Sunday, March 16, 2014

Bohong itu sifatnya beranak-pinak


السلام عليكم و رحمة الله
Untuk perlihatkan bohong @ dusta itu kelihatan benar, beberapa perbuatan bohong perlu diteruskan, maka jadilah bohong itu beranak-pinak. Balasan bagi satu kejahatan hanya satu, tidak seperti balasan kepada kebaikan, balasan kepada kebaikan satu kebaikan balasannya sepuluh.
Walau pun balasan kejahatan itu satu sahaja untuk satu kejahatan atau satu sahaja dosanya tetapi bagi dosa berbohong jarang dibalas satu dosa kerana untuk memperlihatkan bohong buat kali pertama itu benar, maka berlaku lagi pembohongan seterusnya buat beberapa kali bagi menutup bohong pertama tadi, akhirnya dosa bohong ini menjadi banyak atau peranak-pinak @ berangkai atau berantai, sambung menyambung di antara satu sama lain.

Contoh; 
Seorang pelajar tidak hadir ke sekolah dan berbohong kepada gurunya bahawa dia sakit.Kamu sakit, kamu tidak pergi ke klinikkah?, tanya gurunya, pelajar  menjawab saya pergi cikgu, apa kata doktor tanya guru lagi, pelajar menjawab, saya kena gastrik cikgu. Berapa bayarannya sambung cikgu lagi, pelajar menjawab RM15.00.
Semua perkataan yang diungkapkan oleh pelajar bagi menjawab pertanyaan guru itu adalah pembohongan. 
Oleh itu elaklah dari tabiat berbohong atau berdusta kerana itu adalah salah satu sifat munafik. 

Thursday, March 13, 2014

Emosi aktif

السلام عليكم

Kali ini saya ingin menarik perhatian semua supaya memikirkan hal emosi @ perasaan, emosi kita semua.Kita akan teruja apabila mendapat sesuatu yang kita suka dan minat kepadanya, akan bersyukur dan bersyukur berpanjangan.Jika kita mendapat kemenagan di dalam sesuatu pertandingan di peringkat mewakili negara maka seluruh rakyat akan rasa gembira dan suka. Isu itu akan menjadi tajuk perbualan seluruh rakyat pula. Sebaliknya pula kalau negara ditimpa kemalangan juga emosi akan aktif, semua rakyat akan rasa sedih dan walang, demikianlah kita berkongsi emosi.

Pada jam 2.40 pagi 8 Mac 2014 pesawat MAS MH370 disedari hilang di udara selepas berlepas dari landasan jam 12.40 menuju ke Beijing, sehingga artikel ini ditulis punca berlakunya kejadian ini belum dapat dikesan. Setelah berita diumumkan oleh pihak berkuasa seluruh rakyat Malaysia terperanjat dengan kejadian tersebut, suatu kejadian yang jarang berlaku, tentunya yang paling sedih dan terharu serta hilang arah ialah ahli keluarga kepada penumpang yang terlibat, perasaan mereka tertanya-tanya sehingga tidak tidur malam, mereka yang prihatin akan berkongsi emosi dan perasaan tidak tenteram ini. Orang ramai pula akan menziarahi keluarga secara individu dan rombongan sehingga berkumungkinan ahli  keluarga tidak sempat berehat kerana terpaksa menerima pengunjung yang tidak putus-putus itu, ziarah untuk bertanya sesuatu dan mengucapkan takziah kepada mereka serta berdoa agar ianya masih selamat in sya Allah.

Dalam hal ziarah ini sepatutnya pengunjung prihatin dengan masalah keselesaan keluarga mangsa, maupun dalam hal sakit atau lain-lain kemalangan.Menziarah mangsa atau keluarga mangsa memang Islam menggalakkannya tetapi hendaklah jangan lupa adab-adabnya.

Tuesday, March 11, 2014

Senario kita kini

السلام عليكم

Malaysia kita kini menghadapi berbagai masalah yang bertali arus di antaranya.

1- Kemarau .
Kemarau yang panjang sehingga menyebabkan senang berlaku kebakaran, kekurangan air (terpaksa dicatu). Kebakaran
pula menyebabkan kehilangan harta-benda dan jerebu @ kabus yang menjejaskan kondisi kesihatan , khasnya golongan kanak-kanak dan warga emas.
.
2- Sedang menghadapi mala petaka.
Sebuah kapal terbang kehilangan dalam suatu penerbangan ke Beijing (negeri China) pada Ahad 12,40 am, 9hb.Mac 2014 usaha mencarinya belum berhasil, kini telah tiga hari  berlalu tetapi semua pihak masih  buntu untuk terus mencari dan berikhtiar, seluruh warga Malaysia yang prihatin turut bersedih dan terharu dengan peristiwa ini, sehingga hari ini usaha mencari masih diteruskan, doa dan solat hajat juga dilakukan.
رب يسر ولا تعسر
Penulis juga salah seorang yang telah menziarahi ahli keluarga Pembantu Juruterbang MH370 yang hilang itu, betapa sedihnya mereka tidak dapat dibayang, masing-masing masih tertanya-tanya apakah  sebenarnya yang telah berlaku, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui kepadaNyalah kita memohon pertolongan.

  3 - Keselamatan.
Setiap hari  rakyat Malaysia diasak melalui berbagai media dengan peristiwa merompak,pecah rumah,meragut, mencuri dan seumpamanya, semuanya amat menakutkan. Sebahagian rakyat yang mampu mengambil keputusan  mengeluarkan perbelanjaan untuk memastikan keselamatan keluarga dan rumahtangga mereka sentiasa dalam keadaan selamat. wang tersebut sepatutnya untuk perbelanjaan lain.

Senario kemarau seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa keburukan rasuah, fitnah,tidak amanah, salah guna kuasa sifat keburukannya seumpama kemarau juga, keburukannya beranak pinak dan perkembang biak sehingga akhirnya menimpa diri sendiri.

Kita seharusnya berusaha bersungguh-sungguh bagi mengembalikan kehidupan yang bersih dan berkat.


والله أعلم

Monday, March 3, 2014

Kemarau panjang menggamit rasa bimbang.

السلام عليكم

KEMARAU PANJANG.

Kamarau panjang kali ini menggamit rasa bimbang dan terbayang saudara kita yang berada di negara Afrika di mana mereka mengalami kemarau yang sangat panjang sehingga menyebabkan ketandusan, bagi kita orang Asia tentu sekali kurang kekuatan untuk menghadapinya berbanding dengan mereka. Ya Allah jauhkanlah  ujian tersebut
daripada kami dan cukuplah sekadar ini.

Musim kemarau sehingga menyebabkan bekalan air dicatu seperti ini mungkin ada eloknya kalau anak-anak sekolah, khasnya sekolah menengah dikerahkan ke sekolah pada hari cuti untuk menunaikan Solat Istisqa', sekurang-kurangnya akan dapat memberi pengalaman baru dan ilmu amali kepada mereka, peristiwa begini tidak selalu berlaku.

Tindakan seperti ini merupakan tindakan serampang dua mata, disamping kita memohon Allah turunkan hujan, kita juga dapat mengajar anak-anak menghayati sunnah Rasulullah.s.a.w secara praktikal ( bukan teori semata-mata ).

Rasanya program seperti ini lebih sesuai berbanding aktiviti Merentas Desa , tatkala panas terik tentulah tidak sesuai bagi mereka berlasak di tengah panas semata-mata kita hendak melunas dan memenuhi jadual aktiviti sekolah.Cuaca panas dan ditambah pula dengan jerebu seperti sekarang ini mudah mengidap penyakit terutamanya kanak-kanak dan warga emas, aktiviti Merentas Desa semakan masa yang lama untuk diselesaikan berbanding dengan solat sunat Istisqa', solat ini jika dilaksanakan para pelajar hanya menambil masa kurang lebih satu jam sahaja di tengah padang atau tempat lapang tanpa bumbung, untuk memeriahkan lagi pihak sekolah boleh juga  mengundang Persatuan Ibu Bapa dan orang ramai turut serta di dalam aktiviti ini.

Pada ketika tertentu kita juga perlu keluar dari tugas rutin bagi memenuhi tuntutan yang lebih aula dan utama.


والله أعلم