Friday, January 14, 2011

Cabaran kepada pendidik dan pendidikan

Salam semua.


Berikut adalah teks lengkap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

______________________________

Falsafah Pendidikan Islam

"Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampai ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat".

_______________________________________________________



Merujuk kepada kedua-dua Falsafah Pendidikan di atas amat kemas dan murni sekali, sekalung bunga dihadiahkan kepada mereka yang mencetuskan idea ini. Ianya sangat baik untuk diaplikasi dan direalisasikan di sekolah. Kini proses merealisasikannya sedang berjalan dan dilaksanakan.

Tabik hormat kepada semua guru yang telah dan sedang berusaha sedaya upaya supaya harapan dan matlamat serta objektif kedua-dua Falsafah Pendidikan yang tertera di atas menjadi kenyataan.

Dalam menjayakan matlamat pendidikan bukanlah suatu kerja yang mudah dan enteng. Pendidikan sesuatu yang abstrak dan maknawi yang memakan atau mengambil masa yang lama untuk membolehkan masyarakat menilainnya. Hanya ilmu pengetahuan yang berupa praktikel dan amali sahaja yang segera dapat dilihat keberkesanannya.

Pelaksanaan KBSM ( Kurikulum Baru Sekolah Menengah ) bermula sejak akhir tahun 80an atau sekurang-kurangnya telah melebihi 21 tahun sehingga ke saat ini. merujuk kepada sejarahnya itu rasanya masyarakat sudah boleh menilai dan mengukur hasilnya. Seperti telah dikatakan bahawa bukanlah kerja enteng untuk menerapkan pendidikan ke dalam jiwa manusia, para pendidik sangat memerlukan persekitaran yang baik bagi melengkapkan proses pendidikan tersebut.


Tingkahlaku yang sedang berlaku di persada masyarakat amat penting menjadi contoh kepada para pelajar kerana masyarakat adalah sebahagian acuan yang memperlengkap acuan yang disediakan di sekolah. Jika tempang tingkahlaku dan langkah masyarakat maka tempanglah langkah dan derap pendidikan di sekolah. Para guru tidak mungkin dapat mendidik anak-anak didik mereka dengan jayanya sekiranya separuh dari acuan di luar sekolah robek dan cacat.


Pemimpin dan kepimpinan semesti berteladan kerana mereka adalah guru kepada masyarakatnya dan mereka juga adalah akar tunjang dan teras serta tulang belakang masyarakat. Ketam tidak akan berjaya mengajar anaknya berjalan betul, kalau dia sendiri masih berjalan tidak betul, perbandingan seumpama ini sering digunakan sebagai panduan kepada masyarakat dalam hal pendidikan selain dari " kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari", bukan sahaja guru atau para pendidik sahaja yang perlu berakhlak baik tetapi kita memerlukan seluruh masyarakat yang melibatkan semua peringkat, iaitu mulai dari puncak bukit sehinggalah ke kaki bukit mereka semestinya berakhlak baik dan mulia, kalau gagal bersikap demikian, maka gagallah dasar dan falsafah pendidikan negara.


Walaupun falsafah pendidikan dirangka dan disediakan dengan begitu baik dan sempurna tetapi, jika kanak-kanak berada di tengath-tengah kehidupan yang terdedah dengan kecelaruan ianya akan mempengaruhi pendidikan formal yang diusahakan oleh para guru di sekolah, mendidik bukan sekadar memberitahu tetapi melakukannya dan mengahyatinya di dalam kehidupan harian, bukan penghayatan yang berselang seli dan berkala tetapi ianya wajib berterusan.

Tidak menghairankan, jika masih terdapat remaja menghisap dadah, melakukan berbagai jenayah seperti merogol,merempet, buang bayi dan lain-lain keburukan yang mereka lakukan kerana acuannya adalah masyarakat atau orang dewasa. Masyarakatlah yang menyediakan prasarana ke arah perlakuan tersebut, memang benar kata ulamak, kalau hendak melihat akhlak orang dewasa, lihatlah akhlak anak remaja mereka.

Kecelaruan masyarakat merupakan cabaran besar kepada warga pendidik untuk menyempurnakan tugas mereka dan merealisasikan Falsafah Pendidikan yang menjadi rujukan mereka pada setiap hari khasnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

Sekian...walalhu aklam.

No comments: