Monday, September 26, 2011

Mohon maaf - (puisi)

Salam semua.

Mari kita sama-sama berpantun.
Pantun bukan sebarang pantun.
Sebelum berpergian memohon ampun.
Agar perjalanan penuh santun.

Lama sudah kita bermesra.
Walaupun tidak pernah berjumpa.
Sekadar di alam maya kita bersua.
Namun terkandung pahala dan dosa.

Yang berpahala diminta tambah.
Yang berdosa diminta maaf.
Agar perjalanan penuh barakah.
Setelah semua memberi maaf.

Lebih sepurnama tinggal pangkalan.
Bukan mencari harta yang hilang.
Cuma mencari amal keredaan.
Yang dahulunya niat terhalang.

Pemergian ini memang dirancang.
Pertanda keizinan telah terserlah.
Empat Zulqaedah akan terbang.
Dari KLIA menuju Madinah.

Semua kekawan diminta doakan.
Agar pekerjaan sempurna ditunaikan.
Sihat tubuh badan amat diharapkan.
Semua yang tinggal Allah selamatkan.

Kalau berbalah biarlah berkesudahan.
Supaya kehidupan tidak rugi.
Salah dan silap mohon dimaafkan.
Kalau ada usia kita berjumpa lagi.

Sunday, September 25, 2011

Jamuan mesra sempena Aidil Fitri 1432.


Salam semua.

Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Puasa ataupun dikenali juga dengan Aidil Fitri ianya dirayakan hampir sebulan yang telah lalu iaitu pada tanggal 1 Syawal 1432, pada hari berikutnya bukanlah hari raya lagi tetapi dirayakan sebagai sempena hari raya tersebut.
Oleh itu aktiviti yang ditunjukkan di dalam video
dan imej di dalam artikel ini dilaksanakan sempena Hari Raya Fitrah ( Aidil Fitri ). Tiada lagi takbir dikumandangkan seperti pada 1 Syawal kerana tidak disunatkan lagi. Majlis ini amat penting diadakan untuk mengeratkan silaturrahim sesama penduduk setaman.
Tuan Haji Nor Sabri (kiri) individu yang sentiasa berfikir secara proaktif dan berusaha bertungkus lumus ke arah penubuhan dan pendaftaran persatuan penduduk taman ini sehingga berjayadidaftarkan, di samping dibantu oleh rakan-rakan AJK Penaja.Puan Sarimah bt Lisut Ahli Majlis MBSA sedang menyampaikan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir, diperhatikan oleh Tuan Hj.Nor Sabri.
Masih awal kehadiran belum ramai.

Kanak-kanak tidak dilupakan, mereka dilayan sesuai dengan fitrahnya, Puan Sarimah bt Lisut Ahli Majlis MBSA sedang menyampaikan duit raya.
Dah semakin ramai, kehadiran dianggarkan di antara 400 - 500 orang...Tu dia Nasi Beriani kena serbu...aduh berbaris panjang...dah lapar ni...boleh potong " Q " kot.
Jamuan telah selesai ...sedang mengemas dan membersihkan kawasan sebagai aktiviti penyudah.

Sekian...wallahu aklam.




Thursday, September 22, 2011

Jom kita sembang pasal songsang dan celaru.


Salam semua.

Di awal kalamku kali ini, aku memohon maaf kepada mereka yang kurang enak berbahasakan "aku" untuk ganti nama diri, kalimah aku tidak akan digantikan dengan kalimah ana, i atau gua dalam coretanku ini kerana tiga perkataan atau bahasa itu bukan bahasa ibundaku, pada pendapat aku menggunakan kalimah "aku" jauh lebih baik berbanding menggunakan beberapa perkataan yang disebutkan tadi, kalimah aku adalah bahasa Melayu, menggunakannya tidak menyebabkan berlaku campur aduk atau tidak juga menjadi bahasa rojak yang sering digunakan oleh orang kita, baik di kalangan rakyat atau pemimpin.Kita rasa kasar dan kurang manis menggunakan kalimah "aku" tetapi tidak pula berasa mencabul bahasa sendiri apabila menggunakan bahasa sendiri bercampuraduk dengan bahasa asing . Jika kedua-duanya kurang baik, buat kali ini aku ingin memilih yang lebih baik sedikit.

Kalimah "Aku" sering juga digunakan di dalam majlis yang dihormati dan mulia, kalau anda tidak percaya aku akan berikan contohnya seperti berikut - " Aku terima nikah .........dengan maskahwin .......tunai". Kalimah "Aku" mempunyai aura yang lebih kuat berbanding dengan saya, aku adalah suatu pengakuan yang kukuh, ini adalah pandanganku, jangan percaya sangat kerana masih ada ruang untuk diperbahaskan. Apa pun itulah pendapatku.Sebenarnya bukan ini mauduk yang hendak ditulis.

Baiklah sekarang sampailah masanya untuk kita bersembang pasal songsang dan kecelaruan. Apakah songsang dan kecelaruan itu?, songsang mengikut fahamanku ialah sesuatu yang bergerak atau bertindak secara bercanggah dan menentang arus serta hakikat, manakala kecelaruan ialah sesuatu yang telah bercampur aduk di antara benar dan salah, susah hendak difahami dan diikuti kecuali mereka yang berilmu. Perkara ini sedang berlaku pada zaman ini, malah semakin berkembang biak.


1 - Pendapat ramai menyatakan zaman kini sudah akhir zaman, memang pun sudah akhir zaman kalau berbanding dengan masa dahulu, semakin tahun semakin akhirlah situasinya tetapi akhir itu kedudukannya di mana, tentulah amat sukar untuk dijawab kerana hal itu Allah sahaja yang mengetahui detik dan ketikanya, secara umumnya kita pasti bahawa zaman ini adalah akhir zaman, tiada lagi Rasul yang akan diutuskan oleh Allah pada zaman ini, memadai dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad.s.a.w. yang terkandung di dalam al.Quran dan al.Hadis, sesiapa yang mempercayai terdapat kehadiran Rasul atau Nabi baru, maka jelas dan yakinlah bahawa kepercayaan itu adalah karut dan sesat.

Tetapi hakikatnya memang pernah berlaku pengakuan di mana terdapat orang yang mengaku dirinya Rasul atau Nabi, jika ada sesiapa yang mengaku dirinya Nabi atau Rasul yang baru dilantik pastinya orang yang membuat pengakuan itulah terlebih dahulu mengetahui secara tersirat di dalam hatinya bahawa kenyataan itu adalah suatu pembohongan .

Namun begitu terdapat juga orang lain selain dirinya pula yang mempercayainya, maka orang yang mengaku dirinya Rasul atau Nabi itu pun mengambil kesempatan itu untuk kepentingannya, dalam situasi songsang dan celaru itu dikautnya keuntungan. Demikianlah karenah dunia. Hanya mereka yang kenal Allah (makrifatullah) dan beriman kepada Allah sahaja yang tidak akan terpengaruh dengan kepercayaan karut itu.

2 - Setelah kita menyambut kemerdekaan dengan megahnya pada 31 Ogos 1957, tiba-tiba terpapar di dada akhbar dan laman internet menyatakan negara kita tidak pernah dijajah ( kecuali di zaman Jepun), sekali lagi berlaku songsang di dalam mindaku yang selama ini meyakini bahawa tarikh 31 Ogos adalah tarikh keramat yang terpahat di minda bahawa tarikh itulah tarikh terlepas dan bebas daripada dijajah oleh kerajaan British yang kita sebut sebagai penjajah.

Aku diajar oleh guru sejak di sekolah rendah lagi sejarah ini, aku tidak berbohong, guruku juga tidak berbohong, kalau berlaku pembohongan pun tentulah yang berbohong itu adalah buku yang dibaca oleh guruku atau pihak yang lebih atas lagi. Aku memang percaya dengan guruku itu dan aku sentiasa menghormatinya, malah aku sendiri pun melihat kesan penjajahan itu, orang putih meninggalkan amalan dan adat istiadatnya di dalam minda orang Melayu terutamanya pembesar Melayu dan pegawai kerajaan kerana mereka inilah yang hampir dengan penjajah.

Pembesar Melayu dan pegawai kerajaan pada zaman awal merdeka kebanyakan mereka minum arak atau minuman keras dan sangat biasa dengan majlis tari menari. Amalan itu berlanjutan sehingga awal tahun 70an. Orang Melayu semuanya beragama Islam, demikianlah tercatat di dalam perlembagaan negara, apabila menafsirkan pengertian Melayu itu.

Orang Islam diajar di antara pantang larang atau perkara yang diharamkan mereka melakukannya ialah minum arak, bergaul bebas lelaki dan perempuan , berjudi dan lain-lain yang termaktub di dalam al.Quran. Ketika orang Melayu cuba mematuhi ajaran yang baik itu tiba-tiba muncul orang Putih di tengah masyarakat Melayu atasan dan juga rakyat biasa. Kehidupan atau cara hidup orang Putih mempengaruhi kehidupan orang Melayu.

Ketauhidan kepada Allah tercabar, lantas menjadi cair dan terpengaruh pula dengan kehidupan orang Putih yang sangat menghiburkan di dunia ini, walau pun rasa seronok dan terhibur itu hanya sementara sahaja. Memilih cara hidup orang Putih itu mengikut fahamanku itulah yang dikatakan minda terjajah kerana pilihan yang dibuat itu adalah perkara yang dilarang dan diharamkan oleh Islam.

Aku pernah menghadiri majlis Sambatun Jubli Intan di sebuah sekolah terkenal pada suatu ketika dahulu di mana tetamu khas dihidangkan dengan minuman keras (arak), orang Islam dan bukan Islam menikmatinya dalam keadaan selesa walaupun di depan orang Islam lain yang tidak meneguk air haram itu. Pada pendapat aku ini adalah salah satu kesan penjajahan British. Aku harap para pembaca jangan percaya sangat artikel ini , sebab aku bukanlah pakar sejarah Persekutuan Tanah Melayu dan ditambah pula aku bukan berkelulusan mana-mana universiti sama ada di dalam atau di luar negeri. Aku hanya sekadar menceritakan pengalaman hidupku sahaja.

3 - Ketika sambutan kemerdekaan dilangsung dan dilaungkan buat kali pertama, aku juga melaungkan merdeka, merdeka, merdeka kerana usiaku pada ketika itu melebihi 7 tahun, bermakna aku sudah pun bersekolah.Aku juga masih ingat kawan-kawanku buat lawak dan berjenaka dengan pantun bercampur aduk dengan bahasa Siam, liriknya seperti berikut " Merdeka sakin, mai dai kin saka", ungkapan "merdeka sakin " aku sendiri pun tidak mengetahui maknanya tetapi bagi ungkapan berikutnya aku faham maknanya iaitu ' mai dai kin saka" bermakna " tidak boleh makan gula", agaknya sebelum merdeka susah hendak mendapatkan gula, agaknya sahaja. Kisah ini juga pada pendapatku ianya termasuk dalam kategori songsang dan celaru jika kita menjuruskannya kepada kenyataan yang menyatakan negara ini tidak pernah dijajah.

4 - Kita juga sering melihat seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah dengan perpakaian lengkap dan bertudung kepala, kelihatan begitu bersopan dan taat tetapi ibunya pula yang tidak memakai kerudung/mini telekung, keadaan ini juga menghasilkan kecelaruan. Lebih celaru lagi kalau sebahagian besar anak murid memakai mini telekung tetapi pengetua atau guru besar wanitanya pula tidak memakainya sedangkan dia juga dituntut berbuat demikian. Pernah kita lihat juga di dalam suatu mesyuarat yang besar 99% wanita memakai mini telekung tetapi yang menjadi pengerusinya pula mengabaikan kewajipan tersebut. Ini juga di dalam situasi celaru, situasi ini siapakah yang menegur siapa. Dalam suatu keadaan yang lain seorang ibu tua memakai pakaian menutup aurat berjalan bersama anak daranya yang memakai pakaian serba ketat , adakah ibu itu berpakaian demikian kerana beliau sudah tua dan anaknya pula masih muda, maka pakaian itu disesuaikan dengan usia masing-masing, jika merujuk kepada kewajipan berpakaian di dalam Islam, situasi ini juga menimbulkan kecelaruan.

Aku rasa banyak lagi kisah dan peristiwa songsang dan celaru ini, akhirnya artikel ini juga songsang dan celaru. susah nak faham sebab isi kandungannya disusunatur bercelaru...hehe..maaf ya.









Sunday, September 18, 2011

Video sekitar Kursus Perdana Haji 1432 - (2)


Salam semua.

Kursus Perdana Haji Negeri Selangor Darul Ehsan -1432 Hijrah -
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.Shah Alam.

Semua perbuatan atau amali yang dilakukan hanyalah sebagai simulasi sahaja ( Jangan berniat ihram kerana sekarang telah pun masuk bulan haji, ditakuti berlaku betul-betul ihramnya ).

Penerbangan pertama membawa tetamu Allah ke Arab Saudi (Mekah) pada tahun ini akan bertolak dari KLIA pada 29 Sept. 2011, kuota yang diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk Malaysia ialah seramai 28.000, demikianlah makluman yang tidak rasmi yang diperolehi melalui perbualan dengan jamaah Haji yang menyertai kursus perdana pada 17/18 Sept.2011 di Masjid Negeri (MSSAS) Shah Alam,Selangor.

Jom, tonton video.


Simulasi - Wukuf di Padang Arafah.


Simulasi - Jamaah Haji bertawaf.


Simulasi Jamaah Haji bersae dibuat di sini - dah siap.


Makan, rehat dan sembang.


Sedang menunggu bermulanya majlis penutup - kemudian peserta kursus haji akan balik ke destinasi (kampung) masing-masing membuat persiapan seperti membeli barang keperluan yang akan di bawa ke Tanah Suci dan tugasan lain, termasuk memantapkan rohani.

Sekian...wallahu aklam.

Video di sekitar Kursus Perdana Haji 1432. (1)

Salam semua.

Kursus Perdana Haji Negeri Selangor Darul Ehsan - Di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Shah Alam; Selangor.

Kursus Perdana Haji telah dilangsungkan dengan jayanya pada 19-20 Syawal 1432/17-18 Sept.2011, berikut video yang sempat dirakamkan oleh penulis Kehidupan Bersih, mungkin wajah anda juga kelihatan di dalam video.
Ibadat Haji adalah suatu ibadat yang sepenuhnya menggunakan tenaga badan atau praktikal kecuali niat, segala bacaan yang dikumandangkan adalah bacaan sunat.
Daftarlah sekarang untuk kemudahan anda pada masa akan datnag kerana permintaan semakin tahun semakin ramai , pendaftaran kini memerlukan masa yang lama untuk dimasukkan ke dalam calon terpilih menjdai tetamu Allah, kalau pendaftaran dibuat pada tahun ini, mungkin pada tahun 2030 akan terpilih ( yang pasti bertanyalah kepada urusetia Tabung Haji )



Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, September 13, 2011

PRIHATIN.

Salam semua.


PRIHATIN.
Tonton dan fikir-fikirkanlah...harap-harap yang ini tidak diimport ke tempat kita ...buat anjakan dan perubahan., jika perlu.

Thursday, September 8, 2011

Pengalaman bertarawih 29 malam dan berbuka puasa 28 malam di masjid.

Salam semua.
Pengalaman bertarawih 29 hari dan berbuka puasa 28 hari di masjid, Hari yang ke 29 berbuka puasa di tempat Singgah Rehat Gurun, Kedah dalam perjalanan pulang ke kampung, semuanya memberi pengalaman yang sangat berarti sekali.Tidak sedikit pun menyangka bahawa pada tahun ini perjalanan berpuasa akan berubah sedemikian rupa, segalanya berjalan lancar dan memahat sejarah yang sangat manis d
an menyeronokkan.

Setiap tahun jam antara 3.00 - 4.30 petang berkira-kira dan berangan-angan bermacam juadah makanan untuk dibeli buat berbuka, jam itulah akan bertolak ke Pasar Ramadan atau ke restoran yang biasa menjadi persinggahan untuk mencari juadah yang berkenan di hati tetapi pada tahun ini penulis tidak
menjijakkan kaki ke Pasar Ramadan atau restoran yang dimaksudkan walaupun sekali , ada juga berangan-angan untuk makan sedap-sedap seperti masa lalu tetapi angan-angan itu dipadamkan begitu sahaja demi menjayakan niat untuk terus berbuka puasa di masjid. Berbuka puasa di masjid sudah tentulah berbuka dengan makanan yang dipilih mengikut selera orang lain, selera pembekal atau mengikut jadual pembekal makanan yang telah ditetapkan oleh pihak masjid.

Makanan yang biasa disediakan di rumah sendiri jauh lebih baik dan lebih sedap berbanding dengan makanan yang disediakan di masjid, apa pun alasan, berpuasa bukanlah untuk berbuka dengan makanan sedap dan lazat, berpuasa adalah kerana taat perintah Allah dengan berpandukan nasih
at-nasihat tertentu supaya ibadat puasa yang dilakukan mencapai tujuannya yang sebenar. Memakmurkan masjid pada bulan Ramadan tentulah lebih ganjarannya berbanding bulan-bulan yang lain.
Pada permulaan puasa penulis tidak dapat menjangka sampai bila akan berbuka di masjid, dari hari ke hari sebaik sahaja antara jam 5.30 - 6.00 petang akan bertolak ke masjid, sebaik sahaja sampai di masjid akan menyempurnakan solat sunat tahiyatul masjid dan seterusnya berniat iktikaf serta membaca al.Quran sehingga jam 6.30 petang, kemudian bergerak masuk ke ruang yang dise
diakan untuk berbuka puasa, biasanya ketika itu hidangan 90% siap disediakan atau dihidangkan, tamusaji masih melakukan kerja-kerja semakan dan menambah apa yang kekurangan atau tertinggal. Sebaik sahaja masuk ke dalam ruang ini penulis pun mengambil tempat dan duduk di situ, setelah membetulkan hidangan supaya jelas kelihatan oleh mereka yang sedang mencari-cari tempat, setiap hidangan diperuntukan untuk empat orang, jadi penulis menunggu lagi tiga orang, sambil menunggu lagi tiga orang itu dan juga menunggu waktu berbuka.
Sekali lagi penulis membuka al.Quran kecil yang dibawa khas atau membuka telefon bimbit yang telah sedia dimuat turun (download) dengan al.Quran ( semakin mudah ya ) dan membacanya sehingga hampir waktu berbuka( kira-kira sempat membaca doa).Demikianlah rutin setiap hari berbuka puasa di masjid, sebahagian besar hadirin yang lain juga berbuat demikian.

Cerita buruk pun ada, telah menjadi lumrah di dalam kumpulan ramai biasanya terdapat juga orang yang jahat dan nakal, pengunjung masjid pada ketika orang ramai dan sesak akan terdapat juga yang datang ke masjid dengan tujuan dan niat jahat, mencuri dan lain-lain,juga berlaku beberapa kes kehilangan wang atau dompet wang ....Pendek kata ada juga musang berbulu ayam.
Ada juga mereka yang pergi ke masjid setelah hidangan makanan siap sedia terhidang dan mengambilnya keluar dari ruang yang dikhaskan, tujuan dibawa keluar diragui, sebahagiannya sempat disekat atau dilarang berbuat demikian oleh petugas.
Ramai juga wanita muda tidak menutup aurat masuk ke dalam masjid walaupun berkerudung tetapi masih belum sempurna penutupannya di bahagian lain. Mereka ini dilihat telah pun berjinak-jinak dengan amal ibadat dan masjid, ruang untuk peningkatan penghayatan Islam telah terbuka luas di hadapan mereka, insya Allah kualitinya akan bertambah.

Ramai kekawan tidak mampu pergi berbuka di masjid kerana berlaku banyak karenah sebaik sahaja lepas berbuka, perut beragam dan sebagainya, memang betul situasi itu kerap berlaku selepas berbuka tetapi, kalau ada perancangan yang baik ketika berbuka, perkara itu dapat dielakkan, iaitu jangan makan terlalu banyak ketika berbuka, memadai minum segelas air dan makan 5 atau 7 biji buah kurma dan sedikit bubur lambuk. Cara ini angin yang sedia ada di dalam perut akan stabil dan tidak menunjukkan nakalnya itu, itulah amalan saya selama sebulan ketika berbuka puasa, membaca al.Quran mulai selepas solat Maghrib (sambungan dari Asar) sehinggalah masuk waktu Isyak dan seterusnya bersolat Isyak dan Tarawih, selepas balik ke rumah kira-kira jam 10.30 - 11.00 malam barulah makan berat. Amalan ini memang istiqamah sepanjang bulan Ramadan.



Sekian...wallahu aklam.










Monday, September 5, 2011

Video - Hari Huffaz Selangor ke.5 - 1432H

Salam semua.

Sengaja dimuatkan video bacaan al.Quran oleh para pelajar tahfiz yang didatangkan dari seluruh daerah di negeri Selangor untuk menyempurna dan menjayakan Hari Huffaz Selangor ke:5 yang dilangsungkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Selangor. Mungkin tontonan ini akan memberi motivasi atau menambahkan minat kepada kita untuk memertabatkan diri dan keluarga dalam bidang bacaan al.Quran.

Bacaan dan tasmik.
Ketika seorang sedang membaca, dua orang yang berada di hadapan menyemak dan mendengar bacaan tersebut dengan berhati-hati, jika berlaku kesilapan salah seorang daridapa mereka berdua akan memberi teguran segera. Demikianlah cara menjaga bacaan yang sedang diperdengarkan supaya bacaannya tidak tersilap atau tersalah.

Bacaan dan tasmik.

Pelajar yang mengambil bahagian terdiri daripada beberapa kumpulan dan daerah.



Sekian...wallahu aklam.

Sunday, September 4, 2011

Balik kampung - Aidil Fitri 1432 - (2)

Salam semua.

Semasa perjalanan balik ke selatan pada 3 Syawal 1432, sebaik sahaja melepasi Tol Juru, lebuhraya mulai sesak dan perjalanan pun tersekat-sekat. Masing-masing berfikir untuk mengelakkan kesesakan dengan mengambil keputusan keluar dari lebuhraya dan masuk ke jalan lama (jalan kampung) tetapi kalau ramai yang buat keputusan begitu akan berlaku kesesakan pula di sana nanti - apa pun keputusan kena buat juga.



Masih di atas lebuhraya sebelum exit Changkat Jering/Taiping.

Sesak di depan Tol Changkat Jering/Taiping.

Jalan lama (jalan kampung) pun bermula - keadaannya agak lengang.

Tidak nampak papan kenyataan nama pekan ini...tak tau di mana hehe. Tapi yang pasti di Perak. Pada pendapat saya papan kenyataan bagi memaklumkan lokasi yang sedang kita berada terutamanya di bandar-bandar atau kampung agak kurang, tidak menimbulkan masalah bagi anak tempat tetapi bagi orang musafir akan tercari-cari. Kalau di lebuhraya hanya tertulis nama laluan keluar sahaja, bukan tempat berkenaan, pihak berkuasa tempatan patut memikirkan hal ini untuk kemudahan pelancong khasnya pelancong luar negara.

Menuju ke Telok Intan.

Bandar Setiawan - kereta banyak tetapi masih berjalan lancar. perjalanan ini menuju ke Sabak Bernam, Sg.Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Shah Alam.

Kuala Selangor - Kereta banyak - bergerak perlahan - akan masuk lebuhraya semula sebelum tiba di Shah Alam. Perjalanannya agak jauh tetapi tiada tekanan semasa memandu.

Sekian...wallahu aklam.

Balik kampung - Aidil Fitri 1432 - (1)

Salam semua.

Artikel ini ditujukan khas kepada anak Kedah di perantauan.


Balik kampung ziarah ibu tersayang, sanak saudara dan rakan taulan. Ziarah menziarahi pada Hari Raya adalah digalakkan oleh Islam, bermaaf-maafan dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, yang putus dihubungkan semula, yang renggang dieratkan. Pada yang sudah tiada didoakan kesejahteraan mereka.Solat sunat Aidil Fitri di Masjid Alor Merah (gambar). Alor Setar, Kedah.



Bertolak balik pada 29 Ramadan 1432/29 Ogos 2011 - Mulai Tol Bukit Raja ke utara Lebuh raya mulai lengang kerana sebahagian besar dari perantau telah pulang ke kampung. Video ini menujukkan kami telah sampai Tol Jelapang ( Ipoh) yang telah pun dibuat perubahan bagi mengelakkan kemalangan yang kerap berlaku di kawasan Tol ini kerana kenderaan berat sering terlajak tanpa kawalan berikutan turun bukit yang agak tinggi. Kenderaan yang hendak ke utara atau selatan memilih lorong tengah tanpa melalui tol.

Masuk terowong - bergerak dengan selesa.


Pagi raya selepas solat sunat Aidil Fitri bertolak balik ke kampung - Suasana kampung. Padi hampir menguning.

Hari Raya Kedua ke Sungai Petani melalui Jambatan Semelin- Sg.Merbok - Hutan Bakau yang terbaik di rantau ini.

Hari Raya Ketiga bertolak balik ke Selangor, singgah di Pekan Rabu.

Pulau Pinang - persinggahan keduan dalam perjalanan balik - rancangan awal perjalanan melalui feri tetapi, apabila sampai di jeti didapati keadaan sesak dan berbaris panjang untuk ke feri, ubah fikiran - pusing U menuju ke Jambatan Pulau Pinang - video ini rakaman perjalanan ke arah jambatan.



Atas jambatan arah masuk ke pulau (bandaraya).
a
Laluan depan Komter ke Pasar Chowrasta.

Friday, September 2, 2011

Kasih sayang sesama manusia perlu dicetuskan dari Kalimah Tauhid.

Salam semua.

Minda saya hari ini terlintas sebaris ungkapan mauduk di atas sambil berfikir-fikir apa yang hendak ditulis dan disampaikan di laman ini. Ya, kasih sayang di antara kaum atau sesama manusia perlu dicetuskan dan didatangkan dari Kalimah Tauhid yang sedia tersemat di dalam hati orang Islam.
Sememangnya orang Islam tiada pilihan lain kerana itu adalah sebahagian daripada pengakuan Syahadah mereka.Hidup dan mati kerana Allah.Maksudnya menguruskan kasih sayang itu dengan membatasi hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Islam, kasih sayang sesama manusia, kasih sayang manusia dengan haiwan dan alam sekitar semuanya terkandung dan tercatat panduannya di dalam al.Quran dan al.Hadis.

Hak-hak kasih sayang itu perlulah diberikan tanpa melampaui batas-batasnya.Pelaksanaan kasih sayang tersebut dengan merujuk kepada Kitab Allah atau Kalam Allah itulah yang dimaksudkan kasih sayang yang tercetus dan datangnya dari Kalimah Tauhid. Kasih sayang atas rasa takut dan patuh kepada Allah dalam lingkungan taat dan taqwa.
Ikhlas dan ihsan.

Pengakuan yang dimaksud terkandung di dalam doa iftitah.
"Segala Kebesaran dan Kepujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya.
Maha Suci Allah setiap pagi dan petang.
Aku menghadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi,
dengan keadaan tunduk menyerah diri dan bukannya aku termasuk dalam gulungan orang musyrik.

Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku hanya untuk Allah Semesta Alam.
Tiada Sekutu Baginya
kerana itu aku rela diperintah dan aku ini adalah termasuk gulungan orang Islam".

Allah akan menilai cara hidup manusia , sama ada cara mereka mengurus kasih sayangnya sesama manusia dan lain-lain, juga akan dinilai persediaan serta bekal yang akan dibawa ke alam kematian. Di dalam kehidupan manusia akan terlibat semua perkara tersebut. Kasih sayang sesama manusia sangat penting di dalam melayari hidup harian. Manusia memerlukan di antara satu sama lain, kebolehan dan kemahiran berbeza menyebabkan mereka memerlukan di antara satu sama lain bagi memenuhi tuntutan hidup masing-masing.

Kehidupan manusia berbeza berbanding dengan kehidupan haiwan yang hidup di dalam hutan, di mana setengah daripada mereka menjadikan binatang yang lain sebagai makanan mereka, mereka berkawan mengikut puak masing-masing. Oleh itu kasih sayang orang Islam sesama Islam dan bukan Islam semuanya wajib mematuhi ajaran Islam, dengan cara ini orang Islam tidak akan melanggar hukum hakam atau batasan yang telah ditetapkan.Tiada asas dan rujukan lain yang boleh menjadi panduan orang Islam, jika orang Islam cuba mendapatkan panduan yang lain untuk memantapkan kasih sayang atau perpaduan sesama manusia, akhirnya amalan mereka akan rapuh dan musnah.

Sekian...wallahu aklam.