Saturday, January 15, 2011

Penggunaan Pembesar suara ketika azan dan solat.

Salam semua.

Topik ini tidak berhajat untuk mengulas secara khusus mengenai bantahan oleh pihak tertentu di kalangan orang bukan Islam terhadap penggunaan pembesar suara ( siaraya ) yang rancak dibincangkan pada masa kini. Ada beberapa sebab yang mendorong saya tidak mahu menyentuh secara langsung mengenai bantahan tersebut, di antaranya saya hanya mengetahui perkara tersebut melalui media dan tidak pasti sama ada yang mereka maksudkan itu semata-mata azan atau termasuk bacaan-bacaan lain seperti bacaan al.Quran dan tarhim yang biasa dibaca di sesetengah masjid atau surau pada ketika sebelum masuknya waktu subuh. Apapun kita perlulah pastikan apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan oleh mereka.

Oleh sebab mereka bukan Islam mungkin bacaan al.Quran dan Tarhim itu pun mereka menganggap bacaan itu juga termasuk di dalam istilah azan yang mereka gunapakai, kalaulah istilah yang mereka gunakan itu demikian rupa, maka kita berkewajipan menyemak semula amalan tersebut kerana bacaan tersebut memakan masa yang lama, biarlah azan sahaja yang berkumandang di udara melalui pembesar suara. jika suara azan sahaja yang berkumandang, mungkin mereka boleh menerimanya kerana azan mengambil masa yang pendek . Manakala bacaan lain memadailah sekadar didengari di dalam masjid, itupun kalau tiada bersamanya jamaah lain , kalau ada jamaah lain bersama, mungkin perbuatan itu juga akan mengganggu orang lain yang sedang beriktikaf.

Dalam hal seperti ini kita seharusnya tidak bertindak secara emosi dan bermusuhan serta terlalu bersangka buruk, adalah lebih baik diselesaikan secara perbincangan dengan terlebih dahulu memahami kedudukan masalah yang sebenar bukan hanya mengetahuinya secara umum sahaja. Kita perlu mengelakkan amalan kita dibenci, sebaliknya sedaya upaya hendaklah dipamerkan amal ibadat itu secara yang disukai dan dihormati. Dengan tarikan itu mungkin Allah akan membuka hidayah kepada mereka sehingga mereka tertarik dengan Islam dan menganutinya.

Kebiasaan dan adat boleh ditinggalkan.
Terdapat juga penggunaan pembesar suara ini pada situasi yang kurang sesuai dan tepat. sebagai contoh; Solat menggunakan pembesar suara: Kekadang di surau-surau ahli jamaah yang menyertai solat jamaah hanya beberapa orang sahaja, tidak penuh pun satu saf tetapi imamnya masih terikat dengan penggunaan pembesar suara dan suara imam berkumandang dan didengari oleh seluruh penduduk taman, cara ini telah pun menjadi budaya atau adat, keinginan imam untuk tidak menggunakan pembesar suara pada ketika makmum tidak ramai pun menjadi serba salah, kekadang ada juga imam yang berasa hilang tawaduk apabila menggunakan pembesar suara pada ketika yang tidak sesuai. Kita perlu menyedari bahawa kebiasaan dan adat tersebut boleh ditinggalkan, asalkan perbuatan kita tidak melanggar sunnah.

Keperluan Pembesar Suara.
Tidak dinafikan bahawa pada ketika tertentu pembesar suara diperlukan, sebagai contoh ketika ahli jamaahnya ramai dan suara imam dipercayai tidak akan sampai kepada makmum yang bersolat jauh di saf belakang, berlebih-lebih lagi kalau masjid atau surau dua tingkat atau lebih. Situasi ini kalau pembesar suara tidak digunakan makmum yang berada jauh dari imam tidak akan mengetahui pergerakan imam, dengan itu mereka tidak dapat mengikuti imam dengan sempurna.

Aktiviti yang beroperasi pada waktu siang hari dan awal malam seperti forum dan ceramah dan lain-lain aktiviti yang memerlukan siaraya tidak seharusnya dilarang penggunaannya kerana aktiviti seumpama ini tidak diadakan pada setiap hari kecuali pada masa-masa tertentu sahaja.

Apa pun pihak pengurusan hendaklah sentiasa peka dengan situasi semasa sama ada siara hanya patut digunakan di dalam masjid sahaja atau perlu diaktifkan juga di bahagian luarnya kerana jamaahnya terlalu ramai sehingga melimpah ke luar masjid.Kepekaan ini sangat penting bagi masjid atau surau yang berada di tengah penempatan yang sesak dan padat penduduknya.

Ketika wirid.
Wirid dikatakan kedudukannya adalah maqam munajat di mana kedudukannya hanya kita dengan Allah, perlu dilakukan secara sir (rendahkan suara), sekali sekala boleh ditinggikan suara tetapi imam hendaklah berniat ketinggian suara itu untuk memberi panduan kepada makmumnya yang belum mahir atau kurang pengetahuannya . Apa yang berlaku di sesetengah masjid atau surau kini ketika wirid pun mikrofon masih digunakan sehingga kedengaran sehingga ke kawasan luar masjid atau surau dan gemanya memasuki setiap rumah yang berdekatan. Keadaan ini pernah juga orang Islam sendiri pun mengadu tentang terjejasnya keselesaan mereka, terutamanya mereka yang sakit dan uzur, situasi seperti ini juga mungkin tidak sesuai bagi mereka yang insomnia, migrain dll, jika ini berlaku bermakna kesejahteraan mereka akan terjejas.

Amalan ini rasanya perlu disemak semula dan jika terdapat amalan yang kurang tepat hendaklah dibuat penyesuaian dan anjakan.

Klik di sini untuk mengetahui cerita selanjutnya: Masalah siaraya.


Sekian...wallahu aklam.

No comments: