Saturday, January 22, 2011

Orang yang paling mulia di sisi Allah.

Salam semua.

Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa.
Mafhumnya;
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".
( Surah Al.Hujurat ; 13 )
____________________________

Sultan Kelantan mengimamkan solat.
( Gambar hiasan )
_______________________________

Saya bukanlah hendak menafsirkan ayat di atas, cuma artikel ini ingin membuat sedikit percambahan minda ekoran dari kita membaca dan memahami ayat al.Quran yang tertera di atas, Kerana abjektif membaca al.Quran atau sering kita sebut sebagai mengaji al.Quran itu bukanlah bergerak di sekitar membetulkan tajwid, makhraj atau termasuk tarannumnya sahaja, jika sekadar itu objektifnya sudah tentulah kita tidak akan mampu melaksanakan syariat Islam seperti mana yang telah diperintahkan Allah selama ini.

Sebaliknya mengaji al.Quran itu hendaklah meliputi maksud dan tafsirannya atau penjelasannya sehingga difahami apa-apa yang diperintahkan Allah, kemudiannya diikuti pula dengan merealisasikannya di dalam kehidupan harian.

Merujuk ayat di atas , jika kita renungkan kembali sememangnya manusia di dunia ini pada umumnya sama sahaja dari segi biologi atau jasadnya, kalau pun terdapat perbezaan , perbezaannya tidaklah begitu ketara kerana manusia masih mempunyai keperluan dan cita rasa yang sama, semua manusia merasai lapar, sakit, suka , sedih, sihat, mati dan seumpamanya. Kesensitifan dan perasaan itu melibatkan semua manusia tidak kira pangkat dan darjat kedudukan mereka.

Allah menjadikan manusia dari kalangan lelaki dan perempuan serta berbagai bangsa, warna kulit, bahasa pertuturan dan adat istiadat, semuanya itu adalah untuk manusia berkenalan di antara satu sama lain. Perkenalan itu juga perlulah menjurus kepada setiap bangsa atau manusia itu mengenal Allah untuk menyempurnakan tujuan Allah menjadikan manusia di dunia ini.
____________________________

Mafhumnya;
"Dan ( ingatlah ) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku"
( Surah Az.Zariyat : 56 )

_____________________________

Perkenalan dan pergaulan itu sudah tentulah berlaku di dunia ini, ayat tersebut juga dapat kita fahamkan bahawa kalam Allah itu menujukan kalamnya kepada khalayak manusia di dunia. Untuk manusia menguruskan kehidupan mereka Allah menjelaskan pula di dalam kitab-Nya yang lengkap itu dengan panduan dalam berbagai aspek dan bidang sehingga tiada suatu pun yang tertinggal. Maka sewajibnyalah manusia mengambil al.Quran itu sebagai panduan hidup mereka di dunia kerana keselamatan dan kesejahteraan di akhirat bergantung kepada cara hidup mereka di dunia ini.

Al.Quran mampu memimpin manusia yang berbagai bangsa dan kaum itu atas satu landasan yang betul dan lurus menuju kesejahteraan abadi.

Sekian...Wallahu aklam.

4 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,
Saya ada satu soalan. Apakah kedudukan khunsa pula berdasarkan ayat di atas?

Leenoh said...

Waalaikumussalam kepada yang tiada bernama.

Pada dasarnya manusia hanya ada dua jenis sahaja lelaki dan perempuan,
Khunsa ialah orang yang kekadang lelaki dan kekadang perempuan iaitu alat sulitnya atau nafsu keinginannya kekadang suka lelaki, kekadang suka pula pada perempuan - tidak berlaku lelaki dan perempuan serentak pada satu individu.( pada waktu tertentu mereka itu sama ada lelaki atau perempuan )
Orang yang paling mulia ialah orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sazriman Parmab said...

Waalaikumsalam juga hamba Allah, jelas dalam ayat di atas menunjukkan bahawa Allah telah menjadikan lelaki dan perempuan dan yg membezakan kedudukannya hanyalah tahap ketakwaan kepada Allah. Khunsa bukanlah jantina, khunsa ialah sifat lahiriah seseorang dan ibu-bapa harus memilih jantina anak tersebut yg dilahirkan dan mendidiknya mengikut pilihan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan. Sesungguhnya setiap yg berlaku itu ada hikmahnya, dan takdir itu telah dituliskan buat kita semua. Sekali lagi saya ingin menegaskan, tidak kisah bagaimana pun kelahiran kita sbgai manusia yg membezakan darjat hanyalah ketakwaan kepada Allah. Jadi bersamalah kita meningkatkan ketakwaan kepadaNYa dan janganlah kita meragui sedikit pun dri ayat Nya. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui segala yg terkandung di langit dan di bumi. Wallahualam bissawab. Wassalam.---Hamba Allah.