Wednesday, June 30, 2010

Aku adalah aku tetapi siapakah aku.

Salam semua.
Aku adalah aku tetapi siapakah aku.

Aku sering tertanya-tanya siapakah aku sebenarnya, dari manakah asal usul aku. Aku memang yakin permulaannya Adam dan Hawa itulah titik permulaannya, jadi yang pastinya aku adalah bangsa Adam seperti kekawan lain juga.


Aku kini digelar orang Melayu dan dilahirkan di Kedah dan tinggal di sana buat sekian lama dan orang juga kata aku ini orang Kedah. Datuk nenek pun tinggal di sana tetapi aku musykil, mengapakah bahasa rasmi diri bapaku dan bapanya serta ibu kepada bapaku berbahasa Siam.datuk,nenek dan bapaku tidak lancar berbahasa Melayu.Malah ramai di kampungku pada suatu masa dahulu iaitu ketika aku kanak-kanak dan remaja.Ada di antaranya tidak dapat menguasai langsung bahasa Melayu.Tetapi mereka menguasai bacaan al.Quran macam biasa tiada cacat celanya . kalau ada cacat dan cela pun masih sama dengan kualiti yang dikuasai orang lain yang fasih berbahasa Melayu. Berbahasa Siam tidak mengurangkan kemahiran mereka membaca al.Quran.

Adakah Siam merupa pemerintah Islam di Kedah pada suatu ketika dahulu ?. Hanya pertanyaan !!!. Aku tidak mengetahui langsung dalam hal ini kerana tidak pernah aku buat kajian atau membaca kajian orang lain.

Bahasa rasmi untuk diriku bersama kekawan di luar rumah adalah bahasa Siam, hanya di rumah aku menggunakan bahasa Melayu dengan ahli keluarga, kekadang bapaku berbahasa Siam berintraksi denganku walaupun aku menjawabnya balik dengan bahasa Melayu, Ibuku tidak pandai berbahasa Siam tetapi memahaminya dengan yakin, ibuku bercakap Melayu dengan bapaku dan bapa menjawabnya dalam bahasa Siam sudah menjadi perkara biasa di rumahku ketika arwah bapaku masih ada bersama kami dahulu.

Ramai di kalangan kekawan di kampungku bercakap atau berintraksi menggunakan bahasa Siam sama ada di rumah atau luar rumah, mereka hanya bercakap Melayu di dalam bilik darjah semasa di sekolah sahaja ketika waktu rehat iaitu di luar bilik darjah mereka bercakap atau berintraksi
semula di dalam bahasa Siam , mereka ini kurang lancar bercakap Melayu melainkan setelah berada di darjah dua atau tiga.Namun begitu sebutan mereka tetap pelat atau telor bahasa Siam.

Sekarang masyarakat kampungku tidak lagi menggalakkan anak-anak mereka berintraksi di dalam bahasa Siam menjadikan anak-anak mereka tidak pandai lagi berbahasa Siam.

Saya rasa tiada mana-mana pihak pun membuat kajian dalam hal ini untuk dipastkan punca berlakunya keadaan demikian oleh itu tiada jawapan yang tepat untuk menjawab persoalan...Siapakah aku sebenarnya kerana aku sendiri pun tidak berbuat demikian.

Dari segi bangsa aku pasti bahawa aku adalah bangsa Melayu kerana bangsa Melayu mengikut Perlembagaan Negara Malaysia ditakrifkan " sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam, mereka itu adalah Melayu" oleh itu aku adalah Melayu, cuma sejarah secara halusi tentang diriku tidak dapat kupastikan.

Respon dari Facebook:

Ahmad Husni Ahmad Basri
Melayu di utara Malaysia termasuk lah Melayu dari 5 wilayah di Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun. Kerajaan Melayu Langkasuka sememangnya berpusat di Pattani dan menggunakan bahasa Melayu (loghat Pattani sekarang) serta bahasa Siam dan terkenal dengan Raja nya dari kalangan perempuan pada satu ketika.

Kawasan ... Langkasuka termasuk lah sebahagian dari Kedah satu ketika dahulu (termasuk Pendang, Alor Tebuan kawasan Pak Njang semua tu).. Ini semua tidak lama sebelum Empayar Kedah Tua menguasai apa yang dikenali sebagai Kedah sekarang. Langkasuka akhir nya terkubur apabila tewas kepada serangan tentera Siam dari Ayudhya / utara.

Banyak sebenar nya rekod sejarah mengenai Melayu Kedah, Melayu Langkasuka di kawasan asal usul kita di Utara, Pak Njang. Mana ada pagar sempadan merentasi daerah Pendang dulu ni... jadi orang Melayu di Siam (Langkasuka dulu) dan Melayu di Kedah sentiasa keluar masuk begitu saja.. sebab itu pengaruh bahasa Sian ada di Kedah dan pengaruh bahasa Melayu ada di Siam.

Lee Noh
Lee Noh
...
Kalau tidak silap Pak Anjang Siam ada Islam dan ada yang bukan Islam tetapi Ayudhya inilah yang kafir akhirnya negara Siam ditukar nama kepada Thai atau Thailand..benar atau tidak wallahu aklam.

Ahmad Husni Ahmad Basri
Ahmad Husni Ahmad Basri
Ayudhya ni Kerajaan Siam berpusat di Bangkok. Ayudhya ni Thailand lah. Apa yang Pak Njang kata Siam Islam tu adalah Kerajaan Melayu Langkasuka yang ditakluk oleh Siam dari Bangkok. Siam Bangkok tu Buddha. Sekarang ada Islam di Bangkok kerana tahanan perang Langkasuka telah dibawa oleh Siam Ayudhya ke sana (dalam keadaan betis dicucuk rotan agar tak... See More dapat melarikan diri). Berjalan kaki dari Negara Melayu Langkasuka hingga Bangkok. Itu lah sejarah perit yang membawa kepada perjuangan Melayu Pattani pada hari ini.

Lee Noh
Lee Noh
...
Pak Anjang terbaca di dalam suatu artikel tetapi sudah tak ingat sumbernya kalau tidak silap ianya menyatakan Siam itu bukan Thai (Ayudhya ) yang beragama Budha tetapi katanya Siam itu adalah beragama Islam...Siam inilah rumpun bangsa Melayu/Siam seperti yang disebut tadi, mereka ini ada yang bercakap Siam dan Melayu....
Hahaha..mairo...mairo...ma
iro...

Ahmad Husni Ahmad Basri
Siam สยาม ni dalam bahasa dialek Szechwan, Cina adalah nama Kerajaan Thailand sebelum 1939. Kemudia tukar kepada nama Siam balik selepas Perang Dunia II dan kemudian tukar balik kepada nama Thailand pada tahun 1949. Ianya apabila kuasa Raja Siam dikurang untuk membuka jalan Demokrasi. Sebelum tu, selama 800 tahun, Samada semasa zaman Sukhothai, Ayuthia dll, nama Thailand adalah Siam. Tetapi Melayu Islam Langkasuka bukan Siam sehingga lah terjajah oleh Siam.

Bangsa Melayu adalah Melayu dan bangsa Siam adalah Siam. Dua bangsa berbeza. Siam dari rumpun bangsa Cina. Ada Siam Islam, itu mungkin, dalam bangsa apa pun dalam dunia.

- Sukhothai Kingdom 1238 - 1448
- Ayutthaya Kingdom 1351 - 1767
- Thonburi Kingdom 1768 - 1782
- Rattanakosin Kingdom 6 April 1782
- Raja Berperlembagaan 24 June 1932


Ahmad Husni Ahmad Basri
Macam Pak Njang kira Melayu lah tu, walau dok cakap Siam di Alor Tebuan, Kubur Panjang.... Rupa Melayu, Makan Melayu, Budaya Melayu, Adat Melayu, Cakap Melayu.. Dok tengok dulu makan sambal belacan, pekasam ikan puyu, ikan asam pedas, terubuk belah belakang boh sambal.. tak pernah pula tengok Pak Njang dok makan buat tomyam, padprik atau ikan tiga rasa di rumah macam Siam makan hari hari. Kalau makan pun kot di kedai Pattani la.. tu pun Pattani Melayu. hehehe


Lee Noh
...
Amboi puas hati aih anak menakan Pak Anjang cerita...Pak Anjang ni bukan tahu sangat pasai sejarah ni...hehehe..Pai nai mairo fang, kalau tak kenai tak boleh tumpang....kin kau mai kap...nun lap mai mia...nanti lain kali Pak Anjang terjemahkan...hahaha...
Apa pun Pak Anjang ucapkan khap cai mak ( terima kasih banyak ).

Sekian... Wassalam.

Hapus Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ).Fikir-fikirkan....

Salam semua.

Saya memang menyedari perbincangan mengenai rancangan kerajaan hendak menghapuskan ujian UPSR. Bagi saya sama ada UPSR hendak dihapuskan atau sebaliknya , perkara itu tidaklah sangat penting, termasuk PMR sekali pun. Perkara yang amat penting bagi saya ialah memastikan para pelajar yang menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3m) sahaja yang layak ke sekolah menengah supaya sekolah menengah mendapat gambaran yang jelas dari masyarakat umum bahawa para pelajar sekolah tersebut adalah semuanya terdiri daripada mereka yang menguasai kemahiran 3m , mereka yang tidak menguasai kemahiran 3m yang telah tamat sekolah rendah hendaklah disediakan untuk mereka suatu sukatan pelajara atau kurikulum khas mengikut kebolehan dan kecenderungan mereka, tegasnya sekolah vakasional khas hendaklah disediakan untuk mengasah kemahiran mereka di dalam bidang tersebut.

Mereka ini tidak bijak dalam bidang akademik tetapi sebahagian besarnya menguasai kemahiran vokasional atau kemahiran pertukangan, mekanik,binaan dan sebagainya.Sekolah Vokasional Khas untuk mereka hendaklah disediakan disamping mengekalkan sekolah vokasional yang sedia ada sekarang ini.

Kita hendaklah memastikan mereka ini tidak berada di sekolah menengah biasa yang akan memberi masalah kepada sekolah dan keadaan itu juga menyebabkan mereka sendiri merasai bosan dan mungkin akan memberontak yang boleh menyebabkan tergugat disiplin sekolah.Jangan salahkan mereka kalau situasi ini berlaku kerana puncanya kita yang bertanggungjawab ini terlebih dahulu tidak melayan mereka secara yang adil. Mereka berkebolehan dan kemahiran memperbaiki motorsikal dan kereta misalnya tetapi peluang itu kita tidak sediakan untuk mereka.

Kita sering terlepas pandang kepada mereka ini dan sering juga memberi alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk menyediakan kemudahan tersebut dengan sempurna.Adakah alasan itu mampu melepaskan kita daripada dosa mengabaikan tanggungjawab kita terhadap mereka.

Pada masa ini ramai di kalangan kita yang berminat kepada para pelajar pintar, tidak salah minat tersebut tetapi mereka yang pintar ini telah berada di tempat yang selesa, telah disayangi dan dipuji , jagailah mereka seadanya, tetapi, sebaliknya sambutan dan keinginan untuk bersungguh-sungguh menolong para pelajar lemah dalam bidang akademik ini kelihatan sangat dingin dan hambar.

Tindakan selepas peperiksaan atau ujian sangat penting, sama ada ujian formatif atau sumatif. Setelah dapat dikesan kelemahan dan kekuatan pelajar, mereka ini perlulah dijuruskan mengikut kesesuaian masing-masing bukan hanya sekadar naik darjah atau tingkatan sahaja.


Perlu wujudkan sekolah:
1 - Tadika.
2. Sekolah Rendah.
3. Sekolah Menegngah Biasa.
4. Sekolah Mengengah Atas.( Tingkatan Enam sahaja )
5. Sekolah Menengah Vokasional Biasa.
6. Sekolah Menengah Vokasional Khas.


Fikir - fikirkan..............


Sekian.....Wassalam.



Tuesday, June 29, 2010

Betoi ka anak Kedah? ( Dari Facebook Ahmad Husni )

Ahmad Husni Ahmad Basri: Betoi ka anak Kedah? Tau asai usui tok nenek?

Peta Kedah sekarang. Berzaman berlalu, Kedah kehilangan daerah Seberang Perai dan Pulau Pinang setelah dipecahkan oleh British. Kehilangan pula Perlis setelah dipecahkan oleh Siam. Kehilangan wilayah bersempadan dengan Thailand termasuk daerah Satun yang diambil/ annex ke dalam Thailand. Jangan lah pula di zaman mendatang, kita pula atau anak cucu kita menggadai terus seluruh negeri kepada orang lain..
Islam terawal datang ke Kedah, dibawa oleh Arab Yemen... kebanyakan nya pedagang dari Hadhramout, Selatan Yemen. Sheikh Abdullah Yamani, pada tahun Masihi 1164(semasa pemerintahan zaman Sultan Mudzafar Syah) telah mengembangkan Islam di negeri Kedah. Sebelum dari itu, pengaruh Buddha-Hindu dari Empayar Sriwijaya dan China ada mempunyai pengaruh juga ke atas Empayar Kedah Tua. Sejarah Kedah adalah Sejarah Melayu yang tertua di Malaysia.

Kerajaan Kedah Tua merupakan salah satu kerajaan awal terkenal yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram. Menurut catatan I Ching dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha.

Kerajaan Kedah Tua diasaskan pada abad ke-5. Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama tetapi kemudian dipindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha dan seterusnya diikuti oleh agama Hindu, pengaruh Hindu-Buddha ini boleh dibuktikan melalui peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang.

Bila ditanya sejak bila Melayu ada di Kedah, maka kita wajar tahu menjawab akan asal usul kita. Jawab lah bahawa Melayu diketahui wilayah nya di Nusantara ini sejak lebih 2,000 tahun lalu dan di Kedah pula struktur pemerintahan Kerajaan Melayu nya sudah dibentuk lebih dari 1,000 tahun lalu sejak zaman Kedah Tua. Susunan ujud nya Melayu di dalam rekod sejarah di Nusantara ini adalah seperti berikut:

Sejarah awal Melayu:

Gangga Negara (Kurun-2 hingga Kurun-11)
Langkasuka (Kurun-2 hingga kurun-14)
Pan Pan (kurun-3 hingga kurun-5)
Srivijaya (kurun-7 hingga kurun-14)
Kedah Tua (Kurun ke 5 - diganti dengan Kedah Islam pada awal kurun ke 12)

Kebangkitan Negeri-negeri Melayu Islam:

Kesultanan Islam Kedah (1136–sekarang)
Kesultanan Islam Melaka (1402–1511)
Kesultanan Melayu Sulu(1450–1899)
Kesultanan Melayu Johor (1528–sekarang

Era Zaman Penjajahan:

Bermula dari zaman Perang Melaka antara gabungan tentera-tentera Melayu dari Kesultanan Melaka, angkatan tentera Kedah dll menentang angkatan Kristian Portugis 'Crusaders' sebelum Empayar Melayu Melaka akhir nya jatuh pada tahun 1511 sehingga terkubur nya Empayar Melaka. Kerajaan Kedah pula mampu kekal sehingga kini.

Garis masa Kesultanan Kedah:

1136: Sultan Al-Mudzafar Shah I (1136 - 1179)
1179: Sultan Mu'adzam Shah (1179 - 1202)
1202: Sultan Muhammad Shah (1202 - 1236)
1236: Sultan Muzzil Shah (1236 - 1280)
1280: Sultan Mahmud Shah (1280 - 1321)
1321: Sultan Ibrahim Shah (1321 - 1373)
1373: Sultan Sulaiman Shah I (1373 - 1423)
1423: Sultan Ataullah Muhammad Shah I (1423 - 1473)
1473: Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah I (1473 - 1506)
1506: Sultan Mahmud Shah II (1506 - 1547)
1547: Sultan Mudzaffar Shah II (1547 - 1602)
1602: Sultan Sulaiman Shah II (1602 - 1626)
1626: Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626 - 1652)
1652: Sultan Muhyiddin Mansor Shah (1652 - 1662)
1662: Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I (1662 - 1688)
1688: Sultan Ataullah Muhammad Shah II (1688 - 1698)
1698: Sultan Abdullah Mu'adzam Shah I (1698 - 1706)
1706: Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706 - 1710)
1710: Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II (1710 - 1778)
1778: Sultan Abdullah Mukarram Shah II (1778 - 1797)
1797: Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (1797 - 1804)
1804: Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804 - 1845)
1845: Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah I (1845 - 1854)
1854: Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah II (1854 - 1879)
1879: Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah I (1879 - 1881)
1882: Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 - 1943)
1943: Sultan Badlishah (1943 - 1958)
1958: Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah (1958 -)

Bersyukur dan berbangga lah menjadi anak Kedah. Bukan sekadar mengaku sebagai anak Kedah.. perlu ada Bahasa Kedah, loghat Kedah, adat Kedah, budaya Kedah, makanan nya makanan orang Kedah, tanah tumpah darah asal usul nenek moyang adalah Kedah... Begitu lah anak Melayu Kedah di Arab Saudi yang dikenali sebagai Al Qadah sebagai gelaran nama keluarga/asal usul (Contoh: Ahmad Al-Qadah.. kalau asal keturunan Palembang, maka jika nama Ali maka jadi lah Ali Al-Falembani dll).

Oleh itu jangan lah pula bila ada orang berkata begini tak tahu pula nak jawab. "Ini negeri aaa itu orang Asli punya... Lu orang Melayu pun pendatang juga looo, lu mari mana Indonesia tak tauu... lu ingat ini negeri lu yang punya, ini orang asli punya looo" Atau ada orang berkata, "Mana ada itu Melayu asal, semua mari ada campur India, China dan macam-macam serupa kita orang juga laa.. Mana ada Melayu asli.. asli punya, itu dalam hutan ada duduk.. Masuk hutan la, jangan kasi kacau sama lain orang"..

Jawab nya.. sudah 2,000 tahun sejarah kita di sini.. Kita bukan pendatang.. ini tanah tumpah darah kita zaman berzaman. India tanah tumpah darah nya di India, Jawa itu di Pulau Jawa asal nya dan begitu lah juga dengan bangsa lain yang dikenali dengan nama tempat asal mereka. Melayu itu kerana adat nya Melayu, bahasa nya Melayu, makanan nya Melayu, rupa paras nya Melayu (kecuali ada juga dalam 10% mixed blood, bangsa apa pun ada), jatidiri nya Melayu. Agama nya pada dasar nya Islam. Maka kita berhak menyatakan hak ke atas hak kita. Sebagaimana negara lain milik orang lain menyatakan hak ke atas milik mereka. Melayu yang kuat dan yang mampu melonjak mencecah awan untuk memburu kecemerlangan watan nya adalah mereka yang tahu asal usul, kenal cabaran nya dan tahu apa yang harus dilakukan untuk mengekalkan warisan nenek moyang nya.. Walaupun orang Melayu Kedah ada juga yang darah campur dari daerah Siam, negeri-negeri Melayu berjiran dan sebagai nya. Selagi susur galur dari bapa nya Melayu (dan ibu tidak semesti nya, tetapi diambil kira juga bangsa datuk dan nenek nya untuk menguatkan hujah bahawa seseorang itu Melayu) masih berteraskan nilai Melayu, maka Melayu lah seseorang itu dengan syarat budaya, adat dan bahasa nya masih betul-betul Melayu (Kedah). Jangan buta sejarah.

Sunday, June 27, 2010

Dalam bala ada hikmah.

Salam semua.

Apabila berlaku sesuatu musibah atau bencana kita sering mendengar orang berkata atau me
mberitahu kita bahawa di dalam bala ada hikmahnya. manusia mempunyai tahap pencapaian ilmu berbagai-bagai, ada pandai, ada yang sederhana dan ada juga yang lemah, keadaan ini menuntut mereka yang pandai atau yang mengetahui atau yang berilmu memberi penjelasan mengikut pencapaian dan kebolehan masing-masing kepada yang lemah, ilmu yang tidak dimanfaatkan umpama pokok yang tidak berbuah. Untuk apakah kita menyimpan ilmu kalau tidak disebarkan kepada saudara sendiri, tegasnya saudara Islam.

Terdapat juga mereka yang tidak faham dengan ungkapan tersebut oleh itu mereka yang faham patutlah membantu supaya ramai orang faham, walaupun kita faham secara teori dan maknawinya,kekadang tidak berdaya pula mengaplikasikan dan menghayatinya, mungkin ini adalah habuan masing-masing.Penulis juga sentiasa takut ujian Allah, takut kalau-kalau ujian itu datang lebih besar dan lebih berat dan tidak mampu menanganinya, hanya doa sahajalah alat yang sesuai sebagai senjata untuk mengelakkan daripada ditimpa bala tersebut.Kalau ditimpa juga ujian besar terpaksalah diterima dengan penuh sabar dan redza. Ya Allah jauhkanlah musibah tersebut dari kami.amin.

Nabi Yusof diangkat Allah menjadi pemimpin di istana melalui musibah yang diterimanya, beberapa saudaranya menaruh hasad dengki terhadap dirinya yang amat dikasih bapa mereka, akhirnya baginda dihumbankan ke dalam telaga buta oleh beberapa saudara baginda sendiri.Dengan kehendak Allah jua baginda diselamatkan oleh ahli rombongan istana yang melalui kawasan tersebut dan baginda kemudiannya dipelihara oleh pembesar berkenaan di istana.

Sebenarnya peristiwa itu adalah perancangan Allah untuk menyampaikan baginda kepada kedudukan yang telah ditetapkan oleh-Nya, sebelumnya manusia tidak nampak apa yang akan terjadi kepada Nabi Yusof , tetapi,
akhirnya di penghujung beberapa peristiwa yang dialaminya, Nabi Yusof diangkat menjadi Menteri Kewangan yang hebat dan mengkagumkan semua pembesar negara , bukan sekadar itu sahaja, baginda juga menjadi juru ta'bir mimpi kepada raja serta mengatasi pula juru ta'bir yang lain.

Oleh itu fahamlah kita bahawa itulah di antara maksud dalam bala ada juga hikmahnya. Rupa-rupanya kesusahan yang diterima nabi Yusof itu membawa baginda ke mercu kejayaan.
____________________________

Klik untuk dengar bacaanNya.

http://174.36.196.142/~server5/kyat/012.mp3

Surah Yusof - Bacaan : Abdullah al.Khayyat




Sekian ...wallahu aklam.

Saturday, June 26, 2010

Syor wanita solat Jumaat.


Salam semua.

Saya menyambut baik serta rasa selesa dengan saranan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar wanita turut menunaikan solat Jumaat seperti yang dilakukan kaum lelaki. Apabila saya baca sahaja berita ini saya teringat balik kebiasaan beberapa wanita datang bersama suami mereka ke masjid untuk menunaikan soat Jumaat di masjid kampung saya suatu ketika dahulu kalau tidak salah saya peristiwa ini berlaku dalam tahun 8oan, tetapi amalan atau kebiasaan itu berhenti begitu sahaja saya pun tidak mengetahui sebab-musabbabnya, ketika itu saya tidak pun merasai hairan apa-apa dengan situasi itu, sebab saya telah pun mengetahui sebelumnya bahawa hukum wanita bersolat Jumaat adalah harus ( Mubah ) maknanya mereka dibolehkan berbuat demikian kalau mereka kehendaki, cuma mereka kenalah menjaga dan mengelakkan diri dari terjadinya fitnah, menjaga fitnah memang wajib di mana-mana pun bukan dalam hal ini sahaja.
__________________________________

http://67.213.215.136/~server3/jhn/062.mp3


___________________________________

Mungkin ada lagi di tempat yang lain kaum wanita menunaikan solat Jumaat pada masa-masa yang lampau tetapi tidaklah begitu ramai, nampaknya selepas ini kita kenalah membuat sedikit anjakan pradigma baik lelaki mahu pun wanita dalam menilai dan menguruskan hal ini, khasnya mereka yang terlibat dengan pengurusan masjid. Sekurang-kurangnya suatu ruang khas yang selesa perlulah disediakan untuk mereka mulai sekarang. Kita percaya jumlah yang akan datang menunaikan solat ini tidaklah seramai jamaah lelaki kerana yang beranak kecil tentulah tidak akan bersusah payah datang bersolat di masjid melainkan mereka yang tiada tugas pada hari tersebut atau mereka yang mendapat kelepasan semasa bekerja di pejabat seperti diberikan kepada lelaki pada masa ini bagi negeri-negeri yang tidak bercuti pada hari Jumaat.

Kehadiran mereka ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat itu dilihat mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding dengan keburukan, gambarannya seperti mereka datang menunaikan solat sunat Hari Raya tiada kecatatan berlaku pun atau lain-lain majlis yang sering kita adakan pada masa kini. Walau bagaimana pun peraturan tertentu perlulah disediakan untuk mendidik mereka yang kurang ilmu atau kurang faham tentang adab semasa kita berada di masjid.

Maklumat yang disampaikan oleh khatib melalui khutbahnya akan sampai kepada semua pihak sama ada lelaki atau perempuan secara terus, tidak lagi melalui perantaraan orang lain, jika tersentuh masalah suami isteri atau rumahtangga kedua-duanya akan mendengar, suami tidak boleh lagi menyembunyikan maklumat itu, jika berniat demikian.Segala maklumat yang diterima juga kaum wanita boleh berbincang sesama mereka bagi mantapkan lagi kehidupan sesuatu tempat. penglibatan semua pihak begini akan percepatkan lagi kesedaran ke arah penghayatan Islam.


Aku merapu pasai judi pula.

Salam Semua.

Aku merapu pasai judi pula......

Aku dah
banyak hari dah dok baca pasai judi ni sampai terpanggil untuk meluahkan perasaan dan pandangan di sini hari ini, bukan aku tak ada benda lain nak tulis...ada tapi aku tangguh dulu...Bukankah judi itu boleh merosakkan akhlak manusia...macam mana kita nak didik anak-anak sekolah dan anak-anak di rumah kalau orang tua-tua pun masih dok buat celaru dengan judi ni.

Kalaulah nilai buruk sesuatu aktiviti itu dikucar-kacirkan, sampai bila pun kita akan dok tarik tali dengan hal-hal seperti ini.Bukankah yang haram itu jelas dan yang halal pun jelas dan nyata....kalau dah tak boleh tu sepatutnya tak bolehlah...macam mana tak boleh..boleh..tak benar...benar. celarukan.

Dah terang dah ... judi tu haram...nilai buruk ini kenalah diaku oleh semua pihak.. orang yang kaki judi atau tahi judi pun kena akui...kalau nak main jugak kenalah main secara sembunyi-sembunyi...bukan aku nak menggalakkannya tetapi nak menceritakan bahawa benda yang tak baik ni selalunya orang buat secara sembunyi-sembunyi sahaja...kalau nak buat secara terang-terang rosaklah dunia ni...lagi pun kalau buat secara terang-terang menjadi beban pula kepada orang lain untuk berusaha menghapuskannya..mencegah dan melarangnya ...nahi mungkar...kalau depa main secara sembunyi mana kita nak tau biak pi la....lantak pi la...orang kata kalau bom yang nak meletup berada di sisi kita kerana kita tak tau kita tak heran pun...tak lari ke mana pun...hahaha...kan.

Kita nampak macam bagus la bagi lesen judi ni kerana kerajaan dapat perolehan atau tambah pendapatan tetapi yang buruk dan ruginya lebih banyak lagi... sebenarnya perbuatan atau kebenaran itu secara tidak langsung menjadi institusi didikan kepada jenarasi anak-anak kita akan datang ... sekarang ini pun sudah subur jiwa judi ni...main bola pun terlibat dengan berjudi...pendeknya ada sahaja pertandingan kaki judi atau tahi judi ni akan membuat pertaruhan sesama depa.

Orang-orang politik ni janganlah raih sokongan dari semua pihak rosak negara kita nanti...jangan bersikap nak jaga semua pihak...nak dapatkan undi....nanti runtuh negara...pihak yang jahat dan nakal ni kenalah layan dengan cara yang sesuai dengan depa. Contohnya kaki judi ni kenalah beri nasihat kepada depa supaya berhenti berjudi kerana perbuatan dan amalan itu boleh merosakkan akhlak manusia, berikutan dengan itu pula negara pun boleh rosak nanti...oleh itu janganlah keluarkan lesen untuk tujuan tersebut.

Kekadang pening kita pikiak. Menteri Pelajaran dok pikiak nak didik budak-budak sekolah dan remaja nak bagi baik tapi orang lain pula dok pikiak nak keluarkan lesen judi....tu yang depa dok kata Islam tu bagus, Islam tu baik untuk semua sebab Islam cara pikiaknya tak macam ni, nilai sesuatu sentiasa mantap, kalau judi tu haram maka haramlah main kat mana atau berjudi kat mana pun oleh siapa pun, yalah sebab nilai yang terkandung di dalam ajaran Islam itu , nilai yang ditentukan oleh Allah. tak ada sapa yang mampu menafikannya kerana nilai itu, nilai yang hakikat, nilai yang benar dan tepat serta hakiki.

Ini adalah pandangan peribadiku yang aku faham dari ajaran Islam, kalau pandangan aku ni salah hangpa tolong tegur la..kesian kat aku...Memanglah tulisan pagi ini nampak merapu tetapi nak keluarkan atau meluah yang realiti yang ada di dalam hati jadi kena tulis macam nilah...kalau hangpa tak faham..kutip-kutip yang faham dah la...kali ini bagi peluang kat aku melepas dan luahkan perasaan....ok..setakat ini dulu kalau tidak akan melalut lagi pulak.

Maaf la noo kalau terkasak bahasa tapi niatku bukan nak kasak...cuma nak lepas perasaan sahaja ...kalau hangpa tak peduli pun tak pa atau tak baca pun tak pa. Sebenarnya bukanlah aku merapu...cuma cara info atau penyampaian ja merapu, isinya ok ja.

Maaf la aku undur diri dulu...Wassalam.


Friday, June 25, 2010

Jom. Muhasabah Lidah Kita.

Salam semua.
Khutbah
hari ini mengingatkan para jamaah mengenai kebaikan dan keburukan lidah manusia. Katanya lidah adalah salah satu kurniaan Allah yang amat besar, namun begitu terdapat juga manusia yang tidak dapat bercakap walaupun mempunyai lidah walau pun begitu lidah masih berfungsi kerana lidah mempunyai banyak fungsinya.
Bagi mereka yang mempunyai lidah yang sempurna mereka boleh menggunakan untuk menguruskan hal-hal yang melibatkan lidah seperti bercakap,makan, merasai makanan dan minuman sama ada lazat atau sebaliknya atau sebagainya.

Lidah berperanan mengikat hubungan silaturrahim di antara manusia dengan bermesra dan bercakap perkara yang baik seperti mengajar, berdakwah dan bercakap dengan nada yang lemah lembut.Aktiviti seperti ini adalah diperintahkan oleh Allah supaya melakukannya.

Lidah juga boleh meruntuhkan hubungan silaturrahim melalui perbuatan meleparkan tuduhan sesuka hati, mengumpat, berbohong dan seumpamanya, sikap seperrti ini adalah dilarang oleh Allah.

Khutbah yang disampaikan itu tidak berkesan kalau pendengar khutbah itu tidak bertindak selepas mendengarnya. Jom, kita semak dan muhasabah lidah kita. apakah yang kita tuturkan selama ini atau sekurang-kurangnya pada hari ini, adakah hari ini kita telah maki hamun orang atau bertengkar. atau mungkin juga kita telah menasihati orang lain untuk kebaikannya atau berterima kasih kepada seseorang kerana menolong kita.

Adakah kita seorang yang petah bercakap dan di dalam kepetahan itu kita sengaja campuradukkan dengan fakta yang tidak benar semata-mata ingin memperlihatkan kehebatan kita berhujah atau ingin rakan sebaya melihat kita sebagai seorang yang ada tokoh dan bijak.

Banyak persoalan yang dapat kita timbulkan untuk mengesan sama ada kita memiliki lidah yang baik, atau sebaliknya, kata orang lidah tidak bertulang, ianya boleh bercakap bermacam-macam perkara tanpa had melainkan pemiliknya sentiasa mematuhi larangan Allah barulah lidah akan bertutur perkara-perkara yang baik dan mahmudah.

Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah di dalam al.Quran atau Sabda Rasulullah.s.a.w. untuk menjadi panduan kepada muhasabah yang kita lakukan.

Ayat al.Quran dan Hadis mengenai lidah (percakapan).


Sabda Rasulullah.s.a.w. yang bermaksud : “Simpanlah lidahmu kecuali untuk kebaikan. Sesungguhnya dengan demikian kamu dapat mengalahkan syaitan.” Di dalam percakapan terdapat bencana dan di dalam diam terdapat kebahagiaan kerana itulah keutamaan diam amat besar.

Firman Allah yang bermaksud ; “ tiada suatu ucapan yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir” (Qaaf, ayat 18)

“ Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan orang yang menyuruh manusia memberi sedekah atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara mereka.” (Al-Nisa’, ayat 114)

Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“ Tidaklah seseorang menuduh kafir kepada orang lain dan tidaklah ia menuduhnya dengan kefasikan melainkan tuduhan tersebut kembali kepada dirinya kalau temannya tidak seperti apa yang dituduhnya. ” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“ Wahai Rasulullah! Orang muslimin yang bagaimanakah yang paling utama?” Nabi menjawab: “Orang yang orang-orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tangannya.”

_____________________________


Sekian.....Wallahu aklam...Wassalam.

Thursday, June 24, 2010

Sembang-sembang di Kedai Gunting Rambut.

Salam semua

Sembang-sembang di Kedai Gunting Rambut.

Pada hari ini a
ku rasa agak jemu bersantai di rumah bersendirian, aku
pun mengambil keputusan keluar mencari kekawan untuk berborak-borak dan
bertukar-tukar
fikiran, sebenarnya aku tidak ramai kawan di sini kerana aku hanya berstatus musafir sahaja pada mulanya tetapi kerana aku sudah berada di sini hampir seminggu di Kluang ini, maka mengikut hukum fiqah aku telah dinaikkan taraf kepada bermukim dan tidak sampai status bermustautin, sebab suatu hari nanti aku akan balik ke tempat tinggal tetapku di Shah Alam.namun begitu apabila tiba hari Jumaat aku diwajibkan hadir solat Jumaat walaupun tidak dikira ahli jamaah.

Oleh sebab tidak ramai kawan di sini, aku hanya pergi ke Kedai Gunting yang seringaku kunjungi. Tukang gunting di kedai ini memang sudah biasa dan akrab dengan aku, sejak dari aku masuk lagi mereka sudah dapat agak bahawa kehadiranku itu bukanlah untuk bergunting rambut kerana melihat kepadarambutku yang masih pendek, rambutku ini pun salah seorang daripada mereka yang mengguntingnya secara percuma kerana aku bersetuju melayan salah seorang yang sedang berkursus sebagai tukang gunting di kedai ini. Pada hari tersebut kepala dan rambutku menjadi alat bantuan mengajar kepada jurulatih dan pelatih, untuk kebaikan aku bersetuju sahaja lagi pun aku berpeluang menggunting
rambutku secara percuma, cantik dan kekemasannya sama sahaja, mungkin
lebih baik lagi kerana setiap hon ditelitinya supaya guntingan itu betul dan tepat.

Sebaliknya hari ini aku pergi ke kedai bertujuan bersembang-sembang dan
berborak-borak yang boleh memberi manfaat padaku dan mereka juga.
Rupanya selain daripada kedai kopi, kedai gunting juga merupakan tempat
bersantai dan di sini juga mempunyai banyak maklumat terkini kerana
pelanggan yang datang terdiri dari berbagai latar belakang dan status
kehidupan mereka, di antaranya ahli perniagaan, politik, pegawai
kerajaan, askar berbagai pangkat, ada yang pendiam dan ada yang peramah
yang menceritakan berbagai kisah dan cerita yang kekadang kelihatan
seumpama meluahkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan atau pemimpin
sama ada pemimpin peringkat kampung sehingga pemimpin berada di
Putrajaya.Sudah tentu ada juga yang memuji-muji.

Aku lihat dalam hal ini Tukang Gunting pemilik kedai ini sangat bijak
menunjukkan sikap mereka, mereka menunjukkan sikap berkecuali dalam
setiap perbincangan yang berlangsung secara tidak rasmi ini, soalan-
soalan yang dikemukakan oleh mereka sendiri tidak menunjukkan mereka menyokong mana-mana pihak terutamanya yang menyentuh mengenai politik parti.Sikap ini
nampaknya berjaya menarik semua pihak datang ke kedai ini untuk
mengguntingkan rambut mereka, tidak kira apa anutan politik mereka.

Bermacam-macam isu dibincangkan di sini tempoh perbincangan biasanya
akan berakhir apabila guntingan sudah siap kerana orang tersebut akan
balik sebaik sahaja lepas siap bergunting dan ada juga yang akan
menyambung perbincangan sehingga dirasai sesuai ditamatkan kisah atau
isu yang yang dibincangkan.

Di antara isu yang dibawa berbual pada petang tadi, kebetulan menyentuh mengenai cukur jambul, menguruskan uri selepas bersalin, menghadkan masa remaja keluar rumah pada waktu malam, kenaikan harga gula, simen, besi dan menyentuh sedikit mengenai politik termasuk masalah di Gaza.

Kata salah seorang daripada ahli mesyuarat Kedai Gunting yang sederhana kepetahannya, ada orang kita sanggup penghabiskan wang untuk mengadakan Majlis Bercukur jambul pada hal apa yang dilakukan itu tidak pun mengikut sunnah Nabi sebaliknya mereka dengan bangganya menunaikan suruhan kitab Melayu yang tidak wujud....dari Hadis mana mereka ambil suruhan cukur jambul ni...yang kita tahu hendak cukur keseluruhan rambut dan ditimbang rambut itu dan dinilai harga emas, kemudian diberi sedekah kepada orang yang miskin serta bertahniq pada hari ketujuh...yang disuruh tidak dibuat...sebaliknya yang tidak disuruh sanggup buat dan menghabiskan wang hampir ribuan ringgit dan mungkin lebih dari itu.

Seorang lagi menjampok dan menimbulkan isu katanya itu ok sikit, ada yang menguruskan uri selepas bersalin pun terdapat berbagai cara yang boleh menyebabkan syirik dan rosak aqidah, apa tidaknya, kalau tidak dibuat demikian rupa kononnya akan ditimpa kesusahan kepada mereka atau bayi yang baru dilahirkan itu, maka dibuatnyalah dengan upacara khas semasa menanam uri tersebut, walaupun upacara itu kecilan tetapi akibat kepercayaan dan perbuatan itu amat besar...Katanya kalau tidak percaya pergilah ke kampung-kampung mahupun bandar buat penyelidika atau kajian mengenai hal ini.

Seorang lagi pula menunjulkan isu mengenai akhlak remaja kini, melepak pada waktu malam, kalau dulu katanya di bandar-bandar sahaja , sekarang ini di mana-mana pen berlaku, baik di bandar atau di kampung, katanya lagi yang merisaukan itu melapak di tempat samar-samar bercampur lelaki dan perempuan, gejala inilah yang menghasilkan anak luar nikah dan buang anak, sambungnya lagi ini semua kerana orang kita mengabaikan ilmu, ilmu Aqidah ( Tauhid), Fiqh , Akhlak dan lain-lain ilmu yang patut dikuasai oleh orang muda, sekarang ini jangankan remaja tiada ilmu tersebut, bapa kepada remaja pun gersang ilmu berkenaan, baca al.Quran pun melelong. mereka mengetahui yang mereka berkeadaan demikian tetapi tidak pun melangkah kaki mencari guru untuk memperbetulkan bacaan yang melelong itu.

Ada pula yang mencadangkan cadangan menghadkan masa lepak anak muda pada waktu malam yang pernah dibincangkan suatu ketika dahulu patut direalisasikan dan patut dilaksanakan dengan penglibatan pasukan rela atau pasukan yang seumpamanya, penghuni Kedai Gunting yang sedang berada di atas kerusi panjang dan dua orang yang sedang menadah kepalanya untuk digunting rambutnya oleh Wak Jaman dan En.Zul mendengar dengan taat tanpa memberi apa-apa respon mungkin mereka kurang arif dalam hal itu. Masing-masing mengeluarkan hujah dengan kuat dan lantang untuk mengatasi suara kenderaan yang lalu lalang di atas jalan yang berhampiran, kalau tidak berbuat demikian besar kemungkinan hujah yang disampaikan tidak sampai dengan sempurna ke telinga kawan-kawan yang sedang mengikutinya.

Pendeknya berbagai isu dibincangkan di Kedai Gunting dari membincangkan hal tempatan sehinggalah hal negara dan dunia, kata orang sekarang glokal dan global.Kalau tak percaya pergilah melepak di Kedai Gunting, melepak di Kedai Gunting tidak perlu keluar wang untuk belanja kawan-kawan.

Sekian...wassalam..

Wednesday, June 23, 2010

Duit - fulus - nuqud - lui - money - bia - biteh.

Salam semua.

Pagi ini sebelum solat Subuh aku membaca serangkai mesej mengenai perkara yang disebutkan di dalam mauduk di atas, di
hujung bulan begini ramai juga yang merinduinya dan berat hati nak melepaskan yang sedang berada di dalam tangan, jika melepaskannya pun akan melepaskannya dengan cara yang sangat berhati-hati, kiranya ketika seperti ini tiba-tiba datang yang bukan mahram sekali pun akan didakapnya erat-erat, akan lupa segala dosa, agaknya begitulah di antara kejadian rasuah berlaku di dalam masyarakat.

Pokok yang ada hanya sepohon sahaja,usianya pula sudah tua, buahnya pula tidak galak sangat, bila sering dikait dan dijolok untuk mendapatkan buahnya untuk dimakan atau dibelanjakan oleh ramai orang tentulah akhirnya kehabisan. Pokok ini lebih dari mampu kalau hanya menyara dua orang manusia tetapi kebiasaannya kita tidak gembira jika tidak memberi sumbangan kepada pihak lain kerana sumbangan itu dapat menambahkan aura keakuan dan kekitaan di dalam keluarga.

Pada hujung bulan begini buahnya hanya tinggal di hujung julai, galahnya kelihatan semakin pendek untuk menjolok buah yang berada di hujung ranting itu, galah tidak berubah, buah sebenarnya yang berada di hujung ranting kerana buah yang dekat semuanya telah dikait dan dijolok dan jatuh ke tanah, agak sukar menggunakan galah itu untuk menjatuhkan buah di hujung ranting, terpaksalah menunggu ianya jatuh ke bumi dan pokok berbunga semula.itulah sahaja rutinnya dari bulan ke bulan. Aku masih boleh bersyukur kerana pokok masih berbunga semula dan akhirnya akan berpeluang mengait atau menjoloknya semula untuk dijadikan rezekiku dan anak buahku.

Pagi ini aku ingin sekali lagi pergi meninjau pohon tersebut, kalau-kalau buahnya sudah bersedia dan dapat dikait atau diperturunkan ke bumi untuk aku buat belanja anak pinakku. Mereka yang mempunyai beberapa pohon pokok duit ini tentulah tidak merasai apa yang aku rasa.Sebab itulah Allah memerintahkan supaya kita berpuasa supaya mereka yang mempunyai banyak pokok tersebut belajar merasai kesusahan.

Aku juga sentiasa belajar memahami kesusahan dan kesenangan, aku kekadang terfikir mereka yang sakit dan mengidap sesuatu penyakit itu lebih susah oleh itu mereka yang sihat hendaklah bersyukur walaupun kekurangan duit atau fulus kerana manusia tidak mungkin memiliki segala-galanya, jangan pula kita tidak bersyukur atas nikmat sihat, nanti sihat tidak akan kekal bersama kita, bila sihat sudah pergi meninggalkan kita barulah kita tersentak dan terfikir bahawa hari semalam lebih baik dari hari ini. di mana hari ini tidak disangka-sangka terpaksa menyambut kehadiran sakit atau penyakit yang tidak diundang.Kalau bersyukur pada nikmat yang sedia ada Allah akan tambah lagi nikmat tersebut.Aku juga sentiasa memujuk hatiku supaya sentiasa bersyukur kerana cetusan rasa tersebut adalah perintah Allah.

Aku juga belajar bersimpati pada mereka yang sakit. mereka yang susah, mereka yang bermasalah, mereka yang sunyi tiada berteman, mereka yang hilang ahli keluarga dan mereka yang lain-lain lagi yang menghadapi keadaan seumpama itu.Aku rasa cetusan rasa begitu akan mengundang Allah Taala bersimpati dengan kita, sayangkan kita dan mengampunkan dosa kita kerana situasi itu menggambarkan kita bersyukur pada-Nya.

Hanya sekadar ini dulu mindaku dah mulai gersang kerana sudah meluahkan hampir semuanya...hehehe..merapu di pagi hari sebelum sarapan...jumpa lagi....wassalam.
Agaknya inilah yang dikatakan buah duit - fulus - nuqud - lui - money - bia - biteh - yang dimaksudkan di atas tadi....hahaha.

Sekian...wassalam.

Tuesday, June 22, 2010

Menghidu wangi Ramadan.(puisi)


Menghidu wangi Ramadan.

Kehadiranmu akan disambut dengan penuh hormat.
kehadiranmu
juga disambut dengan ribuan harapan.
umpama raja di dunia,umpama hartawan dunia, bak permaisuri.
menjelang Rejab kami mulai menghidu bau wangimu.
permaidani mulai disediakan untukmu.

Kepulanganmu dilepaskan dengan berat hati.
umpama tida
k akan diizinkan pulang.
hari-hari terakhir kami tidak tidur malam.
kerana engkau membawa bekalan untuk kami.

Bekalan dari Allah.
pahala gandaan seribu bulan.
pahala gandaan melebihi 83.333 tahun.
pahala melebihi usia hidup manusia.

Itu hanya yang tersimpan di dalam gedung.....
Gedung Lailatul Qadr.
masih banyak di luarnya, masih banyak di persekitarannya.

syawal, kehadiranmu juga tidak sia-sia.
hanya jauhari mengenal manikam.

Ramadan al.Mubarak.
haiya Ramadan, marilah Ramdan.datanglah Ramadan.
kami menunggumu,kami berkorban untukmu.
berkorban mendapatkan kelebihan dalam dirimu.
kami berkorban kerana Allah yang memerintahkannya.

Kami memuliakanmu kerana Allah.
kami menyambutmu kerana Allah.
kami menghormatimu kerana Allah.

Tidak akan kami berpuasa tanpa perintah Allah.
kami berpuasa kerana Allah.
kami patuhi kaifiyat dan syarat-syaratnya.
kami patuhi pesanan Rasul.
Kami patuhi perintah Allah.

07 Rejab 1431.
20 Jun 2010.
Minum dan makan buah dahulu sebelum berbuka puasa dengan makanan yang lain....baik untuk melawaskan.


________________________

Sisipan ilmu:

Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
( a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
( b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
( c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
( d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
( e) Dan mereka dikurniakan nikmat keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)

__________________________________

Sekian.Allah Maha Mengetahui....Wassalam.


Monday, June 21, 2010

Aku kembara lagi.(puisi)

Salam semua.


Aku kembara lagi.

Kembaraku dari utara ke selatan.
walaupun tanpa
muatan.
aku tetap bergerak dari utara ke selatan.
destinasiku sentiasa bertukar.
kekadang aku gembira dengannya.
kekadang aku tertanya-tanya.

Aku hanya patuh pada jadual yang ditetapkan-Nya.
jadual cadanganku banyak yang aku terpaksa rombak.
aku memang menyedari bahawa jadualku itu tidak tepat.
jadual susunanku ada yang tersasar dan terpesong.

Aku redza dengan rombakan itu.
sejak awal aku telah menjangkakannya.
sejak permulaan aku menyerah pada-Nya.
Perancanganku tidak pernah melupai-Nya.

Aku sedikit pun tidak hairan dan terkejut,
atas pengembaraanku itu.
Kerana aku menyedari bahawa hidup ini adalah ditakdirkan-Nya.
tanpa izin-Nya apa pun tidak akan berlaku.
jangan bermegah dan bangga atas ketepatan jadual yang diatur.
sebaliknya bersyukur dan berterima kasihlah pada-Nya.
kerana Dialah yang memberi izin sedemikian.

Kini aku terasa bahawa Dia.....
Dia menceritakan padaku bahawa aku.....
aku tiada kuasa sedikit pun.
membuatkan aku insaf dan insaf.

Berusaha, berdoa dan berserah.
Akhirnya aku berserah dengan penuh kasih sayang dan gembira.

07 Rejab 1431.
20 Jun 2010.

_____________________________

Sisipan ilmu.

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
( Surah Luqman : 33 )


__________________________________

Sekian...Allah Maha Mengetahui...Wassalam.

Persinggahan Baruku.(puisi)

Salam semua.

Persinggahan Baruku.

Di pagi yang masih sunyi sepi.
aku terjaga tidur.
sedetik kemudian aku disambut suara keramat bertalu-talu.
suaranya berkumandang di udara,
beralun di dalam gelumbang maya.
bertali arus, sahut menyahut.

Kemerduannya tidak dapat direka manusia.
keindahannya sukar hendak ditiru.
Alhamdulillah Persinggahan Baruku masih menyamai tempat asalku.
takungan air sawah menggemakan suara ke seluruh pelusuk desa.
kini air Tasik Seksyen Tujuh menggemakan suara itu sampai ke kamarku.

kang kikang kuut, kang kikaaang kuuuuuut,
suara dari arah mana aku tidak pasti,
bila aku periksa,
aku lihat hanya hutan tropika,
aku lihat hanya hutan kelapa sawit,
yang aku lihat hanya hutan batu bata.
semuanya itu tidak menghalang suara itu berdendang di telingaku.

Itulah suara keramat yang mengejutkan tidur lenaku dikala leka.
menandakan Subuh hampir tiba.
Peringatan itu tidak pernah mungkir.
sejak zaman berzaman mereka tidak jemu memberi peringatan.

sebaik sahaja aku beralih badan.
kedengaran pula dari arah tasik;
Allaahu akbar, Allaaahu akbar, Allaaaahu akbar, Allaaaaaaahu akbar.

Tidak ubah seperti semua persinggahanku yang terdahulu.
Bersyukur kepada Allah kerana masih mengekalkan kesinambungannya.
Juga bersyukur kepada-Nya kerana memberi peluang itu padaku.
maka bolehlah aku menghayatinya bersama mereka.
Bersama mereka yang memanggil-manggil dan mengajak- ngajak untuk bersatu dan berjamaah.


01 Rejab 1431.
14 Jun 2010.

__________________________

Sisipan ilmu:

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat beliau hendaklah memuliakan jirannya dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat beliau hendaklah menghormati tetamunya.”

Sabda baginda lagi yang bermaksud: “Jiran itu tiga, jiran yang baginya satu hak dan dia adalah jiran paling minimum haknya, jiran baginya dua hak dan jiran yang baginya tiga hak dan dialah jiran paling istimewa haknya. Adapun jiran yang baginya satu hak ialah jiran dikongsi tanpa (hubungan) rahim, baginya hak kejiranan. Ada pun jiran yang baginya dua hak adalah jiran Muslim, hak sebagai Muslim dan hak sebagai jiran. Adapun yang baginya tiga hak adalah jiran Muslim yang ada hubungan rahim, baginya hak sebagai Muslim, keluarga dan jiran.”
_____________________________

Sekian... Allah Maha Mengetahui...Wassalam.


Friday, June 4, 2010

Aku berpuisi.

Aku berpuisi.

Aku berpuisi untuk diriku.
Aku terkenang masa berlalu.
Bermacam karenah telah berlaku.
Ada rindu, ada macam semilu.

Anak seluang, anak haruan.
Berenang di air yang sama.
Anak seluang tidak keruan.
Melihat haru
an menyambar gelama.

Anak rusa berlari cergas.
Di padang ragut milik bersama.
Bapa harimau berada di atas.
Akhirnya rusa menjadi mangsa.

Rusa makan. Harimau pun makan.
Itulah lumrah suatu kehidupan.
Ditakdirkan Allah sejak permulaan.
Tiada siapa mampu membuat pindaan.

Hanya berbeza pada acuan
Biar di hutan atau di rumah.
Manusia jua berakhlak demikian.
Menzalimi, memangsakan yang lemah.

Negara makmur beransur lemah.
Kerana hilangnya tunjang amanah.
Rakyat susah lagilah susah.
Akibat dari pecah amanah.

Aku hanya orang lemah.
Mampu melihat dan berpuisi.
Bercakap pun anda tidak indah.
Hanya menunggu apa terjadi.

Wujudkah lagi bunga bangsa.
Menghasilkan buah menyara negeri
Ekonomi mantap terus dijana.
Supaya menjadi sumber rezeki.

Buah tempatan - salah satu sumber rezeki.

________________________________________________

Ulasan Pembaca.

Mohd Zamre Osman
Mohd Zamre Osman
Saya cuba menghayati puisi ini...dan hasilnya saya dapat meyelami sesuatu yang lebih jauh....perbandingan dua jiwa antara yang mentadbir dan yang ditadbir.Hukum alam...yang lemah akan terus menjadi mangsa...manakala yang gagah akan terus berkuasa dan megah ..harimau,haruan...dua simbol yang melambangkan kegagahan dan kegagalan....dan seorang pemuisi yang terus mendendangkan gurindam-gurindam sedih akibat perasaan yang tidak puas...tetapi tidak mampu untuk mengubah apa-apa...tetapi pemuisi itu masih terus berdoa dan berharap..akan datangnya pejuang yang mampu menegakkan kuasa dan keadilan...semoga rezeki Allah akan terus mencurah dari keberkatan suatu pemerintahan yang benar-benar bertunjangkan akidah.Saya juga melihat puisi ini sebagai pencetus gelombang pemikiran yang akan membangunkan manusia-manusia yang masih lena diulit mimpi.

Lee Noh
Lee Noh
.
Prosa yang berjaya menjiwai puisi yang dibaca dan memperlihatkan bahawa dirinya menguasai sastera, sastera yang sebahagian masyarakat telah melupainya dek leka dengan industri

Penulis tidak mahu berterus terang kerana ingin membiarkan puisi itu terus menjadi puisi bagi pihaknya, Biarlah pembaca memprosakan mengikut kefahaman masing-masing.
.( Berjaya membuat sentuhan dan ulasan ).

......... Dari Facebook........


Thursday, June 3, 2010

Orang Kedah.(puisi)


Orang Kedah.

Kalau betul anak Kedah.
Bacalah puisi sampai sudah.
Baru tahu apakah kisah.
Aku cerita pasal Kedah.

Gajah Mati, Langgar, Pokok Sena.
Bukan ayat,nama tempat cuma.
Kubur Panjang, juga nama.
Lokasinya bersemadi di simpang tiga.

Sempadan Pendang dan Pokok Sena.
Berbahasa Siam semuanya kena.
Berbahasa Melayu pelat cuma.
Melayu,Siam semuanya diguna.

Telaga Emas, Bukit Tembaga.
Banggul Besi juga lokasi.
Orang Kedah orang kaya.
Lihatlah khazanah hasil negeri.

Sungai Emas jangan dilupai.
Kota Kuala Muda duduk lokasi.
Sejarah hebat pernah ditemui.
Kisah lama baru diketahui.

Sekadar ini aku berperi.
Ada ilham akan sambung lagi.
Sarapan pagi belum lagi.
kini kutunggu tamusaji.



Panorama sawah padi pada waktu pagi di salah satu kampung di Kedah.

Wednesday, June 2, 2010

Surah al.Balad.- Bacaan dan terjemahan

Salam semua.

Bacaan oleh al.Bari Muhammad..Surah al.Balad

174.36.196.142

_________________________

90. Al-Balad


[1]
Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;
[2]
Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),
[3]
Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;
[4]
Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
[5]
Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?
[6]
Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).
[7]
Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?
[8]
(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) -
[9]
Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
[10]
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
[11]
Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;
[12]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?
[13]
(Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;
[14]
Atau memberi makan pada hari kelaparan -
[15]
Kepada anak yatim dari kaum kerabat,
[16]
Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
[17]
Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.
[18]
(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).
[19]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. -
[20]
Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

Tags: