfar sepanjang masa.
Tiada bumi yang tidak dirimpa hujan oleh itu langkah yang terbaik ialah kita bertaubat kepada Allah.
Allah Maha Mengetahui sebab itu diberi-Nya rahmah,maghfirah dan terlepas daripada siksaan api neraka bagi mereka yang berpuasa dgn ikhlas iaitu semata-mata kerana Allah.