Thursday, January 6, 2011

Pencuri masuk perangkap.

Salam semua.



Artikel ini bersumberkan cerita benar tetapi ketulenannya tidak dijamin kerana penulis tidak mendapatkannya dari pihak yang terlibat. Walau bagaimana pun sumber ini adalah sumber yang terdekat, kalau pun tergugur atau tertambah ceritanya, mungkin disebabkan lemah ingatan atau penyedap cerita semata-mata.

Alkisah, maka tersebutlah cerita lama di sebuah kampung yang berbukit bukau yang lokasinya jauh dari kawasan bandaraya, penduduknya mencari rezeki dengan membuat kerja-kerja kampung, bersawah padi, berkebun getah dan juga mengambil upah menebas hutan dan lain-lain.

Harga getah naik.
Apabila aku membaca berita mengenai harga getah melambung naik maka teringatlah aku pada cerita jiranku beberapa tahun yang lalu, di mana ketika itu harga getah juga naik tetapi tidaklah tinggi melambung seperti sekarang ini. Pada ketika itu jiran aku menambah cerita, katanya pada hari getah dijual, pada malamnya mata susah nak lelap kerana seringkali dikunjungi pelawat tanpa diundang pada waktu tengah malam terutamanya rumah orang tua atau janda-janda yang tiada orang harapan.

Sambungnya lagi, Pada waktu siang pula orang yang tidak dikenali datang ke kebun getah tanpa dimaklum dan diketahui, bukan datang sahaja tetapi mereka dengan sukarela mengutip semua getah yang telah ditoreh itu dan dimasukkan ke dalam guni, kemudian terus membawanya ke kedai dan menjualnya, wang yang diperolehi dari jualan itu juga mereka dengan sukarela mengambilnya, demikianlah pertolongan yang tidak dikehendaki itu berlaku berulangkali.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah.
Oleh sebab tuan tanah atau tuan empunya getah tidak memerlukan pertolongan demikian rupa, maka beliau pun berpakat dengan beberapa orang jiran dan anak pinaknya untuk memerangkap beberapa individu tersebut. Pada ketika yang sesuai mereka pun pergilah ke kebun getah berkenaan, sebahagiannya menyembunyikan diri di dalam semak, setelah mereka melihat individu yang suka sangat memberi pertolongan kepada mereka itu , mereka membiarkan dahulu dua individu yang sudah memulakan kerjanya meneruskan kutipan itu sehingga hampir selesai, kemudian mereka mengutuskan dua orang, seorang perempuan dan seorang lelaki, pergi bertemu dengan salah seorang yang sedang tekun mengutip getah-getah di dalam cawan itu, dengan selamba mereka bertanya khabar dan juga bertanyakan siapa gerangan tuan yang empunya kebun tersebut., beliau menjawab, beliau sebenarnya tidak kenal dengan tuan punya kebun getah tersebut kerana beliau hanya mengambil upah dari orang lain yang diupah oleh tuan punya kebun kepadanya, maka orang tersebutlah yang menguruskan segala-segalanya.

Setelah kedua-duanya selesai mengutip dan semua getah yang telah dikutip itu telah dimasukkan ke dalam guni dan akan dimasukkan ke dalam kereta, Ketika itu juga semua mereka yang bersembunyi di dalam semak pun keluar dan serentak ketika itulah juga tuan tanah yang sedang bersembang tadi memaklumkan bahawa sebenarnya dialah tuan tanah dan getah tersebut sambil melepaskan geram yang terpendam sekian lama terhadap mereka berdua itu dan dua individu yang malang itu juga terpaksa menahan beban penumbuk dan penyepak dari beberapa orang lain lagi yang didatangkan khas untk membereskan urusan tersebut.

Tauke pencuri.
Akhirnya laporan polis pun dibuat dan satu rangkaian pakatan pencuri getah pun dapat ditangkap. Rupanya manusia zaman ini kreatif pemikiran mereka bukan sahaja menjadi tauke kepada sesuatu perniagaan, tauke pencuri pun boleh diusahakan, sebagai contoh merujuk cerita di atas mereka mengupah orang lain untuk mengutip atau mengambil getah-getah yang telah ditoreh itu kononnya kebun getah itu dialah yang punya atau dia telah mengambil upah mengutipnya dan diupah pula kepada orang lain, manakala semua getah itu diserahkan kepadanya...Akal yang bijak sepatutnya dimanfaatkan kepada kerja-kerja yang baik dan berkembang manfaatnya.

Sekian...wallahu aklam.

2 comments:

DrSam said...

Salam Pak Ngah,
Bila harga getah turun lain pula masalahnya, bila harga naik masalah lain pula timbul. Kejadian kecurian getah di kebun ketika harga naik memang berleluasa. Bukan di kampung-kampung sahaja, malah di kawasan estet tempat saya berkerja yang dikawal 24 jam pun sama. Itu mungkin modus operandi kecil, yang lagi tamak terus di'hijack'nya lori tangki yang membawa muatan susu getah - yang diupah oleh tokey kilang pemprosesan 'rival' (yang terlebih cerdik).

Wallahuaklam.

Leenoh said...

Wsalam DrSam.

Waww..lagi hebat cerita tu. Pak Ngah tiada pengalaman dalam hal ini, hanya dapat cerita dari orang lain sahaja.
Nampaknya hidup kita semakin terancam.