Monday, January 3, 2011

Menyesuaikan diri.

Salam semua.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Manusia sering berhijrah dan bertemu kawan baru, suasana baru dan tempat baru, demikianlah lumrah kehidupan mereka. Perubahan dan penghijrahan itu kadang-kadang melibatkan perubahan adat atau kebiasaan yang sering diamalkan dan terpaksa menyesuaikan diri pula dengan adat yang baru yang sedang diamalkan di tempat yang baru. kata pepatah "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung", . Maka terpaksalah pula menurut adat atau peraturan di tempat yang baru atau di tempat orang.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Peribahasa seterusnya menyebutkan, "masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak" , sekali lagi mengingatkan kita supaya menyesuaikan diri dengan persekitaran setempat tetapi nasihat ini tidak pula memberi panduan yang jelas dan kukuh. Keadaan ini menimbulkan kemusykilan sejauh mana pula had dan sempadan yang boleh diikuti dan menyesuaikan diri kerana disamping itu kita masih mempunyai panduan lain yang perlu diikuti dan dipatuhi. Simpulan bahasa ini hanya suatu rumusan yang padat dengan pengertian dan huraian yang tersirat di dalamnya. Kita tidak seharusnya mengambil matannya sahaja, sebaliknya memerlukan huraian dan penjelasan yang panjang lebar yang berpandukan kepercayaan dan keimanan terhadap Allah dan keislaman sebagai amalan yang merealisasikan keimanan supaya apa yang disesuaikan itu tidak merosakkan aqidah yang sedang dianuti.

Yang lama dikelek, yang baru didukung.
Simpulan bahasa seterusnya,"yang (adat) lama dikelek, Yang (adat) baru didukung".Satu lagi simpulan bahasa yang perlu berhati-hati apabila hendak merealisasikannya kerana terdapat juga adat lama dan adat baru yang terpesong, kedua-duanya perlu ditapis dan wajib membuangnya jika amalannya terpesong dan menyebabkan syirik atau was-was kedudukannya sama ada menjurus kepada syirik atau boleh meneruskan amalannya.

Teras panduan.
Apa pun sebagai orang Islam teras panduan kita ialah al.Quran dan as.Sunnah, adat dan amalan yang biasa dilakukan wajib ditinggalkan, jika ianya bertentangan dengan suruhan dan perintah yang terkandung di dalam al.Quran dan Sunnah. Inilah alas, penapis dan panduan kita supaya segala penyesuaian yang disebutkan tadi tidak berlaku secara membuta tuli.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: