Wednesday, January 26, 2011

Syukur nikmat Allah.

Salam semua.
Nikmat Allah sangat banyak sehingga tidak terkira dan terhitung banyaknya. Kekadang manusia terlupa menilai dan menghargainya, bak kata pepatah kuman di seberang lautan kelihatan, gajah di depan mata tidak kelihatan. Walaupun Simpulan Bahasa ini membawa maksud kesalahan dan kesilapan orang lain nampak dan kesalahan dan kesilapan diri sendiri tidak nampak, mungkin masih sesuai kalau dibuat perbandingan bahawa kita sering nampak yang jauh dari diri kita terlebih dahulu sebelum terfikir apa yang ada di dalam diri sendiri, sebabnya sememangnya mata manusia fokus ke hadapan dan melihat apa yang berada di hadapan iaitu di lokasi yang terletak di luar bahagian badan dan mata itu sendiri pun tidak mampu melihat dirinya sendiri. Sampah masuk mata sendiri tidak mampu dikeluarkan tetapi sampah yang masuk ke dalam mata orang lain boleh pula kita membantu untuk mengeluarkannya.

Manusia boleh menggunakan mata untuk melihat dan mencari sesuatu tetapi mata tidak mungkin dapat melihat dirinya sendiri melainkan terpaksa mendapatkan bantuan cermin suluh. namun begitu pertolongan atau bantuan itu hanya sekadar dapat membantu sahaja bukan hakikatnya kerana apabila melihat diri di cermin kanan sudah menjadi kiri dan kiri pula menjadi kanan. Untuk proses seterusnya akal manusia perlu berperanan dan berfikir.

Artikel ini tidak bercadang untuk memaparkan segala nikmat Allah yang telah dan akan dikurniakan kepada manusia kerana mustahil untuk berbuat demikian. Allah telah menegaskan bahawa nikmat-Nya terlalu banyak dan tidak akan mampu manusia mengira dan menghitungnya. Menyebutnya dengan ungkapan atau sebutan "terlalu banyak tidak terhitung" ungkapan ini sangat subjektif dan maknawi sifatnya, hanya dapat difahami oleh sesetengah manusia secara kognitif, afektif dan penghayatan yang dapat meresap ke dalam jiwa mereka tetapi setengahnya tidak mampu memahami sampai ke tahap tersebut, bagi yang mampu memahaminya akan tercetus rasa bersyukur itu secara mendalam sehingga menitiskan air mata kerana menginsafinya dan menyedari sikap dan sifat mereka yang kekadang alpa dan lalai mensyukurinya.
Selain daripada wang ringgit banyak lagi nikmat Allah yang lain.
Kalau manusia mengkaji dan meneliti jasmani dan biologi diri mereka pun terdapat amat banyak nikmat pemberian dan kurniaan Allah sehingga manusia itu sendiri tidak mampu menguruskannya dengan sempurna, malah segala-galanya terserah pada pengurusan Allah.

Kalau manusia mahu berfikir ianya akan menyedari bahawa setiap elemen yang terdapat di dalam atau luar jasmani manusia, semuanya berharga dan bernilai tinggi hatta bulu mata dan hidung itu pun amat berharga, bayangkan kalau manusia menghadapi masalah ketiadaan bulu hidung atau bulu mata atau buku kening, tanpa bulu hidung segala habuk akan masuk ke dalam hidung, kekotoran itu akan menyebabkan berbagai penyakit, begitu juga kalau ketiadaan bulu kening akan menyebab segala habuk atau sampah yang berterbangan di udara akan masuk ke dalam mata akan menyebabkan sakit dan juga berbagai kesusahan yang berkaitan dengannya. Demikian juga tahi telinga sangat berguna kepada manusia, bayangkan kalau ketiadaan tahi telinga, sudah tentu akan menyenangkan serangga halus masuk ke dalam telinga atau lebih dari itu, situasi ini tentulah menyusahkan kehidupan manusia, manusia tidak memikirkan hal itu kerana Allah masih membekalkan kemudahan itu kepada mereka. Jika ditakdirkan mata dicacatkan barulah manusia dapat memberi perbandingan yang jelas mengenai faedah memiliki mata yang sihat.

Ketika ianya ada manusia tidak merasai faedah atau manfaat wujudnya sesuatu yang dijadikan atau dikurniakan Allah kepada mereka, setelah kehilangan barulah menyedari betapa penting dan mustahaknya untuk manusia. Berkali-kali Allah mengingatkan manusia supaya berfikir dan berfikir.

Kesimpulanya;
Tiada suatu ketika pun manusia ketiadaan nikmat Allah, malah mereka seharusnya bersyukur sepanjang masa kerana limpahan nikmat Allah kepada mereka tidak terhitung banyaknya. Kita hanya mampu menyebutkan beberapa contoh sahaja .
_____________________________
[7]

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

[8]
Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
( Surah Ibrahim )


__________________________

[18]

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[19]
Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.
( Surah An.Nahl )

___________________________________

[179]
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
( Surah Al.A'raf )

_____________________________________

Sekian...wallahu aklam.


1 comment:

Hunny said...

Ucaplah alhamdulillah atas kurniaan nikmat ALlah yang tak terhitung..