Monday, January 31, 2011

Kisah gulai lemak


Salam semua.

Tiada apa yang serius yang dapat aku tulis pada kali ini, sekadar ingin menceritakan kisah yang tiada kesahihan dan kesahan kebenarannya, mungkin cerita ini sekadar rekaan sahaja, namun demikian, jika membacanya ada juga faedahnya.


Kisahnya.
Kisah sepasang suami isteri yang sentiasa menampilkan rasa kasih sayang ,malah sangat berkasih sayang di antara satu sama lain, suami ini orangnya sangat baik dan bertimbang rasa dan adil menyebab si isteri bertambah-tambahlah kasih sayangnya kepada suami. Perasaan si isteri sentiasa gembira, ceria dan bahagia. Demikianlah juga si suami, suami juga sentiasa ceria dan merasai bahagia yang amat sangat, berlebih-lebih lagi beliau mempunyai seorang isteri yang sangat cantik dan baik pula layanannya dan sangat pandai memasak dan menjahit berbagai fesyen pakaian.

Suami adalah seorang yang tidak suka berjalan-jalan atau merayap ke mana-mana seperti lelaki yang biasanya akan bersama kekawan melepak di restoran makan dan minum di sana sambil berbual-bual tetapi suami ini tidak suka aktiviti demikian, termasuk senaman pun bukan kegemarannya, beliau lebih suka berada di rumah bersama isteri dan anak-anak menikmati makanan lazat yang disediakan oleh isterinya.

Isteri amat faham akan kegemaran suaminya yang tersayang itu, setiap hari isterinya menyediakan makanan yang lazat-lazat untuk suami dan anak-anak, kerana terlalu sayangkan suami yang baik dan adil ini, beliau merasakan sebagai seorang isteri beliau perlu melakukan sesuatu yang digemari suaminya, kebetulan suaminya seorang yang gemar makan dan dia pula pandai memasak, cara yang paling mudah untuk memikat hati suaminya adalah dengan cara menyediakan makanan yang lazat-lazat setiap hari, termasuk makanan pagi dan petang. Itulah yang tersirat di dalam hati kecil isterinya. Oleh itu suaminya dan juga anak-anak setiap hari dihidangkan dengan makanan yang lazat-lazat. Makanan kegemaran suami tidak akan diabaikan, setiap hari akan dihidangkannya disamping menu yang lain.

Suami sangat berpuashati terhadap layanan isterinya itu dan isteri pula merasai puashati kerana segala makanan yang dihidangkan itu dimakan dengan seleranya oleh anak-anak dan khasnya suaminya yang tersayang, tiada teguran dan rungutan terhadap kekurangan dan kelemahan masakannya. Gulai lemak yang disediakan di dalam mangkuk khas untuk suaminya setiap kali makan akan dihabiskan oleh suaminya. Itulah sebenarnya makanan kegemaran suaminya disamping masakan lain yang berasaskan lemak atau santan, santan kalau tidak "kaw" (pekat) tidak puas kata suaminya, oleh itu si isteri pun akan mengekalkan kualiti itu setiap kali masak, terutamanya masakan gulai.

Bagi suami inilah "baiti jannati" atau "rumahku syorgaku" tiada apa lagi yang kurang, semuanya dah cukup, makanan sedap dan lazat dihidangkan oleh isteri setiap hari dan isteri pula seorang yang rupawan dan pandai melayan pula, pendapatan pun mencukupi, demikianlah bahagianya pasangan ini. Sayangnya langit tidak selalu cerah, awan pun berarak datang menghampiri, dunia yang cerah mulai redup dan seterusnya gelap gelita. Hujan turun tanpa disediakan payung terlebih dahulu, hendak menyediakannya masa tidak mengizinkan lagi kerana takdir Allah telah tiba.

Sunnatullah akan berlaku mengikut apa yang dirancangkan oleh Allah, sering makan manis berlebihan akan mengidap penyakit kencing manis, kerap makan makanan yang mengandungi lemak berlebihan berkemungkinan mengidap tekanan darah tinggi dan serangan jantung,

bersederhana adalah amalan yang terbaik.

____________________________

Sabda Rasulullah.s.a.w. mafhumnya;
"Sebaik-baik pekerjaan itu adalah pertengahan".

Sabda Rasulullah.s.a.w. mafhumnya;
"Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud)

_______________________________

Akhirnya amalan melampau yang istiqamah itu menyebabkan kedua-dua mereka mengidap penyakit yang sama iaitu darah tinggi dan jantung bermasalah, anak-anak masih selamat kerana mereka masih muda, jika amalan tersebut diteruskan sehingga anak-anak ini meningkat dewasa berkemungkinan mereka juga akan mengalami masalah yang sama, mereka seharusnya bertindak cepat dengan membuat anjakan dan perubahan, iaitu kembali mengamalkan makanan seimbang.

Cerita rekaan semata-mata dengan harapan tersirat pengajaran di dalamnya.

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam Ustaz,

Cara kasih sayang itu ok. Tapi yang tak ok kerana cetek ilmu diet pemakanan. Sedih juga bila kasih dan sayang tidak diseimbangi dgn ilmu.

Leenoh said...

Wsalam Kakzakie.

Ya, betul bagai diungkapkan, selain daripada itu berkemungkinan juga memiliki ilmu tetapi tidak mampu merealisasikannya di dalam kehidupan sebenar atau nafsu dan selera makan terlalu tinggi sehingga tidak mampu pantang pada ketika usia tua.