Monday, August 29, 2011

Tarawih terakhir tahun 1432 - bersama Imam Besar Masjid Negeri dan Husni Ali Hasan.

Salam semua.

Sekitar solat sunat Tarawih di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.Selangor, malam tadi adalah malam terakhir untuk tahun ini,(gambar Sheikh Ahmad Mustafa) insya Allah tahun hadapan kita akan bertemu lagi , itu hanya harapan dan doa,
Kehadiran maut tidak mengira usia. Allah akan menentukan sehala-galanya, manusia hanya pandai merancang, Allah adalah perancangan mutlak atas segala-galanya.

Solat Tarawih di Masjid Negeri malam tadi diimamkan oleh Imam Besarnya sendiri ( Sheikh Hj.Ahmad Mustafa Bin Mohd.Sidin
) dan dibantu oleh Us.Husni Ali Hasan.
_________________________________________________
Kepada semua pengunjung
Laman Kehidupan Bersih dan Facebook Lee Noh
diucapkan Selamat Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.
Sekiranya ada salah dan silap - harap dimaafkan.

___________________________________________________

Ramai di kalangan ahli jamaah merasai kesediahan atas perpisahan ini, air mata mengalir tanpa disedari , suara dan wajah sedih dan sebak tidak dapat disembunyikan lagi, tangisan imam Sheikh Ahmad Mustafa menyemarakkan lagi suasana kesedihan ketika doa Qunut dibacakan oleh beliau sendiri, menangis kerana sedih meninggalkan kemanisan Ramadan dan keberkatannya.

Menangis kerana takut kalau-kalau dosa yang telah lalu belum diampunkan Allah, sedangkan azab Allah digambarkan di dalam doa Qunut begitu mengeri dan menyiksakan, selama sebulan diperdengarkan amaran Allah tentang siksaan dan azab yang akan dihadapi hamba-Nya yang berdosa dan tidak mendapat keampunan-Nya. kisah gembira untuk mereka yang sentiasa taat juga diperdengar ketika sedang bersolat melalui Kalam Allah yang mulia yang sunat dibaca semasa mendirikan solat.

Bumi mana tidak ditimpa hujan dan manusia mana (yang bukan Nabi dan Rasul) yang tidak melakukan dosa, semuanya terbayang di minda ahli jamaah sehingga tercetus rasa terharu dan menangis di hadapan Allah Tuhan Penciptanya yang sedang melihat dan menonton peristiwa ini.


Sebahagian daripada solat sunat Tarawih diimamkan Us.Husni Ali Hasan. bekas pelajar Akademi Al.Quran.

10 rakaat kedua solat Tarawih dan 3 rakaat solat witir diimamkan oleh Sheikh Ahmad Mustafa Mohd.Sidin ( Imam Besar )

Sekian...wallahu aklam.

Sunday, August 28, 2011

Solat bersama Sheikh Moutasem al.Asali dan Sheikh Romi.

Salam semua.

Artikel ini sekadar memuatnaikkan video pendek yang dirakamkan ketika Sheikh Moutasem al.Asali dan Sheikh Romi dari Syria mengimamkan solat sunat Tarawih ( rakaman sebahagian sahaja )-(gambar Sheikh Moutasem).




Imam - Sheikh Romi.


Sheikh Moutasem.

Sekian...wallahu aklam.


Bersolat Tarawih - Burdah - bersama Sheikh Moutasem al.Asali dan Sheikh Romi.

Salam semua.

Artikel hari ini ( 28 Ramadan 1432 ) masih terikat dengan Solat Tarawih yang masih berbaki dan mengusik jiwa kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan kita, pada tahun akan datang belum tentu menjanjikan kita pertemuan seumpama ini, hari-hari yang berlalu
tampaknya sungguh bermakna tetapi di sisi Allah wallahu aklam, harapan dan doa tentulah sangat tinggi agar ibadat itu diterima sepenuhnya.

Video kedua.


Video pertama.

Sama-samalah kita menghayati liriknya.

Sheikh Moutasem ( duduk atas kerusi semasa burdah ) beliau mengimamkan solat Isyak dan Tarawih 10 rakataat dan Sheikh Romi mengimamkan solat sunat Tarawih 10 rakaat yang berbaki dan dua rakaat Witri ( Witir) , satu rakaat witir terakhir disambung oleh Sheikh Moutasem semula, beliau membaca Doa Qunut yang sangat panjang dan juga sangat menarik, mensyahdukan serta menimbulkan rasa sedih dan insaf, air mata mengalir tanpa disedari, bagi mereka yang faham setiap kata-kata yang diungkapkan itu sudah tentulah lebih awal mengalirkan air mata keinsafan, berlebih-lebih lagi peluang memohon ampun dalam fasa ma'afirah ini telah sampai ke punghujungnya.

Kehadiran Ramadan pada tahun hadapan belum terjamin akan berjumpa sekali lagi, muhasabah yang bermain di dalam minda itulah menyebabkan air mata semakin lancar mengalir keluar, lihatlah di dalam video Sheikh Moutasem sendiri terpaksa mengesat air mata dengan kertas tisu ketika memulakan burdahnya ekoran kesedihan ketika berdoa qunut.

Sekian...wallahu aklam.


Saturday, August 27, 2011

Berita bergambar - Video - Sekitar Majlis Khatam al.Quran.

Salam semua.

Dipaparkan aktiviti-ak
tiviti kerohanian yang dilaksanakan di masjid ini semata-mata bertujuan mengimarah dan memakmurkan masjid seperti yang diperintahkan Allah. Di sampingnya diharapkan tersirat unsur motivasi kepada sesiapa yang menonton dan menatapnya. Apa pun alasan yang diberikan hidayah dan taufiq itu tetap datangnya dari Allah kerana ianya hak Allah.

[18]
Hanyasanya yang layak memakmurkan (me
nghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah At.Taubah)


Majlis Khatam al.Quran akan bermula.

Tuan Sheikh Muhammad Munji (Mesir) akan memimpin majlis khatam al.Quran pada kali ini.

Rakaman ketika hampir doa dibacakan.


Doa disampaikan oleh Sheikh Muhammad Munji.




Diadakan majlis seperti ini , di antara tujuannya adalah untuk memastikan syiar Islam hidup mekar dan berkembang biak di tengat-tengah masyarakat. Dalam pada itu masyarakat Islam hendaklah jangan hilang fokusnya iaitu semua aktiviti itu dikerja atau dilaksakan adalah semata-mata kerana Allah, oleh itu adat-adat untuk pemanis majlis hendaknya tidak mengatasi niat asalnya.
Majlis diakhiri dengan agenda penyampaian cendera hati Oleh Mufti kepada para peserta khatam al.Quran, Sheikh Muhammad Munji juga turut menerima cendera hati sebagai tanda terima kasih pihak pengurusan masjid kepada beliau yang sanggup datang dari jauh dan mengimamkan solat Tarawih serta memimpin majlis khatam al.Quran.

Sekian...wallahu aklam.


Bersolat Tarawih bersama Sheikh Muhammad Munji - Mesir.

Salam semua.

Penulis sengaja mendedah dan mewar-warkankan aktiviti solat Tarawih in bertujuan menarik minat ramai lagi kaum muslimin dan muslimat serta pihak pengurusan masjid di seluruh negara mengambil langkah ini sebagai contoh iaitu berusaha mengimarah dan memakmurkan masjid dengan mengadakan berbagai aktiviti yang semesti akan memberi manfaat kepada ahli jamaah, jika diadakan banyak aktiviti yang menarik insya Allah derma dan sumbangan kewangan kepada Tabung Masjid juga akan meningkat kerana penderma ingin mendapatkan kebaikan atau pahala dari aktiviti-aktiviti tersebut .Tuan Imam Besar sedang memberi pengumuman mengenai program semasa.

Setakat ini Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor telah mengadakan berbagai aktiviti terutamanya di sepanjang bulan Ramadan ini. Setiap hari ada saja program yang bermanfaat dan telah berjaya menarik pengunjung datang beribadat di sini. Dalam bulan Ramadan ini setiap saat ada sahaja ahli jamaahnya beribadat sekurang-kurangnya mereka beriktikaf dan membaca al.Quran di dalam masjid.



Sheik Muhammad Munji sedang mengimamkan solat sunat Tarawih - Video tidak memuaskan kerana kamera diletakkan di dalam poket.dirakam sekadar dua rakat sahaja.

Video ini juga serupa - rakaman dua rakaat yang lain pula.

Sekian...wallahu aklam.

Friday, August 26, 2011

Bersetuju dengan kenyataan Mufti Negeri Perak. ( Tan Sri Harussani Zakaria )

Salam semua.

Kenyataan mufti Perak bahawa Melayu-Islam berpecah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah - Sumber dari www.Malaysiakini.com.

Respon penulis.
Penulis bersetuju sepenuhnya kenyataan di atas, Sebahagian besar rakyat Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang berpelajaran ( tidak buta huruf ) mereka mengikuti perkembangan sosial masyarakat dan pentadbiran kerajaan, mereka adalah rakyat yang prihatin dan pandai menilai baik buruk apa yang sedang berlaku di dalam kehidupan. Pentadbiran kerajaan atau suasana politik adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Mereka turut gembira dan suka apabila negara dalam keadaan sejahtera dan beramanah, sebaliknya mereka tidak suka dan marah apabila berlaku rasuah berleluasa di kalangan ahli politik pemerintah dan penjawat awam terutamanya penjawat jawatan tinggi awam yang sepatutnya lebih beramanah dan mampu memberi nasihat dan membendung gejala buruk itu, berlebih-lebih lagi para menterinya. Naluri rakyat yang baik atau beriman adalah bencikan semua bentuk kejahatan dan penyelewengan.

Walaupun tiada bukti yang boleh disenaraikan tetapi melihat kepada gaya hidup mereka sudah cukup untuk rakyat menelahnya, jurang berbezaan kehidupan yang sangat jauh di antara mereka dengan rakyat itu juga dapat meyakinkan rakyat bahawa amalan rasuah sedang diamal dan dipraktikkan menjadikan mereka semakin senang dan mewah tanpa rasa bersalah.Tiada siapa yang boleh membohongi diri sendiri kecuali membohongi orang lain.

Rakyat yang prihatin terhadap sifat amanah dan berakhlak mulia yang perlu diamal dan dihayati oleh para pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan tidak mahu lagi memberi sokongan kepada kerajaan semasa, ekoran ini menyebabkan rakyat terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang masih mahu memberi sokongan kepada kerajaan dan kumpulan yang tidak mahu lagi memberi sokongan, apa yang berlaku ini adalah hasil ciptaan secara tidak langsung oleh kerajaan sendiri atau ahli politiknya sendiri. Ibarat kalau lalang ditanam tidak mungkin menghasilkan padi.


Perbalahan dan perpecahan berlaku kerana ekoran kondisi kerajaan yang dikatakan lemah itu menjadi modal kepada mereka yang prihatin membahas dan membincangkan dalam usaha membenteras dan menghalang agar situasi buruk itu tidak bertambah buruk, akhirnya keburukan yang telah berlaku diketahui umum dan terbuka untuk dinilai, di negara demokrasi tindakan ini bukanlah sesuatu yang pelik,luarbiasa atau dilarang.

Sebelumnya rakyat telah diperkenal dan dididik dengan BCA ( Bersih, Cekap dan Amanah ) oleh kerajaan sendiri dengan memaparkan slogan yang hebat, slogan ini hanya berjaya mengkaburkan mata rakyat buat sementara waktu sahaja, kelihatan ianya berusngguh-sunguh hendak merealisasikannya tetapi apa yang berlaku di sebaliknya adalah amalan rasuah berleluasa sehingga pagar sempadan pun dibolosi oleh rakyat asing, situasi ini pula memperlihatkan kerajaan sangat lemah dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat, semuanya adalah akibat dari gejala rasuah yang tidak dapat dibendung. Tiada contoh dan teladan yang boleh diikuti.

Sekian...wallahu aklam.

Bersolat Tarawih bersama Sheikh Saad Nuqman dan Muhammad Ali Jabir.


Salam semua.

Artikel ini bukanlah hendak menayangkan video yang tidak sepertinya (gambar Saad Nuqman dari Madinah) tetapi ianya lebih kepada mewar-warkan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi mengimarah dan memakmurkan masjid, berbagai aktiviti rohaniah dijalankan untuk menarik minat kaum muslimin dan muslimat di sekitarnya hadir beribadat di masjid, usaha ini semestinya layak mendapat pujian dan menjadi contoh kepada pihak pengurusan masjid-masjid yang lain.Sheikh Abdul Karim berpendidikan di Mekah - membaca al.Quran berlahjah Arab- sangat menarik dan merdu sekali.

Usaha Masjid Negeri ini jelas telah memperlihatkan hasilnya, ahli jamaah datang berduyun-duyun ke masjid menunjukkan mereka bersetuju dan berminat dengan usaha tersebut, sepanjang bulan Ramadan ini tiada ruang kosong melainkan penuh dengan aktiviti ibadat, usaha mendidik dan memberi ilmu seumpama ini amat memberi kesan kepada ahli jamaah, teori dan amali serentak dihidangkan kepada ahli jammah adalah suatu method yang praktikal dan berkesan dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran.
Sheikh Abdul Karim salah seorang imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sedang melaungkan azan suaranya tidak ubah seperti Arab.



Sheikh Muhamad Ali Jabir memberi tazkirah dalam bahasa Melayu.

Di antara intisarinya.
Penulis duduk di saf yang kedua bertentang dengannya kerana susuk badannya tinggi apabila beliau berdiri keadaan berubah menjadi lebih jauh dan suaranya tidak masuk dalam rakaman video dengan jelas, video dirakam seumpama sambil menyelam sambil minum air sahaja, ditambah pula dengan kekurangan kemahiran.Oleh itu penulis tidak memuat naikkan video di dalam artikel ini , hanya menurunkan sedikit intisari apa yang beliau perkatakan.

Beliau menasihatkan supaya membaca al.Quran dan memahaminya bukan sahaja di dalam bulan Ramadan tetapi hendaklah beristiqamah dengan membacanya sepanjang masa. Lailatul Qadar merupakan anugerah Allah
yang paling berharga kepada umat Nabi Muhammad.s.a.w , nilai ibadat pada malam itu senilai dengan ibadat seribu bulan, sesiapa yang mendapatnya akan terhasil ibadatnya melebihi umurnya kerana kebiasaan umur umat Nabi Muhammad.s.a.w dalam likungan 60 - 70 tahun sahaja, dengan kurniaan itu memungkinkan umat zaman ini beribadat lebih banyak dari umat Nabi Musa a.s yang Allah kurniakan usia yang panjang itu, demikianlah keistimewaan umat Nabi Muhammad.s.a.w.

Oleh itu beribadatlah dengan cermat dan tertib khasnya dalam menunaikan solat sunat Tarawih - jangan dilakukan terlalu laju sehingga sukar diikuti oleh mereka yang telah lanjut usia - Imam selayaknya orang yang boleh diikuti.

Juga jangan berbalah hanya tentang menentukan rakaat solat Tarawih yang perlu didirikan sama ada 8 atau 20 rakaat, perbalahan berkemungkinan mengurangkan suasana imarah masjid atau lebih teruk lagi masjid dikunci selepas solat Isyak dan pulang bersolat Tarawih di rumah dengan pilihan masing-masing.

Beliau sempat memuji masyarakat Islam Shah Alam khasnya ahli Jamaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di mana mereka tidak menimbulkan masalah sama ada imam membaca basmalah ( bismillah) sebelum membaca Surah al.Fatihah semasa mereka mengimamkan solat atau lain-lain kelainan yang boleh diterima.
________________________________________
Ada kalanya yang kita sangka benar memang ianya benar. Yang kita sangka salah adakalanya tidak salah.
________________________________________

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, August 24, 2011

Menyambut Hari Raya atau Berpesta di Hari Raya.

Salam semua.

Menyambut Hari Raya ( 'Aidil Fitri ) atau Berpesta di Hari Raya.

Berpuasa dan berhari raya adalah hak dan ajaran Islam yang termaktub di dalam al.Quran. Orang Melayu berpuasa dan berhari raya adalah merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis - Siapakah yang mencampur-adukkan dengan perkara lain sehingga ianya menjadi pesta dan bukan lagi berupa ibadat yang disarankan Rasul Junjungan.


Apakah yang telah diajar mengenai sambutan Aidil Fitri?.
Jawapannya sangat ringkas.

- Sebelumnya berpuasa terlebih dahulu iaitu setelah yakin tiba bulan Ramadan.
- Pastikan Ramadan telah luput dan timbul pula anak bulan Syawal.
- Apabila telah yakin Syawal telah bermula maka ibadat puasa wajib dihentikan, wajiblah pula mengeluarkan Zakat Fitrah dan bertakbirlah sebaik sahaja mengetahui Syawal telah tiba.
- Pada waktu pagi 1hb.Syawal selesaikan pembayaran Zakat jangan sampai lewat sehingga selepas solat sunat Aidil Fitri atau esoknya.
- Ketika matahari tinggi segalah ( pagi ) disuruh pula solat sunat 'Aidil Fitri, bermaaf-maafan dan ziarah menziarahi untuk menguatkan ikatan silaturrahim.
- Apabila tiba hari esoknya iaitu 2hb.Syawal disuruh pula berpuasa sunat.

- Pada amnya selain daripada fakta ini janganlah dikaitkan dengan Sambutan Hari Raya - 'Aidil Fitri.


Sekian...wallahu aklam.



Hujah bersaksikan lutut tiada berkewibawaan.


Salam semua.

Pada hematku.

Bersaksikan lutut membawa makna meminta pertimbangan kepada orang yang bodoh atau sahabat atau sanak saudara dijadikan saksi.

Saksi-saksi seperti ini akan mengiyakan apa yang dikehendaki, melihat kepada saksi-saksi tersebut akan menimbulkan rasa curiga dan hilang kepercayaan terhadap kejujuran para saksi, lantas sesuatu kes dan masalah tidak dapat diselesikan dengan baik.

Seumpama pengadilan permainan bola sepak yang diadili oleh salah seorang pemain pasukan lawan. Pengadil dan pasukan lawan akan berhujah bahawa kerja-kerja pengadilan akan dijalankan secara yang berwibawa dan adil, segala tindakan untuk menjaga keadilan akan dilaksanakan. Penjaga garisan juga akan dipastikan supaya bertugas dengan cemerlang, tidak perlu bimbang walaupun mereka ini semuanya dari pasukan lawan. Sebanyak mana hujah sekali pun tidak akan menukarkan situasi kepada suatu keadaan yang berwibawa kerana segala perencah dan strukturnya rapuh dan tidak boleh dipercayai. Selagi pengadil dan penjaga garisan tidak dipilih di kalangan orang yang berkecuali, selagi itulah rasa ragu-ragu dan kerja sulit untuk memenangi pasukan sendiri akan terus berlaku.

Situasi seperti inilah yang akhirnya terhasil peribahasa bersaksikan lutut, apa-apa kerja yang berupa bersaksikan lutut hendaklah dielakkan kerana perbuatan seperti itu akan menimbulkan perbalahan dan persengketaan yang panjang dan tidak berkesudahan kecuali setelah urusan dijalankan secara bersaksikan lutut itu dihenti dan dihapuskan. Di dalam kehidupan ini memang wujud kerjabuat yang bersaksikan lutut sama ada kerja halus, kecil atau besar sehingga ke peringkat negara sekali pun. Kerja-kerja begini sebenarnya dilarang dan tidak disukai orang Melayu, terciptanya peribahasa ini adalah cetusan rasa tidak suka terhadap tindakan tersebut.

Kerja besar dalam hal ini, mungkin dapat kita ambil contoh pengurusan demokrasi dan keadilan di dalam negara. Untuk tidak memporak-perandakan rakyat kerjabuat yang sinareo dan situasinya bersaksikan lutut perlulah
dihenti dan dihapuskan. Rakyat kini telah pun cerdik, bukan semakin cerdik tetapi telah pun cerdik dan mampu menilai sesuatu serta dapat menentukan secara yakin terhadap sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh sesiapa sahaja. Semua warga berkewajipan menjaga kesejahteraan, kesejahteraan biasanya dirosakkan oleh tindakan yang tidak cocok dengan naluri manusia, pada lumrahnya naluri manusia kasih dan sukakan keadilan dan kebaikan.

Sekian...wallahu aklam.

Tipah tertipu - Tipah juga yang membantu.

Salam semua.

Hanya kisah rekaanku.

Artikel kali ini agak berlainan sedikit dengan artikel-artikel yang lain tetapi ianya tetap ringkas dan bersahaja, tidaklah mustahak untuk dibaca tetapi elok juga dibaca kerana di dalamnya terkandung sedikit manfaat untuk mereka yang tertentu, kisahnya dikategorikan sebagai kisah rekaan yang kelihatan hampir benar kerana teras ceritanya menyentuh , perkataan dan ungkapannya seolah-olah cerita benar, kalaupun terdapat cerita demikian rupa di dunia ini, itu hanyalah kebetulan, cerita ini bukan kisah yang itu tetapi cerita ini hanya rekaan dan khayalan penulis semata-mata.

Kisahnya Tipah tertipu dengan suaminya sendiri, di mana suatu pakatan yang tidak disangka, isteri pertama bersetuju suaminya beristeri lagi satu dengan syarat suaminya itu akan memberikan atau mencurahkan kasih sayang kepada isteri barunya itu kasih sayang plastik sahaja dan kasih sayang pada dirinya tetap kasih sayang tulen. Termetrailah perjanjian sesama mereka tanpa peguam atau mana-mana saksi kecuali suatu kesefahaman yang akan menguntungkan mereka berdua melalui suatu niat yang buruk dan jahat.

Sampai ketikanya berlakulah pernikahan tulen bersaksikan saksi yang tulen dan diakui masyarakat dan rakan taulan. Maka hiduplah mereka sebagai suami isteri yang berkongsikan seorang suami, isteri baru seorang yang agak kukuh ekonominya, betugas dengan kerajaan sebagai pegawai yang berijazah, gajinya tentulah mencapai ribuan rm, pendapatan itu belum termasuk elaun-elaun yang lain yang layak diterimanya setiap bulan. Manakala isteri tuanya adalah sebagai seorang yang bekerja dan bertugas di rumah tanpa gaji tetap yang diberikan suaminya, namun demikian beliau berjaya memetrai kasih sayang tulen dengan suami, mereka berdua sehati sejiwa di dalam kehidupan hariannya termasuk perancangan dan niat jahat terhadap rakan kongsi pendatang baru di dalam kehidupan mereka.

Oleh itu mereka berdua sentiasa menunjukkan kasih sayang plastik itu kepada pendatang baru, mesra sepanjang masa, jauh sekali berlaku persengketaan dan perbalahan, Tipah baru pun percaya dengan kemesraan itu, maklumlah suami isteri dan bermadu pun dengan cara yang baik dan dipersetujui Tipah lamanya. Tipah baru tidak langsung mengesyaki bahawa kasih sayang itu sebenarnya diperbuat daripada palstik iaitu sejenis bahan tiruan dalam membina kasih sayang di antara mereka.

Betapa malangnya Tipah isteri muda ini, niat dan rancangan untuk menghilangkan kesunyian hidup tanpa suami tidak menghasilkan kebaikan seperti diharapkan, Tipah sebenarnya pernah bersuami sebelumnya, bekas suami pertama seorang yang tidak bertanggungjawab dan suami yang kedua pula kuat cemburu dan suami semasa ini adalah suami yang ketiga, suami ini pula hanya bertanggungjawab kepada isteri pertama sahaja. Hasrat Tipah mendapatkan kebahagiaan bersama suami gagal lagi kerana kerakusan suami dan madunya.

Tipah bukan seorang yang miskin, Tipah hanya miskin kasih sayang seorang manusia yang bernama suami, Tipah mempunyai wang simpanan dan gaji yang lumaiyan, di tempat kerjanya Tipah adalah termasuk dalam kumpulan 5 orang teratas dalam soal gaji dan kedudukan pangkat atau kekananannya, Tipah bersetuju berkahwin bukan untuk menumpang kebendaan atau kewangan bakal suaminya, beliau hanya inginkan kehidupan bersuami seperti isteri atau wanita lain merasainya.

Fasa pertama dalam kehidupan suami isteri yang dilalui Tipah sangat meyakinkan, ke pasar bersama suami, ke pasar tani juga bersama suami, ke bank juga bersama suami dan ke mana sahaja bersama suami tanpa dicemburui oleh madunya, malah kekadang mereka bertiga ke sana ke mari dalam suasana kasih sayang plastik yang direkakan oleh Tipah Lama dan suaminya. Tipah Baru terasa agaknya inilah suaminya yang terbaik dan kekal bersamanya nanti.

Suami Tipah adalah seorang ahli perniagaan, suatu ketika beliau memerlukan wang untuk perbesarkan perniagaannya, inilah masanya di mana plastik mulai retak dan hampir terbongkar rahsianya sebagai plastik , namun demikian Tipah belum terkesan riaknya. Suaminya ingin membuat pinjaman bank, malangnya beliau tidak layak berbuat demikian kerana hutang lama belum lagi dilangsaikan. Kasih sayang pada Tipah kali ini semakin membuak-buak, Tipah Lama juga meluahkan kemesraan yang meyakinkan. Pinjaman bank pun diuruskan atas nama Tipah Baru, sejumlah yang dihajati diperturunkan di atas surat perjanjian, Tipah Lama menjadi penasihat yang paling meyakinkan suaminya, akhirnya pinjaman pun termetrai atas nama Tipah Baru, melihat kepada kedudukan kewangan Tipah Baru bank dengan senang hati meluluskan pinjaman tersebut, semua wang yang diperolehi diserahkan kepada suami tersayang untuk memajukan perniagaannya. Kalau isteri tidak menolong suami, siapa lagi akan menolong itulah ingatan di dalam hati Tipah Baru, seikhlas dan sejujurnya ingin memajukan perniagaan suami.

Fasa kedua kehidupan Tipah pun bermula, setelah pinjaman diperolehi kemesraan dan kasih sayang semakin tawar dan renggang, lama kelamaan berlakulah persengketaan yang tidak disangka-sangka, kasih sayang plastik pun terserlah dan terborai, sifat kepura-puraan akhirnya dapat dikesan dan disahkan. Persengkataan ini memang dihajati oeh Tipah Lama dan suaminya kerana perjanjian mereka sudah hampir tamat tempoh, ikatan pernikahan perlu digubarkan, selepas itu bolehlah mereka bersuka- ria dengan wang pinjaman yang disara Tipah Baru, selepas perceraian nanti terpulanglah kepada Tipah untuk menguruskan hutangnya itu.
_________________________________________________

Mungkir janji adalah salah satu sifat munafiq.
_________________________________________________

Untuk meringkaskan cerita mereka akhirnya bercerai, sungguh malang nasib Tipah Baru. Tipah tertipu - Tipah juga yang membantu. Hati Tipah remuk kembali bagai kaca terhempas di atas batu.

Kini Tipah kembali kepada kehidupan asalnya sunyi dan sedih, sanak saudara dan kekawan menjadi sasaran tempat mengadu dan meluahkan perasaan, berat mana mata memandang berat lagi, bahu yang memikul. Fasa ketiga bermula dengan pengalaman pahit dan menggeramkan, apa pun terjadi Tipah amat tahu bahawa beliau perlu meneruskan kehidupan dan mencari keredaan-Nya. Tipah bukan calang-calang orang, beliau berpelajaran dan berpendidikan tinggi. Walaupun setiap bulan terpaksa bertandang ke kaunter bank untuk membayar hutang yang dirancang oleh bekas suami dan madu kebulur itu, ekonomi Tipah masih stabil dan tetap tidak terjejas.

Allah masih sayang pada Tipah, cuma Tipah terpilih untuk diuji dan diuji, oleh itu beliau terpaksalah menghadapi ujian Allah itu dengan tabah dan sabar, mungkin di sana nanti ada ganjaran baik untuknya. Apa ada pada wang yang akhirnya menjadi daki dan najis itu.


Sekian... Wallahu aklam.

Tuesday, August 23, 2011

Itulah kecelaruan minda.(puisi)


Salam semua.

Bukan jaguh dikatakan jaguh.
Kaca dikatakan intan.
Pengkhianat dikatakan pejuang.
Mulut naga dikatakan bumi mendatar.
Racun dikatakan madu.
Arak dikatakan susu.

Yang salah dibebaskan.
Yang benar dipenjarakan.
Amalan sesat menjadi pilihan.
Amalan diredai dipinggirkan.
Orang jahat menjaguhi.
Orang baik menjadi pengikut.

Pemimpin membuka aurat.
Pengikut menutup aurat.

Apakah semuanya itu.
Itulah kecelaruan minda.

Sekian...wallahu aklam.

Bersolat Tarawih bersama imam dari Madinah.

Salam semua.

Malam tadi 23 Ramadan 1432 bernasib baik kerana dapat bersolat sunat Tarawih bersama Sheikh Saad Nuqman dari Madinah, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.(gambar atas hanya untuk hiasan) Beliau dikatakan berkebolehan membaca al.Quran dengan berbagai cara, kalau tidak salah pendengaran ketika diumumkan oleh salah seorang imam masjid ini, katanya Sheikh Saad menguasai lebih 80 bacaan.




Video ini diambil ketika Sheikh Saad Nuqman sedang berdoa, gambar tidak fokus kepadanya kerana penulis berada berhampiran dengannya, kalau berdemikian ditakuti akan hilang khusyuk, hanya dua kali sahaja difokuskan kepadanya.



Berebut-berebut hendak berjabat tangan / bersalaman dengan Sheikh Saad Nuqman sehingga tidak terkawal , akhirnya Tuan Bilal terpaksa membawa Sheikh Saad keluar dari dewan solat, bersabit dengan itu terdapat mereka yang kecewa kerana tidak berkesempatan melakukannya.
Mungkin peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita semua khasnya pihak pengurusan masjid supaya diambil langkah tertentu apabila solat diimamkan imam -imam terkenal, andaian perlu difikirkan sebelum solat didirikan.
Ada baiknya juga, Kalau diadakan slot khas bersalaman dengan imam dengan cara yang diarahkan oleh Tuan Bilal yang terdengar suaranya di dalam video tetapi hendaklah diumumkan terlebih dahulu sebelum solat didirikan supaya semua ahli jamaah berbaris , setelah siap berbaris barulah bersalaman dibenarkan , dengan cara itu akan menghasilkan situasi yang selesa dan mesra - mereka yang berada di belakang hendaklah bersabar - sabar sebahagian daripada iman.


Sekian...Wallahu aklam.

Monday, August 22, 2011

Niat ke masjid.


Salam semua.

Lebih ramai umat Islam yang pergi ke masjid untuk beribadat dalam bulan Ramadan ini berbanding pada bulan- bulan yang lain, masjid besar seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. para jamaah yang hadir mencecah melebihi ribuan orang masing-masing memasang niat untuk beribadat dan bertaqarrub kepada Allah, memohon keampunan dan keredaan-Nya. Dalam pada itu terdapat juga Musang Berbulu Ayam berpakaian dan menyantuni diri di dalam masjid seperti orang lain yang ingin beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah tetapi hakikatnya pemergiannya ke masjid mempunyai niat yang lain, niat yang keji dan kotor serta jahil. Oleh itu beberapa kes kehilangna wang dan telefon bimbit pun berlaku.

Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan dalam bilangan ramai itu akan terdapat juga pencuri dan penipu yang berlagak baik. Mereka ini hadir ke masjid bersama kejahatan dan syaitan di dalam diri.

Beruntunglah mereka yang mendapat hidayah dan taufiq Allah kerana berjaya mengurus diri dan keluarga dengan baik dan diredai-Nya.

____________________________________________

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

______________________________________________

Sekian...Wallahu aklam.


Sekitar Sambutan Hari Huffaz Selangor 1432H


Salam semua.

Sengaja masuk gambar dan video ini sebagai motivasi dan menyemarakkan lagi syiar Islam. imej ini diambil pada 20 dan 21 bersamaan bulan Ramadan 1432H dan juga Ogos 2011, pada tahun kebetulan sama tarikh untuk tahun hijrah dan masihi. Tertera tema majilis " HARI HUFFAZ SELANGOR KE :5" peserta yang terlibat adalah dari maahad tahfiz daerah-daerah negeri Selangor. bertempat di Dewan Solat Bawah Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Seorang peserta sedang membaca dan dua orang menyemaknya, jika salah bacaannya akan beri teguran.
Semua peserta ini juga menyemaknya ( Tasmik ) mereka berada di bawah pentas juga menyemak dan mengikuti bacaan sepenuhnya.

Setiap peserta bersama al.Quran.


Video ini dirakamkan secara tidak dirancang dengan rapi. Hanya diambil atas semangat ingin menyebarkan maklumat dan memberi motivasi serta mendukung para huffaz.







Membaca surah-surah yang lazim dibaca sebelum doa khatam al.Quran - Majlis penutup Hari Huffaz Selangor ke . 5 - Tahun 1432/2011.

Sekian...Wallahu aklam.

Wednesday, August 17, 2011

Anak berjaya diasuh untuk berpuasa walaupun ibu bapa masih meninggalkan solat.

Salam semua.
Senario masyarakat kita berkaitan dengan puasa.

Terkenang aku ketika aku masih kanak- kanak dahulu,
(gambar hiasan) maaf ya kali ini aku berbahasakan aku kerana aku itu adalah suatu pengakuan yang lebih kukuh berbanding dengan ungkapan saya, sehubungan itu lafaz angkat nikah lebih yakin menggunakan aku - " Aku terimalah nikahnya.........", kalau guna saya mungkin membawa maksud sahaya, kalau guna ambo pula membawa makna hamba, kedua-duanya tidak terarah kepada pengakuan tulen kepada diri sendiri.... hahaha... ini hanya bergurau saja bukan kerana itu aku gunakan ungkapan itu....cuma aku selesa begitu untuk artikel kali ini, mungkin juga cara ini lebih mesra.

Aku berpuasa sejak zaman kanak-kanak lagi, ketika aku berpuasa aku tidak pun bersolat, tiada siapa pun memberi teguran padaku, malah kawan-kawanku pun begitu juga. Bukan itu saja orang dewasa pun ramai tidak bersolat, orang yang solat cukup lima waktu ketika itu hanya orang yang bergelar Lebai dan Haji saja. itupun andaian saja, mungkin mereka pun celum celam jugak.Walaupun ibu bapa tidak bersolat atau tidak cukup solatnya mereka berjaya mendidik anak-anak berpuasa, itulah istimewanya orang Melayu. Satu kampung malah satu negara mendidik masyarakatnya berpuasa. Kalaulah kewajipan bersolat itu juga dididik seperti ini tentulah tiada bapa dan ibu yang tidak cukup solat.Solat ibarat tiang agama(Islam).

 
Ramai orang kita berpuasa berbanding dengan bersolat, ada yang berpuasa tetapi tidak bersolat, ada yang pergi ke masjid berbuka puasa tetapi tidak masuk saf solat Maghrib dan bersolat jamaah, ada yang berpuasa tidak pernah tinggal tetapi dalam keadaan sedang berpuasa itu mereka mendedahkan aurat bersahaja saja, ada jugak keadaannya keterlaluan sehingga mencuit nafsu lelaki normal. Ada juga yang hadir ke masjid untuk melibatkan diri dalam aktiviti menyediakan bubur atau jamuan berbuka tetapi tidak pula untuk bersolat Asar atau seumpamanya.Pendeknya macam-macam ada.

Perbezaan memahami kewajipan berpuasa cara adat Melayu dan syariat Islam.
Semua tasauwur dan situasi yang diutarakan di atas adalah kefahaman orang Melayu mengenai kewajipan berpuasa yang tidak sepadu dengan rukun Islam yang lain, yakni fahaman dan pembawaan yang bercampur-aduk dengan adat dan syariat, menjadikan fahaman itu kabur dan tercemar. Amalan begini biasanya mereka merujuk kepada biah atau persekitaran mereka sahaja dan kurang merujuk kepada Al.Quran dan Al.Hadis, sehubungan dengan itu apabila tiba sahaja bulan Syawal mereka akan berhari raya sehingga sebulan sepanjang bulan Syawal dan melupai syariat yang menyuruh berpuasa sunat seperti disebutkan di dalam al.Hadis.

Mereka yang berjaya dalam ibadat puasa ini ialah mereka yang berpuasa dengan mematuhi semua aspek perintah Allah dan sentiasa merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis bukan merujuk kepada adat kebiasaan semata-mata. Biarlah ibadat yang sering dilaksanakan menepati perintah itu menjadi adat supaya syariatnya sentiasa terpelihara.

Sekian...wallahu aklam. .




Nuzulul Quran.

Salam semua.





Maksud ayat dari surah al.Qadr.

[1]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3]
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4]
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5]
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!


Tuesday, August 16, 2011

Jati diri bangsa semakin rapuh.

Salam semua.

Pada hematku.

Senario dan situasi yang berlaku di seluruh negara pada masa kini memperlihatkan kerapuhan dan kehakisan jati ( gambar - sekadar hiasan ) diri menyebabkan kedaulatan negara terjejas. Keserabutan minda memikirkan hal-hal yang bersangkut dan berkait dengan kebendaan secara keterlaluan bisa melupakan mereka kepada tanggungjawab terhadap negara , maka berlakulah kerapuhan pagar negara dan kebocorannya sehingga dibolosi dan ditambah pula dengan perbuatan terambil harta yang bukan hak kepunyaannya sendiri menjadikan dirinya kaya raya sehingga melupai sakit dan tersiksanya bumi yang dipijak yang sedang menunggu untuk dirawat dan dipulihkan.

Kerapuhan jati diri bangsa menggusar dan membimbangkan mereka yang masih kental dan menyimpan jati diri dalam dirinya. Keluhan demi keluhan diluahkan supaya situasi buruk itu dirawat dan dipulihkan sering dibaca di dada akhbar, Namun langkah pemulihan masih menjadi tanda tanya yang belum berkesudahan.

Kerapuhan pagar negara boleh dilihat melalui program pendaftaran pendatang tanpa izin ( PATI ) yang dilanjutkan tempohnya dapat memberi faham bahawa jumlah mereka itu sangat ramai. Terjaminkah kehadiran mereka selepas ini akan kembali mengikut peraturan dan prosedur yang disediakan oleh negara kepada pihak yang berwajib.


Kehadiran mereka demikian rupa telah membawa banyak kegusaran kepada negara, bibit kurang selamat di kalangan rakyat telah mulai berbenih dan tumbuh subur sehingga terhasil perbalahan sesama sendiri di kalangan rakyat, kerana kehadiran mereka tidak mampu memberi sumbangan dan faedah kepada semua. Mereka yang mendapat faedah sudah pasti menyukainya dan mengambil untung semahunya dari situasi itu.

Jika kehadiran itu secara sah dan dimanfaatkan secara adil serta cukup sekadar keperluan negara yang akan membawa kebaikan kepada semua, kehadiran itu semestinya tidak dipertikaikan. Kerapuhan jati diri bangsa dan amanah adalah punca utama berlakunya senario dan situasi tidak terkawal itu berlaku dan terus berlaku. Kini terjawablah bahawa jati diri bangsa memerlukan rawatan dan anjakan.

Sekian..wallahu aklam.



Sebuah perjalanan. (puisi)


Salam semua.


Sebuah perjalanan tanpa disedari.
Alam roh ianya dimulai.
Singgah sebentar di dalam perut ibu.
Cukup tempoh berhijrahlah dia.
Telanjang bogel tanpa seurat benang.
Teriak menangis memohon pertolongan.
Mereka yang menunggu ketawa riang.

Singgah di dunia menghadapi ujian.
Ada yang lupa, ada yang istiqamah ingatannya.
Masa berlalu bak tiupan angin sepoi bahasa.
Tidak kelihatan, rasanya terkesan.
Dulunya roh kini manusia sempurna.

Khabar ancaman dan khabar gembira sampai ke telinga.
Bahawa di sana ada neraka dan ada syurga.
Dunia ini hanya sebuah perjalanan.
Destinasinya neraka atau syurga.
Neraka tempat ancaman dan siksaan.
Syurga tempat santai merasai kenikmatan.

Persiapan ke sana ketika di dunia.
Hanya mereka yang berilmu berjaya mencapainya.
Memilih syurga tempat bersantai.
Merasai nikmatnya kekal abadi.

Sekian...wallahu aklam.

Sunday, August 14, 2011

Orang Islam ghairah memakmurkan masjid sepanjang bulan Ramadan.

Salam semua.

Orang Islam beramai-ramai ke masjid untuk beribadat dalam bulan Ramadan telah menjadi lumrah dan adat yang baik dan perlu dikekalkan. Mereka ke sana tiada tujuan lain, selain daripada beribadat dan menghampirkan diri dengan Allah untuk memohon keredaan-Nya. Mereka yang beriman akan menyiapkan diri mereka dengan berpakaian yang sesuai dan menepati kehendak hukum Islam, Hukum berpakaian ini telah diketahui umum, tiada lain yang dimaksudkan di sini melain menutup aurat sama ada lelaki atau wanita. Inilah adab yang pertama dan utama sebelum memulakan ibadat yang seterusnya.
Wanita di masjid. Malangnya terdapat sebahagian kecil wanita masih berdegil tidak mahu mematuhi peraturan berpakaian walaupun di dalam masjid, mereka ini masuk ke dalam masjid dengan berpakaian selayak bersama mahram atau bersama keluarga ketika berada di rumah.


Mereka memakai seluar jeans dan lain-lain jenis seluar yang ketat bersama baju T lengan pendek atau lengan panjang yang ketat berjalan selamba sahaja di tengah-tengah medan ruang solat masjid ketika lelaki dan wanita sedang beriktikaf...( Siapakah yang akan menegur dan mencegah perbuatan mereka ini selain suami atau ibu bapa mereka )...kalau tiada yang mencegahnya perbuatan buruk dan keji ini akan menjadi ikutan dan akhirnya akan lebih sukar hendak dicegah atau dimurnikannya.

Setiap orang Islam wajib mengetahui had kawasan atau ruang yang dimaksudkan berada di dalam masjid, secara ringkasnya setiap inci lantai yang berada di bawah bumbung masjid itu adalah dikira di dalam masjid, ( penjelasan ini rambang - lihat situasi sebenar ), jika telah berada di dalam masjid bermakna sah beriktikaf di situ sekiranya telah mencukupi syarat-syaratnya. Bayangkan di kawasan seperti inilah beberapa wanita berseluar ketat dan berbaju T berlegar-berlegar di hadapan orang yang sedang membaca al.Quran dan beriktikaf.
________________________________________________
Menurut pendapat mazhab Hanafi , Maliki dan Hanbali , bahawa kawasan sekeliling masjid yang dibina untuk diperluaskan atau dibesarkan dan terdapat batasan-batasannya seperti dinding , tingkap dan sebagainya tidak dikira sebagai kawasan masjid.

Abu Ya’la menyebut bahawa ia termasuk dalam kawasan masjid.Malah Mazhab Imam Syafie juga berpendapat bahawa tapak masjid dan kawasan sekelilingnya yang ditambah sebagai perluasan juga dikira temasuk sebagai masjid serta SAH iktikaf di kawasan tersebut.(al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah : jilid 5 , m/s : 225)

_____________________________________________

Setiap orang Islam perlu prihatin sepanjang masa dalam masalah menutup aurat ini terutama jika perbuatan kita itu menjejaskan ibadat orang lain. Pihak pengurusan masjid juga berkehendakkan tindakan yang proaktif dalam menangani perkara ini supaya mereka yang degil tidak berpeluang mencemarkan masjid.

Adab berada di masjid sangat penting untuk dipelihara supaya adab berada dimasjid itu diamalkan secara istiqamah sehingga ke akhir zaman, kalau dibiarkan dan tidak dicegah adab yang buruk itu akan menjadi kebiasaan dan akan hilanglah sedikit demi sedikt adab yang telah ditetapkan oleh Islam, akhirnya adat buruk itu pula akan diwarisi generasi akan datag, betapa malangnya mereka jika berlaku sedemikian.

Kanak-kanak di masjid.
Mendidik anak bersolat dan membiasakan mereka ke masjid adalah sangat digalakkan tetapi ianya bukan sekadar itu, kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa ke masjid hendaklah dipastikan mereka berdisiplin sepanjang masa semasa berada di masjid, jangan sampai kehadiran mereka sia-sia dan membebankan pihak pengurusan masjid, lebih teruk lagi kalau mereka menjadikan ruang selesa di masjid itu sebagai ruang dan gelanggang mainan mereka , mereka ini perlulah diurus dan diatur aktiviti mereka supaya mereka terdidik dengan kehadiran itu.
Kanak-kanak yang belum mumaiyiz mungkin belum masanya untuk ke masjid, kalaupun dibawa mereka hendaklah berada sepanjang masa bersama ibu atau bapa mereka.
Apapun janganlah kehadiran kita bersama anak-anak ke masjid menyebabkan kesusahan kepada orang lain, perkara ini sangat penting untuk difikirkan.
Sekian...wallahu aklam.








Saturday, August 13, 2011

Mantap dan kentalkan iman.

Salam semua.

Hanya pada hematku.

MANTAP DAN KENTALKAN IMAN.

Air tembikai yang berwarna merah ini akan keluar dan tumpah ke lantai sekiranya dimasukkan air putih atau air yang berwarna lain ke dalamnya secara berterusan. Warna merah akan berubah mengikut warna air yang dimasukkan kemudiannya.

Baiklah, cuba kita ibaratkan atau buat andaian bahawa yang merah itu adalah kekotoran di hati, kekotoran itu kita samakan dengan tidak beriman, jahil, syirik, jahat dan lain-lain yang buruk.

Kekotoran, kejahatan, kejahilan, kesyirikan dan seumpamanya juga dapat dihapus dan dihilangkan dengan memasukkan nilai-nilai baik (iman) secara berterusan seperti penukaran air merah kepada warna yang lain tadi.
Proses memasukkan nilai baru yang berterusan itu akan merubah keadaan asalnya yang tidak baik itu. Namun demikian ianya memerlukan pembuatnya atau orang yang bertindak melaksanakan proses tersebut.

Demikianlah juga proses memantap dan menjadikan iman itu lebih kental dan tahan ujian dan kalis pengaruh lain yang tidak sihat serta memudaratkan. Dakwah Islam seharusnya berjalan secara istiqamah dan berterusan seperti memasukkan atau menuangkan air putih ke dalam gelas yang berisi air yang berwarna merah tadi.

Juga kita memerlukan orang yang melakukannya dan bilangan yang diperlukan pula bukan sedikit, untuk mendapat bilangan yang ramai kita perlu mencarinya dan mewar-warkannya kepada khalayak umum supaya proses perjalanan aktivitinya tidak menyalahi undang-undang negeri dan negara.
Sekian...wallahu aklam.