Showing posts with label Sembunyikan Dosa. Show all posts
Showing posts with label Sembunyikan Dosa. Show all posts

Sunday, May 3, 2009

DOSA YANG TERSEMBUNYI.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa, setiap manusia yang beriman kepada Allah tetap bersamanya pahala dan dosa. Hanya Nabi-nabi dan Rasul-rasul sahaja yang maksum,( suci - tiada dosa ). sama ada maksum kerana diampunkan atau maksumnya kerana tidak pernah melakukan larangan Allah, kita tidak bincangkan di sini, apa yang ditegaskan mereka adalah maksum.

Manakala mereka yang kafir dan syirik berterusan dengan Allah, bersama mereka adalah dosa tanpa sebarang pahala.

Seseorang yang berdosa itu menanggung dosanya sendiri.
Adakah manusia menanggung dosa orang lain seperti sering diperkatakan ibubapa menanggung dosa anak yang belum baligh atau menanggung dosa anak gadisnya yang belum berkahwin.
Anak-anak yang belum baligh tidak mempunyai sebarang dosa, mereka dilahirkan atas fitrah mereka yang suci, jika ditakdirkan mereka meninggal dunia ketika mereka belum baligh kematian mereka di dalam keadaan suci walaupun mereka anak-anak kepada ibubapa yang kafir.
Sekiranya mereka itu tiada dosa di mana lojiknya ibubapa menanggung dosa mereka itu. Kenakalan anak-anak melakukan sesuatu kejahatan kerana kelalaian ibubapa mendidik mereka di sana terhasil dosa tetapi dosa itu adalah dosa ibubapa, dosa tersebut kepunyaan ibubapa kerana tidak menjalankan tanggungjawab mendidik mereka. ( berikutan ibubapa tidak patuh perintah Allah dan Rasul dalam hal mendidik anak ).

Anak gadis yang telah baligh telahpun mempunyai tanggungjawab sendiri untuk mematuhi perintah Allah kerana mereka termasuk di dalam golongan orang yang telah mukallaf. Disebabkan mereka belum berkahwin maka ibubapa masih bertanggungjawab atas diri mereka dalam beberapa hal seperti nafkah, sosial dan seumpamanya. Sekiranya segala tanggungjawab yang diwajibkan ke atas ibubapa atau walinya telah dilaksanakan seperti yang diperintahkan, maka ibubapa atau wali tentulah tidak berdosa lagi kerana tanggungjawabnya telah dibereskan seperti diperintahkan. Jika berlaku disebaliknya iaitu ibubapa atau wali tidak menjalankan tugas tersebut maka berdosalah mereka tetapi dosa ini bukan menanggung dosa orang lain, malah dosa mereka sendiri.

Adakah terdapat dosa yang tersembunyi.
Tiada terdapat dosa yang tersembunyi di sisi Allah kerana Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Di kalangan manusia sememangnya terdapat keadaan itu, di mana seseorang itu melakukan dosa kekadang hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahuinya, atau dua orang sama-sama melakukan dosa dan orang lain tidak mengetahuinya atau beberapa orang atau sekumpulan orang melakukan dosa dan manusia lain selain daripada mereka tidak mengetahuinya. Allah tetap mengetahuinya.

Seseorang yang melakukan dosa tidak digalakkan menceritakan kepada orang lain kerana perbuatan itu ditakuti menjadi motivasi kepada mereka yang mendengarnya untuk melakukannya pula, selain daripada itu akan menjatuhkan maruahnya sedangkan diri sendiri telah pun insaf dan ingin bertaubat. Apa yang perlu dilakukan oleh orang tersebut ialah segera bertaubat kepada Allah, merayulah kepada Allah supaya dosanya itu diampunkan serta bersangka baik dengan Allah bahawa dosanya itu akan diampunkan.
Selepas itu hendaklah beristiqamah mengamal dan melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Semoga Allah mengampunkan dosa kita.amin.
_______________________

Berikut adalah petikan maksud ayat-ayat Al.Quran untuk direnungi:

"Katakanlah: "Apakah aku akan mencari Tuhan
selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi
segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa
melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri;
dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.
Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali,
dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang
kamu perselisihkan".

Surah Al.An'aam (164).

_______________________

"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah
taubat bagi orang-orang yang mengerjakan
kejahatan lantaran kejahilan, yang
kemudian mereka bertaubat dengan segera,
maka mereka itulah yang diterima
Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui
lagi Maha Bijaksana".(17)


"Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari
orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang)
hingga apabila datang ajal kepada seseorang
di antara mereka, (barulah) ia mengatakan:
"Sesungguhnya saya bertaubat sekarang"
Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang
yang mati sedang mereka di dalam kekafiran.
Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan
siksa yang pedih" (18).
Surah An.Nisak (17 - 18 )
_______________________

Dosa yang nyata.
Perbuatan maksiat yang nyata atau berlaku terang terangan ini merupakan maksiat dan dosa yang sangat berbahaya kepada masyarakat. Maksiat seperti ini menjadi contoh buruk kepada orang lain dan melibatkan orang lain atau meruntun orang lain untuk mencegahnya, Maksiat yang dilakukan secara terbuka itu, Islam memerintahkan kita supaya bergerak pergi mencegahnya, khasnya pihak yang berwajib dan amnya masyarakat di persekitarannya.
Manakala dosa atau maksiat yang tersembunyi tidak digalakkan kita membongkarnya melainkan maksiat yang tersembunyi itu menbawa keburukan kepada masyarakat. Kita disuruh mencegah maksiat tetapi dalam waktu yang sama kita juga disuruh menutup keaiban sesama saudara Islam.
Mencegah maksiat dan berdakwah semestinya berjalan serentak dan sekata.
Berbahagialah mereka yang berdakwah ke jalan Allah dan mencegah kemungkaran.

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.