Monday, September 29, 2008

Mengenal Allah / Makrifatullah dengan dalil aqli dan naqli..

Salam semua.


Manusia di dunia ini menganuti berbagai-bagai kepercayaan, di mana kepercayaan itu ada yang tergolong sebagai adat dan ada yang dianggap sebagai agama.Ini berlaku kerana Allah menjadikan manusia sememangnya mempunyai naluri ingin menyembah Allah, oleh itu dalam perjalanan mencari Tuhan itu mereka terjumpa berbagai-bagai benda yang pada sangkaan mereka itulah Tuhan atau perantara Tuhan. Pada hal apa yang dijumpai itu tanpa disedari  perkara yang dianggap Tuhan itu  sebenarnya makhluk seperti mereka juga.Tetapi, apabila sesuatu perkara yang batil (salah) sekali pun, setelah menjadi kepercayaan sesuatu masyarakat, kepercayaan tersebut sukar hendak dikikis atau hendak dinafikan oleh pihak lain tentang kebenarannya kerana amalan itu diwarisi sejak ribuan tahun dahulu.Contohnya kepercayaan karut dan khurafat yang diamalkan atau dipercayai di kalangan masyarakat kita, ianya  masih berlaku walau pun dalam ajaran Islam jelas menyatakan perkara itu boleh merosakkan aqidah atau syahadah.

Manusia di dunia ini pada amnya terbahagi kepada dua golongan iaitu Golongan yang menyembah Tuhan dan Golongan yang tidak percaya adanya Tuhan.Mereka yang menyembah Tuhan ini seperti orang Islam, kristian, Budha, Bahai, Hindu dan seumpanya, manakala yang tidak percaya adanya Tuhan, me
reka dikenali sebagai mulhid atau free thinker dan seumpamanya, mereka ini mempercayai alam ini terjadi dengan sendirinya (nature) tanpa penciptanya atau semula jadi, oleh itu mereka tidak menyembah Tuhan.Akal menusia sebenarnya terhad jangkauan akal  tidak mampu mencari tuhan dengan semata-mata menggunakan akal tanpa bantuan pihak lain (wahyu-rasul).

Golongan yang mempercayai adanya Tuhan atau yang beragama ini pula terbahagi kepada dua golongan iaitu agama samawi (dari langit) iaitu dari sumber wahyu dan agama bukan samawi. Agama samawi ialah Islam, Nasrani dan Yahudi manakala agama yang bukan samawi (bukan turun d
ari langit) seperti agama Hindu, Budha,Bahai dan seumpamanya. Penjelasan ini adalah berdasarkan kepercayaan atau aqidah orang Islam, orang bukan Islam sudah tentulah mempunyai hujah yang lain mengikut kepercayaan mereka. Islam menghormati kepercayaan masing-masing sebab itulah di dalam al.Quran surah al.Baqarah ayat (256) dinyatakan bahawa tiada paksaan dalam beragama. 
 Firman Allah yang bermaksud,"Tiada paksaan dalam agama. sesungguhnya sudah nyata petunjuk daripada kesesatan. Barang siapa yang tidak percaya kepada taghut (berhala) dan beriman kepada Allah, sesungguhnya dia telah berpegang dengan tali yang teguh dan tidak akan putus. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". 
 Perlu difahami dan diingatkan bahawa tiada paksaan di sini bermaksud seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk manganut agama Islam, lagi pun Islam itu berteraskan iman iaitu kepercayaan di hati terhadap semua prinsip rukun iman dan rukun Islam, tetapi , apabila seseorang itu telah memeluk Islam mereka wajib mematuhi peraturan yang terdapat di dalam ajaran Islam. Susungguhnya mereka telah berada di bawah peraturan Islam. Tegasnya tiada siapa boleh mempermain-mainkan Islam.
Golongan agama samawi ini pula terbahagi kepada dua golongan iaitu Islam dan Nasrani/Yahudi, mereka ini sama-sama mempercayai bahawa Tuhan itu ialah Pencipta sekelian alam ini, tetapi di sana terdapat perbezaan tertentu di antara mereka menjadikan kepercayaan mereka berbeza.

Golongan agama samawi ini menganuti agama berdasarkan atau berpandukan wahyu dan akal, bukan akal semata-mata, sumber asal aga
ma ini dari kitab yang diturunkan oleh Allah iaitu kitab Taurat kepada Nabi Musa, Zabur kepada Nabi Daud, Injil kepada Nabi Isa dan al.Quran kepada Nabi Muhammad,s,a,w.

Golongan Nasrani dan Yahudi tidak mempercayai bahawa kitab al.Quran adalah yang terakhir yang membatalkan ajaran yang terdapat di dalam kitab-kitab yang terdahulu dan diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad,s,a,w, sebagai rasul yang terakhir,walau pun di dalam kitab Injil ada menceritakan hal ini. ( Untuk menambahkan pengetahuan Sila rujuk video debat Ahma
d Deedat ). Ketika al.Quran diturunkan dan Nabi Muhammad,s,a,w dilantik menjadi Rasul orang Nasrani masih mengamalkan ajaran yang terdapat di dalam kitab Injil, mereka tidak mahu menerima ajaran baru yang dibawa oleh nabi Muhahammad,s,a,w. Kebenaran Nabi Muhammad sebagai Rasul terakhir terbukti ada penjelasannya di dalam kitab Injil, mereka tetap enggan mengakuinya kerana ada alasan yang tersendiri, terutamanya kerana kepentingan diri, di antaranya takut kehilangan pangkat kebesaran, punca rezeki dan mereka yang di bawah pimpinan pula dipengaruhi pemimpin mereka supaya tetap bersama mereka. Apabila kitab terdahulu semakin tidak sesuai dengan keadaan zaman, maka mulalah mereka bertindak menyeleweng dan memesongkan fakta yang terdapat di dalam kitab-kitab tersebut terutamanya kitab Injil sehingga naskhah asal kitab tersebut tidak wujud lagi di kalangan mereka. Perkara ini tidak akan berlaku pada al.Quran. Al.Quran Allah pelihara ketulenan dan keasliannya sehingga hari Kiamat, walau pun terdapat musuh Islam cuba menyelewengkannya tetapi akhirnya akan disedari oleh orang Islam, selain terdapat di dalam naskhah cetakan, Al.Quran juga tersimpan di dalam dada begitu ramai Hafiz al.Quran di dunia ini. Dalam hal ini Allah berfirman di dalam al.Quran ayat (23) surah al.Baqarah, mafhumnya; "Dan jika kamu ragu-ragu tentang (al.Quran) yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka perbuatlah olehmu satu surah seumpamanya dan panggillah saksi-saksimu selain daripada Allah, jika kamu orang yang benar"
Untuk merongkai kecelaruan kepercayaan dan menganuti kepercayaan yang benar, kita terlebih dahulu perlu mengenal Tuhan yang mencipta diri kita dan seluruh alam ini.Dalam Islam dikenali sebagai (ma'arifatullah) kenal Allah atau ( awaluddin maa'rifatullah) perkara utama dalam ad.Din (agama) ialah mengenal Allah. Kalau tidak, kita akan menyembah sesama makhluk kerana yang bukan Tuhan disangka Tuhan, lantas kita menyembahnya, keadaan ini menjadikan manusia sesat dan menyesatkan orang lain yang menjadi pengikutnya. Jika kita mengenal hakikat diri sendiri, maka kita akan kenal Allah.

Untuk mengenal Tuhan (Allah) sebagai orang Islam kita seharusnya berlandaskan kepada dua bukti (dalil), iaitu dalil aqli dan da
lil naqli. Dalil aqli ialah menggunakan lojik akal atau membuktikan kewujudan Allah melalui akal, manakala dalil naqli ialah sumber tentang kewujudan Allah dan perkara yang berkaitan berdasarkan al.Quran dan al.Hadis.

