Monday, September 8, 2008

Sembang-sembang Mengenai Puasa.



PPPPPPPPPPPPPPPPPP

Assalaamualaikum. selamat berpuasa. Puasa telah diwajibkan lebih 1400 tahun dahulu, puasa merupakan ibadat khas yang telah diwajib ke atas manusia tetapi bagi mereka yang belum beriman kepada Allah dan belum Islam mereka diwajibkan beriman dan Islam terlebih dahulu jika gagal berbuat demikian maka mereka berdosa di atas keingkaran atau kekafiran tersebut. Sebab itulah dikatakan puasa itu diwajibkan ke atas orang Islam kerana salah satu syarat sah puasa adalah Islam. ( Kebetulan tahun ini kita berpuasa pada 1hb.Sept.2008/1hb.Ramadan 1429 ) dengan itu senanglah bagi kita untuk menyemak jumlah hari kita berpuasa atau untuk mengingatkannya, untuk taqwim hijrah ianya telah ditetapkan Allah bahawa puasa diwajibkan pada setiap bulan Ramadan setiap tahun.



( Berbuka setelah terbenam seluruh bulatan matahari )

Setiap ibadat khas terutamanya perlu ada bukti atau dalil yang menyatakan Allah ada memerintahkan kita melakukan ibadat tersebut, dalil tersebut sama ada dari Al. Quran atau al. Hadis. Setiap ibadat yang kita lakukan perlulah sentiasa dirujuk kepada sumber tersebut untuk mengelak daripada kita melakukan dengan cara yang salah. Maklumlah ibadat yang kita lakukan itu telah dilakukan sejak 1400 tahun dahulu kalau tidak berhati-hati kemungkinan akan lari dari konsep sebenar atau tidak diterima Allah.

Dalil wajib puasa terdapat di dalam Al.Quran firmannya bermaksud;
" Wahai orang-orang yang beriman telah difardukan puasa ke atas kamu seperti mana difardukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu semoga kamu bertaqwa"surah al. Baqarah ayat 183.



Apakah yang dimaksudkan dengan puasa itu ?.
Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.
Perbuatan kita melakukan puasa itu adalah merujuk kepada maksud tersebut di atas. Perbuatan itu seperti:

> Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu;
: Menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan,
: menahan diri daripada melakukan pendahuluan atau bersetubuh pada siang hari,

> Selain dari perkara tersebut puasa juga jadi batal jika berlaku salah satu perkara berikut;
: Kedatangan haid,
: Bersalin,
: Keluar Nifas,
: Murtad,
: Hilang akal / gila,
: Muntah dengan sengaja,

> Semua perkara yang tersebut di atas perlu dijaga,bagi perkara yang boleh dijaga,( seperti bersalin dan kedatangan haid terserahlah kepada ketentuan Allah ) dan perkara itu tidak boleh berlaku dalam tempoh mulai terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

> Setiap ibadat memerlukan niat. Niat puasa adalah pada waktu malam iaitu tempoh yang diberi ialah mulai terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar. Ini bermakna semasa sedang berbuka puasa kita telah pun boleh berniat untuk puasa esoknya tidak perlu tunggu sehingga selepas kita makan sahur. Niat ialah lintasan di dalam hati, bagi niat puasa memadai kita lintas di hati ungkapan berikut;
" Sahaja aku berpuasa esok menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Taala"

Itulah perkara-perkara yang kita mesti ambil berat penjagaannya semasa kita berpuasa. Perkara ini adalah kaitan khusus berkenaan puasa tetapi kita perlu ingat peraturan lain telahpun wujud sebelumnya kepada kita sebagai orang Islam. Contohnya adakah wajar kita berpuasa pada hal dalam waktu yang sama kita tidak menunaikan solat, tidak menutup aurat dalam keadaan berada di khalayak ramai, bercakap bohong, hasad dengki, berkelahi dan seumpamanya. Sekiranya ini berlaku pada diri kita bermakna kita telah melakukan perbuatan yang sia-sia dan amat merugikan. Solat digambarkan oleh Rasulullah.s.a.w sebagai tiang agama (Islam). Mana mungkin diterima Allah puasa yang tidak diikuti dengan solat fardu - situasi itu bermakna seseorang itu sedang melakukan maksiat kepada Allah - ( wallahu aklam)

Jadikanlah perbuatan berpuasa itu sebagai ibadat kepada Allah yang sebenar-benarnya dan jangan sama sekali menjadikan puasa itu hanya sebagai adat sahaja. Selesai berpuasa kita akan menyambut Hari raya pula. Hari Raya Puasa atau Aidil Fitri hanya sehari sahaja iaitu pada 1hb.Syawal pada setiap tahun dan pada 2hb.Syawal diperintahkan Allah supaya kita berpuasa sunat sehingga 7hb.Syawal atau mana-mana 6 hari di dalam bulan tersebut kecuali pada 1hb.Syawal diharamkan berpuasa kerana pada hari tersebut diperintahkan supaya menyambut Hari Raya

Di antara sunat-sunat puasa atau ketika bulan Ramadan :
1. Melewatkan makan sahur,
2. Membaca doa ketika berbuka,
3. Memulakan dengan memakan benda-benda yang manis seperti buah kurma,
4. Berbuka pada awal waktu, ( tidak melewatkan berbuka )
5. Beriktikaf di masjid sama ada siang atau malam.

Di antara sunat-sunat yang digalakkan kita lakukan pada bulan Ramadan:
1. Solat sunat Tarawih, solat tahajjud, solat taubat, solat witir (witri) selepas solat Isyak,
2. Banyakkan bersedekah / Jamuan berbuka,
3. Menyediakan makanan untuk orang musafir berbuka,
4. Banyak membaca al.Quran.
5. Qiamullail ( Bangun tengah malam beribadat)

Keistimewaan Ramadan;
Bulan Ramadan adalah bulan yang paling istimewa berbanding dengan bulan-bulan lain iaitu dengan adanya malam " Lailatul Qadar " , Lailatul Qadar ini akan berlaku pada salah satu daripada malam-malam dalam bulan Ramadan dipercayai akan berlaku pada minggu akhir Ramadan iaitu selepas 15 hari kita berpuasa atau 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan. Sekiranya sesiapa yang beribadat pada malam tersebut atau dikatakan mendapat Lailatul Qadar pahalanya sama seperti kita beribadat selama seribu bulan atau bersamaan 83.33 tahun. Perkara tersebut Allah ada menyatakan di dalam surah Al.Qadr ayat 1 - 5. Bayangkan dalam masa hidup seseorang Islam itu, Jika mereka bertemu beberapa kali dengan malam tersebut alangkah bertuahnya individu berkenaan. Begitulah Maha Penyayang dan Maha Pengasih Allah terhadap hambanya. Sebab itulah muslimin dan muslimat tekun beribadat dalam bulan Ramadan dan hendaklah juga beristiqamah dalam melakukan ibadat sehingga akhir hayat.

##############

Firman Allah bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan.

Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.


Suarah Al.Qadr ( 1- 5 )

###############

Aidil Fitri.
Hari Raya Puasa ( Aidil Fitri ) juga perlu dirayakan dengan berhati-hati supaya tidak bercampur aduk dengan adat yang sia-sia ( lagha). Sebenarnya semua tingkahlaku dan perbuatan kita hendaklah berpandukan Al.Quran, assunnah, ijmak ulamak dan qias. Walau pun perbuatan atau perlakuan itu dilakukan oleh masyarakat kita ribuan tahun dahulu kalau tidak merujuk kepada sumber tersebut tadi belum terjamin ketulinannya sebagai ajaran Islam kerana sumber yang diamalkan oleh datuk nenek kita bukan semuanya dari sumber Islam, ianya terdapat juga dari sumber-sumber yang bukan Islam yang dibawa dari zaman belum Islam sehingga menjadikan kadang-kadang amalan kita bercampuraduk dengan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam.



Amalan yang dilaksanakan secara ikut ikutan sangat berbahaya bagi mereka yang tidak merujuk kepada kitab Allah dan Assunnah. Sambil beramal elok juga kalau kita merujuk kepada orang yang lebih mengetahui dan mereka yang dianggap lebih mengetahui itu pula perlu mendapatkan maklumatnya dari sumber yang disebutkan tadi. Ringkasnya amalan atau ibadat yang kita laksanakan hendaklah seperti yang dilakukan atau dilaksanakan oleh junjungan kita Muhammad.s.a.w.




Semoga bertemu lagi, wassalam.



2 comments:

Dee said...

x sabar nk berpuasa dan berterawih..

Leenoh said...

Salam Dee,
Terima kasih kerana membacanya dan klik ke sini.he3