
Dalam artikel yang telah lalu saya telah meluahkan rasa kurang puas hati terhadap pengunjung Majlis Berbuka Puasa di masjid yang saya juga menghadirinya kerana pengunjungnya tidak patuh dengan arahan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan masjid, menjadikan ibadat berbuka puasa itu berlangsung di dalam keadaan bercampur-aduk lelaki dan perempuan, sebahagian kecil hadirin memberi alasan mereka datang bersama keluarga oleh itu mereka ingin berbuka bersama keluarga seperti di rumah.



______________________________________________
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
"Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid,maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman".
(Riwayat Imam Ahmad Wa Ibnu Majah)
"Ada tujuh golongan manusia yang diteduhi Allah s.w.t dibawah teduhannya, pada hari yang tidak ada teduhan walau sedikit pun kecuali teduhan Allah s.w.t sahaja. Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang memenuhi sepanjang hidupnya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seorang lelaki yang hatinya bergantung kepada masjid (sentiasa ingat dan sayang kepada Allah)...".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
______________________________________________
Orang awam yang hadir ke masjid yang terlalu ramai itu seharusnya sentiasa mematuhi peraturan dan adab-adab yang telah ditetapkan sama ada yang telah disebutkan di dalam Islam atau yang disediakan oleh pihak pengurusan masjid kecuali kalau peraturan itu melanggar hukum Islam dan para hadirin juga hendaklah sentiasa bersedia membantu pihak masjid untuk memakmurkannya.
Syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan masjid kerana anda berjaya mengatasinya dengan cara yang penuh hikmah, semoga situasi yang seperti ini akan menjadi rujukan pihak pengurusan pada tahun-tahun yang akan datang, kekalkan situasi itu supaya ianya menjadi adat dan kebiasaan yang baik dan tidak menyalahi peraturan dan adab semasa berada di masjid.
No comments:
Post a Comment