Sebenarnya manusia tidak mampu mencari Tuhan semata-mata dengan menggunakan akal tanpa wahyu dari Allah yang diturunkan kepada rasul-rasul. Oleh itu untuk mengenal Allah manusia itu perlu ada akal dan wahyu, tanpa akal manusia tidak kenal Allah dan tanpa wahyu juga manusia tidak kenal Allah. Maka sebab itulah Allah Taala mengutuskan rasul-rasul u
ntuk manusia mengenali Allah iaitu Tuhan yang wajib mereka sembah. Rasul ditugaskan memperkenalkan diriNya dan memperkenalkan Allah kepada manusia melalui wahyu yang diterima mereka.Mengenal Allah melalui dalil aqli.
Cuba kita fikir dan perhatikan kejadian alam ini seperti bumi, lautan, gunung-ganang, bukit bukau, bulan, bintang, planet-planet kecil yang lain, manusia, binatang, serengga, kuman, ulat, pokok, air, api, udara, cahaya dan bermacam-macam lagi. Adalah tidak menasabah semua kejadian tersebut terjadi dengan sendirinya tanpa penciptanya Yang Maha
Bijaksana, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Sempurna sifatNya. Bagi mereka yang mempunyai akal yang waras meyakini bahawa kejadian tersebut ada penciptanya dan penciptanya itulah Tuhan (Allah) Yang Maha Pencipta, Maha Bijaksana, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang tidak dimiliki oleh yang lain. Maka inilah Tuhan yang wajib kita sembah dan memperhambakan diri buat selama-lamanya.Ini adalah pelengkap kepada kehidupan bersih dan suci yang dilalui manusia.

Tuhan tidak serupa (mukhalafah) dengan kita (makhluknya). Kalau Tuhan serupa dengan kita yang memerlukan makan, minum, tidur,ada anak,ada ibu dan seumpamanya bermakna Dia lemah seperti kita juga,yang bersifat lemah seperti ini tidak layak dianggap Tuhan, Tuhan sifatNya Maha Berkuasa, tidak beranak dan tidak diberanakkan. Nabi Isa, a, s, bukan anak Tuhan. Dia sebenarnya dijadikan oleh Allah (Tuhan) di dalam kandungan Mariam. Itulah sifat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui serta Maha Bijaksana Allah T
aala.( Tuhan itu ialah Pencipta seluruh alam ini dan Tiada sekutu denganNya )
Mengenal Allah melalui dalil naqli.
Dalil Naqli seperti yang telah dijelaskan iaitu dalil atau bukti yang dirujuk daripada al.Quran dan al.Hadis. Sumber ini adalah datang daripada Allah dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad, s, a, w. dan disampaikan kepada manusia. Di mana melalui sumber tersebut Allah menerangkan tent
ang kejadian alam ini dan sifat-sifat kesempurnaan Allah supaya manusia, malaikat dan jin mengenal Allah. S. W. T. dan tidak menyengutukanNya dengan makhluk yang ada di dalam alam ini. Di antaranya maksud firman Allah:
Surah al. Baqarah ayat (255).
"Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, (Ia) Hidup Berdiri (memelihara semesta alam), Dia tidak mengantuk dan tidak pula tidur. BagiNya apa-apa yang di langit dan apap-apa yang di bumi. Tiada yang memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya, melainkan dengan izinNya. Dia mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan apa-apa yang di belakang mereka. Mereka tidak mengetahui sesuatu pengetahuan, melainkan dengan kehendakNya. KursiNya ( IlmuNya/KerajaanNya) meliputi langit dan bumi dan tidak susah bagiNya memelihara keduanya. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar".
Surah Ali-Imran ayat (18).
"Allah telah menyatakan bahawa, tiada Tuhan kecuali Dia dan telah mengakui pula malaikat dan orang-orang yang berilmu, sedang Allah berdiri dengan keadilan. Tiada Tuhan kecuali Dia yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"


Sekian.Wallahu aklam.

No comments: