Sunday, July 31, 2011

Mula-mula anak jahat kemudiannya bapa pula menjadi lebih jahat.

Salam semua.

Kita kekadang memikirkan cara berfikir dan tindakan manusia yang tidak betul walaupun kita sendiri sebenarnya tidaklah unggul, Fikiran manusia normal biasanya mampu berfikir dengan baik, cuma tindakan mereka sahaja yang tidak atau kurang tepat.

Cuba kita fikirkan situasi ini sebagai contohnya bukan cerita benar, seorang anak tidak ke sekolah (ponteng) dengan melencong ke tempat lain, ibu bapa akhirnya dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa anaknya telah beberapa hari tidak ke sekolah oleh itu meminta ibu bapa supaya memberi perhatian khusus mengenai perkara tersebut.

Sebaik sahaja diketahui bapa, bapa pun naik marah dan bertindak menyoal anaknya untuk memasti dan mengetahui hal yang sebenarnya, setelah disoal siasat, maka bapa pun bertindak terhadap anaknya dengan memukulnya dengan tali pinggang sehingga lebam dan berparut.

Merujuk kepada kes ponteng sekolah ini adakah itu tindakannya yang sesuai dan bagaimana pula sikap bapa sebelumnya, sejauh manakah bapa mengambil berat mendidik anak itu seharian, sudahkah disiasat punca anak tersebut ponteng sekolah, mungkinkah sikap bapa telah menyebabkan terbentuknya sikap anak demikian rupa, ini semua perlu disiasat dan diambil kira serta dibuat pertimbangan. Memukul anak atau menghukum anak dengan memukulnya dengan tali pinggang adalah suatu kesalahan dan jenayah, setiap kesalahan wajib dihukum dengan adil dan mengikut peraturan yang sesuai dan adil.

Sepatutnya bapa memukulnya dengan rotan setimpal dengan kesalahannya sahaja sebagai pengajaran kepada anaknya, ketika memukulnya bapa semestinya tiada nafsu ammarah yang sangat tinggi, sebaliknya di dalam keadaan tenang supaya pelaksanaan hukum itu berjaya mencapai objektifnya, tegasnya pelaksanaan hukum itu memenuhi sifat dan tuntutan keadilan seperti yang dikehendaki oleh semua pihak.

Situasi ini bapa merasakan dia berkuasa terhadap anaknya maka dia mengizinkan dirinya melakukan tindakan sesuka hati, pada hal ketika itu dia pula beralih menjadi lebih jahat dan tidak adil serta tidak berperi kemanusiaan.

Pada kebiasaannya mereka yang berkuasa melupai perkara seperti ini, mereka lupa bahawa mereka hanya menjalankan amanah Allah dan akan ditanya di penghujungnya nanti, juga melupai bahawa Allah sedang melihat mereka, disamping itu tidak menyedari bahawa situasi mereka itu seumpama " ketam mengajar anaknya berjalan betul"

Sekian...wallahu aklam.

Friday, July 29, 2011

Bersetuju - Imam solat Tarawih 20 rakaat.

Salam semua.

Artikel ringkas ini sekadar mengulang semula dan mengambil kesimpulan daripada kuliah yang disampaikan oleh Tuan Imam Masjid
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebelum solat Jumaat sebentar tadi.

Katanya imam-imam eloklah melaksanakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan 3 rakaat solat witri (witir) seperti kebiasaan kita lakukan sejak dahulu. Golongan yang melaksanakan 20 rakaat juga mempunyai kekuatannya yang tersendiri kerana amalan ini dilakukan oleh Saiyidina Omar al.Khattab pada zamannya. Saiyidina Omar merupakan sahabat Nabi yang diakui oleh Nabi sendiri bahawa Omar adalah salah seorang yang terjamin masuk syorga. Demikianlah kekuatan O
mar sebagai seorang mukmin, mengikut jejak omar setelah beliau menjadi seorang mukmin tentulah tidak boleh dianggap sebagai tidak baik.

Golongan yang menunaikan solat Tarawih 8 rakaat juga ada kekuatannya kerana di sana terdapat juga nas yang berkaitan.

Imam-imam
dinasihatkan supaya melaksanakan solat Tarawih 20 rakaat bertujuan tidak mengecewakan mereka yang ingin mengikut jejak omar dan juga tidak mengecewakan mereka yang ingin melaksanakan 8 rakaat, Mereka yang bersolat 8 rakaat bolehlah berpisah dengan imam apabila telah cukup 8 rakaat setelah berimamkan imam yang bersolat 20 rakaat , jika imam bersolat 8 rakaat, mereka yang ingin membuat 20 rakaat tidak boleh mengikut imam lagi apabila imam selesai solatnya,

Cara atau langkah imam melaksanakan 20 rakaat diharapkan dapat mengekalkan perpaduan di antara orang Islam setempat, disamping kedua-duanya dapat menyempurnakan pegangan masing-masing.

Selain daripada it
u imam masjid ini juga mengajak ahli jamaah hadir beramai-ramai sepanjang bulan Ramadan untuk beribadat dan melibatkan diri dengan kumpulan tadarus al.Quran, mereka yang berminat bolehlah mendaftarkan diri mulai sekarang, di samping itu katanya Tabung Ihya Ramadan juga telah dilancarkan, sesiapa yang berkemampuan eloklah mengambil kesempatan di dalam bulan mulia ini untuk bersedekah, Sheikh Mahmod Abdul Wahab Tantawi qari terkenal Mesir akan diundang untuk mengimamkan solat dalam bulan Ramadan tahun ini, manakala Us.Azhar Idrus (gambar sebelah kiri) akan memberi kuliahnya sekali lagi pada minggu akhir Ramadan.

# Rancangan "Tanyalah Ustaz" TV9 juga akan bersiaran secara langsung di aras bawah mulai jam 7.00 - 8.00 pagi.

Catatan:
Sekiranya berlaku tertinggal atau tertambah maklumat di dalam artikel ini, semuanya itu adalah kelemahan saya sendiri kerana semasa mendengar kuliah pendengaran saya terputus-putus , mungkin disebabkan siarayanya yang kurang memuaskan.

Sekian...wallahu aklam.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Salam semua.

Orang Melayu sememangnya mempunyai gedung ilmu yang amat bitara sifatnya, sama ada ingin dimanfaatkannya atau sebaliknya terpulang kepada orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu memiliki al.Quran dan al.Hadis. Al.Quran dan al.Hadis merupakan gedung ilmu yang paling utama, di samping itu mereka mempunyai kata-kata hikmah, perumpamaan, peribahasa, gurindam, pantun nasihat dan seumpamanya, semuanya itu jika dibaca,dimutalaah, diselungkar, dikaji ianya mampu mendidik orang Melayu menjadi baik dan berakhlak mulia.

Pada kali ini artikel ini akan merujuk kepada salah satu perumpamaan yang sering digunakan di dalam masyarakat Melayu, kurang pasti pula sama ada perumpamaan ini menyindir atau menyatakan sikap seseorang atau sesuatu kumpulan manusia, tetapi yang pastinya adalah mengenai penglibatan di dalam aktiviti kejahatan, sama ada kejahatan terang- terangan atau kejahatan yang tersembunyi yang akhirnya terdedah bagai bangkai gajah yang sukar hendak ditutup.
" Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan " inilah perumpamaan yang dimaksudkan itu.

"Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan" - bermaksud kalau sudah terlanjur melakukan kejahatan, biarlah berjuang habis-habisan sehingga memperolehi hasil daripada perbuatan tersebut. Adakah rangkaikata ayat ini merupakan suara hati mereka yang sedang terlibat dengan kejahatan yang disedarinya atau suara sindiran orang lain terhadap mereka yang melakukan kejahatan ataupun itulah sikap yang terbina di dalam diri orang jahat itu, semua telahan dan tebakan itu sukar hendak dibuat kesimpulannya.

Pekasam sebenarnya makanan orang Melayu yang popular juga,mungkin boleh dikategorikan sekumpulan dengan budu atan cencalok di mana pekasam ini bahan masakannya ialah ikan ( ikan darat / ikan air tawar ) seperti ikan sepat, puyu dan lain-lain yang disempurnakan dengan resipinya yang tertentu seperti garam, susu beras dan seumpamanya di mana setelah siap digaulkan akan diperam dalam tempoh tertentu sehingga ianya berair dan ketika ini makanan ini akan mengeluarkan bau yang sangat busuk , untuk memakannya sebagai salah satu menu sama ada untuk makan tengah hari atau malam, maka pekasam itu hendaklah digoreng bersama bawang terlebih dahulu sehingga garing, insya Allah rasanya sedap dan lazat.

Oleh itu pekasam bukanlah sesuatu yang buruk atau hina tetapi baunya sahaja yang tidak menyenangkan, perumpamaan di atas lebih menyentuh dan menekankan tentang baunya yang busuk dan hina yang bersemadi di dalam diri pekasam tersebut.

Berbalik kepada perumpamaan ini kita seharusnya melihat kepada maksud yang tersirat di dalamnya.di mana tujuan perumpamaan ini adalah menasihati masyarakat supaya tidak berkelakuan atau mengambil sikap melakukan kejahatan sehingga terhasil kejahatan tersebut.
_________________________________

Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya sentiasa insaf.

" Jika"

Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan.

_______________________________

Sebaliknya masyarakat boleh juga mengambil sikap positifnya iaitu melakukan sesuatu pekerjaan yang baik walaupun dihina orang, pekerjaan itu tetap diteruskan sehingga berjaya
, menyeluk pekasam boleh kita artikan sebagai susuatu yang baik kerana pekasam itu makanan yang halal, mencari atau mendapatkan rezeki yang halal seeloknya diusahakan sehingga ke penghujungnya atau sehingga ianya berjaya.

Kejatuhan Zine El Abidine Ben Ali (Zainal Abidin bin Ali) - (Tunisia) - dan Hosni Mubarak- ( Mesir ) diumpamakan oleh rakyat umum sebagai "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan" iaitu suatu sikap yang tidak baik yang ditunjukkan mereka sehingga kejahatan dan busuknya terserlah ke seluruh dunia, seumpama bangkai gajah yang tidak mungkin ditutup dengan nyiru. Akhirnya kebusukan itu tidak lagi kembali pulih, sebaliknya terus membusuk sehingga ke akhir hayat mereka.

Sekian...wallahu aklam.








Wednesday, July 27, 2011

Selepas berbuka puasa jangan terus menghisab rokok

Salam semua.

Tabiat orang berpuasa atau orang yang sedang lapar sentiasa berangan-angan serta ingin merasai apa sahaja yang lazat-lazat yang pernah dirasainya ketika tidak berpuasa. Angan-angannya melambung tinggi tanpa terfikir bahawa saiz ruang perut tidak berubah dan tidak pun berlaku semakin besar yang membolehkan ruangnya itu diisi dengan lebih banyak makanan ketika bulan puasa atau bulan Ramadan, kalau dibiarkan nafsu berangan-angan tanpa dikawal dengan akal yang beriman sudah pasti akan berlaku pembaziran dan menghakiskan pula ganjaran kebaikan yang dijanjikan.

Bagi penagih rokok ketika sedang berpuasa mereka akan berangan-angan sebaik sahaja selepas berbuka puasa akan terus menghisab rokok yang sedang menunggu dengan setianya di dalam kotak, lagi hampir waktu berbuka lagi kuatlah angan-angan itu, walaupun sebelumnya mereka dapat bersabar sehari suntuk tanpa menyentuh rokok, sebenarnya uslub ayat ini adalah uslub ayat pengalaman penulis semasa menjadi penagih rokok lebih 30 tahun dahulu.Kini telah menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan di mana pada tahun 80an penulis mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Setiap kali berbuka puasa penulis akan berangan-angan akan menghisab rokok selepas berbuka nanti, begitulah berlaku saban tahun tetapi pada suatu tahun dalam tahun 80an penulis terfikir . " kenapa aku tidak boleh berhenti merokok pada hal pada waktu siang tadi aku tidak sentuh pun rokok ini", kemudian teringat lagi di hati , "aku menahan diri tidak merokok kerana menjaga puasa supaya puasa itu tidak batal, kalau itu aku boleh buat dan lakukan mengapa pula aku tidak dapat meneruskan tahan diri dan tidak menghisab rokok ini pada waktu-waktu yang lain atau buat selamanya, kali ini eloklah aku beralih pula menahan diri dan bersabar tidak merokok atas sebab merokok itu menjejaskan kesihatan dan juga akhlak atau tegasnya amalan yang telah diakui tidak baik".

Diringkaskan cerita penulis pun merealisasikan apa yang terfikir dan teringat itu, oleh itu setiap kali selepas berbuka puasa penulis tidak lagi menyentuh batang rokok dan jauh sekali menghisabnya. Bagi penagih rokok inilah masanya untuk berhenti merokok. Perkara yang paling penting dalam menjayakan rancangan berhenti merokok ini ialah fokus minda, untuk berhenti merokok minda kita perlulah difokuskan kepada perkara lain terutamanya setiap kali selepas makan atau minum, ketika itu putaran
minda hendaklah dialihkan ke arah lain dengan sekuat-kuatnya ( bukan pada rokok ) dan azam untuk berhenti juga hendaklah mengatasi keinginan merokok. Segala kebaikan berhenti merokok itu hendaklah dilonggokkan di hadapan dan benamkan rasa ketagih itu di bawah tapak kaki.

Ejek atau perlilah diri sendiri kalau gagal berhenti kerana dengan cara itu kita akan mencuba lagi sehingga berjaya.

Sekian...wallahu aklam.


Hanya orang jahil tidak mensyukuri kehadiran Ramadan.

Salam semua.

Di saat artikel ini ditulis Syaaban berbaki hanya empat hari lagi sahaja, ini bermakna Ramadan sudah semakin hampir, kehadirannya ditunggu-tunggu oleh mereka yang beriman dengan penuh kesukaan dan kegembiraan serta penuh harapan. Hanya mereka yang jahil sahaja tidak mensyukuri kehadiran tersebut, malah mereka menerima kehadiran tersebut dengan penuh kegelisahan, demikianlah Allah menjadikan manusia itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Berbahagialah mereka yang telah mendapat hidayah dan taufiq dari Allah Yang Maha Penyayang.

Kalau hendak dihitung nikmat kurniaan Allah sangatlah banyak dan tidak terhitung,
______________________

[18]
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
( Surah Al.Nahl )

_____________________________

Dalam tempoh berpuluhan tahun manusia menikmati rezeki pemberian dan kurniaan Allah tanpa henti-henti. Kini hanya sebulan dalam tempoh setahun diperintahkan berpuasa, itupun ketika waktu siang sahaja, manakala waktu malam dibenarkan menikmati semula makanan yang lazat-lazat seperti biasa. Larangan makan pada waktu siang digantikan dengan berbagai kebaikan dan kebajikan yang akan dikurniakan Allah baik di dunia dan akhirat, semuanya bertujuan menyelamat manusia daripada melakukan pekerjaan sia-sia di dalam keadaan mereka jahil dan sesat.

Puasa terkandung banyak kebaikannya; iaitu kebaikan yang disedari oleh manusia dan terdapat juga yang tidak diketahui . Ramadan merupakan suatu institusi latihan ke arah membersihkan jiwa manusia, di antaranya.
- Melatih manusia supaya bersyukur ke atas rezeki dan nikmat kurniaan Allah yang tersangat banyak dan tidak terkira jumlahnya.
- Melatih manusia supaya bersabar sepanjang masa , khasnya ketika menghadapi kesusahan dan kesukaran.
- Melatih manusia supaya tidak membazir dan melampau dalam melayani nafsu lapar dan dahaga.
- Puasa boleh mengurangkan terkena berbagai penyakit fizikal seperti darah tinggi, obesiti, jantung dan sebagainya, di mana penyakit tersebut banyak berkait dengan tabiat makan yang melampau.
- Manusia dapat menghampirkan diri dengan Allah dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda dari Allah.
- Peluang yang diberikan Allah kepada hamba-Nya mendapat rahmah, maghfirah dan bebas dari azab api neraka, suatu keistimewaan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Melalui panduan berpuasa Ramadan manusia akan mengetahui kelebihan-kelebihan yang disebut di atas. Rasulullah.s.a.w. adalah penyampai maklumat utama dalam mempelajari cara-cara berpuasa, baginda adalah tempat rujuk yang afdal.

Dari Abu Hirairah, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Allah `Azzawajalla berfirman: “Semua amalan umat manusia adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sebab, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran”(*). Puasa merupakan benteng dari perbuatan maksiat. Oleh yang demikian, jika salah seorang antara kamu berpuasa, maka janganlah bercakap kotor, berteriak-teriak atau maki hamun! Jika ada seseorang mencaci dirinya atau diajak bergaduh, maka katakanlah kepadanya: “aku ini sedang berpuasa.” Diulangi sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang menguasai diri Muhammad! Bau mulut seseorang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah (pada hari kiamat) daripada wangian kasturi. Seseorang yang berpuasa akan memperolah dua kegembiraan yang amat menyenangkan hatinya, iaitu: Tatkala berbuka, dia akan bergembira dengan berbuka itu dan di kala hendak berjumpa Tuhannya kelak. Dia akan bergembira kerana puasanya.

(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan An-Nasai`)



Sekian...wallahu aklam.

Kisah Nabi Yusof.

Salam semua.



12. Yusuf

Terjemahan surah Yusof:

[1]
Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.
[2]
Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.
[3]
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.
[4]
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.
[5]
Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
[6]
Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
[7]
Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).
[8]
(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”
[9]
(Ramai di antara mereka berkata):” Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”.
[10]
Salah seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu”.
[11]
Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?
[12]
Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya”.
[13]
Bapa mereka menjawab: “Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya “.
[14]
Mereka berkata: “Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi”.
[15]
Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:” Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) “.
[16]
Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.
[17]
Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.
[18]
Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: “Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu.”
[19]
Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: “Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)”. (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
[20]
Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.
[21]
Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[22]
Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[23]
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.
[24]
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
[25]
Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.
[26]
Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:” “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.
[27]
Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”.
[28]
Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.
[29]
Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!”
[30]
Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”
[31]
Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”
[32]
(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”
[33]
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.
[34]
Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[35]
Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.
[36]
Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)”.
[37]
Yusuf menjawab: “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.
[38]
“Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
[39]
“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?
[40]
Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[41]
“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu”.
[42]
Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”. (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.
[43]
Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.
[44]
Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.
[45]
Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) “.
[46]
(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.
[47]
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
[48]
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
[49]
“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.
[50]
Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:” Bawalah dia kepadaku! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: “Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”.
[51]
Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: “Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf”. Isteri Al-Aziz pun berkata: “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.
[52]
“(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.
[53]
“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[54]
Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami “.
[55]
Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.
[56]
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.
[57]
Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
[58]
Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya.
[59]
Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:” (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?
[60]
Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi”.
[61]
Mereka menjawab: “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya”.
[62]
Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. “Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)”.
[63]
Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: “Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya”.
[64]
Bapa mereka berkata: “(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan”.
[65]
Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya”.
[66]
Bapa mereka berkata:” Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”. Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: “Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.”
[67]
Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.
[68]
Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).
[69]
Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:” Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan”.
[70]
Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:” Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “.
[71]
Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: “Apa benda kamu yang kehilangan?”
[72]
Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”.
[73]
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri”.
[74]
(Orang-orang menteri) bertanya: “Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?”
[75]
Mereka menjawab: “Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim”.
[76]
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,
[77]
Mereka berkata:” Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): “Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu”.
[78]
Merekapun merayu dengan berkata: “Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi “.
[79]
Yusuf berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim”.
[80]
Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): “Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.
[81]
Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.
[82]
Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar”.
[83]
(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[84]
Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.
[85]
Mereka berkata: “Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa”.
[86]
(Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.
[87]
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.
[88]
Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: “Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma”.
[89]
Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”
[90]
Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
[91]
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
[92]
Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
[93]
Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya”.
[94]
Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): “Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)”.
[95]
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama”.
[96]
Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?”
[97]
Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
[98]
Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[99]
Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.
[100]
Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: “Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[101]
“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.
[102]
(Kisah nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).
[103]
Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).
[104]
Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.
[105]
Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.
[106]
Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.
[107]
(Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?
[108]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”
[109]
Dan tiadalah Kami mengutus Rasul – sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?
[110]
(Orang-orang yang mendustakan ugama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.
[111]
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.


Monday, July 25, 2011

Tazkirah Us.Azhar Idrus menarik minat ramai, tua dan muda.

Salam semua.

Saya pernah beberapa kali
menonton youtube ceramah Us.Azhar Idrus dan inilah buat pertama kali mengikuti kuliahnya di lokasi sebenarnya.( Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , Shah Alam - pada 24.7.2011 ).
Seawal jam 6.00 petang sebahagian orang ramai mulai sampai ke masjid, jam 6.30 sebahagian ruang masjid telah dipenuhi oleh ribuan ahli jamaah, sejak jam tersebut kehadiran semakin bertambah dan kelihatan bertali arus masuk ke masjid sehinggalah tiba waktu Maghrib jam 7.30 , apa yang berlaku selepas azan bersabit kehadiran ini wallahu aklam kerana penulis sendiri tidak lagi berpeluang memerhatikannya. Kehadiran yang sangat ramai itu memang diluar jangkaan. Syabas kepada Masjid Negeri kerana sentiasa mengadakan majlis ilmu yang sangat bermanfaat itu. Usaha mencelikkan rakyat dalam bidang memahami isi kandungan al.Quran dan al.Hadis secara bersungguh-sungguh adalah dituntut oleh Islam.Us.Azhar bergerak ke meja kuliah, tazkirah akan bermula bila-bila masa sahaja.


Sebaik sahaja selesai solat Maghrib kuliah pun dimulakan.
Orang muda lebih ramai berbanding dengan orang dewasa.

Mendapat sambutan luar biasa.




Friday, July 22, 2011

Dari atas menara .(puisi)

Salam semua.

Betapa indahnya Tanah Airku,
Betapa cantiknya Malaysia.
Buminya kelihatan menghijau,
Bukit bukau, hutan kelapa sawit dan getah kelihatan beralun indah.
Alunannya bagai ombak membadai pantai.

Bertuah bila berada di atas menara tinggi.
Puncak Kinabalu pun kelihatan rendah,
Rumah dan pondok si miskin kelihatan indah menghiasi permukaan bumi,
Segala-galanya cantik dan indah, terasa di hati hendak kekal sahaja di atas menara.
Demikianlah mata dan minda si penghuni menara .

Mereka yang melata dan merangkak di atas permukaan bumi.
Melihatnya berbeza, sawah dan hutan belantara berpisah-pisah,
Berpisah kerana sebahagian besarnya hak orang lain,
Sebahagiannya tumpah dan tiris di gudang besar,
Teringat kembali nenek moyang kaya raya,
Kini Melayu di menara kaya raya.
Melayu di Kuala hidup derita.

Air sungainya jijik dan kotor,
Bukit bukau kelihatan botak, air sungai berwarna merah tanah,
Dahulu mereka hidup aman dan damai,
Dahulu mereka memiliki nilai-nilai murni,
Dahulu mereka berpaut pada keadilan,
Kini sukar menelah, meneka dan menebaknya.


Thursday, July 21, 2011

Demontrasi bukan penyelesaian tetapi ke arah penyelesaian.

Salam semua.

Kanak-kanak kecil apabila melihat barang permainan di depan mata , mereka akan menyatakan keinginan untuk memiliki barangan tersebut kepada ibu bapa mereka atau orang dewasa yang berkuasa atau bertanggungjawab atas diri mereka
secara lembut dan baik , mereka tidak akan meminta daripada sebarangan orang , setelah memonta berkali-kali tetapi tidak berhasil juga, lantas mereka akan meronta-ronta dan menjerit-jerit menunjukkan darjah ketinggian keingin itu, itulah cara mereka menunjuk dan menzahirkan perasaan sejauh mana keinginan mereka terhadap barang permainan tersebut, mereka meluahkan perasaan itu kepada orang dewasa di sekelilingnya supaya memahami hasrat mereka, hendak melawan mereka sedar bahawa mereka tidak akan mampu, itulah langkah atau cara terbaik yang patut dilakukan.Itupun setelah ibu bapa atau orang berkenaan buat indah tak indah pada permintaannya.

Permintaan mereka itu sebahagian besarnya sesuai dan munasabah, sebab itulah sebahagiannya tertunai hajat atau berjaya mendapatkannya segera, ada yang agak lewat kerana faktor kemampuan ibu bapa dan ada juga yang gagal. Bukan sahaja ketika berhendakkan barang permainan
kanak-kanak akan menunjuk perasaan malah ketika orang dewasa melayani mereka secara yang tidak secucuk dengan hati mereka pun akan berlaku tunjuk perasaan.

Apabila tunjuk perasaan ini berlaku akan menarik perhatian ramai, bukan sahaja ibu bapa atau abang dan kakaknya sahaja , setelah menumpukan perhatian terhadap kelaku kelakatnya itu orang di sekelilingnya faham akan tujuan tangisan dan jeritannya maka ramailah juga yang akan menasihatinya atau menasihati ibu bapanya supaya masalahnya diselesaikan.

Demikianlah naluri manusia sejak kecil sampailah dewasa mereka akan memiliki naluri yang sama,yang berbeza hanya kualitinya sahaja, setelah dewasa sudah pastilah keinginan itu bukan lagi kepada barang permainan tetapi beralih pula kepada perkara-perkara yang sesuai dengan orang dewasa yang berkait rapat dengan kehidupan harian dan dunia sejagat, cara dan kaedah tunjuk perasaan atau demontrasi itu juga akan dipersembahkan dengan cara yang berbeza.


Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, July 20, 2011

Laman Kehidupan Bersih dikunjungi ramai.

Salam semua. 
Sejak  "Himpunan Bersih 2.0" direalisasikan pada 9hb.Julai 2011 lagi, Laman "Kehidupan Bersih" turut dikunjungi ramai atau lebih ramai berbanding dengan masa-masa sebelumnya, apabila pengunjung menulis "bersih" di dalam ruang google dan dikliknya selepas itu, maka terkeluarlah "Aktiviti dan gambar Himpunan Bersih" dan "Kehidupan Bersih" pun tumpang keluar bersama mengambil tempat di dada skrin laptop dan komputer menjadikan jumlah pengunjungnya bertambah ramai.

Kini bilangan pengunjungnya
masih kekal, ada juga yang marah-marah dengan laman Kb ini, penulis memang menyedari sejak dari awal lagi bahawa manusia ini kepalanya sahaja yang sama hitam tetapi pandangan dan sikap mereka berbeza, oleh itu penulis tidak perlu marah-marah, cuma disyorkan kepada yang marah-marah itu tulislah suatu artikel yang boleh memikat hati dan menawan minda penulis, mungkin penulis akan berubah pendiriannya - mana tahu - Lagi pun penulis tidak menyebelahi mana-mana pihak DAN laman Kb ini juga tiada kena mengena dengan "Himpunan Bersih 2.0" , sebaliknya ia dibangunkan sejak sebelum wujud himpunan tersebut, perkara yang ingin dijelaskan di sini ialah pada dasar dan nalurinya semua manusia cinta dan sukakan keadilan dan ketelusan , mungkin penulis juga berada di dalam kategori yang sama kerana penulis berpegang kepada aqidah yang menyuruh manusia berbuat demikian, semua makhluk Allah semestinya berada di bawah kekuasaan Allah.

Laman sesawang Kb ini dibangunkan semata-mata bertujuan menjana kehidupan bersih melalui ilmu dan sentuhan minda di internet, terutamanya bersih dari segi aqidah manusia. Pandangan dan pendapat yang dianjurkan di dalamnya terselit harapan agar tercetusnya benih kehidupan yang lebih bersih dan penulis ingin menumpang di dalam kebersihan itu, bukanlah bermakna dan bermaksud penulisnya telah bersih, Tiada manusia yang bersih dan sesucinya kerana mereka tidak maksum seperti anugerah yang diberikan Allah kepada para Rasul-Nya. Hanya para rasul sahaja yang maksum ( tiada dosa).

Selain itu penulis juga ingin menghayati dan mengambil sikap proaktif terhadap sabda Rasullulah.s.a.w. yang berbunyi " Ballighu 'anni walau ayah" yang bermaksud "sampaikanlah apa-apa daripadaku walaupun sekadar satu ayat".

Untuk menyampai kebaikan kepada manusia seseorang Islam itu tidak perlu menunggu sehingga lulus pengajiannya di Pusat Pengajian Tinggi atau setelah terkumpul ilmu menggunung tinggi, sebaliknya sampaikanlah sekadar kemampuan masing-masing.
Sedikit demi sedikit lama-lama akan menjadi bukit.

Sekian...wallahu aklam.















Menuju destinasi

Salam Semua.

Doa dan harapan.
Destinasinya semakin hampir ,
Sebahagian doa telah dikabulkan,
Harapan ke destinasi semakin cerah,
Berbaki tiga purnama kesabaran untuk sampai dan menyaksikan,
Kesusahan dan kesukaran jelas kelihatan,
Sebahagian kesusahan dan dugaan telah dilalui.

Berduyun-duyun melata umpama semut menuju ke sarang.
Kesenangan atau kesukaran hanya takdir Ilahi.
Setiap doa memohon dan merayu mendapat keselesaan dan kesenangan.
Setiap doa memohon dan merayu perolehi kebaikan dan kebajikan.
Sabar kunci kejayaan.

Menambahkan ilmu memurnikan ibadat.
Ikhlaskan hati betulkan objektif dan matlamat.
Sepadukan Islam, iman dan ihsan.
Bertaubat jadikan wirid harian,
Rendahkan diri, khusyukkan hati.
Agar ibadat diterima Allah.

Wednesday, July 13, 2011

Hanya andaian dan khayalan - Bersih.


Salam semua.

Peristiwa "Himpunan Bersih 2.0" telah pun berlaku pada 9 Julai 2011 (Sabtu) yang telah lalu dan mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, para peserta Bersih terpaksa menghadapi Pasukan Polis di beberapa lokasi laluan mereka , malah terdapat juga yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan gas pemedih mata dan di kalangan mereka ada juga yang terpaksa dirawat, demikianlah hasil halangan yang dilakukan oleh pihak penjaga keselamatan supaya himpunan itu tidak meneruskan aktiviti mereka seperti yang diprogramkan.

Nah itulah yang telah berlaku, jika menonton video berkenaan tentulah lebih realistik ceritanya, artikel ini tidak berminat hendak menceritakan apa yang telah berlaku itu kerana apa yang telah berlaku itu boleh didapati dan menonton sepuasnya di internet. Rencana ringkas ini ingin membuat andaian dan khayalan sekiranya Himpunan Bersih tidak disekat dan dihalang.

Andaian dan khayalan.
Sekiranya Himpunan Bersih tidak disekat perarakannya dan proses perarakannya pula diarah mengikut beberapa syarat yang dipersetujui oleh para pemimpin bersih dan pihak polis supaya dipatuhi Bersih dan laluan-laluan ditetapkan sehingga perarakan itu sampai ke lokasi yang dituju ( tanpa halangan) dengan disediakan kawalan ketat.

Jika diandaikan situasi tersebut memang wujud , akhirnya apakah agaknya yang akan berlaku selepas perarakan itu selesai ?

Mungkin;
- Tiada kecederaan berlaku.
- kemarahan terhadap pihak berkuasa akan menurun,
- kebebasan merealisasikan hak rakyat dirasakan tidak disekat.
- pihak kerajaan dilihat lebih rasional menangani masalah.
- tuntutan yang dikemukakan dilihat kurang serius.
- demokrasi dilihat berfungsi dengan baik dan adil.
- Dan lain-lain yang positif.

Kini segalanya telah berlaku dan berlalu dengan penuh catatan sejarah pahitnya.Oleh sebab himpunan tersebut dihalang dan dibenteras dan ianya kini dirasakan telah memberi kesan di sebalik yang diandaikan di atas.

Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, July 12, 2011

Mencari punca masalah.


Salam semua.

Mencari punca masalah atau punca penyakit.

Dalam artikel yang telah lalu saya pernah menceritakan tentang penyakit migrain yang saya alami pada setiap hari sejak zaman remaja sehinggalah selepas bersara. Bagi mereka yang jarang mengalami sakit kepala dan kurang prihatin dengan penyakit ini, mungkin mereka itu sukar mempercayai bahawa terdapat manusia yang
mengalami sakit kepala setiap hari , pada hal hakikatnya memang wujud manusia sedemikian.

Berdasarkan penjelasan doktor sakit kepala itu bukanlah penyakit tetapi ianya hanya tanda penyakit, untuk mengubatinya para doktor perlulah mencari punca yang menyebabkan berlakunya penyakit tersebut, mungkin disebabkan tekanan angin, kalau disebabkan tekanan angin ke atas otak menyebabkan sakit kepala, maka terpaksalah mencari punca yang menyebabkan angin itu pula, di bahagian inilah yang perlu dirawati supaya tidak menghasilkan angin.tanpa angin berlebihan di dalam badan sakit kepala pun tidak berlaku, kalau telah wujud situasi demikian bermakna sakit kepala (migrain ) itu telah berjaya diubati.Iaitu dengan menghapuskan punca penyakit tersebut. ( contoh ini sebagai andaian semata-mata )

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan "Himpunan Bersih" di mana perhimpunan yang berlaku itu telah pun divideokan dan dalam sekelip mata telah dimuatkan di internet dan sekali gus dapat ditonton bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia dapat menyaksikannya . Tidak dapat dinafikan bahawa himpunan tersebut telah menyebabkan masalah besar kepada kerajaan.

Seperti disebutkan bahawa setiap penyakit mempunyai punca penyakitnya dan setiap masalah mempunyai punca masalahanya. Kalau ingin menyelesaikannya hendaklah mencari punca masalahnya, setelah dikenalpasti punca masalahnya, maka punca tersebut hendaklah dihapuskan segera. Sekiranya punca itu berkaitan dengan sistem yang sedang diamalkan di dalam sesuatu sektor atau bidang pentadbiran, di mana sistem tersebut dipercayai sedang menyumbang kepada ketidakadilan dan penipuan.Ianya elok disemak, malah perlu dibawa ke meja perbincangan dan perundingan dengan pihak yang berkaitan. Kalau pihak yang berkuasa menafikan perundingan ditakuti bara api yang masih merah itu akan menyala semula dan akan terus membakar dan merebak serta pucuk apinya akan menjulang lagi pada masa akan datang.

Sikap mahu berunding ini akan menyerlahkan lagi rasa tanggungjawab dan cintakan negara dan terhindar daripada sikap mementingkan
diri. Justeru rakyat dan negara lebih diutamakan.

Sekian...wallahu aklam.