Monday, January 3, 2011

Artikel yang ke 1000.

Salam semua

Sejak laman Kehidupan Bersih dibuka dan diposkan untuk bacaan umum, di mana tarikh kelahirannya pada 19 Julai 2008. sehingga hari ini artikelnya telah mencapai seribu jumlahnya, termasuk artikel ini dan artikel yang ringan-ringan, jumlah ini berdasarkan perkiraan saya secara rambang dan berkemungkinan tidak tepat kerana nombor bagi setiap artikel ditulis dan dipraktikkan kemudian.

Objektif laman ini diwujudkan semata-mata ingin memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang dakwah dan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan harmoni dan tidak mempunyai sebarang niat untuk mencari keuntungan atau apa-apa kemegahan.Sudah tentu sumbangannya hanya sekelumit jua, bak beras melukut di gantang.


Setiap artikel yang disiarkan akan diselitkan di dalamnya nilai-nilai kebaikan dan keislaman serta keimanan kepada Allah. Adalah lebih baik menulis sesuatu yang baik daripada menulis perkara-perkara yang sia-sia dan merosakkan masyarakat. Kebaikan yang kita cipta lambat laun kesan baiknya akan sampai kepada kita jua pada suatu masa nanti, begitulah juga, jika menulis perkara yang sebaliknya, kesan buruk akhirnya akan kita terima jua.Oleh itu marilah kita sama-sama menulis sesuatu yang baik untuk tatapan masyarakat , demi kebaikan kita bersama .

Sejak zaman remaja saya melihat orang kampung terutamanya kampung saya sendiri mengamalkan adat karut , ditakuti dan disyaki kepercayaan karut itu kekarutannya sehingga ke tahap syirik, saya juga percaya pada zaman itu pada keseluruhan masyarakat Melayu awam mengamalkan adat yang patut dicegah itu, sedangkan saya pada ketika itu telah menyedari berbahaya perbuatan tersebut dan mencegahnya sejak zaman gelap itu sehingga dimarahi orang dewasa yang kurang faham aqidah dan tauhid. Rupa-rupanya pada zaman ini pun masih terdapat mereka yang meneruskan kepercayaan dan amalan yang hampir serupa itu. Sebab itu saya tidak jemu-jemu mengulang sebutnya.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengunjung laman ini tanpa kunjungan anda halaman ini tidak akan membawa apa-apa pengertian dan kebaikan yang disebutkan tadi, purata 150 pengunjung yang mengunjungi halaman ini setiap hari telah pun memadai dan berbaloi. Sekali lagi diucapkan terima kasih.

Kunjungan anda semestinya telah memberi motivasi kepada saya untuk terus menulis dan memanfaatkan halaman ini.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: