Tuesday, January 25, 2011

Aku kenal politik cara aku (puisi)

Salam semua.

Aku kenal politik.

Aku mengenal politik.
sejak dia tikam ekor.
sejak dia meneguk arak.
sejak nombor ekor diramal.
sejak ayam disabung, kerbau dilagakan.
sejak minyak tidak bercampur dengan air.
sejak memakai seluar pendek, bersongkok hitam.

Aku kenal politik cara aku.
cara kebudakanku.
cara remaja dan mudaku.
cara dewasa dan kematanganku.

Aku kenal politik.
sejak dia batuk-batuk.
sejak minum air telaga.
sejak dia menghirup alkohol.
sejak bercahayakan pelita minyak tanah.
sejak mulut merkah di musim kemarau.
sejak tapak kaki pecah di musim kemarau.

Aku kenal politik.
sejak alkohol disimpan di dalam almari.
almari rumah Melayu dan Islam, di bandar dan di atas bukit.
sejak dia teliti dan cermat membaca angka dan huruf di atas pembaris.

Aku kenal politik.
sejak dia dikatakan pahlawan Melayu.
Melayu pecinta Islam, orang baik,orang berbudi dan orang bersopan.
Konon pembela agama, bangsa dan negara serta pendakwah pula.
Konon berdakwah, disuruh ada, dilarang pun ada, celaru dan haru biru.
Fitnah terbesar berlaku dan berlaku, bergaduh dan bergaduh.
teladan bertukar menjadi sempadan, hormat menjadi hina.
menyeluk pekasam kini sudah sampai ke panggal lengan.
Manisnya masih boleh dirasa, busuknya masih dapat dihidu.

Aku kenal politik.
Aku kenal politik cara aku.
gah dipermulaan, cuba alih budaya tetapi diri sendiri terkorban.
kerana adat dan budaya lama masih berkarat manakan boleh diubah.
bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
ingin selesa mendapatkan cahaya sang suria.
biar bayang-bayangnya melindungi dan menyusahkan orang lain.
diri berada dipuncak, itulah matlamat dan itulah juga perjuangan.

Aku kenal politik.
Aku kenal politik sehingga kini.
Kini payung tua, kelihatan bocur di sana sini.
Payung sudah bertambah, berbeza warna dan berbeza lokasi.
Kalau hujan pasti basah kuyup.
Kalau panas pasti tetap panas.
mengharapkan payung baru belum teruji.
kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Ramai ingin menukar payung yang baru.
Itu bukan masalahku, asalkan payung itu dapat melindungiku ke masjid.

Matlamat kita ke akhirat.
politik berparti hanya cara dan perantara.
Islam anutan abadi. Islam cara hidup.
Ramai sedih melihat kecelaruan.
Ramai risau kehidupan tanpa syariat.

Dunia tiada yang kekal.
di hadapan sana terkujur sebuah lubang.
itulah lubang kubur, itulah liang lahat.
jangan sekali-kali menyangka kita boleh enggan ke sana.

Wallahu aklam...............

No comments: